“YANG kau ke sana ke mari macam cacing kepanasan dah kenapa? Ada temu janji yang aku tak tahu ke?” soal Zafriel, rakan sekerja merangkap pengasas bersama firma arkitek ZnS Sdn Bhd.
Sewaktu Syahreza berusia 23 tahun, ibunya dijemput Ilahi. Bapa Syahreza berduka dengan pemergian isterinya itu, namun semangatnya kembali apabila dia mencempung cucu sulungnya, Hana.
Namun begitu, kebahagiaan mereka hanya sementara apabila Syahrudin dan isterinya terlibat dengan nahas kapal terbang dan meninggal dunia. Syahreza sendiri terkejut dengan berita tersebut, namun dia tetap kuatkan hati demi teringatkan janjinya terhadap Syahrudin.
Syahreza masih ingat perbualannya dengan Syahrudin dahulu, sebelum abang dan kakak iparnya berangkat untuk ke luar negara bagi urusan kerja Syahrudin.
“Kalau apa-apa terjadi dekat abang atau kakak ipar kamu, janji kamu akan jaga Hana macam anak kamu sendiri, Reza. Janji, kamu takkan abaikan Hana.” Syahrudin berkata sambil memandang tunak ke dalam mata adiknya.
Syahreza ketawa kecil.
“Kenapa abang paranoid semacam ni? Insya-Allah, umur abang dengan kakak masih panjang untuk bersama dengan Hana.” Syahreza berkata, untuk tenangkan hati Syahrudin.
“Reza, abang tak minta lebih. Janji kamu akan jaga Hana kalau suatu masa nanti kami berdua tak ada lagi di sisi Hana.” Syahrudin masih tegas dengan permintaannya.
Syahreza angkat tangan tanda mengalah.
“Ya, abang. Saya akan jaga Hana macam anak saya kalau apa-apa terjadi dekat abang dengan kakak.” Syahreza berjanji.
Syahrudin senyum manis, lalu memeluk adiknya.
“Terima kasih, Reza. Abang bertuah ada adik seperti kamu,” bisik Syahrudin sambil terus memeluk Syahreza dengan erat.
Syahreza membulatkan mata dan menepuk belakang badan abangnya.
“Ya, saya tahu. Abang bertuah sebab saya ada dalam hidup abang. Dah, lebih baik abang bersiap sebelum kakak datang.” Syahreza berkata, lalu Syahrudin berlalu pergi dengan senyuman di bibir.
Itu adalah senyuman terakhir daripada abangnya sebelum tragedi menimpa abang dan kakak iparnya.
Beberapa bulan setelah pemergian mereka, bapa Syahreza pula dijemput Ilahi dek serangan jantung. Maka, tinggallah Syahreza dengan Hana sahaja. Dan, dengan saham bapanya, walaupun baru berusia 27 tahun, Syahreza mampu menubuhkan ZnS Sdn Bhd. Malah, melalui firma arkitek itulah dia menanggung kebajikan dirinya dan Hana.
“Macamlah aku nak bagi tahu kau kalau aku ada temu janji,” balas Syahreza selamba sambil menyusun fail-fail yang bersepah di atas meja.
Zafriel ketawa kecil. “Eleh, macam aku tak tahu. Jawapannya adalah ya, kau ada temu janji. Cumanya, aku tak pasti kau nak bertemu janji dengan siapa.”
Syahreza merenung Zafriel tajam.
“Woah, chill, bro. Bukannya aku nak pergi sabotaj kau punya temu janji tu, tapi kalau awek kau cantik... mungkin.” Zafriel berkata.
Syahreza membulatkan mata. “Takde maknanya aku nak pergi temu janji. Kita banyak kerja ni dan aku takde masa untuk berkenalan dengan orang baru. Antara kerja dengan Hana, aku dah cukup sibuk dah tanpa sakit kepala layan kerenah perempuan yang tak matang.”
“Jadi, yang kau jumpa ni bukan orang baru la?” soal Zafriel sambil angkat kening.
Syahreza geleng kepala.
“Tak. Aku nak keluar makan tengah hari dengan Nia jap. Nanti aku masuk balik lepas lunch hour. Aku pergi dulu,” ucap Syahreza, lalu bergegas keluar dari ofisnya.
Zafriel membuntuti. “Sampaikan salam aku kat Nia, Reza, sebab aku ni bakal suami dia.”
Zafriel terkekek-kekek apabila Syahreza buat gaya yang tidak senonoh kepadanya.
Butang lif ditekan. Syahreza mengimbas paparan skrin iPhonenya seketika. Rania sudah dalam perjalanan untuk bertemunya di sebuah kafe yang berdekatan. Dia tersenyum sambil membalas mesej tersebut.
SYAHREZA melangkah masuk ke dalam kedai. Matanya meliar mencari kelibat Rania. Keadaan kafe tersebut agak sibuk. Dia hampir memanggil Rania sebelum matanya ternampak lambaian seorang perempuan yang menutup aurat dengan sempurna dari jauh.
