“KAU ni betul-betul ke?” tanya Nadem, masih tak percaya dengan apa yang bakal dilakukan oleh Edriz. Dia tahu Edriz mampu buat apa saja, tapi Edriz selalunya lelaki yang tegas dan jenis yang berfikir panjang dalam segala hal.
Sesuai dengan dirinya yang memegang status CEO dan mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan. Rasanya keputusan kali ini bukan Edriz yang buat. Orang lain yang buat.
“Kau pernah tengok aku berbolak-balik dengan keputusan aku ke?” tanya Edriz dengan kening terconget.
“Kau betul-betul nak melawan Tun Fatimah?” tanya Nadem lagi.
Wanita kuku besi yang bernama Tun Fatimah itu amat digeruni. Edriz mengangguk. Kali ini, dia akan menentang habis-habisan dengan membawa pulang seorang isteri. Biar bondanya tahu dia memang tak setuju dengan pilihannya. Sebab itulah dia bernikah terlebih dahulu.
Kalau dia masih tak beri kata putus, dia yakin dia akan menjadi mangsa aturan perkahwinan. Tak sanggup nak fikir apabila dia terpaksa menerima pilihan orang tua. Rasa macam maruah lelakinya tercalar. Dia yang sempurna, tapi berkahwin atas pilihan keluarga. Nonsense!
“Orang Thai kut! Siam! Agama tak sama. Kau tu dapat ke nak memimpin mualaf ni?” Nadem memerli Edriz. Edriz pun masih kena dipimpin.
Edriz ketawa. Dia memang tak terfikir langsung pasal hal itu. Apa yang pasti, perempuan berani macam Fahmita perlu diikat di sisinya.
“Kau tahu pada awalnya, aku hanya berserah aje. Tapi paling mengejutkan aku, sampai kat rumah dia, aku nampak seorang wanita. Bertudung. Dia Islam rupanya,” Edriz membuka cerita.
“Nasib baik orang Islam juga. Kalau tidak, kau kena rajin pergi masjidlah.” Nadem ketawa lagi.
Edriz menumbuk bahu Nadem. Nadem masih ketawa terkekek-kekek.
“Aku dah sediakan kontrak macam yang kau suruh. Kau ni betul ke, bila dia dah jadi isteri, tapi kau orang nak jalani hidup sendiri. Hebat betul kau sebagai lelaki.” Nadem memandang Edriz. Macam mana termaktub dalam kontrak, begitulah yang akan berlaku.
“Aku tahulah. Kau buat aje.” Edriz menyengih.
“Lagi satu, aku tak cakap lagi kan? Dia tu fasih berbahasa Melayu,” beritahu Edriz.
Nadem terkejut beruk!
“Dia buat tak faham kita berbahasa?” tanya Nadem.
Edriz angguk.
“Licik betul.” Nadem membalas.
Edriz ketawa kecil. Bukan licik, tapi cerdik juga. Dia lihat-lihat dahulu, lepas itu barulah dia bertindak.
“Dia tak licik, tapi berjaga-jaga. Kau ingat dia tak cerdik ke? Kalau aku, ada orang tolong bayar hutang, sahlah ada harga yang perlu dibayar kan? Lebih baik aku berpura-pura. Nak tengok sikap orang macam mana. Rupa-rupanya memang betullah nak kena bayar balik. Tapi, cara bayaran saja berbeza,” kata Edriz dengan kening terjongket.
“Hmm, awal-awal kau dah mula membela dia?” tanya Nadem.
Kening Nadem pula ternaik sambil bibirnya mengorak senyuman sinis.
“Bukan membela, tapi aku nak cerita betul apa yang dia buat tu,” tukas Edriz.
Lagi sekali ayat Edriz membela Fahmita.
“Suka hati kaulah. Orang tengah ‘mabuk tahi hidung’ ni memang tak boleh cakap apa dah.” Nadem menjuih. Dia mengata Edriz yang mungkin sudah jatuh cinta.
Edriz menumbuk bahu Nadem. Lalu dia mengajak Nadem bertemu dengan Fahmita.
FAHMITA membaca kandungan kontrak tersebut. Apabila melihat di initial yang kelapan, kontrak itu hanya valid setahun sebagai isteri kontrak, memang sangat berguna untuknya. Dia pun tak naklah lama-lama jadi isteri orang atas dasar kontrak. Lagipun dia ada Jaffar yang bakal kembali dan mereka sudah berjanji akan berkahwin nanti.
“Aku tak letak kau kena buat apa sebagai isteri kontrak sebab kita tak tahu perkara ke depan kan. Jadi follow the flow saja. Kau tak terikat dengan siapa-siapa kan?” tanya Edriz tegas. Dia baru teringat nak bertanya. Itu pun selepas Fahmita menurunkan tandatangan disaksikan oleh Nadem.
