Rindu Awak

BAB 3

  • Art
  • RA

Inara... tujuh tahun ni, awak okey? – Azzan

INARA tunduk. Bermain dengan jari-jemarinya. Tiada satu kata pun yang keluar dari mulutnya. Suasana yang tadinya hingar dengan bunyi muzik, kini seakan-akan terisi dengan kekosongan.

Inara langsung tak berani angkat wajah, membalas tatapan itu. Pertemuan ini, setelah tujuh tahun lamanya, seakan-akan mengasingkan dia daripada lelaki itu.

“Kita pesan makanan dulu. Saya lapar.” Setelah beberapa ketika berdiam, akhirnya Azzan bersuara.

Tangan diangkat, melambai ke arah pelayan yang berdiri di hujung sana.

Perlahan-lahan, Inara mengangkat wajah. Memerhati setiap tingkah lelaki itu. Wajah itulah yang sering hadir dalam mimpinya sejak tujuh tahun lalu.

Azzan yang masih leka memesan beberapa hidangan tidak sedar dirinya diperhati oleh Inara.

“Shila?” Sekali lagi Azzan bersuara, menyentak lamunan Inara.

Inara mendongak, membalas tatapan mata Azzan. Tiada secalit senyuman pun pada wajah itu. Hilang sudah seorang Azzan yang dulu murah dengan senyuman. Hilang sudah seorang Azzan yang dulu lantang bercerita apa saja dengannya.

Yang ada hanya kedinginan yang panjang.

“Huh?”

“Sejak bila tukar nama?” tanya Azzan, lebih serius.

“Emm... Shila tu... Shila tu kawan saya,” balas Inara canggung.

Jujur, dia takut untuk bersuara di hadapan lelaki itu.

Azzan menyandarkan tubuh di bahu kerusi. Seluruh perhatian ditumpukan kepada Inara. Setelah tujuh tahun, ini kali pertama dia bertemu kembali dengan gadis itu. Namun, lidahnya kelu untuk berbicara. Kata-katanya hilang entah ke mana.

Penampilan Inara dipandang lagi. Masih seperti dulu. Cuma dulu, Inara lebih senang mengikat rambutnya ke belakang, tetapi kini hanya dibiarkan lepas. Wajahnya pula dicalitkan mekap nipis saja.

Setelah beberapa ketika menunggu, makanan yang dipesan tiba di meja mereka.

Inara tunduk memandang sepinggan fish and chip yang diletakkan oleh Azzan di hadapannya. Lelaki itu masih ingat kesukaannya, bisik hati kecilnya.

Inara melirik senyum kecil. Mungkin ini hanya kebetulan. Mustahil Azzan masih mengingati apa yang dia suka. Tidak setelah apa yang dia lakukan dulu.

“Kenapa? Tak suka?” tanya Azzan tiba-tiba.

“Tak, saya suka. Cuma, awak makan stik?”

Seingat Inara, Azzan tak suka makan stik. Dulu pun Azzan selalu menolak bila diajak makan makanan western. Tak kena dengan tekak, katanya. Tapi kali ini...

“Kenapa tak boleh makan stik? Semua boleh berubah. Dulu yang kita suka, mungkin sekarang kita tak suka lagi. Betul tak?” balas Azzan penuh sarkastik.

Dia memotong stik dan memasukkan ke dalam mulut.

Inara terdiam. Entah kenapa kata-kata itu seakan-akan ditujukan kepadanya. Untuk dia yang pernah menghadiahkan kenangan pahit dalam hidup lelaki itu.

“Suami awak tak marah ke awak pergi blind date macam ni?” Melihat riak Inara yang mula berubah, Azzan cuba memeriahkan suasana.

Tidak mahu rasa canggung sepanjang makan malam mereka.

Inara menggeleng. Menyembunyikan perihal perkahwinannya daripada Azzan. Ini pertemuan pertama mereka setelah tujuh tahun. Mungkin juga akan jadi pertemuan terakhir. Seboleh mungkin dia tidak mahu sesiapa tahu apa yang terjadi dalam hidupnya.

Bukan Azzan, bukan juga sesiapa.

“Buat apa sekarang?” tanya Azzan lagi.

“Sekarang tengah makan.” Bersahaja Inara menjawab, cuba untuk bergurau seperti dulu.