Syahreza tersenyum, lalu segera mengayun langkah ke meja Rania. Dia memandang makanan yang sudah pun terhidang di atas meja.
“Kau sampai jugak akhirnya. Dah, kau tak payah fikir nak makan apa sebab aku dah oder untuk kau sekali. Tunggu apa lagi? Jemputlah makan.” Rania menghulurkan sudu garpu kepada Syahreza.
“Kau ingat aku nak makan ke semua yang kau oder ni? Dahlah kau tak tanya aku nak makan apa, main oder aje. Kalau aku puasa, macam mana? Siapa nak habiskan semua ni nanti?” Namun, Syahreza tetap mengambil sudu garpu tersebut.
Dia melabuhkan punggung di hadapan Rania yang sudah membulatkan mata.
“Eleh, macam aku baru kenal kau sehari dua, Reza. Kita dah kenal lebih 20 tahun, tahu tak? You’re my ride or die dude,” balas Rania bersahaja.
Setelah membaca doa makan, mereka mula menjamu selera. Beberapa minit berlalu tanpa perbualan antara mereka. Syahreza tidak tahu bagaimana dia ingin membuka bicara mengenai masalah yang sedang melanda jiwa dan raganya sekarang.
“Kau ada apa-apa masalah ke, Reza?” soal Rania sebelum mengusap mulutnya dengan sehelai tisu.
Syahreza angkat kepala, memandang kawan baiknya.
“Tak payah nak berselindung daripada aku, Reza. Aku dah tahu sangat taktik kau. Kau mesej aku semalam dengan alasan nak ajak keluar makan. Padahal, kau nak luahkan perasaan kau pasal masalah baru yang melanda hidup kau. Jadi, bila kau nak mula spill the tea?”
Syahreza ternganga. Rania terkekek-kekek di sebalik tangannya.
Syahreza berdehem, lalu meneguk jus epal kegemarannya. Betul kata Rania, semua makanan yang dipilih adalah berdasarkan kegemarannya. Termasuk minuman. Kadang-kadang, dia jadi takut dengan memori Rania yang tahu segala hal dalam hidupnya.
“Kau ni... Bagi aku habis makan dulu boleh tak? Mana elok kita berbual sambil makan. Lagipun, kau kena bagi contoh yang baik pada murid-murid kau. Maklumlah, kau kan cikgu, modal insaniah untuk dia orang,” ujar Syahreza sambil memuncungkan mulutnya ke tag nama yang dipakai oleh Rania.
Tag nama tersebut mempunyai jata yang menyatakan Rania adalah seorang pegawai pendidikan.
Syahreza tersenyum sinis apabila Rania membulatkan mata sebagai balasan. Kemudian, perempuan itu mendekatkan jarak di antara mereka.
“Kau tahu kan sekolah aku jauh dari sini? Jadi, tak ada murid atau ibu bapa akan kenal aku. Maka, aku selamat daripada menjaga adab dan tertib aku di luar kawasan sekolah.”
Syahreza geleng kepala. “Kenapa kau pilih kerjaya ni, buat aku tak faham. Bukan dulu kau budak paling bermasalah dekat sekolah ke, Nia? Terpaling ketua gengster? Nah, sekali, kau yang balik ke sekolah untuk ajar generasi akan datang negara kita pulak.”
Muka Rania mula kemerah-merahan.
“Nak buat macam mana? Rezeki aku ke arah ni dan mungkin benda ni adalah yang terbaik untuk aku. Lagipun, arwah mama aku nak aku jadi seorang cikgu supaya aku dapat sambung legasi dia.” Rania tersenyum sedih.
Syahreza berdehem, lalu menegakkan badan. “Nia, maaf kalau aku tersalah cakap. Aku tak berniat...”
Rania menggawangkan tangan ke depan muka Syahreza, kemudian memaling muka sambil mengelip mata beberapa kali.
“Aku tahu kau tak berniat. Kan aku dah kata, kita ni bukannya kenal sehari dua. Dah, jangan nak bawa perbualan kita ni mengenai aku. Sekarang, aku nak tahu sebab kau nak jumpa aku hari ni sampaikan tak boleh nak tunggu hujung minggu. Bagi tahu aku sekarang, sebelum aku tenyeh mulut kau dengan cili api,” ugut Rania.
Syahreza ketawa.
“Kenapa kau gelak macam tak ingat dunia?” soal Rania sambil mengecilkan mata.
Syahreza bersandar pada kerusi.
“Takde apalah. Aku cuma teringat perangai kau masa kena kejar dengan cikgu disiplin dulu, masa kita sekolah menengah. Kau ugut Cikgu Mat bukan main, eh? Sekarang, mesti kau yang kejar murid-murid kau yang tak dengar kata, kan?” soal Syahreza. Keningnya terangkat.
Rania mengeluh perlahan.
“Okay, in my defense, I was an immature kid. Now, I’m a grown up. My frontal lobe had just fully developed. Bukan niat aku nak buat semua ugutan tu kat cikgu kita. Kau ingat aku ni berani sangat ke? Mulut aku aje lantang, tapi setakat tu ajelah.” Rania berkata sebelum menghirup jus kedondong asam boi.
