Mr Millionaire's Contract Wife

BAB 8

  • Art
  • Zaza Qrt

EDRIZ memandang kerata yang sudah tak sempurna itu. Sungguh dia tak sangka kereta itu menjadi sasaran. Lebih mengejutkan, kereta itu jadi seperti itu kerana seorang perempuan yang merosakkannya. Dia tak faham punca, tapi berdasarkan apa yang berlaku tadi, si lelaki itu yang meminjam wang. Tapi, siapa lelaki itu?

Dia nampak Fahmita sedang berbual dengan wanita separuh umur itu. Wanita itu memandangnya. Edriz bergerak ke arah mereka apabila dia nampak wanita itu mengukir senyuman.

“Terima kasih sebab tolong anak saya...” Wanita itu berbahasa Melayu dengannya.

Dia pandang Fahmita yang sedang duduk. Berpeluh kerana dia mengamuk tadi. Macam mana pula wanita Thailand ini dapat berbahasa Melayu dengan fasih? Tapi, dalam dialek Thailand. Edriz masih memahaminya.

“Macam mana boleh cakap bahasa Melayu?” tanya Edriz ingin tahu.

Dia pandang Mek Shun dengan pandangan hairan. Saat ini dia yakin Fahmita memang boleh berbahasa Melayu. Tapi, kenapa pula dia tidak berbahasa Melayu dengannya.

“Kami asal usul sini. Tapi, mak dia orang Malaysia.” Mek Shun tudingkan jari ke arah Fahmita.

“Fa tak cakap Melayu dengan dia ke?” tanya Mek Shun.

“Malas.” Sepatah dia menjawab.

Nah, ternganga Edriz mendengar perkataan malas itu.

Hari ini saja Fahmita banyak menggunakan tenaga perempuannya. Mata masih memandang kereta arwah ayahnya itu. Sama sekali tak sedar itu yang dilakukannya. Bila difikirkan tangan wanita yang mengayun buaian mampu menggoncangkan dunia, setakat kereta tu, apalah sangat kan. Hatinya mendesis.

Fahmita berlalu ke dalam rumah. Dia mahu membersihkan diri. Melekit-lekit peluhnya disebabkan kemarahannya tadi. Dibiarkan saja lelaki itu berbual dengan Mek Shun. Selepas hampir satu jam, Fahmita keluar dengan berpakaian baru. Kedua-duanya masih belum habis berbual lagi.

“Fa,” panggil Mek Shun.

“Ada apa, mek?” tanya Fahmita.

Panggilan mak itu disebut mek kalau di sini.

“Riz ni dah cerita kat mek pasal tu...” Mek Shun pandang Fahmita dan Edriz bersilih ganti.

“Pasal apa?” tanya Fahmita walaupun dia yakin pasal kontrak tersebut.

“Kontrak tulah,” ujar Mek Shun.

“Mek nak Fa terima ke?” tanya Fahmita dalam bahasa Thai.

Tak mahu lelaki itu tahu. Kali ini Edriz terkebil-kebil apabila kedua-duanya berbicara dalam Bahasa Thailand.

“Dia dah tolong Fa kan?” Mek Shun berkata.

“Mek kenal ke dia ni? Fa tak kenal.” Fahmita menggeleng.

“Dia orang Malaysia. Dia beritahu sebagai kontrak saja sebab dia tak mahu ibunya jodohkan dia dengan pilihan ibu dia.” Mek Shun memberitahu.

“Boleh percaya ke, mek?” tanya Fahmita.

Buat pula dijualnya dia kepada orang, macam mana? Bukannya boleh percaya orang zaman sekarang. Sedangkan Thim pun boleh buat onar. Itu sepupunya! Ini lelaki yang muncul entah dari mana, tiba-tiba tolong bayar hutang pula. Tidakkah haru-biru? desis hatinya.

“Dia dah tolong kan, apa salahnya Fa tolong dia pulak? Mek betul-betul minta maaf atas apa yang Thim buat. Sampai hati dia buat macam tu. Kenakan arwah Ayah Kib dan Fa.” Mek Shun mengusap lengan Fahmita.

Edriz hanya menjadi penonton kerana mereka bercakap dalam bahasa Thailand. Lenggok mereka bercakap pada pendengarannya terlalu lembut. Kalaulah dia tahu bahasa Thailand.

“Mek rasa, kalau Fa tak cuba pergi jauh dari sini, Thim mungkin akan buat hal lagi. Dulu ada arwah Ayah Kib, tak apalah.” Mek Shun berkata perlahan.

Sungguh dia kasihankan Fahmita disebabkan Thim. Sampai hati Thim buat Fahmita begini. Dia tahu cerita orang mengambil motosikal Fahmita daripada Edriz tadi.

“Tapi, mek...”

“Thim tak akan berubah, Fa. Mek tahu sebab mek ni mek dia. Mek dah puas nasihatkan dia. Sekarang mek hanya mampu berdoa supaya dia berhenti. Sebab tulah orang kata lelaki ni akan punah disebabkan arak, judi dan perempuan. Mek risau sampai satu masa nanti, dia jual Fa pula.” Mek berkata perlahan.

Semua itu tak mustahil. Semuanya boleh terjadi.

“Mek...” Fahmita memegang lengan Mek Shun lantas memeluknya.

