NAJUWA berpeluk tubuh dan merenung jauh ke hadapan. Badannya masih terasa seram sejuk. Ditambah pula dengan suhu penghawa dingin yang menyejukkan dalam suite ini. Membuatkan kesejukan dan gigilnya semakin menjadi-jadi.
“Jemput minum, Cik Najuwa.”
Najuwa berpaling dan mengangguk kecil. Senyuman nipis dihadiahkan buat perempuan yang tertera nama Arlina pada tag bajunya.
“Terima kasih,” ucap Najuwa.
Air yang masih berwap itu dihirup perlahan. Lega saat kehangatannya meresap ke dalam tekaknya. Tiga kali cicipan, cawan putih itu diletakkan kembali ke atas meja.
Najuwa pejam celikkan matanya. Masih cuba untuk menghadam apa yang berlaku tadi. Lamaran tadi, walaupun hanya sebuah lakonan semata-mata, sudah cukup menggetarkan seluruh jiwa dan raganya. Mujurlah dia tidak jatuh pengsan tadi.
Rupa-rupanya, lamaran tadi hanyalah gimik untuk pembukaan studio seni yang baru dibuka di aras tiga pusat beli-belah ini. Patutlah pun mereka membuat persembahan tarian dan lamaran itu bertemakan seni lukisan. Habis saja lamaran tadi, mereka menerangkan tentang gimik itu dan memperkenalkan studio mereka kepada orang ramai.
Itu satu hal. Satu hal lagi, mastermind gimik lamaran tadi adalah Rafiqree Zuhayr. Lelaki yang menghilang sekian lama dan tiada khabar berita. Alih-alih muncul depan matanya, siap melamar dengan nama penuh dia lagi. Hilang akal!
Sedang Najuwa berperang dengan perasaan sendiri, pintu suite itu terkuak. Najuwa telan air liur. Marah memanglah marah. Tapi, dia lebih kepada berdebar. Tadi, bertentang mata sesaat dengan Zuhayr pun dia sudah berdebar macam nak gila. Ini pula hendak bertemu mata dan duduk bersama lelaki itu buat beberapa ketika.
Sebenarnya, Najuwa tak mahu pun naik ke sini. Tapi, dia dipaksa kerana semua yang terlibat dengan gimik tadi rasa serba salah atas apa yang terjadi. Disebabkan tersilap orang dan menyangka Najuwa adalah pelakon yang diupah mereka untuk gimik tersebut, Najuwa menjadi mangsa dan mendapat malu.
Sebagai permohonan maaf, Najuwa ditawarkan untuk menginap di suite hotel mewah ini yang terletak bersebelahan pusat beli-belah tadi. Puas Najuwa menolak, tapi pembantu peribadi Zuhayr beria-ia memujuk Najuwa kerana telah mendapat arahan mandatori daripada bosnya.
Siapa sangka, hotel ini adalah hotel milik keluarga Zuhayr dan lelaki itu adalah ketua pengarah eksekutifnya. Patutlah nama hotel ini macam biasa dengar. Nama hotel ini selalu menjadi sebutan adik-adiknya.
“Aimi dah ada dekat bawah, Tuan Zuhayr. Dia terlambat sebab motosikal dia pancit. Nak panggil dia naik ke sini ke?” soal Arlina.
Zuhayr yang baru duduk berhadapan dengan Najuwa, sekadar menggeleng. Dia menarik keluar dompetnya. Sekeping kad dikeluarkan dan dihulurkan kepada Arlina.
“Tak apa. Teruskan bayaran seperti yang kita dah bincang. Tambah sekali bayaran untuk baiki motosikal dia. Soal tawaran kerja tu, Rizqi akan uruskan. Lepas itu, suruh Rizqi bawa budak-budak pergi makan. Esok saja saya jumpa dia orang di studio,” arah Zuhayr.
Arlina mengangguk faham. “Baik, tuan. Ada apa-apa lagi?”
Zuhayr menggeleng.
“Boleh tinggalkan kami sekejap?” pinta Zuhayr.
Arlina mengukir senyuman dan mengangguk. Sempat dia berbalas senyuman dengan Najuwa sebelum berlalu keluar dari suite.
