Rindu Awak

BAB 4

  • Art
  • RA

Jadi, awak jangan ganggu saya lagi. Jangan cari saya lagi. - Inara

AZZAN mengatur langkah. Perlahan-lahan, sehinggalah dia tiba tepat di hadapan pintu kayu rumah keluarga Inara. Sesekali tubuhnya tertolak ke tepi dek dilanggar tetamu yang lalu-lalang. Orang ramai mula berkumpul bila acara yang dinantikan bakal berlangsung.

Azzan sendiri tidak tahu kenapa dia harus membawa dirinya ke sini. Ke tempat yang bakal merobek dan menghancurkan kepingan hatinya. Ironisnya, dia tetap di sini. Di hari pernikahan Inara.

Hari pernikahan orang yang dia sayang!

Azzan masih berdiri di muka pintu. Di hujung sana, tidak jauh dari tempat dia berdiri, ada seorang lelaki yang mengenakan busana berwarna putih dan bersongkok hitam. Lelaki itu sedang duduk di hadapan tok kadi.

Azzan mendongakkan kepala. Pandangan dihalakan tepat ke arah Inara yang sedang duduk bersimpuh di atas pelamin, menanti untuk diijabkabulkan. Wajah itu nampak suram, namun tidak sesuram perasaannya sekarang.

Azzan merasakan hatinya sedang ditikam dengan belati yang tajam. Sakit, tapi tak berdarah!

“Azzan, saya penat. Saya tak nak hidup macam ni lagi. Keluar dengan awak tanpa arah tuju, saya tak nak,” ujar Inara pada petang itu.

“Tapi, kita berdua dah janji nak tamatkan pengajian sama-sama. Lepas tu kita boleh bekerja dan hidup bersama seperti apa yang kita rancang. Saya aje ke yang mengimpikan saat tu, Inara?” Azzan masih mahu merayu.

“Saya berpijak di bumi yang nyata, Azzan. Hakikatnya, saya takkan hidup senang bila dengan awak. Khairul ada segalanya. Dia boleh beri apa yang saya nak. Jadi, awak jangan ganggu saya lagi. Jangan cari saya lagi.”

Masih terngiang-ngiang kata-kata yang keluar dari mulut itu semalam. Dan hari ini, perkahwinan Inara dengan Khairul benar-benar terjadi.

“Khairul bin Zaidi, aku nikahkan kau dengan Nur Inara binti Idris...”

Tanpa sedar, air mata di pipi Azzan turut menitis. Pandangan merah penuh sayunya bertemu dengan tatapan mata Inara. Seketika, mereka saling bertatapan.

Kenapa, Inara? Kenapa awak mungkiri janji kita? Bukan kita dah berjanji untuk melaluinya bersama? Bukan kita dah berjanji untuk hidup bersama sehingga ke akhirnya? Hanya monolog itu yang bermain-main dalam fikirannya sejak semalam, sejak Inara memberitahu dia akan berkahwin dengan Khairul.

“Ada dua tahun lagi untuk kita graduate. Lepas tu, kita akan bekerja. Dan beberapa tahun lepas tu...”

“Saya akan lamar awak jadi isteri saya. Kita kahwin, ada anak. Kita akan besarkan anak kita sama-sama. Lepas tu bila sampai masanya, kita akan sama-sama kahwinkan anak kita. Dan, awak dengan saya akan hidup bersama sampai ke tua,” sambung Azzan pula.

Angan yang dia lakarkan cukup indah untuk dia dan Inara.

Air mata Azzan jatuh buat sekian kali. Sekarang, semua angan-angan itu berterbangan seperti debu. Tiada lagi Inara, tiada juga dia. Tiada lagi mereka yang melakar seribu kisah indah mereka.

Yang ada sekarang, hanya dirinya yang hancur ditinggalkan Inara.

Selamat tinggal, Inara, ujar Azzan dalam hati. Dia memalingkan tubuh, pergi meninggalkan cinta hatinya.


AZZAN melabuhkan duduk di atas sofa. Kepala direbahkan di bahu sofa itu. Satu keluhan keluar dari bibirnya.

