NAJUWA menanggalkan sepatu yang tersarung di kakinya. Hujung jari kaki sudah terasa hampir melecet. Penangan melayan Syakirah membeli-belah. Dari satu kedai ke satu kedai dan satu tingkat ke satu tingkat. Tidak habis lagi hendak memborong.
Begitulah sifat temannya yang seorang itu setiap kali bergaji.
Telefon pintar yang bergegar dalam poket beg ditarik keluar. Tertera nombor milik Syakirah. Pasti sahabatnya itu baru perasan akan kehilangannya. Itulah, asyik sangat berbelanja tak ingat dunia.
“Ya, aku ada aje ni. Duduk rehat kejap. Tak laratlah nak ikut kau. Kaki aku sakit. Ya, kau pergi ajelah. Nanti kita jumpa dekat Mcdonalds ke? Ya, pandailah aku cari nanti. Okey, waalaikumussalam.”
Talian dimatikan. Telefon dimasukkan kembali ke dalam poket beg. Mata meliar melihat sekeliling kompleks beli-belah itu. Besar betul. Macam manalah semua orang gigih keluar masuk kedai dalam tempat ini?
Semalam, dia datang ke Kuala Lumpur bagi memenuhi kerja sambilan yang ditawarkan oleh bekas gurunya di pusat dahulu. Menjadi pembantu di dapur masakan selama dua hari. Disebabkan bayaran yang dibayar lumayan dan penginapan turut disediakan, Najuwa bersetuju.
Puas juga dia memujuk mak uda supaya mengizinkan dia ke sini dengan alasan kerja dan bayaran yang lumayan. Sampai kena berjanji akan memberikan separuh bayaran kepada mak uda, barulah ibu tirinya itu mengizinkan.
Hari ini, sebelum menghantarnya ke stesen bas, Syakirah membawanya berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Kononnya, nak suruh dia melepaskan tekanan.
Alih-alih, Syakirah pula yang teruja berjalan dan membeli-belah. Semakin bertambah tekanan dibuatnya melayan sahabat yang seorang itu. Nasiblah kawan baik sendiri. Bersabar sajalah yang mampu.
Sedang Najuwa meneguk air dari botol mineral di tangannya, datang seorang kanak-kanak memberikan sekuntum bunga ros merah kepadanya. Terpinga-pinga Najuwa buat seketika.
“Bagi akak ke?” soal Najuwa.
Budak lelaki itu mengangguk sambil tersenyum.
Teragak-agak Najuwa mahu menerimanya. Setelah bunga sekuntum itu bertukar tangan, budak lelaki itu berlalu.
Najuwa tersenyum nipis. Bunga ros merah itu dihidu. Wangi.
Kenapa budak tu bagi bunga, ya? Hari ini, hari istimewa ke? Hari ibu? Atau, hari wanita? Selalunya, dua hari itu sajalah ada orang bagi bunga begini. Tapi...
Najuwa memandang sekelilingnya. Tiada pula orang lain mendapat bunga sepertinya. Dahi Najuwa berkerut. Pelik.
Tidak lama kemudian, muncul tiga orang remaja lelaki dan dua orang remaja perempuan berdiri di hadapan Najuwa. Diiringi dengan pembesar suara yang diletakkan di kiri dan kanan mereka. Lagu Marry You daripada Bruno Mars bergema. Tiba-tiba, mereka mula menari mengikut rentak lagu.
Najuwa terpinga-pinga sebentar. Dia memandang kiri dan kanan. Orang ramai mula mengerumuni kawasan itu. Najuwa ketap bibirnya, erat. Kemudian, pandangan ditala semula ke arah lima orang remaja yang sedang menari tadi. Sekejap. Apa yang sedang berlaku ini?
Kepalanya cuba memproses setiap kejadian yang berlaku dari mula tadi. Budak kecil tadi bagi bunga pada aku. Lepas itu, datang pula penari ini? Menari sambil pasang lagu Marry You?
Gasp!
Saat tersedar akan sesuatu, Najuwa terus berdiri. Mungkin, dia tidak sepatutnya duduk di situ. Ada event apa-apa kut dekat sini? Ada orang tengah nak melamar kekasih hatinya, mungkin? Oh, damn! Patutlah kerusi di tengah-tengah ini kosong dari tadi. Aduh, malunya.
Namun, tidak sempat Najuwa mahu beredar, dua orang remaja perempuan yang menari tadi, menahan Najuwa. Mengarahkan agar Najuwa duduk kembali. Tangan Najuwa dikunci kiri dan kanan dengan genggaman mereka berdua.
“Maaf, cik. Kita orang terpaksa,” bisik salah seorang daripada mereka.
Bisikan budak itu, membuatkan mata Najuwa membulat.
“Kau orang dah tahu salah orang, kan? Jadi, kena...”
Belum sempat Najuwa menghabiskan kata-katanya, dia ditarik untuk bangun bersama dua orang remaja perempuan tadi dan dibawa menghadap sebuah papan hitam besar. Dari situ, muncul tiga orang lelaki yang memakai topeng muka dan melakar sesuatu di atas papan hitam itu.
