"LELAKI ni lagi pelik daripada geng tadi, Fa.” Achara berbisik.
Mana tidaknya, sudah menolong orang bayar hutang, tapi lelaki ini relaks saja dan boleh minta Achara trim rambutnya. Tidakkah itu pelik?
Fahmita pun tak tahu nak kata apa apabila lelaki itu dengan selamba meminta Achara trim rambutnya. Sedang dia bagaikan cacing kepanasan nak tahu macam mana mahu bayar hutang tersebut. Dia sudah diajar hutang perlu dibayar.
“Apa kau nak buat?” tanya Achara sambil tangan cekap membuat kerjanya.
“Mai roou...” Fahmita menggeleng.
Dia pun tak tahu nak buat apa.
Edriz bangun selepas selesai. Dia memandang gadis yang memakai dress berwarna olive green itu. Memang tak dinafikan gadis ini cantik. Dengan rambut panjangnya. Tapi, bila selalu saja melihat perempuan yang cantik, cantik itu sudah tak subjektif baginya. Tapi, sikap berani gadis itu yang buat Edriz bayar hutang tersebut.
“Are you fluent in English?” tanya Edriz.
Memang agak payah nak berkomunikasi dengan orang Thai. Bukan tak ada yang boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, tapi tak berapa fasih.
“A litte bit.” Fahmita menjawab perlahan.
Dia tak tahu apa niat lelaki ini. Lebih baik dia buat tak tahu dahulu. Biarlah lelaki ini anggap dia orang tempatan.
“I think you’re curious about what I did. Paying your debt even though I didn’t know you. Of course, you have to pay it back. But, not with the amount of money I paid...” Edriz berkata serius, tunak menatap gadis di depannya.
Fahmita terkaku. Tak bayar dengan duit, jadi dia nak aku buat apa?
“What do you want?” tanya Fahmita.
Jangan kata nak aku layan atas ranjang sudahlah. Kalau betul, tahulah dia nak buat apa. Tak pasal saja balik Malaysia jadi mandul.
“I’ve a contract for you. Are you listening?” tanya Edriz dengan kening terconget.
Lelaki ini memang suka buat dia tertunggu-tunggu. Cakap sajalah. Ini tak, buat dia ternanti-nanti pula.Fahmita angguk kepala. Mungkin nak bagi tawaran kerja agaknya.
“Be my contract wife.”
“Mai yaak dai!” Fahmita meninggikan suara, menggeleng.
Dia tidak mahu!
Edriz ternganga dengan jeritan Fahmita. Cakap bahasa Thai, manalah dia nak tahu. Tapi, rasanya mungkin berkaitan dengan tak mahu.
“Tu macam jual dirilah!” Achara berkata, menghampiri Fahmita.
“Tapi, kau tak perlu bayar duit dia. Untung juga tu, Fa.” Achara menyambung.
Fahmita menampar lengan Achara.
Edriz hanya memandang saja kedua-duanya berbahasa Thai. Dia tak tahu langsung apa yang mereka cakapkan.
“Macam lakorn baru tu. Contract marriage. Last sekali happy ending.” Achara mula ketawa mengingatkan lakorn tersebut.
Fahmita menggeleng. Tak berminat dengan lakorn yang diceritakan oleh Achara. Tapi, dengan pertolongan lelaki ini dia tidak akan terikat lagi dengan pinjaman Thim. Tapi, ruginya, dialah. Kena bayar kepada lelaki ini walaupun bukan dengan wang ringgit.
Kalau dia jumpa Thim, tahulah dia nak buat apa. Tak kiralah Thim tua daripadanya pun. Tak fikirkan Mek Shun langsung.
“Be my contract wife?” tanya Edriz sekali lagi apabila mereka sudah berhenti berbual.
Fahmita memandang Edriz. Dia bukannya bodoh tak faham, cuma dia sedang menghadam apa yang berlaku jika dia bersetuju.
“Do you know what contract is?” tanya Edriz lagi.
Fahmita angguk kepala.
“Nadem will give you the details of the contract. I need a signature from you and...”
Fahmita angkat tangan apabila telefonnya berdering. Tertera nama Mek Shun.
“Mek...”
“Fa, Thim balik rumah mengamuk nak ambil kereta ayah.”
Fahmita ternganga. Semakin sakit hati dengan Thim. Tak puas dengan menganiayanya, dia nak jual pula kereta arwah ayahnya.
“Mek, lengahkan dia. Fa balik!”
“Kenapa, Fa?” tanya Achara.
“Thim dah balik.”
“I want to go home. You have car, right?” tanya Fahmita kepada Edriz.
