Mr Millionaire's Contract Wife

BAB 5

  • Art
  • Zaza Qrt

"NAMPAKLAH handsome sikit bila dah potong rambut panjang tu.” Edriz menegur sepupunya.

Sudah berbulan-bulan Nadem menyimpan rambut panjang. Nampak selekeh betul penampilannya. Walaupun bersut, Nadem tetap nampak tak kemas. Teguran demi teguran hanya keluar telinga kiri selepas masuk dari telinga kanan.

“Sekali-sekala aku nak ubah penampilan.” Nadem ketawa kecil.

Dia duduk di kerusi di tepi Edriz.

“Ubah penampilan? Kau sedar tak, dulu kau tu macam orang pecah rumah orang, tapi dalam versi bersut.” Edriz menjuih.

“Aku dah simpan niat nak potong kat sini. Dibelai-belai oleh tangan orang sini.” Nadem ketawa besar.

Sudahlah si pemotong rambut pun cantik. Putih melepak kulitnya. Nadem yakin barberette itu adalah perempuan sejati. Di sini kalau tengok perempuan, tiba-tiba keluar suara jantan. Punah!

“Niat konon!?” Edriz menjuih lagi.

Alasan tak masuk akal. Agaknya kalau tak datang sini, Nadem langsung tidak akan memotong rambutnya.

“Patutlah kau suka datang sini ya. Cuci mata.” Nadem memerhati depan mereka.

Terlalu ramai perempuan yang hanya menutup separuh daripada badan.

Nadem lebih memilih Eropah sebenarnya. Tapi, kalau ke sana pun, bukannya dia ke pantai. Sekadar duduk dalam kawasan bandar saja.

Kali ini dia mengikut Edriz ke sini. Mencuci mata di tanah Gajah Putih.

“Selagi boleh cuci mata, kena cuci. Hari-hari tengok barang-barang cantik, mata kita segar saja.” Edriz ketawa.

“Kalau dah buaya, jangan kata nak jadi biawak, eh?” Nadem berkata sambil menyengih.

Edriz menolak kaki Nadem. Sejak tadi mereka hanya berbaring dan memandang pemandangan di depan mereka. Tak dinafikan, Phuket menyajikan pemandangan yang indah, selain perempuan-perempuan di depan mereka.

“Aku manusia biasa saja. Tak ada buaya atau biawak. Lagipun, perempuan hanya untuk dipandang. Kalau kecewa sebab perempuan, boleh tunggang terbalik hidup kau,” kata Edriz kepada diri sendiri.

Kerana Erna tiba-tiba menghilangkan diri dan langsung tak kembali. Apa yang dia tahu, Erna menghantar e-mel memberitahu mahu putuskan hubungan. Selepas itu, Erna bagaikan ditelan bumi. Hilang tanpa dapat dikesan.

Edriz betul-betul terkejut kerana dia dan Erna sebelum itu baik-baik saja, tapi tiba-tiba senyap.

“Kau cakap kat diri sendiri ke?” Nadem ketawa.

Edriz jongket bahu.

“Aku rasa Tun Fatimah jumpa Ernalah. Kita kalau nak tahu perempuan tu mata duitan atau tak, hantar Tun Fatimah. Aku yakin Tun Fatimah adalah sejenis mak-mak kaya orang Korea. Yang jenis bagi wang supaya berpisah dengan anak dia orang.” Nadem buat spekulasi sendiri.

“Aku yakin seratus peratus.” Jika benar apa yang dikatakan Nadem, tak perlulah Edriz mencari Erna lagi.

Erna adalah perempuan materialistik.

“Melisa?” tanya Nadem.

Dia tahu pasal Melisa yang akan dijodohkan dengan Edriz.

“Kau merepek ke?” Oktaf suara Edriz naik.

Hanya disebabkan ditinggalkan Erna, dia dengan mudah menerima Melisa? Memang taklah.