Sekali lagi Najuwa berpaling dan cuba untuk bersuara. Namun, tetap ditahan oleh dua remaja perempuan tadi. Mereka menggeleng dan merayu supaya Najuwa ikut sama memainkan peranan. Najuwa ketawa tidak percaya. Hilang akal ke apa, dia orang ini?
Eh, geram pula rasanya. Langsung mereka tidak memberi peluang kepada Najuwa untuk membuka mulut. Puas ditarik tangannya agar dilepaskan. Namun, genggaman tangan dua orang remaja tadi, semakin kejap.
Akhirnya, Najuwa terpaksa reda saja.
Baiklah. Nak cover malu sangat sebab dah tersalah orang, kan? Tengoklah nanti, siapa yang akan malu. Kalau ini lamaran perkahwinan, dia akan reject bakal suami entah siapa-siapa ini dengan seteruk-teruknya penolakan.
Oh, atau aku patut terima saja? Untung-untung dapat kahwin betul-betul dengan bakal suami orang. Hah, baru betul gigit jari dia orang nanti!
Habis melakar, salah seorang daripada lelaki bertopeng itu menanggalkan jaket yang tersarung di tubuhnya dan menyerlahkan sut lengkap berwarna hitam yang tersembunyi di sebalik jaket itu tadi. Dia berpaling tanpa memandang Najuwa. Topeng muka masih tersarung di wajahnya dan dia terus duduk melutut dengan sebelah kaki.
Rakannya yang berdua tadi, menyimbah debu putih ke atas lakaran di papan hitam tadi. Muncul perkataan ‘Sudi jadi isteri saya?’ di atas papan hitam itu, menggantikan lakaran abstrak tadi.
Tepukan tiba-tiba bergema di segenap ruang pusat beli-belah daripada penonton yang teruja menyaksikan idea kreatif itu.
Najuwa tergamam. Matanya membulat. Betul sangkaannya. Ini adalah lamaran perkahwinan. Tiba-tiba keyakinannya untuk merosakkan lamaran ini jadi hilang. Diganti dengan rasa takut dan debar yang menggila. Sampai dah tak mampu nak berkata-kata.
Lelaki yang melutut tadi, menarik mikrofon rapat ke bibirnya dan menegakkan kepala memandang Najuwa. Pandangan saling bertaut antara mereka berdua.
Najuwa terkebil-kebil di hadapan lelaki itu yang sedang merenung dirinya. Tiada bicara antara mereka berdua melainkan sorakan daripada orang sekeliling.
Najuwa jeda. Lelaki itu juga.
Apa yang aku nak buat ni? Kalau lari sekarang, sempat lagi kut? Larilah, Najuwa. Cepatlah. Kau tunggu apa?
Tapi, hanya suara hatinya yang berbunyi. Tidak tahu mengapa tubuhnya tidak mahu mendengar cakap. Berkali-kali dia cuba untuk mengangkat kakinya. Namun, tidak berjaya. Rasa macam dah lumpuh dan kaku di situ. Sedangkan, budak berdua tadi sudahpun melepaskan genggaman mereka.
Melihatkan lelaki yang sedang melutut itu diam tidak berbicara, rakan-rakannya yang lain datang menerpa. Ditepuk bahu lelaki itu kiri dan kanan. Memberi isyarat agar meneruskan lamarannya.
Lelaki itu seakan-akan baru tersedar daripada mimpi. Dia melarikan mikrofon dari bibirnya. Wajah rakan-rakannya dipandang.
“Bukan dia, kan?” bisik lelaki itu.
Kawan-kawannya mengangguk.
“Buat ajelah,” bisik salah seorang daripada mereka.
Lelaki itu mendengus perlahan. Sekali lagi dia mendekatkan mikrofon ke bibir dan merenung tepat ke dalam mata Najuwa.
Saat itu, jantung Najuwa tiba-tiba berdetak hebat. Dahinya membentuk kerutan. Renungan itu... seakan-akan dikenali. Pemilik mata itu seperti...
“Imratul Najuwa... will you marry me and be my girl, forever?”
Zap! Najuwa terasa nafasnya seakan-akan terhenti buat seketika. Dia mengenali suara itu. Walaupun separuh wajahnya terlindung di sebalik topeng muka yang dipakai, dia tetap mengenalinya.
Dua kali dia terkejut.
Dia... Rafiqree Zuhayr.
Dan lamaran itu... Ah, gila!
Serta-merta botol yang berada di tangannya dihalakan ke wajah lelaki itu. Sekelip mata wajah lelaki itu basah disimbah air. Najuwa tergamam. Mata yang sedari tadi membulat, menjadi semakin bulat.
Dia pandang tangan sendiri. Tindakan refleks tangannya menyimbah air dek kerana terkejut. Sungguh, dia tidak sengaja.
Audien yang gamat bersorak tadi, jadi sepi serta-merta. Masing-masing terkejut dengan tindakan Najuwa. Begitu juga dengan lelaki itu yang sudah memejamkan mata dan menyeka wajahnya yang basah.
Najuwa ketap bibirnya erat. Masalah besar!