Fahmita mendongak memandang Edriz seraya menggeleng kepala. Setahun saja rasanya tak membuatkan perancangannya tergendala. Sebab itulah dia tak mahu beritahu, dia sebenarnya ada seseorang. Dia sedang menanti Jaffar kembali ke Malaysia saja. Fahmita yakin perancangannya tak akan tergendala hanya disebabkan perkahwinan kontrak ini.
“Kita kahwin di sini dan balik buat pengesahan kat sana. Kau mesti lebih mudah sebab kau orang sini,” kata Edriz.
Tak sempat Fahmita membalas, Mek Shun muncul dengan air minuman. Fahmita menyengih memandang Mek Shun.
“Mek buat pulut ayam. Fa masuk ambil...” Mek Shun menyuruh Fahmita.
Fahmita turun dari pangkin kayu dan melangkah ke dalam rumah.
“Mek ni susah-susah saja.” Edriz berkata. Dia memandang wanita separuh umur ini. Masih cantik walaupun sudah berusia. Bertudung kemas. Wanita itu duduk tak jauh dari sisinya.
“Tak ada susahnya. Mek nak berterima kasih sebab tolong Fa. Kalau Fa tak kembali ke Malaysia, mek risau Thim buat pasal lagi. Tahulah Thailand macam mana kan.” Mek Shun sengih kelat.
“Bukannya Fa tak boleh kembali ke sana, tapi takut tak sempat. Sekurang-kurangnya kalau dah ada suami sebagai pelindung, tak adalah mek risau lagi.” Mek Shun sengih.
“Tak apa, mek. Saya boleh jaga dia…” Edriz berjanji kepada Mek Shun.
Fahmita muncul dengan membawa makanan tadi. Lalu dia menghidangkannya di depan Edriz.
“Mek, kami nak kahwin sebelum saya kembali ke Malaysia.” Edriz memberitahu.
Dia memandang Fahmita dan Mek Shun.
“Mek tak kisah. Mana yang baik, mek ikutkan.” Mek Shun senyum saja. Dia mempelawa Edriz makan kerana Fahmita sudah menghidangkannya.
Fahmita diam saja sejak tadi. Mahu makan pun rasa macam tak tertelan makanan kesukaannya itu. Makanan yang dimasak Mek Shun memang sedap. Bila Edriz memberitahu mahu berkahwin dalam waktu yang terdekat, hatinya terasa galau. Tak percaya pula dia akan berkahwin.
Walaupun ada rasa seram, tapi Fahmita kuatkan hatinya. Lebih baik dia lapangkan dada sebab dia pun ada masalah. Dengan ketiadaan motosikal, dia akan susah untuk mencari kerja baru. Dia tahu, dia akan lebih susah berbanding dulu. Apabila lahir dari keluarga yang susah, memang susah apabila ditimpa masalah. Kalaulah Erna tak buat hal, dia tidaklah rasa susah sangat.
“Mek boleh tolong uruskan?” Edriz bertanya. Lagipun Mek Shun orang sini. Rasanya lebih mudah jika dia yang menguruskannya.
“Boleh, apa salahnya.” Mek Shun mengukir senyuman.
Kalaulah arwah abangnya itu masih ada, sudah tentulah Fahmita tak terlibat dalam hal sebegini. Walaupun mereka baru kenal Edriz, tapi kejujuran Edriz yang membuatkan Mek Shun menerima dengan tenang. Edriz sudah bercerita kepadanya, cuma dia tidak membuka cerita kepada Fahmita. Nanti Fahmita akan tahu sendiri selepas dia mengikut Edriz pulang ke sana.
Mek Shun melambaikan tangan kepada Edriz yang berlalu dengan keretanya. Fahmita hanya melihat tanpa mengangkat tangannya.
“Mek, betul ke apa yang Fa buat sekarang?” tanya Fahmita sekali lagi.
Dia memandang Mek Shun. Masih tak percaya. Kadang-kadang mindanya berkata, ini realiti dan kadang-kadang berkata ini hanyalah mimpi.
“Insya-Allah, tak ada apa yang boleh membebankan kita. Mek yakin dengan hal ni, Fa tak akan bersusah payah lagi,” kata Mek Shun.
Mek Shun mengusap lengan Fahmita. Mek Shun benar-benar mahukan Fahmita jauh dari bumi Thailand. Mek Shun yakin suatu hari nanti Thim akan timbulkan masalah yang lebih besar andainya Fahmita masih berada di sini.