“Dah, cukup dengan kenangan kita. Sekarang, bagi tahu aku masalah kau. Mana tahu aku boleh bagi jalan untuk kau,” ujar Rania sambil memandang tunak muka Syahreza.
Syahreza menarik nafas panjang, lalu menghelanya. Kemudian, dia memulakan bicara.
“Kau tahu kan anak saudara aku tu? Anak arwah abang aku, Syah?”
Rania angguk selepas menghirup airnya lagi.
“Ya, Hana. Kan aku ada jumpa dia bulan lepas, masa kau mintak aku jagakan dia sebab kau outstation. Macam mana Hana sekarang? Dia okey?” Rania bertanya sambil menongkat dagu di atas tapak tangan.
“Alhamdulillah, Hana okey aje. Cuma, ada satu perkara yang terjadi semalam yang buatkan aku risau dan gelisah,” balas Syahreza.
“Kenapa? Apa yang jadi?”
“Kau kenal kan siapa pak long aku, Nia?” soal Syahreza.
Rania angguk kepala.
“Mestilah aku kenal. Datuk Helmi, ahli perniagaan yang terkemuka dekat Malaysia ni. Kenapa?” Rania bertanya dengan dahi berkerut.
Syahreza mengeluh sambil urut belakang leher.
“Semalam, aku balik lambat dari ofis sebab aku jumpa klien aku. Klien aku tu banyak ragam sampaikan aku terlupa pasal Hana. Dalam perjalanan ke rumah, baru aku teringat Hana masih dekat tadika. Waktu tu pukul 6.00 petang.” Syahreza memulakan bicara.
Rania menekup mulut dengan tangan. “Syahreza, jangan bagi tahu aku yang kau...”
“Bila aku sampai dekat tadika tu, keadaan dah gelap. Aku cari Hana di seluruh kawasan sekolah. Aku jadi tak tentu hala. Aku dah siap nak pergi repot polis, tapi ada seorang pengawal datang kat aku dan tanya kenapa aku dalam kawasan sekolah. Aku cakap aku tengah cari anak saudara aku. Dia tanya yang mana satu. Aku bagi tahu pengawal tu dan dia bagi tahu aku yang Hana dah balik dengan atuk dia.”
Rania dapat meneka apa yang berlaku seterusnya. Tetapi, dia berdiam diri dan menunggu Syahreza sambung cerita.
“Kemudian, aku pun pergi rumah pak long aku tu. Jelas lagi nyata, memang Hana ada kat situ. Aku mintak Hana ambik beg galas dia dan waktu tulah pak long aku bagi amaran dekat aku. Kalau aku tak boleh nak bertanggungjawab ke atas Hana sebab gaya hidup aku yang workaholic, dia nak ambik Hana daripada aku.” Syahreza meraup wajah.
Rania kerut dahi. Dia tidak faham apa kaitan amaran Datuk Helmi dengan kejadian yang diceritakan oleh Syahreza.
“Amaran apa kau maksudkan ni?” soal Rania.
Syahreza menarik nafas dan menghelanya panjang. Dia memandang muka Rania.
“Pak long aku cakap dia ada sumber dan pengaruh untuk pastikan Hana berada bawah jagaan dia sepenuhnya. Tu masalah aku sekarang, Nia. Aku dah janji akan jaga Hana kalau apa-apa berlaku dekat abang aku, tapi pak long aku rasa gaya hidup aku tak sesuai untuk perkembangan Hana. Apa patut aku buat, Nia? Aku tak nak Hana tinggal dengan Datuk Helmi.” Syahreza menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Rania berdiam diri. Otaknya ligat memikirkan cara untuk membantu kawan baiknya itu. Mengikut apa yang diperhatikan olehnya, gaya hidup Syahreza tidak akan membantut perkembangan Hana. Mungkin ada hal lain yang menyebabkan Datuk Helmi tidak setuju Syahreza terus menjadi penjaga Hana.
“Kau ada tanya pak long kau kenapa tiba-tiba dia nak jaga Hana? Kau tak rasa pelik ke tiba-tiba aje pak long kau nak jaga Hana sedangkan selama ni dia okey aje kau jaga Hana? Kenapa sekarang?” soal Rania dengan penuh tanda tanya.
Syahreza angguk kepala. “Ada. Disebabkan aku bujang dan workaholic, dia rasa perkembangan Hana akan terbantut sebab tak ada figura seorang ibu dalam hidup Hana. Kan aku seorang aje yang jaga dia.”
Jari-jemari runcing Rania bergerak di atas meja. Kemudian, dia petik jari.
“Apa susah? Kalau pak long kau rasa anak saudara kau takde figura seorang ibu dalam kehidupan dia, bermaksud masalah utamanya adalah status bujang kau, Reza. Kalau masalahnya adalah kau tak berkahwin, kahwin ajelah dengan aku. Selesai masalah,” ujar Rania selamba.
Syahreza ternganga, memandang Rania seperti kawan baiknya itu sudah hilang akal.