Rindu Awak

BAB 5

  • Art
  • RA

Adakah pertemuan kedua kali untuk mereka? - Inara

“HOW? Macam mana dengan blind date semalam?” Itu soalan pertama yang ditanya oleh Shila sebaik saja menjejakkan kaki di pejabat.

Tanpa masuk ke bilik, dia terus ke tempat Inara untuk mengorek cerita tentang janji temu semalam. Walaupun dia sudah tahu tentang janji temu itu, tetapi dia tetap mahu mendengar cerita daripada Inara pula. Mana tahu lebih gempak jalan ceritanya.

Inara mengerling Shila, lalu menyambung semula kerjanya.

“Eh, kenapa muka kau masam macam ni? Jumpa lelaki handsome pun tak suka ke?” tanya Shila lagi.

“Maaf, Cik Shila. Sekarang masa kerja. Kita bincang masa lunch nanti, ya?”

Itulah Inara, apabila di tempat kerja, dia memanggil Shila dengan panggilan cik. Lebih sopan katanya. Bagi Inara, Shila tetap majikannya walaupun mereka berkawan baik.

“Tak ada, jom teman aku breakfast.” Terus Shila menarik tangan Inara, mengheretnya ke kafe di tingkat bawah syarikat mereka.

“Eh, Shila!” Akhirnya Inara lepaskan juga pen di tangan, lalu membuntuti langkah anak majikannya itu.

Mujur anak bos. .Kalau tidak, mahu dia dengan Shila kena buang kerja.

Shila memesan dua cawan moka panas dan dua potong kek perisa strawberi. Wajahnya nampak teruja menanti cerita versi Inara. Semalam dia tidak dapat mengorek sepenuhnya daripada Azzan. Lelaki itu terlampau kedekut bercerita. Mulut pun payah nak buka.

“So?” Shila nampak tak sabar.

“So? Sebab tu kau belanja aku kek dan moka ni?” Inara melemparkan jelingan tajam kepada Shila.

“Kek dan moka ni, aku tahu kau memang suka. Sebab tu aku belanja. Yang semalam tu, aku nak tahu apa cerita.” Shila tidak mempamerkan riak bersalah.

“Yalah tu. Ni, aku nak tekankan, yang semalam tu first and last aku ganti tempat blind date kau.” Inara memberi amaran keras kepada Shila.

Tidak sanggup dia kalau terpaksa bertemu lagi dengan Azzan buat kali kedua. Namun, akan adakah pertemuan kedua kali untuk mereka? Reaksi Azzan semalam cukup menunjukkan bahawa lelaki itu tidak mahu bertemu dengannya lagi.

“Hmm... macam aku pernah dengar ayat tu. Tapi, di mana ya?” Shila mengusik.

Amaran sama yang diterima daripada Azzan semalam.

“Jangan libatkan dia lagi dengan blind date you.”

Shila tertawa sendiri. Ayat yang sama, cuma penyampaian yang berbeza! bisik hati kecilnya.

“Apa maksud kau?” tanya Inara.

“Hmm? Tak ada apa-apa. Ni, macam mana? Blind date kau semalam okey ke?” tanya Shila lagi.

“Pembetulan, okey. Bukan blind date aku. Tu blind date kau. Dah, aku tak nak terlibat dah.” Inara mengibar kain putih.

Surrender dia kalau dipaksa bertemu dengan Azzan buat kali kedua.

“Ya, blind date aku. Tapi, kau yang pergi semalam. Jadi, apa pendapat kau tentang Azzan?” Shila terus ke isi kandungan.

Hanya itu yang dia mahu tahu daripada Inara.

Mendengar nama itu, jantung Inara berdetak pantas daripada biasa. Pendapat apa yang boleh dia huraikan tentang Azzan?

Dia hanya mengenali Azzan tujuh tahun lalu, bukan Azzan yang sekarang. Semalam pun dia hampir tak kenal lelaki itu. Tiada senyuman, tiada tutur bicara yang lembut. Yang ada hanya pandangan dan kata-kata yang penuh sarkastik.

“Dia okey,” balas Inara pendek.

“Okey aje? Handsome tak bagi kau?”

Inara senyum. Senyum yang kelat. Dia akui, dari dulu hingga sekarang, Azzan sentiasa nampak menarik di matanya.

Dulu, Azzan sering menjadi rebutan pelajar-pelajar perempuan di sekolah mereka. Dan, dia selalu menjadi tempat mereka mengirim surat cinta kepada Azzan kerana mereka tahu dia rapat dengan Azzan kerana mereka satu kampung.

Tiba di alam universiti, dia masih menerima nasib yang sama. Menjadi posmen surat cinta Azzan, sehinggalah semuanya terhenti apabila Azzan dengan lantangnya memberitahu semua orang yang dia telah dimiliki.

Dimiliki oleh dia, Nur Inara.

“Inara?”

Suara itu mengembalikan Inara ke alam nyata. Menghapus jauh kenangan lalu. Di hadapannya kini ada Shila, bukan lagi Azzan yang sentiasa menghadiahkan senyuman untuknya.

“Kau sempat lagi melamun? Ingatkan siapa?” bebel Shila.

“Tak ada siapa. Kau cakap apa tadi?”

“Aku tanya kau, dia kawan satu sekolah dengan kau, kan? Kau kenal tak dia?” tanya Shila lagi, walaupun sudah tahu jawapan itu daripada Azzan semalam.

“Oh... Ya, memang satu sekolah. Tapi, aku tak kenal dia sangat,” bohong Inara.