Setelah ditinggalkan berdua bersama Zuhayr, Najuwa melarikan matanya. Tadi, dia merenung Zuhayr diam-diam sewaktu Zuhayr sedang bercakap dengan Arlina. Lain benar penampilan lelaki itu. Tidak sama langsung dengan waktu sekolah dahulu. Nampak jauh lebih matang.
“Najuwa. I mean... Cik Imratul Najuwa.” Zuhayr bersuara.
Najuwa berpaling dan membalas pandangan Zuhayr yang sedang merenungnya. Tiba-tiba, rasa macam kecewa bila Zuhayr bercakap dalam nada formal dengannya. Rasa macam... asing.
Tapi, betul juga. Dah 10 tahun mereka tidak berjumpa. Masing-masing dah dewasa. Bukannya pelajar sekolah lagi. Adalah rasa kekok tu. Dia pun mungkin akan panggil Zuhayr dengan panggilan Encik Zuhayr kalau dia dulu yang menegur tadi.
Oh, bukan encik. Tuan Zuhayr.
“Cik Imratul Najuwa...” sahut Zuhayr lagi.
“Saya dengar dengan jelas, Tuan Rafiqree Zuhayr. Tak perlu sebut nama saya banyak kali,” balas Najuwa.
Sengaja dia menekan perkataan tuan itu. Mendengar pembantu Zuhayr menyebut perkataan tuan tadi, membuatkan Najuwa sedikit tersentap. Entah kenapa dia rasa seperti ada jurang yang besar antara mereka. Seolah-olah tidak layak bagi Najuwa untuk mengakui yang dia pernah mengenali lelaki ini.
Tengoklah dia, Najuwa. Betapa berjayanya dia sekarang. Kau?
Berubah riak Zuhayr saat mendengar Najuwa memanggilnya begitu. Namun, dia tetap mengawal riak wajahnya. Sebenarnya, dia benar-benar terkejut saat bertentang mata dengan Najuwa tadi. Pertemuan yang langsung tidak disangka-sangka.
Selama hampir 10 tahun dia menahan diri daripada memikirkan tentang Najuwa. Akhirnya hari ini, Najuwa sendiri hadir di hadapan matanya. Perasaan dalam hatinya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kalaulah Najuwa tahu, betapa gembiranya dia dapat menatap seraut wajah seseorang yang sangat dirinduinya saat ini.
“Maaflah, saya tumpang duduk dekat bilik mewah ni sekejap. Nanti kawan saya sampai, saya pergi. Tadi, sebab saya tak boleh nak fikir dan tak tahu nak pergi mana. Sebab semua orang pandang dan sibuk merakam wajah saya yang tak seberapa ni. Sebab tu, saya ikut aje ke mana Cik Arlina bawa saya,” terang Najuwa.
Buat apa dia nak duduk dekat suite mewah ini? Hotel Zuhayr pula tu. Buat malu saja. Orang kampung macam dia, nak terima pemberian daripada orang kaya-raya macam Zuhayr? Jangan nak jatuhkan air muka kau dan buat malu keturunan, Najuwa.
“Rasanya PA saya dah beritahu, kan? Ini sebagai tanda permohonan maaf saya kepada awak, Cik Najuwa. Anggap ini hadiah daripada saya untuk...”
“Untuk saya, seorang gadis kampung yang memang tak akan mampu untuk duduk dekat suite mewah macam ini?” pintas Najuwa.
Najuwa ketap bibir. Terkejut dengan kata-kata sendiri. Entah kenapa ayat itu tiba-tiba keluar dari mulutnya. Mungkin untuk menyedarkan diri sendiri supaya jangan terlalu teruja.
Kau tengoklah muka Zuhayr tu, Najuwa. Riak dia tenang saja. Langsung tiada keterujaan bertemu dengan kau setelah 10 tahun. Seolah-olah perjumpaan mereka sekarang ini sekadar disebabkan insiden lamaran tadi sahaja.
Malu pula rasanya bila diri sendiri yang melebih-lebih berdebar. Sedangkan Zuhayr?
