10 tahun kemudian...
“ASSALAMUALAIKUM!”
Jeritan itu mengejutkan Najuwa yang sedang menyusun roti di atas para. Syakirah yang tersengih lebar memandangnya, dijeling tajam.
“Tak cakap pun nak datang?” soal Najuwa.
Syakirah tersengih lagi. Tangannya naik memeluk bahu Najuwa.
“Saja nak buat kejutan. Rindu dekat kau,” balas Syakirah.
Dia memandang sekeliling kafe Abang Johan. Hanya ada beberapa orang pelanggan yang sedang makan. Dah masuk waktu bekerja begini, memang agak sunyilah kafe ini. Tunggu waktu tengah hari nanti, memang tidak menang tanganlah sahabatnya yang seorang ini hendak melayan pelanggan yang keluar masuk.
Najuwa menarik tangan Syakirah dan mereka sama-sama duduk di meja makan berhadapan kaunter.
“Jadi tak nak daftar?” soal Syakirah.
Najuwa sekadar tersenyum hambar.
“Kenapa lagi?”
“Banyak nak pakai duitlah. Mak uda pun tak sihat sangat. Siapa nak jaga dia kalau aku tak ada?”
Syakirah menjeling Najuwa.
“Alasan. Memang mak uda tak bagi, kan?”
“Taklah. Cuma aku terfikir. Mak uda tu, sejak kebelakangan ni, selalu jatuh sakit. Pasal duit pun satu hal. Nanti kalau dah masuk kuliah, banyak nak pakai duit. Simpanan aku berapalah sangat. Ubat mak uda tu, sebulan dekat 200 ringgit juga. Belanja sekolah adik-adik aku lagi. Izam pula nak kahwin tahun ni. Kalau pergi kuliah, aku kena kerja part-time aje. Sikitlah gaji aku,” ucap Najuwa.
Dahi Syakirah berkerut seribu.
“Izam nak kahwin, lantaklah dia. Apa kena-mengena dengan kau? Kalau nak fikirkan duit tak cukup, sampai bila-bila pun kau takkan dapat peluang nak sambung belajar, Wa. Kalau kos pelajaran, berapalah sangat. Pinjaman pelajaran pun ada. Kau tu jenis berjimat cermat, aku tahu. Memang boleh hiduplah, senang ceritanya.
“Lagipun, duit peninggalan dan pencen arwah ayah kau, masih ada. Takkan semuanya mak uda telan seorang? Lebih daripada cukup aku rasa, nak buat tampung kos perubatan dia dan belanja sekolah adik-adik kau. Apa mak uda kau ingat, kau orang adik-beradik bukan tanggungan dia ke? Wah, sedaplah hidup kalau macam tu!”
Najuwa mengukir senyuman paksa.
“Takkan aku nak diam aje. Izam tu, gaji tak besar mana. Mana cukup nak buat majlis? Hantaran lagi. Aku kenalah bantu mana yang boleh. Kalau tak bantu, mak uda bising pula nanti. Duit pencen tu, aku malas nak tanyalah, Syak.
“Datang baik dia, dia bagilah aku dan adik-adik. Kalau tak ada, tak adalah. Kau tahulah mak uda tu. Kalau aku tanya nanti, melentinglah dia. Kalau dia marah aku seorang, tak apa juga. Ini tidak, dengan adik-adik aku semua jadi mangsa. Kesian dia orang. Sebab itu, aku diamkan aje.”
Syakirah mengeruh.
“Dah tahu tak ada duit, gatal nak kahwin. Itu mesti berangan nak buat majlis besar, kan? Aku tak fahamlah dengan kau ni, Wa. Baik sangat. Sampai bila kau nak korbankan masa depan kau untuk dia orang? Mak uda tu, tak layak dipanggil seorang ibu, tahu tak? Kejam dengan anak-anak sendiri. Macam mana kau boleh bersabar, Najuwa?” soal Syakirah.
Kali ini Najuwa mengukir senyuman nipis.
“Tak baik kau cakap macam tu. Kalau tak ada mak uda, aku dengan adik-adik dah lama hidup merempat, Syak,” balas Najuwa.
Mujur mak uda masih sudi menjaga dia adik-beradik setelah kematian ayah. Jika bukan kerana ibu tirinya itu, mungkin dia dan adik-adiknya sudah hilang tempat bergantung.
“Lebih banyak sakit yang kau terima daripada kasih sayang, Wa. Aku tak tahulah macam mana kau boleh bertahan. Kalau aku jadi kau, dah lama aku keluar dari rumah tu.”
Najuwa tersenyum.
“Aku okeylah. Jangan risau. Mungkin ada hikmah yang aku tak tahu. Kalau dah tertulis rezeki aku setakat ini saja, aku kena redalah, Syak. Seronok apa kerja dengan Abang Johan. Seorang bos yang baik. Gaji aku pun, boleh tahan besar. Sama besar kalau aku kerja dekat bandar agaknya,” ucap Najuwa, tenang.
Syakirah mencebik.
