Lamaran Cinta Tuan Zuhayr

BAB 6

  • Art
  • Fatiah Zohar

“KAU serius ke nak pergi ni?” soal Syakirah.

Waswas pula hendak menuruti kemahuan Najuwa. Buatnya mereka tertangkap, memang melingkuplah jawabnya. Najuwa pun satu. Nak buat kebaikan, tak mengira tempat. Kenapalah sahabatnya ini sibuk hendak masuk campur urusan orang lain. Buat tak nampak saja, tak boleh ke? omel Syakirah dalam hati.

“Kau sendiri dengar pelan Erkan dan kawan-kawan dia tadi, kan? Kau nampak apa yang Erkan nak buat tu? Kau nak biarkan aje Erkan aniaya budak tu? Kau tak kesian ke?” balas Najuwa.

Syakirah menggaru kepalanya.

“Memanglah kesian. Tapi, apa kata kita pergi beritahu cikgu aje? Lagi selamat, kan?” cadang Syakirah.

“Dah petang ni, Syak. Cikgu ramai dah balik. Kalau cikgu ada sekalipun, cikgu nak percaya cakap kita? Erkan tu siapa?” balas Najuwa.

Syakira garu kening pula. Betullah cakap Najuwa tu. Erkan itu, anak pengetua sekolah. Ketua pelajar pula tu. Memang tiada cikgu yang akan percaya.

“Kita kena ada bukti, baru orang akan percaya. Dah lama aku perhatikan Erkan tu. Selagi tak ada orang yang bertindak, selagi itu dia akan buat perangai. Aku tak boleh nak berdiam lagi,” sambung Najuwa.

Depan cikgu, baik macam malaikat. Belakang cikgu, dialah raja segala syaitan. Siapalah hendak percaya kalau pelajar biasa seperti mereka mengadu? Nanti dikatakan saja iri hati dan mahu menjatuhkan air muka anak pengetua sekolah itu.

Najuwa bangkit dan bersedia untuk bertindak.

“Rakam betul-betul, tau. Bagi nampak semua muka, terutamanya si Erkan tu. Agak-agak nak kantoi, kau terus lari,” arah Najuwa.

“Habis, kau?” soal Syakirah.

“Pandailah aku jaga diri. Insya-Allah.”

Terpaksa Syakirah mengangguk dan menghantar Najuwa pergi dengan debaran yang menggila. Dalam hati, dia berdoa supaya Najuwa tidak diapa-apakan oleh Erkan.

Memanglah sahabatnya itu ada ilmu mempertahankan diri. Tapi, bila berhadapan dengan lelaki seperti Erkan itu, bukan boleh diduga gilanya. Kalau dia, memang takkan berani.

Perakam video miliknya dipegang kemas. Merakam langkah Najuwa menghampiri Erkan dan rakan-rakannya yang sedang membuli seorang pelajar perempuan. Memastikan wajah para pembuli itu dirakam dengan jelas. Sedang dia fokus menjalankan tugasnya, alat perakam yang dipegang Syakirah tiba-tiba dirampas dari arah belakang.

Syakirah berpaling dan wajahnya bertukar pucat. Air liurnya ditelan pahit. Matilah aku, Najuwa. Rakan Erkan yang sedang berdiri di belakangnya itu, mengukir senyuman sinis.

“Seronok jadi paparazi?” soalnya penuh sarkastik.


TERCUNGAP-CUNGAP Syakirah berlari. Terasa jauh langkahnya hendak sampai ke dalam pagar sekolah. Mujurlah dia berjaya melepaskan diri daripada rakan Erkan tadi, berbekalkan tendangan yang didaratkan di celahan kelangkang lelaki itu.

“Zuhayr!” laung Syakirah.

Dia menahan motosikal Zuhayr yang kebetulan baru keluar dari pagar sekolah dan bersedia untuk melintas. Beg sekolah lelaki itu digenggam kemas agar Zuhayr tidak berlalu. Nafas cuba diatur dengan betul terlebih dahulu sebelum dia bersuara.

“Kau ni apa hal?” soal Zuhayr. Wajahnya tegang memandang Syakirah.

