PAGI ini, awal-awal lagi Odelia sudah mengerah tenaga aku supaya menemaninya membeli ikan segar di pesisir pantai. Entah apa yang dia mimpikan semalam. Tiba-tiba saja mahu ke sana. Selalunya kami hanya membeli ikan di pasar pagi.
Sudahlah aku kena buka nurseri pada pukul 9:00 pagi nanti. Macam tak ada hari lain mahu ajak aku datang ke sini. Kalau aku tak ikut, naik bernanah telinga aku mendengar bebelan dia.
Aku diam menyepi di tempat duduk penumpang di sebelah Odelia. Hari ini Odelia yang memandu. Dia yang beria-ia sangat mahu pergi, jadi dialah yang kena pandu kereta. Aku mahu simpan tenaga untuk melakukan kerja-kerja di nurseri nanti.
Kepala aku sudah tersengguk-sengguk menahan kantuk. Aku menggeliat kecil sambil menutup mulut yang terbuka luas kerana menguap. Sungguh, mata aku masih terasa berat untuk dibuka.
Lepas subuh tadi, kami terus datang ke sini. Maklumlah, perjalanan mahu ke pantai hampir 20 minit.
Aku tutup pendingin hawa apabila tahap kesejukannya sudah mencucuk hingga ke tulang. Aku tekan punat di sisi dan menurunkan cermin kereta. Mahu merasai angin dingin pagi.
“Bisinglah, Orked. Tutuplah cermin tu.” Odelia mula buka mulut.
Mana tak bisingnya. Kelajuan pemanduannya mengalahkan orang yang mahu pergi berlumba kereta. Aku tahulah jalan ni lengang di awal pagi. Tak teragak-agak langsung dia tekan pedal minyak.
“Kau bawalah perlahan sikit. Dah sampai pun. Tak larinya ikan kau tu.”
“Mana kau tahu tak lari? Kalau orang lain dah sampai dulu, rugilah aku,” jawab Odelia.
Tidak mahu kalah.
“Ikan mana ada kaki nak lari? Ikan berenang. Apalah kau ni,” balasku dengan senyum mengejek.
Pap! Laju tangan Odelia sampai ke bahu aku.
Loyar buruk lagi pagi-pagi hari, memang mendapatlah. Aku gosok bahu yang berasa perit.
KAMI sampai di pantai tepat pukul 7.15 pagi. Selepas parkir kereta, laju saja Odelia berlari ke arah orang ramai yang sudah menunggu di pesisir pantai. Patutlah Odelia kalut semacam, memang ramai orang rupa-rupanya.
Ini kali pertama aku menjejakkan kaki di pantai pada awal pagi. Suasananya, angin dan cahaya matahari yang menerangi pagi, begitu menenangkan hati. Subhanallah. Indah sungguh ciptaan-Mu.
“Orked, cepatlah!” Odelia menjerit kuat.
Laju sahaja kepala aku berpaling kepadanya. Kacau betullah. Aku baru saja mahu menikmati pemandangan pagi.
Aku mendekati orang ramai yang sudah menunggu. Tubuh Odelia sudah menghilang di sebalik manusia yang berpusu-pusu memenuhi kawasan itu. Mereka sudah siap menunggu dengan plastik di tangan.
Dari kejauhan, aku dapat lihat dua buah bot nelayan yang semakin menghampiri. Orang ramai sudah mula mara ke hadapan. Mata aku melilau mencari Odelia yang sudah hilang daripada pandangan.
Ah, sudah! Dahlah aku tak gemar keadaan sesak dan padat begini. Mana pula kakak aku ni?
“Odette!” jeritku.
Terus Odelia berpaling. Dia mengangkat tangan ke udara dan berusaha untuk menghulur plastik kepada aku. Nasib baik dia pakai tudung lain daripada lain. Kalau dia pakai tudung sarung hitam seperti aku, alamatnya memang aku tak jumpa dia.
Sebelum turun kereta tadi, Odelia sudah berpesan kepada aku supaya mengisi plastik itu dengan ikan selayang sebanyak yang boleh. Aku baru dapat tahu yang dia menerima tempahan laksa dan laksam semalam. Patutlah kalut semacam.
Aku terlompat-lompat untuk mengambil plastik itu. Jarak kami hanyalah beberapa langkah sahaja lagi sebelum tubuh aku ditolak ke belakang. Aku rasa badan aku hampir jatuh ke belakang sebelum disambut oleh seseorang.
“Dah tahu kita tu katik, tak payahlah nak lompat-lompat bagai.”
Kata-kata sinis itu menyusup ke telinga aku.