“Kalau kau ikut aku pergi KL, lagi besar gaji kau dan hidup kau adik-beradik lebih terjamin. Nak sambung belajar pun, tak perlu nak serabutkan kepala. Tak ada siapa nak halang. Tapi, itulah. Kau degil. Sayang sangat dengan mak tiri kau tu,” bidas Syakirah.
“Isy, kau ni. Sudah-sudahlah tu, mengutuk mak aku. Aku tahu kau marah sebab aku tolak tawaran tu. Insya-Allah, lain kali kalau ada rezeki, aku cubalah lagi. Janganlah marah macam ni,” ujar Najuwa.
Bibirnya mengukir senyuman. Namun, apa yang ada dalam hatinya, tiada siapa yang tahu. Bukan dia tak kecewa. Malah, dah 10 tahun dia memendam kekecewaan hatinya.
Bertungkus lumus dia berusaha mengejar segala pelajaran yang tertinggal. Mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia dengan jerih-perih sendiri. Tetap juga dia diuji. Keputusan yang baik hanya menjadi sia-sia kerana dia tidak mendapat restu daripada orang tua.
Bukan dia tidak pernah mencuba untuk sambung belajar senyap-senyap. Tapi, mak uda cepat menghidu. Akibatnya, dia gagal untuk melapor diri dan duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar yuran, dirampas mak uda. Disebabkan kedegilannya juga, adik-beradiknya mendapat susah. Tidak diberi makan berhari-hari.
Sebenarnya, dia sudah lama berputus asa. Harapan untuk sambung belajar, bagai sudah tiada dalam kamus hidupnya. Orang lain sudah habis pengajian di universiti dan mendapat kerja yang bagus. Sedangkan dia, masih terkial-kial seorang diri di sini.
Menyenangkan hati mak uda adalah yang paling utama buat masa sekarang. Sekian lama hidup dan tinggal dengan mak uda, Najuwa sudah cukup masak dengan sikap orang tua itu. Jika baik dengannya, baik jugalah layanannya. Sekali buat perkara yang menyakitkan hatinya, terimalah padahnya.
Najuwa sudah merasainya sendiri. Dia tidak mahu memperjudikan masa depan adik-adiknya pula jika terus berdegil.
Mak uda mengizinkan adik-adiknya sambung belajar dan tidak mengganggu pelajaran mereka pun, sudah cukup baik bagi Najuwa. Biarlah dia seorang yang menanggung sakitnya. Asalkan, adik-adiknya mampu untuk hidup tenang dan bahagia.
Syakirah pernah usulkan supaya dia berpindah keluar dari rumah mak uda. Sebab pada mata sahabatnya itu, umur 26 tahun memang sudah layak hidup berdikari. Tapi, memikirkan adik-beradiknya yang masih belajar, Najuwa jadi tidak sampai hati. Takut andai dia tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik. Walaupun selalu makan hati dengan sikap mak uda, sekurang-kurangnya mereka masih ada seorang ibu untuk menumpang kasih.
“Soal kau dengan Erkan?” soal Syakirah.
Najuwa panggung kepala. Itu satu lagi masalah. Entah bagaimana untuk dia menerangkan kepada mak uda tentang penolakannya.
“Entahlah, Syak. Aku...”
“Jangan kata kau nak terima, Wa?” potong Syakirah.
Najuwa menggeleng laju.
“Memang taklah aku nak terima. Tapi, macam mana aku nak cakap dengan mak uda? Susahlah, Syak. Puas aku menolak, tetap juga dia nak satukan aku dengan lelaki gila tu,” balas Najuwa.
Syakirah menggeleng dan melepaskan keluhan panjang.
“Kau tak jadi sambung belajar, aku boleh terima, Wa. Tapi, kalau kau kata kau akan kahwin dengan Erkan... oh, tidak. Itu gila!”
Najuwa ketawa sinis.
“Gila, kan? Aku tak tahu kenapa dia pilih aku. Agaknya, dia memang nak tengok aku mati terseksa, baru dia puas hati. Tak cukup agaknya dia musnahkan hidup aku dulu,” balas Najuwa.
Syakirah merenung Najuwa dengan pandangan kasihan. Dia tahu hati sahabatnya itu sedang terseksa. Perlahan-lahan tangan Najuwa diraih dan digenggam erat.
“Kau cubalah cakap baik-baik dengan mak uda. Kau tak boleh kahwin dengan Erkan, Wa. Dia bukan lelaki yang baik. Kau kena pujuk mak uda sampai dia faham,” ucap Syakirah.
Najuwa tertawa hambar. Kalaulah semudah itu, bisiknya dalam hati.
“Eh, dahlah. Buat sakit hati aje cerita pasal babun tu. Aku nak masuk mall kejap. Kau habis kerja pukul 3.00, kan? Tunggu aku, tau. Nak balik sama-sama,” ujar Syakirah.
Najuwa mengangguk.
Syakirah bangkit dan bersedia untuk berlalu. Beberapa langkah diatur, dia berpusing kembali.
“Tak nak kirim Choki Choki ke?” usik Syakirah.
Najuwa tertawa dan menggeleng.
“Dekat sini pun banyaklah!” balas Najuwa.
Dah tak ada benda lain nak belikan agaknya. Mentang-mentang Choki Choki itu snek kegemarannya. Suka benar nak mengusik.