Riak serius lelaki itu membuatkan mulut Syakirah terkunci. Sesaat dua cuba mengawal rasa takutnya, Syakirah memberanikan diri untuk bersuara.

“Aku nak minta tolong. Dekat lorong belakang sekolah tu. Erkan dengan...”

“Aku tak ada masa nak layan hal bodoh kaulah!” potong Zuhayr.

Beg sekolahnya yang digenggam Syakirah, direntap kasar. Pedal motosikal dipulas dan dia memecut meninggalkan gadis itu. Ada urusan yang lebih penting dan utama yang dia perlu hadap. Dia perlu pulang.

Syakirah mengetap bibir geram. Tak guna punya Zuhayr!

Dia berlari ke pondok pengawal untuk melaporkan kejadian yang berlaku. Namun, tiada sesiapa di situ. Kemudian, dia berlari masuk ke dalam sekolah. Sebuah kereta cikgu pun tiada di kawasan parkir. Syakirah mengetap bibirnya.

Waktu sudah lewat petang. Tiada sesiapa lagi di sekolah waktu ini. Macam mana ni?

Dalam kekalutan, Syakirah berpatah balik ke lorong tadi. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir. Di kepalanya hanya terfikirkan Najuwa yang bersendirian di sana. Dia perlu membantu Najuwa.

Saat tiba di lorong itu, langkah Syakirah terhenti. Terdiam dia saat melihat Najuwa dan Erkan terbaring di atas jalan tar. Hanya mereka berdua yang ada di situ. Rakan Erkan dan mangsa buli tadi telah tiada.

“Najuwa!” laung Syakirah seraya mendapatkan sahabatnya.

Najuwa tidak memberi respons. Tubuh sahabatnya itu meringkuk seakan-akan sedang menahan kesakitan.

“Kau kenapa ni, Najuwa? Erkan buat apa dekat kau?” soal Syakirah, panik.

“Dia... paksa aku...”

Tidak sempat Najuwa menghabiskan ayatnya, siren kereta peronda polis tiba-tiba kedengaran.

Syakirah tersentap. Begitu juga dengan Najuwa.

“Kau call polis?” soal Najuwa.

Syakirah menggeleng. “Bukan aku,” balasnya.

Najuwa memejamkan matanya buat seketika. Erkan yang terbaring dipandang. Pasti ini kerja dan rancangan Erkan.

“Wa, bangunlah cepat. Kita kena lari,” bisik Syakirah.

Sedaya upaya dia menarik Najuwa agar bangun. Namun, Najuwa seolah-olah tiada daya untuk berdiri. Badannya betul-betul lemah sekarang. Entah ubat apa yang Erkan masukkan ke dalam badannya tadi. Disebabkan kawan-kawan Erkan terlalu ramai dan mengasarinya, dia tidak mampu untuk melawannya.

“Aku tak boleh, Syak. Kau pergilah...” ujar Najuwa, lemah.

Syakirah menggeleng. “Kita lari sama-sama. Kau bangunlah!”

Air matanya menitis laju. Tak mungkin dia akan meninggalkan Najuwa dalam keadaan begini. Dia tahu ada sesuatu yang dilakukan kepada Najuwa, hingga sahabatnya jadi lemah begini.

Najuwa mengerling kereta polis yang sudah sampai ke lorong itu. Bila-bila masa sahaja mereka akan diserbu. Sekali lagi, dia cuba untuk bangun. Namun, baru dua langkah dibuka, kepalanya terasa berpinar. Tangan Syakirah yang sedang memeluk tubuhnya, dicengkam.

“Aku tak boleh, Syak. Kau lari, Syak. Pergi...”

Tubuh Najuwa jatuh melorot tanpa sempat dia menghabiskan ayatnya. Dia pengsan, tidak sedarkan diri dalam pelukan Syakirah.

“Najuwa!” Syakirah menggoncang tubuh Najuwa agar bangun.

“Wa, bangunlah. Jangan buat aku macam ni,” rintih Syakirah.

Namun, hanya sia-sia. Semuanya sudah terlambat. Najuwa sudah tidak memberi respons dan mereka gagal untuk melarikan diri. Dia hanya mampu memandang dua orang anggota polis yang menghampiri mereka, dengan juraian air mata.