“Patutlah kau bawa diri ke sini.” Nadem sengih.

“Sebab aku tak nak bertunang dengan Melisa tu,” ujar Edriz.

Apa yang Edriz tahu, dia tak mahu terjerat. Sekali terjerat, sampai ke sudah dia akan terjerat.

“Kau ni gila ke melawan cakap Tun Fatimah?” tanya Nadem, pandang Edriz.

Lelaki itu nampak tenang saja walaupun sudah buat keluarganya kucar-kacir apabila melarikan diri sebelum majlis pertunangannya berlangsung.

“Aku dah cakap, aku tak nak perkahwinan yang diatur. Kau gila ke nak kahwin macam tu? Aku tak dapat bayangkan Melisa tu duduk sebilik dengan aku. Aku tak nampak Melisa tu sebagai perempuan yang akan aku ulit setiap malam,” ujar Edriz dengan panjang lebar.

“Tapi tulah, Erna yang berani mata duitan pula...” Nadem menambah.

“Erna pun satu, terima aje. Ah, aku tak sangka ada juga perempuan mata duitan macam tu.” Edriz menggeleng.

Dia betul-betul tak sangka Erna sanggup tinggal-kannya selepas berjumpa dengan Tun Fatimah. Dia yakin Tun Fatimah berikan wang kepada Erna. Padahal jika mereka berkahwin, hartanya akan menjadi harta bersama dengan Erna.

Tapi, Erna memilih untuk menerima apa yang diberi. Erna rupanya tak berakal panjang juga. Syukur kerana tak berkahwin dengan Erna.

“Semua orang pandang duitlah zaman sekarang ni.” Nadem berkata.

“Tapi, kalau dia kahwin dengan aku, dia senang juga,” tukas Edriz, menggeleng.

Memang Edriz kecewa, tapi dia sudah boleh menerimanya setelah berfikir dengan logik.

“Erna tak sesuai dengan kaulah tu. Sebab tu dia terima duit daripada Tun Fatimah. Kalau sesuai, sahlah dia melawan Tun Fatimah.” Nadem menyambung.

“Yalah, yalah... Aku tahu. Kena cari perempuan berani pula lepas ni,” kata Edriz sambil menjongket kening kepada Nadem.

“Hmm, kau cari sendiri, tapi tak kena juga. Aku rasa pilihan orang tua lebih baik.” Nadem memerli sambil ketawa.

“Kau cakap baik-baik sikit, Dem. Nanti tak pasal-pasal kau tak balik Malaysia.” Edriz mengetap gigi.

Nadem jongket bahu.

“Masalahnya, kau tu dah lebih usia. Anak teruna tua. Aku hairan betul dengan kau. Patutnya lelaki berjaya macam kau dah ada keluarga. Ni, habuk pun tak ada. Harap kaya-raya saja, tapi sepi.” Nadem mengata Edriz dengan cebikan.

“Aku tahulah kalau diatur macam tu, sah-sah hidup aku pun akan diatur juga. Macamlah kau tak kenal Tun Fatimah tu.” Edriz mencebik.

“Habis tu, sampai ke tualah kau tak nak kahwin? Nanti kawan-kawan dah beranak pinak, kau sampai sudah duduk sendiri dan tak pasal-pasal duduk rumah orang tua.” Nadem berkata lagi.

Terus dia ketawa kerana dapat ‘membahan’ Edriz. Masa beginilah dia dapat kenakan Edriz kaw-kaw.

“Kau ni dibayar gaji oleh Tun Fatimah ke?” tanya Edriz dengan kening berjongket.

Dia memandang Nadem tanpa berkalih.

“Aku cakap daripada perspektif masa depan.” Nadem ketawa terkekek-kekek.

“Banyaklah kau punya perspektif.” Edriz menjuih.

“Aku cakap saja. Kalau macam tu, kau carilah isteri kontrak. Bila nak, kau cari dia. Bila tak nak, buat tak kenal.” Nadem ketawa.

