AKU melangkah dengan malas menuju ke dalam nurseri. Duit baki lelaki itu aku masukkan ke dalam sampul asing. Mata aku merenung permukaan sampul yang masih kosong itu. Tangan mencapai pen.
Encik Bougainvillea.
Dua patah perkataan itu aku tulis pada permukaan sampul. Fikiran kembali melayang mengingati wajah yang manis itu.
Keningnya yang lebat, hidung yang mancung dan kulitnya yang sawo matang itu mengingatkan aku kepada pelakon Park Bo Gum. Iras-iras sahajalah. Cuma tang mata dan mulut lari sikit. Mata dia bundar, bukan sepet. Dan, dia tak ada gummy smile macam pelakon itu.
Sebenarnya, memang tak ada iras pun. Saja nak bagi gempak sikit.
“Hah! Berangan lagi. Tok wan kata kau tak ada dekat kedai tadi. Kau pergi mana?”
Suara Odelia sudah mula memetir di tepi telinga aku.
Aku buat tak endah dengan soalan itu. Odelia mendengus geram dan mula ambil tempat di tepi aku.
“Kau sengaja nak mengelak daripada tok wan, kan?” Odelia tolak bahu aku dengan sengihan nakal.
“Sibuk je kau ni.” Aku pandang dia dengan rasa tak puas hati.
“Handsome sangat ke cucu Hajah Zaleha tu sekarang? Dah lama aku tak tengok muka dia. Masa kecil-kecil dulu selalulah tengok,” ujar Odelia dengan sengihan nakal yang tak lekang dari bibir.
Nampaknya kakak aku ni sudah memulakan sesi soal siasat.
Aku angkat kening dan tayang muka manis. Kedua-dua tangan aku bawa ke pipi, buat gaya paling comel.
“Handsome. Handsome giler! Kalau nak dibandingkan dengan yang duduk belakang rumah kita tu, handsome la dia tu,” ujarku dengan suara gedik.
“Kau bandingkan cucu Hajah Zaleha dengan beruk Pak Long Seman? Jahat mulut! Kalau dengar dek tok wan, memang sia-sia kau hidup. Nanti dia keluarkan sepit ketam dia yang berbisa tu, maunya tujuh keturunan kau ada parut.” Odelia mula keluarkan suara nyaringnya.
“Choi! Mulut kau. Cukuplah aku sorang aje yang ada parut sebab kena sepit ketam tok wan tu,” balasku seraya menjulingkan mata ke atas.
“Siapa suruh kau nakal mengalahkan babun dulu? Tak pasal-pasal tinggal parut. Tapi, memang patut pun parut tu ada dekat badan kau. Bila kau nak buat kerja-kerja gila, kau ingat Tuhan, ingat tok wan, ingat keluarga. Dari kecil sampai besar, tak habis-habis perangai nakal kau tu.” Odelia sudah memulakan bebelan.
“Kau datang sini nak apa? Kalau aku minta tolong jagakan nurseri, lambat betul nak sampainya. Patut mak sumpah je kau jadi angsa dalam tasik tu.” Aku menyindir Odelia yang umurnya tiga tahun lebih tua daripada aku.
“Melampau! Aku Odelia, bukan Odette. Kau jangan nak samakan aku dengan angsa puteri dongeng tu. Aku datang sini sebab tok wan bising dekat rumah, cakap kau tak ada dekat nurseri.”
“Aku tak pergi mana-mana pun. Ada aje dekat sini. Tok wan tak nampak sebab aku gunakan kuasa halimunan aku. Teror, kan?” Aku mula buat gaya bangga.
“Banyaklah kau punya teror. Jangan ingat kau boleh terlepas daripada genggaman tok wan.” Odelia tayang senyuman sinis kepada aku.
“Dan, jangan kau ingat kau pun boleh terlepas. Aku rasa tok wan akan cari kau pulak lepas ni. Temankan dia beli kain batik, katanya...” Aku bersuara dengan nada meleret.
Sengaja mahu mempermainkan perasaan Odelia. Dia mencebik sebelum bangun dari kerusi. Aku balas cebikannya dengan jelingan.
“Aku balik dulu!” jerit Odelia apabila langkahnya semakin menghampiri pintu belakang nurseri.
Aku lambai sahaja dari jauh. Malas hendak memandang kakak aku yang menyebalkan hati itu. Kacau betul Odelia ni. Aku nak feeling-feeling jatuh cinta dengan hero macam dalam drama Korea tu. Cinta pandang pertama. Auch! Manisnya rasa.
Apabila teringatkan kejadian awal tadi, senyuman aku hilang. Hailah, apa punya nasib badan. Sudahlah aku meniarap di atas tanah, lepas tu boleh pula mamat tu nampak.
Mesti dia syak aku tak normal, kan? Sebab tu dia tak nak ambil duit baki dan dia cakap nak ambil esok. Dia takut dengan aku ke?
Tak kut. Daripada gayanya yang tergesa-gesa tu, aku rasa dia ada urusan penting.
Aku tepuk pipi beberapa kali untuk menghilang-kan segala prasangka yang tak patut ada dalam fikiran aku.
Aku menyambung kembali kerja yang tergendala tadi. Aku memotong kembali keratan pucuk yang sudah matang dan menghiris permukaan bawah keratan pucuk itu dalam posisi menyerong.
Keratan yang aku potong tadi sudah hilang entah ke mana. Terpaksalah aku potong yang baru.
Aku mendekati pokok bunga kertas yang hendak dikahwinkan itu. Langkah pertama, aku potong keratan pada hujung dahan utama pokok, kemudian aku belah tengah pada hujung dahan yang sudah dipotong. Aku ambil keratan pucuk tadi dan masukkan ke dalam belahan dahan itu.
Selotape yang berada di dalam apron kerja, aku ambil. Gunting turut aku keluarkan. Aku ikat keratan pucuk tadi dengan selotape dan lilitkan sampai ia melekat. Aku ambil plastik dan letak pada bahagian yang dikahwinkan tadi supaya berwap dan mengelaknya daripada terkena hujan.
Mudah sahaja kalau mahu tahu teknik ini menjadi atau tidak. Kalau tumbuh pucuk muda, tak layu, maksudnya jadilah tu. Kalau sudah tumbuh daun baru, bolehlah plastik itu dibuka. Tetapi, jangan lupa pula untuk buka lilitan salotape.
“Alahai, untung betul jadi pokok, tiba-tiba dah kahwin. Aku juga yang tak kahwin-kahwin lagi. Nasib kaulah kalau tak suka antara satu sama lain pun. Peduli apa aku, tetap aku kahwinkan jugak.” Aku mencebik sambil memasukkan peralatan kecil yang aku gunakan tadi ke dalam poket apron.
Selesai sudah kerja aku untuk hari ini. Seronok saja melihat pokok bunga kertas yang aku kahwinkan sebelum ini. Sudah bercampur warna dalam satu pokok. Bersatu dalam pelbagai warna. Sungguh cantik!