Dia memandang Azzan sekilas. Azzan hanya memandangnya dengan kerutan. Tanpa secalit senyuman. Tidak terkesan dengan gurauan kecilnya.

“Emm, saya kerja dengan Shila. Company family Shila,” jawab Inara setelah menyedari gurauannya tidak bersambut.

Azzan angguk.

“Pindah KL dah sekarang?” Azzan bertanya lagi.

“Ya,” balas Inara pendek, disertakan anggukan kecil.

Senyap lagi. Rasa canggung lagi.

Jika dulu, dia dan Azzan betah bercerita. Ada saja cerita yang boleh mereka kongsikan.
Persahabatan dari zaman kanak-kanak sehingga tahun kedua di universiti membuatkan dia dan Azzan sangat akrab. Bukan sekadar sahabat, dia dan Azzan berkongsi rasa yang sama. Dan, hanya dia dan Azzan yang tahu apa yang mereka rasa.

Cuma, dia yang berpaling daripada rasa itu.

“Maafkan saya pasal blind date ni. Saya tahu bukan saya yang awak nak jumpa, tapi Shila. Cuma, dia tak dapat...”

“Selalu gantikan tempat Shila untuk blind date?” Azzan memintas dengan soalan.

Tatapan dihala tepat ke arah Inara. Menanti jawapan yang keluar dari mulut itu.

“Tak, ni yang pertama,” balas Inara pantas.

“Maksudnya, akan ada lagi?” tanya Azzan, masih mengekalkan kedinginan pada intonasi suaranya.

“Mungkin... tak.” Inara memberi jawapan tanpa kepastian.

Bukan dia tak kenal perangai Shila. Mamanya akan terus mengatur janji temu untuk Shila selagi Shila tidak memperkenalkan calon suami kepada mamanya itu.

“Mungkin?”

“Maksud saya, insya-Allah, takkan ada lagi.”

Terdengar keluhan kecil dari mulut Azzan.

Inara tahu Azzan tidak berpuas hati dengan jawapannya. Dia diam, menyuap fish and chip ke dalam mulutnya. Dia mahu cepat-cepat berlalu dari situ. Entah kenapa dia rasa lemas dengan situasi kekok ini.

“Dah lewat ni. Rasanya saya minta diri dulu. Maafkan saya pasal blind date ni. Emm... nanti makan malam ni saya bayar.”

Terluah tawa kecil dari bibir Azzan.

“Kenapa?” tanya Inara, pelik.

“Tak ada apa-apa. Cuma, pelik... Awak nak belanja makan malam ni?”

“Yalah. Saya dengan Shila dah tipu awak pasal blind date ni. Memang patut saya yang bayar,” jelas Inara.

“Tak perlu. Saya dah bayarkan,” beritahu Azzan tanpa sedikit pun menoleh kepada Inara.

Gelas di sisi dicapai, lalu meneguk habis air putih di dalamnya.

Inara terdiam lagi. Wajah Azzan dipandang dengan seribu rasa. Dia seakan-akan tidak mengenali lelaki di hadapannya ini. Tujuh tahun sudah cukup untuk merubah siapa mereka. Lihatlah sekarang, mereka kembali asing dengan seribu kenangan.

Inara bangkit, mencapai beg tangannya dan mahu terus berlalu.

“Saya minta diri dulu. Terima kasih untuk makan malam ni. Saya akan beritahu Shila untuk selesaikan hal blind date kau orang berdua,” tambah Inara.

“Inara,” panggil Azzan tiba-tiba. Suaranya tidak sekeras tadi.

Langkah Inara terhenti. Dia menoleh kembali, membalas pandangan itu. Menanti ayat yang akan keluar dari mulut itu.

“Tujuh tahun ni, awak okey?” sambung Azzan, turut mendongak, membalas tatapan Inara.

Inara tersentak. Dunia seakan menghempapnya. Jawapan apa yang harus dia beri?

Selama ini tiada siapa pernah bertanya tentang keadaannya. Setelah tujuh tahun, dia mendengar soalan itu lagi. Dan, ia tetap keluar dari mulut yang sama. Dari mulut seorang Mohd. Azzan.

Tanpa membalas, air mata Inara mengalir. Saya tak okey. Saya tak pernah okey, Azzan...