ZUHAYR menggenggam kemas buku limanya. Menggigil seluruh tubuhnya menahan perasaan. Namun, tiada siapa pun yang ada untuk mendengar kemarahan dan kekecewaannya. Dia hanya mampu menelan sendiri segala rasa sakit yang dirasakan.

Surat yang dititipkan kepadanya oleh peguam tadi, dibaca buat kali kedua. Surat tulisan tangan arwah ayahnya itu, membawa amanat yang sangat berat untuk dipikul. Membaca baris ayat terakhir pada surat itu, membuatkan hati Zuhayr menjadi sayu.
Bahagiakan mama untuk ayah...

Sebaris ayat itu membuatkan air mata Zuhayr bergenang dan dia teresak-esak menangis. Meluahkan segala rasa sedih yang terbuku sekian lama dalam hatinya. Bermula dari detik mama membuat keputusan untuk membuangnya tujuh tahun yang lalu, hinggalah ke hari ini.

Baru hari ini dia menangis dan meluahkan kesakitan yang ada.

Setelah berasa sedikit tenang, Zuhayr menarik nafas panjang. Dokumen yang diberikan kepadanya siang tadi direnung dalam. Terasa beban di bahunya semakin berat. Terngiang-ngiang kembali pembacaan wasiat yang dibacakan peguam siang tadi.

Barulah dia tahu yang Sutra Maya Holdings milik arwah ayahnya telah dipindah milik kepada namanya dan jawatan CEO syarikat perlu disandang olehnya setelah usianya mencecah 21 tahun. Mamanya, Datin Ainan, bukanlah pemilik Sutra Maya Holdings dan hanya sebagai pemegang amanah dan pengurus sementara syarikat.

Namun, ahli lembaga pengarah dan para pemegang syer Sutra Maya Holdings telah bersepakat untuk menukar teraju utama Sutra Maya Holding lebih awal kerana syarikat sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang serius. Mereka percaya, Datin Ainan tidak mampu untuk meneraju Sutra Maya Holdings dengan baik.

Justeru, ahli lembaga mahukan Zuhayr, selaku pemilik sah Sutra Maya Holdings, dilantik menjadi CEO syarikat yang baru sejurus usianya mencecah 18 tahun nanti. Sejajar dengan kandungan wasiat arwah Tan Sri yang membenarkan jawatan diserahkan lebih awal kepada Zuhayr jika keadaan mendesak.

Nafasnya dihela panjang. Matanya memandang dokumen itu dan surat arwah ayahnya silih berganti. Berat hatinya mahu membuat keputusan. Sekiranya dia memilih untuk menerimanya, dia perlu meninggalkan segala apa yang dia punyai sekarang dan memikul amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan arwah ayahnya. Dan itu, sesuatu yang sukar dan berat untuk dilakukan.

Meninggalkan Nek Wan dan... Najuwa.

Tangannya naik memegang kepalanya. Dia benar-benar sedang buntu. Terikat dengan tanggungjawab dan kehendak hatinya. Kedua-duanya sangat penting dalam hidupnya.

“Mama pulang ke sini bukan untuk memberi kamu pilihan. Tapi, untuk heret kamu pulang ke sana dan tunaikan tanggungjawab. Wasiat dah pun dibacakan dan lembaga pengarah sudah sebulat suara membuat keputusan. Mahu ataupun tidak, kamu perlu pulang dan uruskan Sutra Maya Holdings. Kalau mama ada pilihan, mama tak perlukan kamu pun. Kamu sendiri tahu siapa yang selayaknya meneraju Sutra Maya Holdings. Baihaqi Shahfitri, anak mama. Bukannya kamu.”

Zuhayr tersenyum sinis. Air mata yang tidak sedar mengalir di pipinya, diseka. Kata-kata Datin Ainan yang menerjah ruang fikirannya membuatkan hati dan perasaannya kembali terdera.

“Hayr benci mama, ayah. Hayr benci,” bisik Zuhayr.

Surat peninggalan arwah ayahnya direnyuk. Dibiarkan hancur dalam genggaman tangannya, sehancur hatinya sekarang ini.