Mr Millionaire's Contract Wife

BAB 6

  • Art
  • Zaza Qrt

"FA, ada orang kat motosikal kaulah...” Achara mencuit lengan Fahmita yang baru saja berhenti melihat topi berbunga cantik.

Fahmita beralih. Dia mengecilkan anak mata. Ada beberapa orang lelaki sedang mengelilingi motosikalnya.

“Kenapa aku nampak macam geng lintah darat saja, Fa?” Achara melahirkan rasa risau.

Sebagai orang Thai mereka kenal cara pemakaian lintah darat. Bukannya jenis yang memakai sut serupa cerita Korea.

“Aku tak ada masalah dengan geng tu. Lantaklah. Ada hal lain kut.” Fahmita menolak jauh kerisauan Achara.

“Betul juga kan. Kau bukannya tinggal di sini.” Achara mengukir senyuman.

Selepas membayar harga topi tersebut, mereka berdua berjalan pergi.

“Meung!”

Jeritan itu mengejutkan mereka. Bukan setakat mereka saja, malah orang yang berada di sekitar itu. Panggilan ‘kamu’ itu nyata ditujukan kepada Fahmita dan Achara. Kerana jari lelaki yang memanggil menuding ke arahnya.

Terus Achara memeluk lengan Fahmita. Kecut perut juga apabila dipanggil oleh orang jahat seperti mereka.

“Alai naa?” tanya Fahmita berani.

Lelaki itu ketawa. Dia mendekati Fahmita dan Achara.

“Kau sepupu Thim, kan?” tanyanya dengan tangan memegang dagu sambil memandang Fahmita atas bawah.

Apabila lelaki itu menyebut nama Thim, Fahmita yakin Thim sudah menimbulkan masalah.

“Apa pasal dengan dia?” tanya Fahmita, membalas pandangan mata lelaki itu.

Walaupun takut, dia berpura-pura berani kerana kalau dia takut lelaki itu akan lebih seronok mengenakannya.

“Dia berhutang dengan aku!”

Nah! Itulah masalah yang Thim buat.

“Jadi?” tanya Fahmita.

“Bila Thim tak dapat bayar, ayah kau akan bayar. Tapi, bila dia dah mati, kau pula yang bayar. Mula-mula motosikal tu,” katanya sambil ketawa, menunjuk ke arah motosikal tersebut.

“Dia yang berhutang, aku yang kena tanggung? Gila!” Fahmita naik angin.

Thim, abang sepupunya, memang jenis menyusahkan keluarga mereka sejak dulu. Dia pun tak tahu macam mana motosikal yang dibelikan arwah ayahnya itu dijadikan cagaran.

“Habis tu, macam mana sekarang?” tanya Achara, memandang Fahmita.

Selalunya dia hanya tengok orang lain saja berhadapan dengan situasi begini. Kali ini mereka sendiri berdepan dengan situasi serupa lakorn Thai.

“Kau gila aku nak halang dia orang ambil motosikal tu? Nanti tak pasal-pasal aku pula yang kena angkut.” Fahmita pandang Achara.

Itu satu-satunya hadiah daripada arwah ayahnya. Sejak dia dapat lesen, motosikal itulah yang membawanya ke mana-mana. Agaknya, sebab dia berniat mahu menjual motosikal tersebut, dia tersepit dalam keadaan begini.

“Tapi, dengan motosikal ni tak cukup...” Lelaki itu ketawa.

“Baki dia macam mana pula?” Achara tahu kerana lelaki itu kata buat permulaan hanya motosikal itu.

Dia memandang Fahmita apabila lelaki berkenaan melangkah mendekati mereka. Berdiri dekat Fahmita sambil memandang atas bawah. Bagaikan tak puas nak scan tubuh Fahmita.

“Masih ada baki, apa kata kau ikut kami!” Lelaki itu ketawa di depan Fahmita.

Dengan gigi kuningnya, Fahmita hampir muntah.

“Gila!” Fahmita bergerak ke belakang sedikit.

Tapi, lelaki itu memegang tangan Fahmita. Terus Fahmita rentap tangannya dan menendang perut lelaki tersebut. Terbongkok lelaki tersebut menahan sakit.

Seorang lagi lelaki menghampirinya dan lelaki itu ditendang di betis kering. Terhencot-hencot lelaki itu menahan sakit.

“Kalau kau tak nak ikut, dia akan ikut kami!” Tiba-tiba lengan Achara dipegang oleh lelaki ketiga

Fahmita berhenti melawan. Dia memandang lelaki yang memegang kejap lengan Achara.

“Mai dai!” jerit Fahmita. Dia tak boleh biarkan Achara ditahan.

Fahmita sakit hati, tapi dia tak mampu nak minta tolong. Dia tahu kalau kes begini, memang tak ada yang berani masuk campur. Tahu apa yang boleh dibuat oleh geng Thailand sebegini. Lebih baik buat tak tahu dan jadi pemerhati saja.

Setelah sekian lama tak kembali ke Thailand, ini yang terpaksa dia hadap.

“Aku ikut kau!” Fahmita berkata dengan berani.

Lelaki itu ketawa dan melepaskan Achara.

Fahmita menarik Achara dekat dengannya.

“Kau gila ke, Fa!” Achara pandang Fahmita.

“Daripada kau yang kena. Kau tak ada kena-mengena dalam hal ni. Kau tolong aku cari Thim,” kata Fahmita berani.

“Macam mana kalau aku tak jumpa Thim?” tanya Achara.

