“KENAPA mulut kau ternganga bagai nak rak ni? Tutup mulut tu. Lalat terbang masuk nanti baru tahu,” ujar Rania selamba lantas menghabiskan minumannya.
Syahreza kelip mata seketika sebelum berdehem.
“Kau... kau nak kahwin dengan aku? Demi Hana?” soal Syahreza dengan perasaan curiga.
Dia tahu Rania tidak akan mencadangkan dirinya secara sukarela. Melainkan Rania mahu membantu Hana semata-mata.
Rania jongket bahu. “Ada aku tersasul ke tadi? Aku rasa aku dah bagi tahu benda yang betul. Salah ke kalau aku bagi cadangan tu?”
Rania berfikir sejenak sambil memandang muka Syahreza. “Alamak, aku lupa nak tanya.”
Lelaki tersebut angkat kening. “Kau nak tanya apa pulak? Aku tahu kau main-main aje dengan cadangan kau. Jadi...”
“Kau ada kekasih gelap yang aku tak tahu? Sebab tu ke kau tak nak kahwin dengan aku?” Rania bertanya dengan penuh curiga.
Syahreza kelip matanya lagi. “Takde. Kalau aku ada, dah lama rasanya aku kahwin...”
“Bagus. Jadi, cadangan aku masih lagi boleh diguna pakai. Kau tak perlu nak pening kepala fikir pasal benda tu. Benda dah ada jalan. Maka, kita guna aje jalan yang sedia ada,” luah Rania sebelum bangun dari kerusi.
“Eh, kau nak pergi mana pulak ni?” soal Syahreza sambil memandang tas tangan yang dipegang oleh Rania.
“Lah, nak pergi mana lagi? Aku nak pergi bayar untuk makan tengah hari kitalah,” balas Rania selamba, memandang Syahreza seperti lelaki itu sudah tidak keruan.
Syahreza geleng kepala.
“Biar aku bayarkan. Aku ajak kau keluar makan dengan aku. Jadi, aku yang akan belanja makan tengah hari kita berdua.” Syahreza berkata dan berlalu pergi.
Rania tersengih macam kerang busuk sambil berdiri di pintu masuk kafe. Senyumannya makin melebar apabila nampak Syahreza berjalan ke arahnya.
“Terima kasih daun keladi, kalau boleh belanja lagi. Tak sia-sia aku terima ajakan kau,” ujar Rania gembira dan melangkah keluar dari restoran.
Syahreza menahan pintu untuk wanita tersebut.
“Maaflah kalau aku ambil masa kau, Nia. Aku bukan apa. Aku nak orang faham persepsi aku, kenapa aku tak nak pak long aku ambik Hana daripada aku. Walaupun status aku bujang, aku nak buktikan yang aku mampu untuk jaga Hana dengan baik.”
Mereka beriringan menuju ke kereta Rania.
“Hai, kan aku dah bagi jawapan untuk kau.” Rania menghela nafas perlahan.
“Kalau kau nak hak penjagaan Hana terus bawah kau, kahwin aje dengan aku. Kita boleh isi borang untuk daftar perkahwinan dan buat akad nikah yang ringkas aje.” Rania tetap dengan pendiriannya untuk berkahwin dengan Syahreza.
“Kau buat ikatan perkahwinan macam benda yang biasa. Nanti apa orang tua kau cakap kalau tiba-tiba kau nak kahwin?” soal Syahreza sambil angkat kening.
Rania tersengih macam kerang busuk.
“Senang aje. Aku bawa kau balik kampung dengan aku dan perkenalkan kau dekat bapa aku. Lagipun, cuti sekolah pun dah dekat. Nanti, bolehlah bawa Hana nikmati suasana kampung. Aku nak tanya kau, Reza, bila kau balik kampung yang tak melibatkan bangunan konkrit?”
Syahreza kerut dahi. “Kau tahu kan kampung aku kat bandar? Dah kenapa kau nak tanya pasal kampung halaman aku pulak?”
Rania jongket bahu sambil tersengih.
“Mungkin ia boleh jadi salah satu sebab untuk kau pertimbangkan cadangan aku. Kita dah kenal dari sekolah rendah. Kau tahu perangai aku dan aku dah naik nak termuntah dengan perangai kau. It’s a win-win situation for both of us. Lagipun, takdelah telinga aku asyik nak dengar bapa aku memekak bila nak bawa balik calon suami.”
Syahreza merenung Rania tajam. “Jadi, kau bagi cadangan untuk kahwin sebab kau dah bosan dengan bapa kau memekak? Amboi, amboi... Senang betul kerja kau, cik kak. Ingat kahwin ni benda senang ke?”
Rania senyum jahat.
“Cuba kau fikir. Kau kahwin dengan aku, kau dapat pertahankan hak penjagaan Hana. Aku kahwin dengan kau, bapa aku takkan berleter kat aku dah dengan ceramah anak dara tua dia. It’s a gamble that we’re sure to win. So, what do you say, champ? Deal?” Rania bertanya sambil membuka pintu kereta setelah punat ditekan.
Ligat otak Syahreza memikirkan idea untuk menepis cadangan gila Rania itu. Namun, pada akhirnya, dia dapati cadangan tersebut adalah untuk kebaikan Hana juga. Malahan, Hana juga sudah biasa dengan Rania sehinggakan anak saudaranya itu terbiasa memanggil Rania dengan panggilan Mama Nia.
Syahreza menghela nafas panjang. Dia menyeluk tangan ke dalam poket seluar. Nak tak nak, dia terpaksa menerima cara penyelesaian jangka masa pendek ini.
“Deal. Tapi, hanya untuk satu tahun sahaja perkahwinan kita.” Syahreza bersuara, walaupun tahu akan ada bencana yang melanda jikalau dia meletak syarat sedemikian.
“Kenapa satu tahun? Kenapa tak tiga atau lima tahun? Nanti kalau rakan sekerja aku tanya, apa aku nak jawab?” Rania meluah.
Syahreza jongket bahu dengan raut selamba. “Cakap ajelah kita tak sekufu. Orang zaman sekarang, lepas dua minggu kahwin pun boleh bercerai, jadi tak mustahil kita akan bercerai lepas setahun.”
“Tak boleh. Minimum, kita kahwin selama lima tahun.” Rania mencuba nasib.
Syahreza geleng kepala.
“Satu tahun.” Syahreza berkeras.
“Tiga tahun dan kita tak duduk sekali.”
Syahreza membulatkan matanya. “Mana ada pasangan tak duduk sekali lepas kahwin? Nampak sangat kena kahwin paksa.”
“Satu tahun dan kita duduk bawah satu bumbung.” Rania tersenyum sambil angkat kening.
Syahreza menghela nafas perlahan. Dia tahu dia takkan menang kalau perang mulut dengan Rania. Maka, dia hanya angguk tanda setuju.
“Great! I’ll see you this weekend, fiancé. Jangan lupa beli cincin supaya nampak kau datang dengan niat yang betul. Nanti aku share lokasi kampung aku.” Rania berkata, lalu mengerling jam tangannya.
“Alamak, aku kena pergi sekarang. Ada mesyuarat dengan guru besar. Jangan lupa bagi tahu Hana pasal hujung minggu ni. Send my love to her. Bye,” ujar Rania setelah enjin kereta dihidupkan.
Keretanya berlalu pergi meninggalkan Syahreza dalam debuan kebingungan.
Syahreza geleng kepala sambil memandang langit. Dia tersenyum sendiri dan mula mengayunkan langkah ke kereta sambil menghantar mesej ringkas kepada Zafriel. Memaklumkan kelewatannya masuk ofis pada petang itu.