Mek Shun adalah adik kepada ayahnya. Dengan dialah, Fahmita menumpang kasih sayang selepas ibunya meninggalkannya. Fahmita memandang Edriz yang sejak tadi ralit melihat dia dan mek berbual.

Bagi Edriz pula, bagaikan dia sedang mendengar lagu Thailand. Mendayu-dayu saja cara percakapan mereka. Menarik minatnya untuk terus memandang mereka.

“Bila awak nak sediakan kontrak?” tanya Fahmita memandang Edriz.

Mata tak lepas memandang Edriz. Edriz tengadah apabila ditegur terus oleh Fahmita.

“Awak setuju?” tanya Edriz.

Kali ini dia pula yang terkejut.

“Saya ikut cakap mek.” Fahmita memberitahu sambil memandang Mek Shun.

Edriz memandang wanita itu. Mudahnya dia dipujuk. Agaknya memujuk dalam bahasa Thai lebih lembut kut. Sebab itulah dia lebih mudah mendengar. Edriz sendiri akui, bahasa Thai kalau kena gaya, lembut gaya percakapannya. Tambahan pula kalau yang perempuan mahu mencari pelanggan. Sebab dia pernah digoda oleh perempuan-perempuan di jalanan. Percakapan mereka terlalu lembut di telinganya.

“Saya balik hotel dulu. Esok saya datang sini bawa kontrak,” kata Edriz.

Fahmita jongket bahunya.

“Mek, saya balik dululah…” Edriz meminta diri.

Mek Shun hanya mengangguk dan mengukir senyuman.

Edriz bergerak ke kereta dan memandu pergi.


FAHMITA mengeluh. Tak tahu sama ada betul atau tidak apa yang telah dia putuskan. Dia kena fikir juga pasal Jaffar. Jaffar yang masih ada kontrak selama dua tahun di luar negara. Tapi kalau dia tak bersetuju dengan kontrak ini, di mana dia mahu cari wang untuk membayar kepada Edriz semula? Nak harapkan Thim bayar hutang tersebut, mati hidup semula pun tak akan terjadi. Jadinya nak tak nak, dia terpaksa mengorbankan diri sendiri.

“Fa, mek yakin Edriz tu orang yang baik,” ujar Mek Shun.

“Fa tak tahulah, mek. Bagaimana dia yakinkan mek dan mek boleh yakinkan Fa…?” Fahmita bertanya. Dia memandang Mek Shun.

“Mek baca doa sikit…” Mek Shun melawak.

“Mek ni…” Fahmita tak jadi serius. Dia ketawa kecil.

“Macam mana dengan kerja tu?” tanya Mek Shun.

Dia tahu sejak Fahmita balik ke sini, dia telah diberi amaran kerana bercuti terlalu lama. Sekarang Mek Shun tak tahu apa status pekerjaan Fahmita.

“Hmm, dah kena buang.” Selamba Fahmita menjawab. Sudah tiga tahun dia bekerja dengan syarikat tersebut.

“Habis tu, macam mana sekarang?” tanya Mek Shun.

“Fa nak cari kerja lainlah. Bagi semua ni selesai dahulu,” kata Fahmita.

Mek Shun mengusap belakang Fahmita. Masalah bertimpa-timpa terpaksa dilalui oleh Fahmita. Kasihan sungguh kepada Fahmita.

“Kalaulah arwah ayah masih ada...” Fahmita mengeluh kasar.

“Fa tak nak cari ibu Fa ke?” tanya Mek Shun memandang Fahmita. Sudah berkali-kali dia bertanya soalan yang sama.

“Hmm, tak tahulah, mek. Dia dah buang Fa dulu. Kalau Fa cari dia, dia mahu ke terima Fa?” Fahmita tertanya-tanya sendiri. Lagipun, dia tak pernah terfikir mahu mencarinya. Ibunya sudah membuang dia, sepatutnya tak perlulah dia mencarinya.

“Kalau nak cari pun, kita tak tahu alamatnya kan?” Mek Shun berkata.

Arwah Rakib tak pernah memberitahu alamat tersebut. Kali terakhir, dia cuma cakap nak berjumpa dengan Farah saja. Selebihnya, Mek Shun tak bertanya lagi.

“Biarlah, mek. Fa akan jalani hidup Fa sendiri.” Fahmita membalas.

Dia sudah terbiasa hidup sendiri tanpa seorang ibu. Lagipun, Mek Shun sudah memberikan kasih sayang yang secukupnya.

“Mek, kalau Fa kena jual dengan Edriz tu, macam mana?” Tiba-tiba saja Fahmita bertanya.

“Taklah. Dia beritahu semua pasal keluarga dia. Pasal bondanya. Adik-adiknya. Dia bagi mek tengok gambar keluarga dia. Lagi satu, dia bagi kad pengenalan dia kepada mek…”

Fahmita mengerutkan kening. Bersungguh sampai begitu sekali ke?

“Yang fotostat.” Mek Shun sengih.

Fahmita hanya menggeleng kepalanya. Kadang dia rasa tidak yakin dengan keputusan yang dia buat tadi. Adakah perlu sampai begitu sekali? Tapi apabila memikirkan hutang yang dibayar Edriz itu, membuatkan dia serba salah. Tiada orang sanggup bayar untuk orang asing hutang sebanyak itu. Tapi itulah, ada harga yang perlu dia bayar.