Rindu Awak

BAB 2

  • Art
  • RA

Dia tidak salah lihat. Setelah tujuh tahun, itulah Azzan... - Inara

“Sampai hati awak, Inara...”

Suara itu bergema lagi. Sejak hari itu, dia tidak mendengar lagi cerita tentang Azzan. Lelaki itu seakan-akan hilang daripada hidupnya. Perginya seperti hilang tak kembali.

Selepas dia berkahwin dengan Khairul, beberapa bulan kemudian, Inara mendapat berita yang keluarga Azzan berpindah dari kampung dan rumah pusaka itu didiami oleh mak su Azzan. Tiada seorang pun rakan sekolah yang dia temui menyebut nama itu.

Tapi, Azzan kerap hadir dalam lenanya sebagai mimpi yang memberi sejuta rasa bersalah.

Tujuh tahun lalu, dia tidak menamatkan pengajian. Perkahwinannya dengan Khairul memusnahkan semua impiannya. Memusnahkan dirinya. Membawanya jauh daripada si dia.

Pantas Inara menggeleng. Tak guna dia mengenang apa yang telah berlaku. Dia telah berjanji bahawa dia tidak akan hidup dalam masa silam lagi. Dia telah meninggalkan segala-galanya tiga tahun yang lalu.

Selepas dia bercerai dengan Khairul tiga tahun yang lalu, Inara terus berpindah dari kampung. Dia tinggalkan segala-galanya. Kini, dia hanya sebatang kara. Dia hanyalah seorang wanita yang mahu bangkit daripada luka semalam, meninggalkan semua yang meragut impiannya tujuh tahun yang lalu.

Telefon pintarnya berbunyi. Cepat Inara mencapainya dari atas meja dapur. Bibirnya diselit senyum kecil.

“Hmm, Shila?”

“Kau kat mana? Dah siap ke? Nak aku ambil sekarang?” Suara Shila bergema di hujung sana.

“Aku kat rumahlah. Siap? Siap nak pergi mana? Ambil aku buat apa?” tanya Inara, kebingungan.

“Inara, kau dah lupa ke?”

“Lupa apa?” Matanya yang masih mengantuk tadi mula celik.

Janji apa yang dia buat dengan Shila? Inara tertanya-tanya sendiri.

“Inara, hari ni kan hari Sabtu. Minggu lepas kau dah janji nak ganti aku pergi blind date tu. Kau jangan tak jadi pula.”

Inara menepuk dahi. Dia benar-benar lupa yang dia telah berjanji dengan Shila untuk pergi janji temu butanya malam nanti.

Shila merupakan kawan yang dia jumpa setahun yang lepas. Setelah berhijrah ke Kuala Lumpur, dia bekerja di banyak tempat. Beberapa kali juga dia terpaksa berhenti kerja apabila Khairul datang mengganggunya. Kini, sudah setahun lebih dia bekerja di tempat baru. Syukur Khairul masih tidak menemui tempat kerjanya sekarang.

Shila merupakan anak kepada pemilik syarikat di tempat kerjanya sekarang. Kerana tidak menamatkan pengajian di universiti, hanya kerja kerani yang mampu dia buat.

“Hmm, ya. Aku tak lupa,” bohong Inara.

“Alah, kau lupa sebenarnya. Tak apa, kau tunggu sekarang. Aku on the way ke rumah kau.”

“Kejap. Betul ke kau tak nak pergi blind date tu?” Inara mula meragui keputusannya membantu Shila.

Kerap kali juga dia dengar Shila bising dengan setiap janji temu buta yang diatur oleh mamanya. Dan, Shila pula hanya menurut kerana tidak mahu bertekak dengan mamanya itu.

“Tak nak aku pergi blind date tu. Kalau aku pergi, Amar nak simpan mana? Kau pun tahu aku dalam proses nak memikat Amar.”

Amar merupakan salah seorang akauntan baru di syarikat mereka. Shila jatuh cinta pandang pertama dengan Amar, sebab itu sehingga sekarang dia masih cuba memikat Amar.

“Dalam proses aje, kan? Tak pasti lagi. Apa kata kau pergi dulu blind date tu. Mana tahu yang seorang ni kau berkenan. Kut lebih kacak daripada Amar,” pujuk Inara.

“Tak nak aku. Alah, kau tolonglah aku. Kali ni aje. Aku janji ni yang pertama dan yang terakhir. Aku akan pastikan mama aku stop aturkan blind date untuk aku.” Shila masih cuba memujuk.

Inara menghela nafas panjang. Mahu tak mahu, dia kena juga gantikan tempat Shila ke janji temu buta itu. Kalau tidak, setahun dia akan dengar Shila membebel.

“Last?”

“Ya, last. Aku akan bagi tahu mama aku yang aku dah ada Amar. Lagipun, blind date ni dibuat dari bulan lepas. Aku tak boleh nak elak. Please...”