Moka dihirup sedikit. Sengaja dia tidak membalas pandangan Shila kerana takut Shila dapat menghidu pembohongannya.

“Tak kenal sangat? Muka punya handsome macam tu, kau boleh tak kenal?” usik Shila lagi.

“Kau ingat aku pergi sekolah nak tengok muka handsome aje ke?”

“Tapi, dia cakap dia kenal kau.” Sengaja Shila memancing reaksi Inara.

Shila menghirup mokanya. Dia mencuri pandang ke arah Inara, ingin melihat perubahan riak wajah itu. Wajah itu berubah. Tahulah Shila yang Inara berbohong.

“Kenal? Dia yang kenal kut, tapi aku tak kenal dia sangat.”

“Tak kenal sangat? Tapi, kau tahulah kewujudan Azzan di sekolah kau?”

Inara pelik. Berkerut dahinya memandang Shila.

“Soalan jenis apa ni? Kau nak cakap apa sebenarnya?”

Shila tidak membalas. Dia mengambil telefon pintar dari beg tangannya. Skrin telefon digesek sebelum diberikan kepada Inara.

“Nah. Pesanan untuk kau.” Shila menunjukkan pesanan ringkas daripada Azzan kepada Inara.

I nak you dengan kawan you bertanggungjawab atas apa yang kau orang buat. Mak su I dah tahu pasal blind date semalam. Dia nak jumpa kawan you secepat mungkin. - Azzan

Hampir terkeluar balik kek yang baru saja Inara masukkan ke dalam mulut. Terbuntang besar matanya membaca pesanan ringkas itu.

“Apa pula? Bukan aku yang nak sangat pergi blind date tu.” Wajah Inara nampak takut.

Berjumpa dengan mak su itu satu hal, tapi yang lebih menakutkan Inara adalah pertemuan semula dengan Azzan. Kalau boleh, dia tidak mahu lagi bersua muka dengan lelaki itu. Cukuplah dengan suasana kekok mereka semalam. Dia tak sanggup melaluinya lagi.

“Sorry, Inara. Aku pun tak tahu. Tiba-tiba dia hantar mesej macam ni dekat aku. Aku pun tak tahu macam mana mak su dia boleh tahu.”

Inara menggeleng. “Aku tak nak. Kau cakap itu kali pertama dan terakhir, kenapa sampai nak jumpa mak su dia pula? Apa aku nak cakap?”

Inara sudah membayangkan wajah mak su yang dimaksudkan oleh Shila.

“Semuanya Azzan yang tanggung kut,” balas Shila bersahaja.

“Azzan? Kau cakap Azzan...” Inara menggeleng, kehilangan kata-kata.

Itu lagilah dia tak sanggup.

“Aku tak nak. Aku tak nak jumpa dia lagi.” Inara terus bangkit dari kerusi, tetap dengan keputusannya.

“Inara.” Shila turut bangkit, membuntuti langkah Inara.

“Inara, kat sini rupanya kau.”

Langkah Inara terhenti. Dia mendongak, memandang susuk tubuh yang menghalang langkahnya. Kali ini dia rasakan dirinya seperti ditikam oleh bilah yang tajam. Jantungnya berdetak hebat. Inara berundur beberapa tapak ke belakang, menjauh daripada lelaki itu.

“Macam mana awak tahu saya di sini?” tanya Inara, memberanikan diri. Membalas tatapan mata itu dengan tajam.

“Inara, siapa dia? Kau kenal ke?” tanya Shila, turut berdiri di sebelahnya.

“Kau nak tahu siapa aku? Aku...”

“Pergi, sebelum aku panggil sekuriti.” Inara terus memintas.

Khairul melebar senyum sinis. Sedikit pun dia tidak takut dengan ugutan Inara.

Tiga tahun dia berhempas pulas mencari bekas isterinya ini. Hari ini dia berjaya menemui bekas isterinya, esok hari pula dia mendapat berita yang Inara sudah berhenti kerja.

Tapi hari ini, setelah setahun lebih dia mencari bekas isterinya ini, dia berjaya menemui Inara kembali. Kali ini dia akan pastikan yang Inara tidak akan terlepas daripadanya.

Tiga tahun lepas, dia tidak pernah rela bercerai dengan Inara. Kalau bukan kerana Inara memohon fasakh di mahkamah, sudah tentu Inara masih isterinya.

“Kau ingat aku takut dengan ugutan kau? Rupa-rupanya di sini kau bersembunyi. Dalam company ni.”

“Inara, siapa lelaki ni? Kau nak aku panggil sekuriti ke?” Shila mula risau.

Daripada wajah itu dia tahu lelaki itu bukan lelaki yang baik. Kalau tidak, kenapa Inara nampak takut?

“Tak apa, kau naik dulu. Aku nak cakap sikit dengan dia.” Inara tidak mahu menimbulkan masalah di tempat kerjanya.

Lagipun, sepatutnya tiada masalah lagi antara dia dan Khairul. Mereka sudah bercerai tiga tahun lalu.

“Kau okey ke?” Shila nampak risau mahu meninggalkan Inara sendirian.

“Aku okey. Aku kenal dia. Kau naiklah dulu. Kalau ada apa-apa, aku sendiri akan panggil sekuriti,” ujar Inara, cuba meyakinkan Shila.

“Okey, aku tunggu kau di atas. Apa-apa, panggil sekuriti kat sana.” Sempat lagi Shila berpesan.

Inara mengangguk. Dia menunggu sehingga kelibat Shila tidak kelihatan, kemudian dia mengajak Khairul keluar dari bangunan tersebut.