Pengantin Terpaksa Kekasih Sukarela

BAB 4

  • Art
  • PTKS

“KITA nak pergi mana, papa?” Hana bertanya sambil mengayun kaki ke kereta Syahreza yang diparkir di hadapan rumah.

Syahreza tersenyum manis sambil menggosok kepala Hana. Punat kunci ditekan dan dia membuka pintu bahagian penumpang untuk Hana. Hana melabuhkan punggung di dalam perut kereta. Syahreza merendahkan dirinya, lalu senyum.

“Kita nak pergi jumpa Mama Nia. Bukan Hana rindu Mama Nia ke?” Syahreza bertanya sambil angkat kening.

Hana tepuk tangan dengan perasaan teruja. “Kita nak pergi jumpa dia sekarang ke, papa?”

Syahreza mengangguk.

“Ya, sayang. Mama Nia minta papa bawa Hana jumpa dia. Hana seronok tak nak jumpa Mama Nia?” Syahreza bertanya sambil selitkan rambut Hana di belakang telinganya.

Hana angguk kepala. “Seronok. Hana dah lama tak jumpa Mama Nia. Sejak papa balik outstation bulan lepas.”

Syahreza angguk kepala, lalu berdiri. Kemudian, dia tutup pintu bahagian penumpang dan melabuhkan punggung di belakang stereng. Enjin kereta dihidupkan.

“Kalau macam tu, jom kita pergi jumpa Mama Nia,” ujar Syahreza, lalu menukar gear untuk perjalanan mereka ke kampung halaman Rania.

Perjalanan mereka agak singkat memandangkan kenderaan di atas jalan raya sangatlah sedikit. Hana menghiburkan hatinya dengan menyanyikan lagu yang berkumandang di radio. Syahreza turut menyanyi bersama.

Sejam berlalu, Syahreza keluar dari lebuh raya dan meneruskan perjalanan menggunakan jalan biasa untuk sampai ke kampung Rania.

“Wah! Cantiknya pemandangan kampung, papa,” ujar Hana teruja.

Dia tersenyum gembira apabila nampak lembu dan kambing berkeliaran di atas bendang.

Syahreza tersenyum gembira.

“Cantik kan kampung Mama Nia? Hana nak tinggal sini ke?” soal Syahreza sambil memberi signal untuk masuk ke lorong kanan.

Hana angguk kepala berkali-kali.

“Nak! Kalau Mama Nia bawa Hana pergi jalan-jalan satu kampung atas basikal lagi menarik. Nanti bolehlah Hana cerita dekat kawan-kawan Hana di sekolah,” balas Hana, teruja.

Kemudian, budak perempuan itu pandang ke luar tingkap untuk menikmati suasana kampung yang masih lagi terjaga daripada pemaju.

Syahreza masuk ke pekarangan rumah. Dia kenal kereta Myvi Rania yang terparkir cantik di halaman rumah. Lagipun, Rania sudah memberi gambaran rumahnya bagi memudahkan dia tahu lokasi rumah bapa Rania di kampung.

“Okey, Hana. Kita dah sampai. Tengok siapa tu.” Syahreza berkata sambil membuka tali pinggang keledarnya.

Satu senyuman terukir di bibir Hana apabila nampak Rania berlari anak ke kereta mereka.

“Hai, Hana sayang.” Rania menyapa setelah membuka pintu penumpang dan memeluk Hana.

Hana ketawa kecil apabila Rania mencium pipinya dengan rakus.

“Hana rindu Mama Nia tak? Ke Hana tak nak jumpa Mama Nia dah lepas papa Hana balik?” rajuk Rania sambil mencebik muka.

Hana ketawa sambil mengusap pipi Rania.

“Mana ada, Mama Nia. Hana rindu Mama Nia, tapi papa yang tak nak bawa Hana jumpa mama,” balas Hana sambil menjeling Syahreza.

Lelaki tersebut berpura-pura sakit dengan kenyataan Hana. Dia memandang Hana dengan muka tak puas hati.

“Lah, salah papa pulak. Hana yang tak cakap nak jumpa Mama Nia. Manalah papa tahu Hana rindu Mama Nia.” Syahreza berjenaka.

Hana ketawa kecil apabila Rania geleng kepala.

“Ada aje jawapan daripada papa Hana tu. Dah, lupakan papa Hana. Jom masuk untuk kenal dengan tok ayah,” ujar Rania gembira.

Dia dukung Hana masuk ke dalam rumah dan tinggalkan Syahreza sendirian.

“Hai, bila dah jumpa anak dia, berani dia tinggal aku seorang diri,” bebel Syahreza.