Memandangkan mereka sudah berbual dan kenal serba sedikit, Fahmita meminta pertolongan Edriz.
Edriz keluarkan kunci kereta. Tangan Edriz dicekup Fahmita dan dia menarik Edriz.
“Where is your car?” tanya Fahmita.
Sedar diri sudah bertindak di luar batasan dengan lelaki yang baru saja dikenali, pegangan lengan itu dilepaskan.
Sepanjang Edriz memandu, Fahmita hanya menunjukkan jalan kepada Edriz tanpa bersuara.
Jalan untuk ke rumah langsung tiada simpang. Hanya jalan terus saja. Apabila mahu masuk ke dalam kawasan rumah mereka saja ada simpang.
Dari jauh dia sudah nampak Thim ke kereta dan Mek Shun sedang menghalang. Tak sempat Edriz berhentikan kereta, Fahmita sudah membuka pintu kereta. Terjun terus dari kereta 4x4 itu.
“Hoi, setan!” Sudah keluar bahasa Melayunya.
Thim memang mahu makan penumbuknya. Rasa marah yang disimpan sejak motosikalnya diambil oleh loan shark terlepas semua.
Muka merah Fahmita itu tidak Thim pedulikan. Dia hanya tahu mahu ke kereta, tapi tangannya dipegang oleh meknya.
“Mek, lepaslah, mek...” Thim tak sanggup menolak ibunya itu.
Thim pandang Fahmita. Dia tak hairan dengan Fahmita. Seorang perempuan boleh buat apa? Kepada lelaki juga yang diminta tolong.
“Kereta tu Ayah Kib bagi akulah. Aku yang banyak tolong dia. Kau apa tahu!?” Thim menjerkah, tak mahu kalah.
“Aku anak dia. Aku yang lebih berhak!” Fahmita berkata sambil berjalan ke tepi tiang tak jauh dari kereta tersebut.
“Kereta tu milik aku!” Thim menjerit.
“Milik kau?” tanya Fahmita sinis.
Thim nampak tangan Fahmita mencapai cangkul.
“Fa, kau tak boleh buat macam tu. Aku nak bayar hutang dengan kereta tu...” Thim menolak Mek Shun dan dia berlari ke kereta.
Pelbagai bunyi kedengaran selepas cangkul itu dihempuk ke kereta tersebut. Dengan sekali hentaman saja, cermin kereta itu pecah berderai. Fahmita berlalu pula ke cermin belakang. Dengan sekuat hati dia naikkan cangkul ke cermin tersebut. Terlekat cangkul tersebut di cermin tersebut.
“Fa!” Thim menjerit.
Sama sekali tidak menyangka Fahmita sanggup merosakkan kereta tersebut.
“Memang padan muka kau. Kau letak nama ayah aku sebagai penjamin, kan? Padan muka!” Fahmita naik minyak apabila nampak muka Thim.
Kereta kesayangan arwah ayahnya sudah hancur. Alang-alang hancur, biar dia hancurkan terus. Kali ini parang pula yang dicarinya. Tayar kereta pula menjadi sasaran.
“Fa! Fa!” Thim berlari, memegang tangan Fahmita.
“Aku minta maaf sebab buat pinjaman guna nama Ayah Kib,” kata Thim.
Fahmita meronta. Dia menolak Thim dengan sekuat hati dan Thim jatuh terduduk. Brap! Parang menikam tayar kereta. Bunyi angin keluar membuatkan Fahmita lega.
“Fa, sudahlah tu!” Mek Shun menjerit.
Sejak tadi dia terkedu dengan apa yang Fahmita buat. Fahmita betul-betul mengamuk kali ini. Sehinggakan Thim pun tak mampu nak buat apa.
“Thim ni, mek, dia pinjam dengan orang letak nama ayah sebagai penjamin!”
“Mek tahu. Dia beritahu mek tadi. Letaklah parang tu. Kereta tu dah tak nampak rupa kereta dah,” kata Mek Shun perlahan, memujuk Fahmita.
Lengan Fahmita, Mek Shun pegang.
“Kau jangan tunjuk muka kau depan aku lagi. Sekali lagi, bukan kereta yang aku cangkulkan, tapi kau!” Fahmita menjegil Thim.
Thim ni memang selalu buat masalah, tapi dia tak akan pukul perempuan. Sebab itulah dia tak pukul Fahmita walaupun Fahmita sudah merosakkan kereta tersebut.
Disebabkan suka berjudi, Thim selalu meminjam wang dengan kawan-kawannya. Tapi tak sangka, kali ini dia beralih kepada peminjam wang pula.
Beberapa minit selepas itu, muncul kawannya dengan sebuah motosikal. Thim terus pergi.