Fikirannya kembali melayang pada pertemuan tadi. Pertemuan pertamanya dengan Inara setelah tujuh tahun lamanya. Azzan memejam matanya rapat.

“Tujuh tahun ni, awak okey?”

Pertanyaan itu dijawab dengan titisan air mata.

Azzan mengangkat kepalanya. Otaknya kembali ligat memikirkan sesuatu.

“Apa yang berlaku sepanjang tujuh tahun ni?” Azzan tertanya sendiri.

Dia tahu tiada siapa yang akan menjawab soalannya melainkan Inara sendiri. Namun, dia tidak mampu mengeluarkan kata-kata itu setelah Inara berlalu dengan air mata. Sudahnya, Azzan hanya termangu di tempat duduknya. Menghantar langkah Inara yang berlalu begitu saja.

Selepas apa yang berlaku tujuh tahun lepas, Azzan tidak lagi menjejakkan kaki ke kampung halamannya. Orang sekelilingnya pula langsung tidak menyebut nama itu. Sejak itulah Inara seakan-akan hilang daripada hidupnya.

Bunyi panggilan yang masuk membawa Azzan kembali ke alam nyata. Skrin telefon dipandang, sebelum dia menjawab panggilan tersebut.

“Ya.”

“Macam mana? Betul dia yang you cari?” tanya suara di hujung sana.

Azzan mengukir senyum kecil.

“Macam mana blind date tadi?” Si dia bertanya lagi.

“Bila dia bercerai?” Soalan itu dibalas dengan soalan.

“Emm... I tak pasti, tapi I tahu yang dia pernah berkahwin dan dah bercerai. Dia tak pernah cerita dengan I dan I pun tak tanya lebih.”

Azzan angguk.

“Sekarang, beritahu I. Sebab apa you setuju pergi blind date tu? Sebab dia...”

“Dia kawan I. Kawan satu sekolah I dulu.” Pantas Azzan menjawab.

Dia tahu gadis itu diselubungi dengan seribu soalan.

“Oh, patutlah... Setahu I, kita berdua sama-sama tak berminat nak teruskan blind date ni, tapi tiba-tiba you setuju dengan permintaan mak su you. Sebab dia Inara, kan?” usik Shila lagi.

Dia dan Azzan pernah berjumpa sekali kerana aturan keluarga. Dan tadi sepatutnya menjadi pertemuan kedua mereka. Tapi, masing-masing tidak berminat dengan perjodohan yang dirancang oleh keluarga mereka. Sebab itulah mereka mencipta beribu alasan.

Azzan menyandar di bahu sofa. Membiarkan Shila dengan setiap tekaannya.

“Jangan suruh dia gantikan tempat you lagi,” pesan Azzan tiba-tiba.

Kali ini nadanya lebih serius.

“Kejap, I nak tahu satu benda. You minta I untuk pura-pura aturkan blind date ni untuk you dan you nak Inara adalah orangnya, jadinya you tahu dari mana I berkawan dengan Inara?” Shila masih dengan teka-teki yang bermain dalam fikirannya sejak minggu lepas.

Tiba-tiba Azzan menghubunginya dan meminta dia mengatur janji temu dengan Inara.
Azzan senyum.

“Baguslah kalau you dah tahu.” Hanya itu yang dibalas oleh Azzan.

Mahu terkejut Shila kalau dia beritahu yang dia dapat tahu tentang Inara melalui gambar yang diberikan oleh mak sunya tiga bulan lepas. Dalam gambar itu ada Shila dan beberapa orang kawannya yang lain. Dan, Inara hanya sebahagian kecil dalam gambar itu.

Dan, ya. Janji temu ini memang dirancang olehnya.

“Jangan libatkan dia lagi dengan blind date you,” pesan Azzan buat sekian kali.

“Hei, bukan I. You yang rancang blind date ni. Kalau Inara tahu, mati I...”

“I pun tengah fikirkan cara supaya mama dengan mak su I berhenti aturkan blind date untuk I. I terlalu busy untuk semua tu.” Sekali lagi Azzan menyandarkan tubuh di bahu sofa.

Otaknya ligat berfikir.

“Maksud you? You nak buat apa?”

“I nak minta tolong you sesuatu,” pinta Azzan tiba-tiba.