MATA aku tak lepas daripada melihat Odelia yang mundar-mandir di hadapan aku. Rasa mahu ketawa pun ada.
Padan muka! Siapa suruh tak percaya cakap aku semalam? Kan dah resah semacam. Aku buat-buat berdehem banyak kali. Dan, perbuatan itu membuatkan Odelia menjeling geram.
“Orked! Kenapalah mulut kau tu masin sangat? Aku tak naklah, Orked.” Odelia mula gigit jari.
Aku buat bodoh sahaja sambil tangan bergerak laju menyusun pasu plastik yang baru sampai.
“Orked, aku tengah cakap dengan kau tahu tak?” Odelia mula naik berang.
“Orked yang mana satu? Orked Latifa ke Orchidaceae?” Aku buat-buat tanya.
Sengaja mahu menambahkan rasa sakit hati Odelia. Semalam sedap sangat mengata aku. Babunlah, apalah.
“Aku tengah bercakap dengan engkaulah. Orked Latifa, adik Odelia Inara, anak Puan Zubaidah dan Encik Jalil, kakak kepada Iris Natasya, cucu Tok Wan Manisah, pemilik Nurseri Anggerik... Hah! Apa lagi?” Odelia bersuara dengan nada menahan geram.
“Kau tak letak Orked Latifa yang cantik dekat belakang.” Aku cuba loyar buruk dengan Odelia.
“Kau ni kan! Memang meminta dengan aku. Aku cepuk dengan pasu ni kang, ada yang benjol kepala.” Odelia menundukkan badan, mahu mencapai pasu plastik yang kebetulan ada di tepi kakinya.
Sebelum pasu itu singgah ke badan aku, lebih baik aku larikan diri terlebih dahulu. Laju aku memecut, membuka langkah meninggalkan Odelia di belakang. Odelia ni kalau mengamuk memang boleh jahanam satu nurseri aku.
“Orked, siaplah kau nanti!” jeritnya berang.
Dia baling pasu plastik tadi ke tempat asal sebelum melangkah keluar dari nurseri.
Aku mengekek di sebalik kaunter sebaik sahaja mendengar Odelia menghempas pintu pagar belakang nurseri. Marah betul gamaknya, berdasarkan bunyi pintu pagar yang dihempasnya itu.
“Kenapa dengan kakak kau tu?” tegur Uya yang kebetulan baru siap menyiram pokok-pokok yang ada di situ.
Uya itu pekerja aku.
“Tok wan aku ajak dia pergi tengok kain batik dekat rumah Hajah Zaleha,” jawab aku selamba.
Dalam makna lainnya, pergi jumpa dan berkenalan dengan cucu Hajah Zaleha. Gelakkan aku sangat, tak pasal-pasal sudah berbalik kepada dia. Padan muka!
“Tok wan kau ajak tengok kain batik pun nak marah. Pelik betul kakak kau tu.” Uya geleng kepala.
Aku simpan gelak dalam hati.
“Biasalah, datang bulan. Angin tak berapa elok,” ujarku sambil ketawa kecil.
Jawapan aku itu mendapat anggukan daripada Uya. Kalau orang ajak aku pergi tengok kain batik, memang aku nak pergi. Kalau ada yang berkenan, bolehlah juga beli dua, tiga helai. Ini tidak, bukan kain batik yang dapat!
Aku tarik laci kaunter dan mengeluarkan sampul duit semalam. Tak datang lagi Encik Bougainvillea aku ni?
Tadi aku sudah berpesan kepada Uya. Kalau ada lelaki yang tanya soal baki duit, aku minta dia serahkan sampul ini. Selagi sampul ini ada di dalam laci ini, maksudnya dia tak datang lagilah tu.
Aku buka sampul dan keluarkan baki duitnya yang berjumlah RM39.
Siapa agaknya lelaki itu? Tiba-tiba saja terpacak di nurseri aku semalam. Duit baki banyak macam ni, buat tak kisah saja.
Alang-alang mahu berehat, aku menarik kerusi dan duduk di kaunter. Tangan aku mula main lipat-lipat kertas. Waktu sekolah dulu, bila cikgu suruh belajar buat origami, bukan main liat. Ini bila dah tua, mulalah datang rasa mengada nak buat origami.