Fahmita hanya memandang Achara. Dia pun tak tahu apa yang bakal berlaku. Tapi, daripada biarkan mereka mengambil Achara, lebih baik dia yang kena. Kerana dia tahu, nak tak nak, Thim akan kembali pada geng tersebut.

“Khun...”

Semua berpaling kepada seorang lelaki yang memanggil lelaki yang sedang memegang tangan Fahmita. Orang tempatan yang mungkin boleh berbahasa Inggeris.

“Dia nak tolong perempuan ni bayar hutang.” Lelaki tu menuding tangan kepada seorang lelaki lain.

Fahmita memandang lelaki yang ditunjukkan. Lelaki tinggi lampai itu sedang memandang mereka. Wajah lelaki yang dia rasakan wajah orang Melayu. Gaya macam pelancong.

“Bayar!?” tanya lelaki itu dengan angkuh.

Lelaki bergaya pelancong itu angguk kepala.

Fahmita terkejut dengan anggukan lelaki tersebut. Siapa dia ni? Dia terpinga-pinga.

“Kau gila ke? Berapa banyak hutang tu!” Nadem menjerkah Edriz.

Edriz ni memang suka buat kerja gila. Tahulah duit dia berkepuk sehinggakan tak tahu nak buat apa. Nak tolong orang asing pula tu. Asal perempuan saja, terus jadi baik.

“Alah, jangan risaulah.”

Edriz menyuruh lelaki tadi bertanya dalam bahasa Thai kepada ketua loan shark tersebut.

Lelaki itu ketawa sebelum memberitahu jumlahnya.

Edriz senyum sinis. Ingatkan beratus ribu. Agaknya ini stail loan shark Thailand kut. Hutang yang sedikit pun nak ambil perempuan jadi tebusan. Edriz hulurkan tangan kepada Nadem.

“Ah, kau gila!” Nadem hulurkan beg kecil yang selalu ada dan disilangkan di badannya.

Edriz hulurkan beg kepada lelaki tersebut. Terpinga-pinga lelaki itu melihatnya. Tak sangka ada orang membawa wang tunai sebanyak itu.

“Keep the change.” Lelaki pelancong itu berkata.

Geng tersebut sedang mengira duit. Apabila sudah selesai mengira, mereka pergi. Dengan ketawa yang berlanjutan, mereka bergerak meninggalkan tempat itu. Motosikal Fahmita dibawa pergi.

Fahmita hanya mampu memandang motosikalnya yang dibawa pergi. Terkaku dia di situ. Kejadian ini bagaikan dalam mimpi saja. Tadi dia sudah mahu dibawa oleh geng tersebut, sekarang ada lelaki yang menolongnya. Lelaki random.

Maknanya, hutang Thim langsai, hutangnya pula yang ada dengan lelaki tersebut.

“Kau kenal ke lelaki tu?” tanya Achara pelik.

Jari menuding kepada Edriz. Dia menatap Fahmita.

“Aku tak kenallah. Thim memang buat aku susah berkali ganda. Macam mana dia buat ayah aku jadi penjamin dia?” Fahmita menggeleng.

Lebih mengejutkan, mereka kenal dia dan motosikal tersebut. Padahal dia tak tinggal di sini. Kalau Thim ada di depannya sekarang, dia akan libas Thim dengan parang. Kalau dah jahat, memang asyik nak kenakan orang!

“Orang Melayu kan, maksudnya orang dari Malaysia?” Achara berbisik.

Dia tahulah walaupun itu bukan bahasa utamanya dan loghatnya lain dari sini.

“Mungkin.” Fahmita memandang kedua-dua lelaki itu.

Mereka masih berada di situ sementara penonton-penonton tadi sudah beransur pergi.

“How can I pay you back?” tanya Fahmita.

Biarlah dia berbahasa Inggeris dahulu. Nak juga dia tahu apa motif kedua-dua lelaki ini menolongnya. Mereka adalah orang asing, bertemu muka ketika kejadian tadi saja. Tiba-tiba menolongnya membayar hutang pula.

Memang mencurigakan!

“Dia dah tanya tu. Kau jawablah sebab kau buat kerja gila tadi. Sebab dia cantik ke?” Nadem menjegil Edriz.

Tidak dinafikan perempuan ini memang cantik. Sejak nampak di salun lagi, Nadem memang curi-curi pandang. Agaknya kalau dah dinamakan orang Thai, semuanya cantik-cantik. Kulit pun putih melepak.

Mahsuri pun berketurunan Siam juga. Cantik juga, sama seperti keturunannya yang ketujuh itu. Memang boleh rambang mata.

Edriz tidak menjawab sebaliknya dia memandang Fahmita.

Fahmita pula jadi serba salah dipandang sebegitu rupa.

“What do you want from me?” tanya Fahmita lagi.

Nadem mencubit lengan Edriz.

“Kau ni, buat apa fikir banyak? Kau suruh ajelah dia bayar. Buat kontrak supaya dia terus bayar kat kau.” Nadem mendesak.

Edriz ni, main-main pula.

“Aku terfikir pasal kontrak juga. Aku rasa dia sesuai nak bagi Tun Fatimah tak senang duduk. Kau tengoklah cara dia lawan orang tu sebelum kawan dia dicekup. Sebelum dapat apa yang mereka nak, geng tu dah kena satu das.” Edriz ketawa sambil memandang Nadem.

“Kau nak buat kontrak apa?” tanya Nadem.

“Kontrak yang kita bincang tadi.” Edriz senyum sinis.

Nadem pula yang ternganga.