Orang macam Edriz yang tak suka orang atur hidupnya memang patut hidup begitu. Bercambah orang hidup secara kontrak, cuma tak pernah terjumpa saja. Kalau ada drama, mestilah ada dalam realiti.

“Kadang-kadang boleh pakai juga kepala otak kau, eh?” Edriz terangguk-angguk.

Bersetuju dengan cadangan spontan yang keluar dari mulut Nadem.

“Tapi, kalau orang Malaysia, Tun Fatimah mesti korek sampai ke lubang cacing. Nanti berkecai pula kontrak kau tu.” Nadem berkata begitu pula.

Edriz diam kerana dia tak nafikan Tun Fatimah itu ibarat mafia Malaysia. Semua dia tahu. Sepadan dengan namanya yang bagaikan srikandi Melayu.

“Senang cerita, kau pilihlah salah seorang kat depan kita tu. Sah-sah Tun Fatimah tak tahu.” Nadem ketawa ketika berkata demikian.

Geng ladyboy penuh di situ dan bercampur pula dengan mat salih.

Edriz menumbuk lengan Nadem. Dia tak pernah berminat dengan perempuan mat salih. Dia hanya suka gadis Melayu saja.

Sejak dahulu, Edriz tak berminat menjalinkan hubungan serius. Semua perempuan yang pernah dia bawa keluar hanya sekadar peneman kesunyian. Baginya, hubungan serius perlukan komitmen yang tinggi. Sedangkan dia mahu fokus pada syarikatnya.

Hubungan paling lama adalah dengan Erna dan dia serius mahu mengikat hubungan mereka dengan perkahwinan. Mungkin ketika mengenali Erna sudah sampai seru untuk dia berkahwin. Umurnya pun bukan lagi muda.

Sebab itulah terdetik dalam hatinya mahu komited. Sayangnya, tak berlaku apabila Erna memilih wang. Edriz agak kecewa kerana itu pilihan Erna, tapi tidaklah sampai dia berdendam dengan Erna.

“Kau tengok tu, ada ladyboy yang tengok sebelah sini,” kata Nadem, tergelak-gelak.

Sebenarnya cukup susah nak membandingkan ladyboy dan lady yang sebenarnya jika mereka terlalu cantik.

“Kau ni gila ke apa? Buka baju okey lagi, bila buka seluar...” Edriz tunjukkan isyarat bukan satu, tapi dua.

Nadem ketawa berdekah-dekah. Menggamit pelancong di tepi memandang mereka. Mereka tak peduli dan terus ketawa.

“Salun mana kau pergi tadi?” tanya Edriz tiba-tiba.

Masih belum lupa dengan gaya potongan rambut Nadem. Nampak kemas. Nampak elok juga cara guntingannya. Sebelum kembali ke Malaysia, lebih baik dia kemaskan sedikit rambutnya sendiri.

“Aku gunting kat kedai nama Achara. Perempuan tulen.” Nadem menyengih.

Teringat kawan kepada pemilik salun itu. Muka ala-ala pelakon Thailand. Cantik!

Tapi, dia tak berani nak bertanya khabar. Sebab payah nak berkomunikasi. Rata-rata orang Thai tak pandai berbahasa Inggeris. Nanti jadi burung belatuk mengetuk pokok kayu saja.

“Jom, aku nak kemaskan sikit rambut aku.” Edriz terus bingkas.

“Alah kau ni, tak menyempat aku nak cuci mata.” Nadem berkata, tapi bangun juga.

“Merepeklah kau. Dah empat hari kat sini, kau dah tengok macam-macam.” Edriz menjuih dan terus melangkah.

Mereka beriringan dan mendekati saln tersebut. Nadem kerut kening apabila nampak orang ramai berhadapan dengan kedai tersebut. Sebab tadi tak adalah seramai itu.