Pantas aku tegakkan badan. Kepala aku pusing ke belakang dan mata aku terus bertembung dengan makhluk Tuhan yang sudah berdiri di belakang aku. Luthfi! Senyuman sinis menghiasi wajahnya.
“Excuse me! Kau panggil aku katik?” Aku buat muka terkejut macam baru dapat tahu harga minyak naik. Berani betul dia panggil aku katik!
“Ya. Salah ke? Kau memang katik pun, kan?” ujarnya selamba.
“Kau tahu tak, apa maksud katik tu?” Aku mengetap gigi menahan geram.
“Entah. Tapi setakat yang aku tahu, perkataan tu memang sesuai untuk kau. Tak cukup inci.” Luthfi tunjuk pada bahagian dadanya.
Dia nak cakap tinggi aku paras dada dia saja ke? Kurang ajar betul.
“Kau ni kan! Geram je aku. Rasa nak cekik-cekik.” Aku buat aksi mahu cekik lehernya.
Luthfi menghamburkan ketawa dan matanya tidak lepas daripada memandang aku. Macam seronok sangat dapat tengok aku naik angin.
Odelia yang memanggil sudah tidak aku pedulikan. Mahu saja aku selam cucu Hajah Zaleha ini ke dalam laut. Menyakitkan hati sungguh!
“Orang dah tolong sambut bukan nak cakap terima kasih. Patut aku biarkan aje kau jatuh tergolek macam nangka busuk,” ujar Luthfi sinis.
“Ada aku suruh kau tolong aku? Ada? Rasanya tak ada.” Aku menjawab dengan berani.
Sebenarnya aku bersyukur Luthfi membantu aku. Tetapi dengan perangainya seperti ini, aku mahu berterima kasih? Kirim salam sajalah.
“Eh, engkau ni!”
“Apa? Apa?” potongku. Sebelum Luthfi membidas aku dengan perkataan yang menyakitkan hati, lebih baik aku halang dia daripada terus berkata-kata.
Pap! Bunyi tepukan mematikan pergaduhan kecil kami. Satu tangan sudah selamat mendarat di belakang Luthfi. Jejaka yang berada di hadapan aku itu sudah mati tawanya. Padan muka!
Aku tersentak melihat Hajah Zaleha yang berdiri di belakang Luthfi. Pantas aku sembunyikan diri di depan Luthfi yang masih menghadap aku. Aku berusaha menyorokkan wajah daripada pandangan orang tua itu.
“Amboi, seronok gelak. Penat nenek tercongok-congok pilih ikan. Dia duduk merenyam dekat sini.”
Telinga aku dapat menangkap suara Hajah Zaleha yang sudah mula membebel. Perlahan-lahan Luthfi pusingkan badan menghadap neneknya.
Pantas mata aku bertembung dengan mata wanita tua itu. Alamak! Aku baru nak berhambus dari sini. Nampaknya kuasa halimunan aku tak menjadi kali ini. Matilanak!
“Lah, Orked ke? Nenek ingatkan Luthfi cakap dengan siapa. Borak-boraklah dulu. Nenek nak sambung pilih ikan. Nah, pegang ni.” Suara dan wajah yang tegang tadi berubah jadi manis.
Semanis donat yang Odelia sering bikin.
Luthfi menyambut huluran neneknya. Banyak betul ikan yang dibeli oleh Hajah Zaleha. Boleh lawan Odelia ni.
Hajah Zaleha memberikan senyuman mesra kepada aku.
Aku membalasnya seraya berundur perlahan-lahan. Aku menyelinap di celah-celah orang ramai mencari Odelia.
Aku tayang sengihan kepada Odelia yang membesarkan mata sebaik sahaja melihat kelibat aku. Aku mendekatinya dan mengambil plastik yang penuh dengan ikan selayang.
“Kau pergi mana? Sejak bila kau pandai mengurat cucu Hajah Zaleha?” Odelia juihkan bibir.
Dari kejauhan aku dapat melihat Luthfi memandang dengan pandangan tajam. Macam tahu-tahu saja orang tengah bercakap tentang dia.
“Tak ada masa aku nak mengurat si Luthfi tu. Ada baiknya aku pergi mengurat Cikgu Faiz. Handsome pun handsome.”
“Cikgu Faiz? Yang mana? Aku tak tahu pulak kau ada kawan cikgu,” soal Odelia dengan kerutan di dahi.
“Bukan kawan pun. Pelanggan dekat nurseri je. Nanti kau doa-doa la. Mana tahu kau betul-betul dapat adik ipar cikgu ke.” Aku kerlipkan mata beberapa kali kepada Odelia.
