Pengantin Terpaksa Kekasih Sukarela

BAB 5

  • Art
  • PTKS

SYAHREZA memandang susuk Rania yang berlalu ke dapur. Dia membetulkan posisi Hana di atas ribanya dan memandang muka Encik Raziman yang sedang bersembang dengan Encik Rizalman.

Jantung Syahreza berdegup kencang. Peluh memenuhi dahi. Dia menarik nafas panjang dan berdehem untuk mendapatkan perhatian bakal bapa mertuanya.

“Encik Raziman, boleh saya terus terang pasal kedatangan saya hari ni?” tanya Syahreza.

Dadanya turun naik dek gemuruh. Dia cuba untuk bertenang, namun gagal apabila Encik Raziman memandang dia tanpa perasaan.

Hana bermain dengan tangan Syahreza, membuatkan lelaki itu mula tenang. Tujuan mereka berkahwin adalah untuk Hana. Syahreza berdehem.

“Kalau pak cik nak tahu, saya dengan Rania dah lama kenal. Sejak sekolah rendah lagi. Akhirnya, berakhir di sini juga,” ujar Syahreza serius, memandang muka Encik Raziman.

Bapa Rania mengangkat kening, memandang Syahreza tajam. “Apa maksudnya?”

“Saya datang untuk merisik Rania. Saya berniat nak jadikan dia isteri saya yang sah,” balas Syahreza sambil menegakkan badan.

Jantungnya berdegup kencang mengalahkan Shinokugen.

Encik Raziman angkat kening.

“Kenapa kamu nak anak pak cik jadi isteri kamu? Bukan ke kamu ada banyak pilihan lain yang boleh penuhkan hasrat kamu?” Encik Raziman bertanya sambil memandang Hana.

Budak perempuan itu sedang memerhati dia dengan penuh tekun.

“Saya dengan Rania kenal lama. Dia dah kenal perangai saya luar dan dalam. Jadi, saya lebih selesa untuk meniti jambatan perkahwinan dengan Rania.” Syahreza berterus terang.

Dia memandang Encik Raziman dengan penuh harapan.

“Jadi, saya nak bawa persahabatan kami ke arah yang lebih baik dengan izin pak cik. Saya nak Rania jadi isteri saya yang sah. Rania sorang aje yang mampu isi kekosongan dalam hati saya,” ujar Syahreza lagi.

Keadaan sunyi sepi. Encik Raziman dan Encik Rizalman saling berpandangan. Mereka berkomunikasi dengan mata.

Syahreza cuba tidak endahkan ‘perbincangan’ yang berlaku di hadapannya dengan melayan Hana di ribanya.

“Kalau Nia dah setuju, apa kami boleh buat? Kalau dia rasa kamu pilihan terbaik untuk dia, pak cik hanya mampu eyakan aje permintaan dia. Cuma, pak cik minta kamu jagalah Nia dengan baik. Dia membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Pak cik harap kamu dapat berikan kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi buat puteri kesayangan pak cik, Reza.” Encik Raziman berkata, lalu memeluk Syahreza erat.

Syahreza terkedu dengan tindakan Encik Raziman. Namun, dia memeluk kembali bakal bapa mertuanya itu. Satu senyuman terukir di bibirnya.

Sudah lama dia tidak merasa kasih sayang seorang ayah dan Encik Raziman adalah bakal bapa mertuanya. Kalau mengikut sunnah, Encik Raziman sudah dikira bapanya sendiri.

“Insya-Allah, Reza buat yang terbaik untuk puteri pak cik,” ujar Syahreza, yakin.

Encik Raziman angguk kepala manakala Encik Rizalman menepuk bahu Syahreza.

“Tahniah. Harapnya kamu boleh bahagiakan anak saudara pak cik tu. Nia tu keras kepala orangnya. Mungkin kamu orang yang boleh membawa Nia ke arah yang lebih baik. Cuma, kamu kena bersabarlah dengan dia.” Encik Rizalman memberi nasihat.

Syahreza angguk kepala.

Encik Rizalman pandang ke arah Hana yang sedang memerhati sekelilingnya.

“Ni anak siapa?” soalnya dengan penuh tanda tanya. Dia turut memandang Hana tanpa berkelip.

Syahreza berdehem. “Ni Hana. Dia...”

“Mama Nia!” Hana memanggil Rania yang baru sahaja keluar dari dapur, membawa dulang air.

Hana berlari ke arah Rania dan memeluk lututnya. Rania ketawa gembira sebelum meletak dulang di hadapan tiga lelaki itu.

“Mama... Nia?” Encik Raziman memandang Syahreza dengan penuh tanda tanya.

Encik Rizalman turut berbuat sedemikian.

Syahreza menelan air liur yang terasa seperti pasir.

Rania tersenyum kecil lantas bersuara untuk meredakan suasana.

“Ni anak saudara Rezalah, ayah. Takkan ayah fikir yang bukan-bukan pasal bakal menantu ayah?” soal Rania sambil angkat kening.

Syahreza menghela nafas lega sambil tersenyum kepada Rania. Tanda terima kasih.

“Ayah bukan apa, Nia. Ayah takut kamu buat benda pelik-pelik sejak duduk berjauhan dengan ayah. Tapi, memandangkan Hana ni anak saudara Reza, ayah pelik kenapa dia panggil kamu mama,” soal Encik Raziman sambil pandang anak daranya.

“Hana tak pernah rasa kasih sayang seorang ibu sejak kecil. Sama macam Nia. Jadi, apa salahnya kalau dia panggil Nia mama? Mungkin tu yang Hana perlukan untuk perkembangan emosi dia, ayah. Lagipun...” Rania jeda sambil melabuhkan punggung di sebelah Syahreza.

“Kami akan berkahwin nanti. Jadi, tak salah kalau Hana nak panggil Nia dengan panggilan mama memandangkan Reza papa dia,” tambah Rania lagi sambil tersenyum.

Hana mula duduk di atas ribanya.

Syahreza pandang Encik Raziman. Bakal bapa mertuanya itu bersandar pada kerusi, perhatikan sahaja gelagat Rania dengan Hana. Kemudian, dia bertentang mata dengannya.

Encik Raziman angguk kepala sedikit, tanda dia menerima alasan Rania. Syahreza rasa lega.

“Jadi, bila kamu nak buat majlis? Harapnya kamu boleh langsungkan majlis dengan kadar yang segera. Pak cik bukan apa. Kalau kamu tangguhkan perkahwinan, nanti ada yang rembat Nia kamu ni nanti,” gurau Encik Rizalman.

Rania mencebik sambil memandang bapa saudaranya.

“Ek eleh, pak ngah ni. Nia dah locked si Reza ni. Takdenya dia nak pergi tengok perempuan lain selain Nia. Lagipun...” Rania jeda sambil tersenyum manja ke arah Syahreza.

“Kami dah kenal lebih 20 tahun. Takde siapa yang boleh tawan hati Reza selain daripada Nia,” ujar Rania bangga sebelum berdiri dan berlalu pergi dengan Hana.

Encik Rizalman geleng kepala manakala Encik Raziman ketawa kecil.

“Harap kamu boleh hadaplah si Nia tu. Mulut dia macam machine gun, jadi bertabahlah ye,” ujar Encik Rizalman lantas menepuk bahu Syahreza.

Syahreza hanya mampu tersenyum.