Dia geleng kepala sebelum mengambil beg galas yang mengandungi barang keperluan Hana. Walaupun dia rancang untuk pulang petang nanti, namun dia bersiap sedia dengan kemungkinan Hana teringin mandi sungai dengan Rania.

Dengan hati yang berdebar, Syahreza melangkah masuk ke dalam rumah bakal bapa mertuanya.

Rania tersenyum apabila Syahreza masuk ke dalam rumah bapanya. Dia perkenalkan Hana kepada sanak saudara yang datang berkumpul di rumahnya. Sebab Rania sudah beritahu bapanya mengenai kedatangan Syahreza untuk merisik Rania, ahli keluarganya teruja untuk bertemu dengan lelaki yang telah berjaya memikat hatinya.

Alah, bukan orang lain pun. Kawan baik aku jugak, tapi kenapa keluarga aku macam teruja sangat nak tahu? Hairan betul, fikir Rania sambil duduk di atas kerusi.

Hana pula duduk di atas pahanya. Mereka memandang Syahreza yang berdiri dengan muka keliru sambil membawa beg galas Hana.

Lelaki tersebut pandang ke arah Rania dengan pandangan maut. Rania tidak mengendahkan Syahreza apabila lelaki itu mula bersalaman dengan bapanya, Encik Raziman.

Seseorang mencuit bahu Rania, membuatkan dia berpaling ke arah empunya badan.

“Tu ke bakal suami kamu?” Mak ngah bertanya sambil angkat kening.

Rania senyum sambil membetulkan posisi Hana di atas ribanya.

“Ha’ah, mak ngah. Dia datang hari ni untuk kenal ahli keluarga Nia,” ujar Rania sambil membelai rambut Hana yang lurus.

Mak ngah pandang Hana dengan pandangan curiga. Kemudian, wanita tersebut pandang Rania semula.

“Budak ni dah berapa tahun?” Mak ngah bertanya sambil angkat kening.

Rania tersenyum sambil pandang Hana yang diam membisu, memandang sekeliling.

“Oh, Hana baru masuk enam tahun. Kan, sayang?” Rania bertanya, membuatkan Hana pandang mukanya.

“Betul tu, mama. Hana baru enam tahun,” ujar Hana gembira.

Rania memandang muka mak ngah. Wanita tersebut mengecilkan mata.

“Enam tahun baru berani nak minta kebenaran untuk kahwin? Hmm... lelaki zaman sekarang memang dayus. Bila dah terlanjur baru nak bertanggungjawb,” ujar mak ngah selamba sambil memandang Rania dan Hana bersilih ganti.

Mata Rania berkelip seketika. Dia cakap aku dengan Reza terlanjur dan Reza baru berani nak kahwin dengan aku lepas enam tahun berlalu ke? Dia ingat Hana ni anak luar nikah ke? desisnya dalam hati.

Walaupun amarah Rania membara, tetapi dia tetap tersenyum manis buat mak ngah.

“Oh, mak ngah salah faham. Ni anak saudara Reza, Hana. Arwah abang Reza meninggal masa umur Hana tiga tahun. Reza dah janji dengan abang dia akan jaga Hana kalau berlaku apa-apa jadi dekat dia dengan kakak iparnya. Sebab tu Hana lebih selesa panggil Reza papa dan saya mama, sebab kami berdua ni parents figure untuk Hana. Lebih bagus untuk perkembangan emosi dan insaniah budak kecil. Mungkin mak ngah kena baca buku pasal benda tu, takdelah mak ngah ketinggalan zaman,” jawab Rania selamba sebelum bangun, untuk pergi dari situ.

Padan muka. Siapa suruh buat tekaan tak munasabah? Dia ingat aku ni perempuan murahan ke sampai boleh ada anak luar nikah? Pigidah, desis Rania dalam hati sebelum melabuhkan punggung di sebelah Encik Raziman dengan Syahreza yang sedang berborak rancak dengan bapa saudaranya, Encik Rizalman.

“Hai, bakal pengantin nak tahu keputusan wali ke sampai datang bertenggek kat sini?” usik Encik Rizalman.

“Eh, mana ada, pak ngah. Hana ni nak duduk dengan papa dia. Saya nak pergi buat air sekejap kat dapur, jadi Reza kena jaga Hana.” Rania berkata, lalu Hana bertukar tangan.

Dia mengangguk kepada Syahreza sebagai isyarat untuk memulakan bicara mengenai rancangan mereka. Syahreza angguk perlahan apabila mereka bertentang mata. Selepas itu, Rania meminta diri untuk ke dapur, mahu membancuh air.