Dia tayang muka menyampah dan sambung pilih ikan untuk dijadikan lauk di rumah pula.
“Berangan dululah, Orked oi. Dia terliur ke tengok kau? Hari tak kerja pun selekeh. Hari kerja lagilah. Macam kerja ladang sawit. Tu belum bau lagi badan kau. Tengik!” Odelia sudah mula mengutuk aku.
“Kau nak cakap aku busuklah sekarang ni? Kurang asam betul.”
“Kenyataan. Cubalah belajar melawa sikit. Pakai bedak gincu sikit. Ni, pucat macam mayat hidup aje. Nasib baiklah kulit muka kau licin. Nampaklah helok sikit.”
“Amboi, mulut kau. Kau pernah ke tengok orang kerja nurseri pakai kasut tumit tinggi, pakai baju kebaya, pakai mekap? Pernah?” soalku berang.
Pantang betul aku orang mengutuk penampilan aku.
“Bukan tu maksud aku, budak. Kerja tu pakailah baju buat kerja. Ni waktu kau tak kerja.”
“Setakat keluar beli ikan pun nak lawa-lawa ke? Nanti tak pasal-pasal semua ikan kejung tengok aku,” balasku dengan cebikan.
“Tak payah tengok kau, bau kau pun dah kejung.”
Satu suara garau menyampuk perbualan aku dan Odelia.
Aku julingkan mata kepada Luthfi. Dia macam tahu-tahu saja aku pernah kutuk dia busuk. Sebab tu dia cakap begitu kepada aku. Tak pasal-pasal hari ini Odelia pula cakap aku tengik. Betullah apa orang cakap, what goes around comes around. Aku kena berhati-hati dalam berkata-kata lepas ni.
“Apa masalah kau ni? Suka betul cari pasal dengan aku. Tepi, tepi.” Aku tepuk lengan Luthfi dengan beg duit aku.
Luthfi menyeringai. Nak cakap sakitlah tu. Dasar penipu.
“Apa pasal kau pukul lengan aku? Orang tak sentuh dia, dia pulak sibuk nak sentuh-sentuh orang. Aku boleh lapor kau kepada polis tau. Atas dakwaan sexual harassment,” ujar Luthfi, separa berbisik di telinga aku.
Hampir saja aku tersekat air liur di kerongkong. Aku terbatuk kecil.
“Kau ni memang gila. Malas aku nak layan kau. Baik aku tengok ikan-ikan depan ni, lagi lawa daripada kau. Tak sakitkan mata aku.” Aku mencebik kepadanya.
Luthfi buat bodoh sahaja.
Aku perhatikan sahaja dia yang sedang memilih ikan. Kemudian, aku bergerak menjauhinya. Nanti tak pasal-pasal dia cakap aku nak raba dia pula.
Aku mengulum senyum apabila Luthfi selesai membeli. Odelia juga sudah selesai memilih apa yang dimahukan.
“Eloklah tu beli ikan yu. Kecil-kecil kau makan dia, besar-besar dia ngap kau pulak.” Aku sindir Luthfi yang sedang menjinjit plastik berisi dua ekor ikan yu.
“Sibuk! Aku doakan biar kau yang kena ngap,” ujar Luthfi sambil tangannya melibas plastik ikan sehingga terkena seluar aku.
Main kasar nampak. Luthfi ni sengaja mahu naikkan darah aku. Aku rasa badan aku sudah berbau ikan kerana terkena air ikan dari plastik itu. Ditambah pula dengan satu plastik lain yang dibimbit oleh aku. Memang betul-betul bau ikan.
“Eloklah kau orang berdua ni. Bila yang tu senyap, yang ni cari pasal. Bila yang ni diam, yang tu pulak cari pasal. Memang patut dijodohkan aje kau orang berdua ni. Sepadan,” selar Odelia dengan muka bengang.
Aku terdiam dengan kata-katanya.
Luthfi jegilkan mata kepada aku sebelum berlalu pergi. Aku perhatikan saja tubuhnya yang menghilang di sebalik orang ramai.
“Tak payah nak tenung Luthfi tu lama-lama. Angkat ikan ni.” Odelia hulur satu lagi plastik ikan kepada aku.
Dia pula melenggang kangkung menuju ke kereta. Geram saja aku. Dia ingat aku ni kuli dia ke apa? Rasa nak campak plastik ni ke tanah, tapi nanti tak pasal-pasal aku pula yang digulai oleh Odelia.
Sebelum masuk kereta, sempat lagi aku berbalas jelingan dengan Luthfi. Aku fikir siapalah yang sayup-sayup memanggil nama aku. Rupa-rupanya dia. Dasar, Rafflesia!