Aku berhenti melipat objek di tanganku. Mata aku terpaku pada satu figura di hadapan aku.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Nak apa?” soalku dingin.
Lain yang ditunggu, lain yang datang.
“Orkid mana?” Suara itu menyoal malas. Matanya melilau memerhati segenap nurseri.
“Orked? Akulah Orked.” Aku memandangnya hairan.
Tiba-tiba saja cari aku. Takkan tak nampak aku ada di depan mata dia? Baru jumpa kelmarin, takkan dah lupa nama aku Orked? Poyo!
“Bukan kau. Aku nak pokok orkid. Nak kau buat apa?” Suara Luthfi kedengaran mahu melenting.
“Cakaplah betul-betul. Ini tak. Orkid mana? Depan kau pun nama Orked. Lain kali cakaplah, dekat sini ada tak pokok orkid yang cantik macam Cik Orked?” sindirku sekali gus menutup rasa malu.
Lantaklah apa yang dia mahu fikir. Apa yang aku tahu, aku tak akan berbicara lemah lembut lagi dengan jejaka ini selepas apa yang berlaku semalam. Titik.
Luthfi mula buat aksi mahu termuntah. Geram betul aku dengan cucu Hajah Zaleha ni. Aku kerut dahi seketika.
“Eh, bukan tok wan aku pergi rumah nenek kau ke? Odelia ada sekali tak?” soalku sambil berjalan ke rak yang menempatkan pokok orkid yang pelbagai.
Luthfi turut mengekori di belakang aku.
“Tok wan kau ada aje dekat rumah nenek aku tu. Tengah belek-belek kain batik. Tapi, Odelia tak adalah pulak. Nenek aku yang suruh datang sini, beli pokok orkid. Katanya nak orkid yang paling cantik dekat sini.”
“Yang paling cantik? Aku ke?” Aku buat perangai tak semenggah di hadapan Luthfi yang sudah aku kenal sejak kecil.
“Engkau cantik? Pergh! Nampak gayanya aku kena belikan satu cermin besar untuk nurseri kau ni. Biar kau tenung diri kau dalam cermin tu. Baru kau tahu betapa selekehnya kau.”
“Kurang asam betul kau ni, Luthfi! Macamlah kau handsome sangat. Gaya kau pun hauk,” marahku.
Geram saja aku. Rasa nak debik-debik dia ni.
Luthfi ketawa sahaja.
Aku dikatanya selekeh? Tapi, memang betul pun. Gaya aku memang tak macam perempuan lain.
Berseluar sukan, T-shirt lengan panjang, bertudung sarung dan bertopi. Kadang-kadang aku pakai T-shirt lengan pendek dan sarung kemeja kotak di luar. Topi atas kepala memang aku tak tinggal.
Kita kerja kampung, wak, bukan kerja dalam pendingin hawa. Kerja kita tanam-tanam pokok, gali-gali tanah. Nasib tak gali awak aje.
Si Luthfi ni aku tak tahu dia kerja apa. Tahu-tahu saja muncul di kampung. Kata tok wan, neneknya yang minta dia balik sini. Mahu meminta bantuan Luthfi untuk menguruskan resortnya di kawasan pantai itu.
Dulu selalu jugalah aku ke sana. Semenjak aku ada anak yang ramai ni, terasa kaki aku dirantai sahaja di nurseri ini.
Aku lihat penampilan Luthfi sungguh berbeza daripada beberapa tahun yang lalu dan karakternya memang sangat lain. Tidak seperti Luthfi yang aku kenal sewaktu kecil dulu. Sudah semakin kurus dan tak terurus.
Sesuailah aku cakap dia busuk. Walaupun tiada bau tak enak keluar daripada badannya. Cuma, mukanya agak cengkung dan tak bermaya.
Dari tadi dia membelek satu per satu barisan pokok orkid, tetapi belum putuskan jawapan. Aku tersengih seorang diri sebaik sahaja terpandang muka Luthfi nampak berputus asa mahu memilih.