Belum sempat Zuhayr membalas kata-kata Najuwa, telefon pintar Najuwa berdering. Najuwa menarik nafas lega. Syakirah sudah menjadi penyelamat keadaan.
“Ya, Syak. Ha’ah, aku dekat atas. Kau dah sampai ke? Okey, aku turun sekarang. Nantilah aku terangkan. Ya, sabar. Kau tunggu kejap. Aku nak turunlah ni.”
Setelah talian dimatikan, Najuwa menyimpan telefonnya. Dia menjeling Zuhayr sekilas sebelum bangkit dari sofa.
“Saya balik dululah. Terima kasih tumpangkan saya dekat sini. Oh, lagi satu. Maaf, sebab tersimbah air tadi. Sumpah, memang tak sengaja. Yalah, tiba-tiba kena lamar, kan? Maaflah, ya,” ujar Najuwa.
Tanpa menunggu jawapan daripada Zuhayr, Najuwa terus melangkah keluar.
Zuhayr tidak menahan. Sebaliknya dia mengekori Najuwa dari belakang. Niatnya mahu menemani Najuwa sampai ke bawah. Namun, niatnya terbatal saat matanya bertembung dengan seseorang yang baru saja keluar dari suite sebelah.
Wajah Zuhayr berubah riak. Rahangnya digetap menahan perasaan. Rasa marah membuak-buak dalam hatinya. Nafas dihela kasar. Zuhayr menggamit Arlina yang kebetulan baru muncul.
“Temankan Najuwa turun ke bawah. Kalau dia menolak untuk menginap di sini, tak apa. Jangan paksa dia. Lepas hantar dia, jumpa saya di pejabat,” ucap Zuhayr.
Arlina mengangguk faham. Dia mengejar Najuwa yang sudah berdiri di hadapan lif. Penuh hormat dia mengiringi Najuwa.
Najuwa sekadar melempar senyuman hambar. Sempat dia mengerling Zuhayr sebelum masuk ke dalam lif. Sekali lagi dia rasa sedih. Zuhayr benar-benar tidak menghiraukan dirinya. Menghantar dia pergi pun tidak sudi.
“Cik Najuwa betul ke tak mahu menginap di sini?” soal Arlina.
Najuwa berpaling ke sisi dan mengangguk. Senyuman dilemparkan kepada pembantu peribadi Zuhayr itu.
“Saya nak balik kampung dah hari ini. Cuti dah habis. Esok nak masuk kerja dah,” terang Najuwa.
Arlina membalas jawapan Najuwa itu dengan senyuman dan anggukan. Kemudian, suasana bertukar sepi hinggalah mereka tiba di tingkat bawah.
“Tuan Zuhayr memang nak hantar Cik Najuwa tadi. Tapi, dia ada hal kecemasan. Sebab tu, dia suruh saya temankan Cik Najuwa. Harap Cik Najuwa tak kecil hati, ya,” terang Arlina.
Najuwa sekadar tersenyum. Yalah tu.
“Tak apa, saya faham,” balasnya.
Sebaik bertemu empat mata dengan Syakirah, rakannya itu tidak menunggu dan terus menembak dirinya dengan soalan.
“Apa yang jadi? Kenapa kecoh-kecoh dekat mall tadi? Siapa yang heret kau sampai ke sini?” soal Syakirah bertalu-talu.
Najuwa mencubit geram lengan Syakirah.
“Aku dah kata nanti aku cerita, kan? Kalut sangat dah kenapa? Dah, jom balik!” bisik Najuwa, geram.
“Terima kasih ya, Cik Arlina. Saya balik dulu. Assalamualaikum,” ucap Najuwa sambil menghadiahkan senyuman sekali lagi buat Arlina.
Kemudian, dia menarik lengan Syakirah.
Syakirah menggosok lengannya yang terasa perit. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menuruti langkah Najuwa yang sudah mengheretnya pergi.
Sepanjang perjalanan, mulutnya masih bising bertanya itu ini. Hingga Najuwa terpaksa menekup mulutnya dan berjalan laju menuju ke luar hotel. Buat malu betullah!