Bukan Anti Romantik

BAB 5

  • Art
  • Schaslee

AKU menghempaskan dua plastik berisi ikan ke dalam singki dengan perasaan geram. Naik berpeluh ketiak aku dibuatnya.

Kurang asam betul Odelia. Ada ke patut dia tinggalkan aku dekat depan pagar nurseri. Lepas tu, dengan selambanya dia pecut kereta pergi cari barang lain pula.

Nasib baik rumah kami terletak di belakang nurseri saja. Kalau tidak, jenuh aku nak berjalan kaki. Itu pun dah naik lenguh tangan aku bawa ikan-ikan yang berat ni.

Menyempat pula dia suruh aku siang ikan-ikan ni semua. Ingat aku tak ada kerja nak dibuat ke apa?

“Orked? Kamu ke tu?”

Suara mak kedengaran di pintu dapur.

“Ya, mak. Orkedlah ni. Anak mak tak balik lagi,” jawabku, merujuk kepada Odelia, anak emas mak.

“Habis tu, kamu anak siapa?” soal mak.

Mak mula merapat ke singki. Memerhatikan aku yang sedang mengeluarkan ikan-ikan dari plastik dan memasukkan ke dalam besen.

“Anak Rokiah,” ujarku selamba.

Mak tarik cuping telinga aku. Aku mengaduh perlahan, namun bibir mengukir senyum senget.

“Nak sangat jadi anak Rokiah, pergilah duduk dengan dia. Duduk rumah aku buat apa?” Suara mak kedengaran menahan geram.

Aku tergelak kecil. Mak pantang betul nama madunya itu disebut di dalam rumah ini. Aku pun bukan suka sangat nak sebut nama mak tiri aku tu. Saja mahu mengusik mak.

Ya, ayah aku kahwin dua. Mak aku ada madu, namanya Rokiah Daud. Dulu dia terkenal dengan gelaran Rokiah Gamat. Mak tiri aku itu pernah jual gamat sebelum beralih pada perniagaan lain. Dan, dia berasal dari Langkawi, sekampung dengan ayah aku.

Sekarang mak tiri dan ayah aku sudah menetap di Pahang sebab ayah aku sudah bertukar tempat kerja di sana. Mereka berkenalan semasa ayah aku bekerja di Kedah dulu.

“Gurau sikit pun tak boleh. Ayah tak balik ke minggu ni, mak? Ke ayah sibuk dengan bini muda dia tu?”

“Tak balik. Minggu ni giliran orang belah sana. Kamu sengaja kan nak naikkan darah mak? Sayang betul dengan si Rokiah tu. Asyik sebut tentang dia aje.”

“Mana ada. Tak kuasa nak sayang-sayang dia tu. Baik orang sayang mak. Orang saja tanya khabar ayah. Lagipun, orang dah lama tak nampak ayah. Minggu ni giliran orang belah sana lagi ke? Rasanya tiap-tiap bulan giliran orang belah sana,” ujarku.

Aku tersenyum sumbing.

“Selama ayah kamu ada dekat rumah, bukan kamu peduli pun. Mengada betul.” Mak cubit lembut bahu aku.

Aku hanya ketawa. Mak keluar dari dapur dan tinggalkan aku sendirian.

Aku termenung seketika di hadapan singki. Sekejap lagi aku perlu ke nurseri. Tak mungkin aku mahu tinggalkan ikan-ikan ini begitu saja.

Aku tenung ikan itu dalam-dalam. Sebiji macam muka Odelia. Geram saja aku. Rasa mahu cungkil biji mata ikan selayang ini.

Telinga aku dapat menangkap suara adik aku dari luar. Laju aku memanggil. Aku mana boleh tengok Iris duduk tak buat apa-apa.

“Iris! Iris!” jeritku kuat.

Bayangannya langsung tak kelihatan. Aku panggil beberapa kali lagi sebelum akhirnya Iris muncul di belakang aku.

“Ya, angah. Ada apa?” soalnya dengan wajah penuh kehairanan.

Aku tenung wajah Iris yang penuh dengan solekan. Mulut aku ternganga seketika. Apa nak jadilah dengan budak bertuah ni?

“Kau nak pergi mana dengan eyeshadow warna biru ni? Macam kena pukul pun ada aku tengok mata kau ni. Ni mesti kau kebas mekap si Odette, kan? Kalau dia tahu ni, mata kau tu memang dapat lebam betul. Pergi bersihkan, cepat!”