“Orked, kau pilihlah mana-mana pokok orkid yang kau rasa cantik. Nenek aku bukan main nak pokok orkid. Nak yang cantiklah, apalah. Bagi aku sama aje,” ujarnya sambil memeluk tubuh.
Itu dia. Kalau cakap awal-awal kan senang.
“Yalah, sekejap. Nanti aku pilihkan untuk kau. Tapi, satu je kau kena ingat. Kalau orkid yang paling cantik, yang ni.” Aku tunjuk kepada diri sendiri sambil ketawa.
Aku rasa si Luthfi ni tak cerdik sangat. Aku syak Hajah Zaleha suruh Luthfi datang sini sebab suruh jumpa aku. Tsk, tsk... kesian.
“Perasan betul kau ni. Aku tunggu dekat depan.” Luthfi berjalan meninggalkan aku sambil berpeluk tubuh.
Cis! Tak gentleman langsung. Memang jauh berbeza dengan Encik Bougainvillea.
Aku angkat pasu pokok orkid bersaiz sederhana dan letak di atas meja kaunter. Aku menolak tubuh Luthfi ke tepi apabila melihat kelibat yang aku tunggu dari tadi. Luthfi terkebil-kebil memandang aku, namun langsung tidak aku pedulikan.
Hati aku sudah berbunga-bunga melihat lelaki semalam. Aku fikir dia sudah tak mahu datang ke sini lagi.
“Cik Nurseri, saya datang nak ambil baki. Yang pokok bunga kertas tu,” ujarnya.
Aku terpaku pada tag nama yang tersemat di tali lehernya. Oh, nama Faiz rupanya.
“Ada, ada. Sekejap ya.” Laju aku mengambil duit dari dalam laci kaunter dan serahkan kepadanya.
Duit yang aku simpan di dalam sampul sudah menjadi origami yang berbentuk hati. Terpaksalah aku keluarkan not kertas yang lain. Punya syok berangan, duit pun boleh jadi bentuk hati.
“Terima kasih. Saya beli ya,” ucapnya dengan penuh sopan.
“Sama-sama, encik...?” ujarku penuh kelembutan.
“Cikgu Faiz. Eh, panggil Faiz je. Tak payah cikgu-cikgu.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
Aku angguk sambil tersenyum. Cikgu rupanya. Patutlah pakai kemas sahaja.
Berbeza sungguh dengan Luthfi yang hanya memakai seluar jean lusuh dan T-shirt berwarna hitam. Baru aku perasan Luthfi mengikat rambutnya yang tertutup dengan topi. Boleh tahan panjang juga rambutnya itu.
Gaya dia pun lebih kurang selekeh macam aku juga, ada hati nak mengutuk aku! Aku rasa dia yang patut tilik muka dekat cermin. Itu baru betul.
Aku pandang muka Luthfi yang sedang mencebik. Dengkilah tu. Apa yang aku buat semua tak kena di mata dia.
Tangan aku sudah melambai-lambai kepada Cikgu Faiz yang mula menjauh.
“Cepatlah kira. Boleh tahan gatal juga kau ni.” Luthfi jeling aku.
Aku jegil mata kepadanya. Suka hati saja cakap aku gatal.
“Tak reti sabar langsung. Kau nak pergi mana cepat-cepat? Bukan ada kerja pun,” desisku perlahan.
“Aku dengar tu, Orked. Mana kau tahu aku tak ada kerja? Memandai aje.” Luthfi memandang tajam kepada aku.
Sedikit pun aku tak hairan.
“Aku tahulah.” Aku menggumam seorang diri. Buat-buat tahu.
Luthfi meletakkan not RM50 di atas meja. Aku ambil wang itu dan pulangkan bakinya.
Luthfi pandang aku atas bawah sebelum mengangkat pasu yang berisi pokok orkid itu.
“Terima kasih,” ucapnya tanpa perasaan. Siap tayang muka judging.
Geram betul aku. Rasa nak siku muka kerek dia tu. Lulusan luar negara, tetapi gayanya macam tak sekolah. Suka betul pandang aku begitu. Nak cakap dia hebat daripada akulah tu. Menyampah!