Inara diam sejenak sebelum bersetuju.

“Thank you, Inara. Sebab tu aku sayang sangat dekat kau. Tapi, kau jangan risau. Lelaki yang sekarang ni okey daripada yang sebelum ni. Dia anak kawan baik mama aku. Rasanya dia pun tak nak pergi blind date ni, sebab tu tertangguh sampai sebulan,” jelas Shila lagi.

“Tak kisahlah nak ke tak. Yang penting, cepat aku pergi, cepat aku balik. Kau datang sekarang ambil aku.”

“Okey, bos!”


HAMPIR setengah air di dalam gelas putih itu diminum oleh Inara. Sudah 15 minit dia menunggu, namun kelibat teman blind date Shila masih tidak kelihatan.

Inara bermain dengan gelas di tangan. Kalau tidak memikirkan persahabatannya dengan Shila, tak ingin deia pergi janji temu gila begini.

Shila pula bergelut dengan janji temu demi janji temu yang diatur oleh mamanya hanya kerana usianya sudah mencecah 30-an. Puas Shila tolak, namun tak selalu dia dapat menolak. Selalunya Shila akan pergi, cuma kali ini dia minta tolong Inara kerana dia telah terjatuh suka kepada Amar.

Jam di tangan dipandang sekilas. Hampir menunjukkan pukul 9:00 malam. Terus Inara mengambil telefon pintar dari dalam beg dan menghubungi Shila.

“Kenapa, Inara? Dia dah sampai?” Terus Shila bertanya.

“Tak sampai lagi. Aku balik ajelah. Rasanya, dia tak datang kut. Kau sendiri cakap dah banyak kali tangguh janji temu ni,” beritahu Inara.

“Alah, ya ke? Apa kata kau tunggu 10 minit lagi? Kalau dia tak datang, kau balik aje. Aku ambil kau. Nanti ada juga alasan aku nak bagi kat mama aku.”

“10 minit lagi? Okey, aku tunggu untuk 10 minit lagi. Kalau dia tak datang, aku takkan tunggu lagi.”

Entah kenapa Inara cepat berlembut hati dengan Shila. Mungkin kerana Shila anak bosnya, jadi dia tak mampu melawan.

“Ya. Aku pun tak suka orang yang tak tepati masa macam ni.”

“Hmm... tahu pun kau.”

Tak apa, dia tunggu untuk 10 minit lagi. Inara akur.

“Kan... Sangat tak berdisiplin. Orang macam tu mama aku nak jodohkan dengan aku? Memang taklah! Eh, ni kau nak tengok muka dia tak? Mama aku baru aje WhatsApp gambar dia tadi,” ujar Shila tiba-tiba.

Pantas Inara menggeleng. Seakan-akan Shila melihat gelengannya.

“Tak nak. Nak tengok buat apa? Bukannya aku berminat pun. Ni kali pertama dan terakhir aku jumpa dia. Tak naklah, buat penuh memory phone aku aje.” Sempat lagi Inara berseloroh.

“Alah, untuk cuci mata aje. Dia 10 kali lagi handsome daripada Amar. Kalau kau nak, kau boleh ambil peluang ni untuk cari jodoh kau. Kejap eh, aku send gambar dia dekat kau sekarang.” Shila bersemangat.

“Kalau betul 10 kali lebih handsome daripada Amar, kenapa tak kau sendiri pergi blind date ni? Kalau kau nak, masih sempat ni,” bebel Inara.

“Memanglah handsome, tapi hati aku dah terpaut dengan Amar. Aku dah tak boleh pandang lelaki lain. Tapi yang ni... aku bagi kat kau. Dah, aku dah send gambar. Cepat tengok.”

“Tak nak, jangan...”

Ting!

Belum sempat Inara menghabiskan ayatnya, bunyi pesanan WhatsApp daripada Shila kedengaran. Tidak mahu terus bertegang urat dengan Shila, dia turutkan juga. Panggilan daripada Shila dibiarkan. Tangannya menggesek skrin telefon pintar, membuka pesanan gambar daripada kawannya itu.

“Hei, Inara. Aku baru tahu dia ni satu sekolah menengah dengan kau dulu. Mungkin kau kenal dia. Nama dia... kejap! Ha, nama dia Mohd. Azzan.”

Serentak itu, Inara menekan gambar yang dihantar oleh Shila. Serta-merta tubuhnya membeku. Membuntang besar matanya.

“Azzan...” Nama itu meniti perlahan di bibir Inara.

“Hmm, ya saya.”

Suara dehaman menyentak lamunan Inara. Dia mendongakkan kepala. Terasa luruh jantungnya melihat gerangan yang berdiri di hadapannya sekarang.

Dia tidak salah lihat. Setelah tujuh tahun, itulah Azzan... Teman sepermainannya. Dan, ini merupakan pertemuan semula yang tak dijangka.