Aku tolak badan Iris supaya dia bertindak dengan arahan aku.

“Ala, angah ni. Iris pinjam kejap je. Tak luak pun.” Iris tayang muncung.

Aku menghela nafas seketika. Budak ni memang tak makan saman betul.

“Ikut suka hati kaulah, Iris oi. Kalau Odette marah, aku tak nak tolong.”

Tak lama kemudian, aku dengar suara Odelia di ruang tamu. Aku dan Iris saling berpandangan. Wajahnya sudah pucat lesi. Tahu pun takut.

“Alamak, angah. Macam mana ni?” Iris mula kalut.

Aku tayang senyum senget kepadanya.

Iris tepuk bahu aku beberapa kali. Dia punya gelabah tu, seperti kera kena belacan.

“Ambil tisu dapur tu, basahkan dengan air sikit. Cepat,” gesaku.

Laju saja Iris mengikut apa yang aku suruh. Tak sampai satu minit, pembayang matanya sudah tanggal. Cuma, masih tersisa lipstik di bibir. Aku muncungkan bibir kepadanya. Iris tepuk dahi. Sekali lagi dia basahkan tisu sebelum dilekapkan pada bibirnya.

“Dah siap belum ikan-ikan aku?” Odelia menghampiri dengan plastik penuh di tangan.

Pantas Iris berdiri di sebelah aku dan mencapai seekor ikan. Aku menahan ketawa dalam hati.

“Eh, sejak bila kau rajin nak tolong dekat dapur ni?” soal Odelia dengan penuh kehairanan.

Odelia pandang aku. Aku jongket bahu. Malas hendak menjawab. Iris tersengih.

“Saja nak tolong angah. Kejap lagi angah dah nak pergi kerja.” Iris menjawab perlahan.

Aku mencebik dan buat isyarat supaya Odelia melihat mata Iris. Odelia dapat menangkap maksud aku dan mula merenung wajah Iris yang sudah ketakutan.

“Pandailah kau. Rajin nak tolong ya? Kau pakai barang mekap aku lagi, kan?” Odelia mula melemparkan serangan.

Iris pandang aku.

Aku buat muka tak bersalah. Saja nak mengusik Iris. Siapa suruh tak dengar cakap aku?

“Mana ada,” ujarnya takut-takut

“Jangan nak tipu. Habis tu, kenapa ada bling-bling tepi mata kau ni? Cakap betul-betul.” Odelia cekak pinggang di sisi Iris.

Aku melangkah keluar dari dapur dan meninggalkan mereka berdua. Sempat aku ketawa jahat dalam hati. Malas aku hendak dengar Odelia sekolahkan Iris. Padan muka budak tu. Sentuh lagi barang orang tanpa izin.

Iris Natasya ni anak ayah aku dengan mak tiri aku. Iris memang suka duduk sini sejak dia kecil lagi.

Kali pertama ayah aku bawa balik Iris ke rumah ini, mak aku tak suka. Tengok budak itu pun tidak. Mak aku berkurung di dalam bilik saja. Begitu juga aku. Agak sukar untuk menerima orang asing di dalam rumah ini.

Tetapi, Iris ni pandai. Dia selalu ambil hati mak aku. Perangainya pun berbeza dengan maknya itu. Pernah dulu mak aku tanya, kenapa dia suka datang sini? Katanya sebab ada kakak. Maksud dia, aku dan Odelia.

Aku tak benci dia pun. Cuma, kadang-kadang bila teringatkan mulut mak dia tu, aku jadi geram. Tapi setakat ini, tak pernah lagi aku dera anak Rokiah Gamat itu. Dia pun seperti tak kisah saja Iris tinggal bersama kami.

Awal-awal dulu, mak aku sering juga marah ayah sebab selalu bawa Iris balik ke sini. Aku ingat lagi apa yang membuatkan mak aku lembut hati dengan Iris.

Satu hari mak aku pernah tanya kepada Iris, dia anak siapa? Iris jawab dia anak mak. Dan sejak hari itu, Iris jadi anak mak.

Jarang-jarang sekali dia ikut ayah aku ke Pahang untuk berjumpa mak dia. Dia pun tak macam anak Rokiah Gamat. Sudah jadi anak Zubaidah Kassim. Perangai pun sudah ikut perangai mak aku. Sebijik!