AKU memerhati pelaminan yang meriah itu. Untungnya kau, Lea. Dikelilingi oleh rakan-rakan yang setia dengan kau.
Aku? Aku hanya sendiri.
Bibir aku mengukir senyum melihat Fakhri yang sedang berbual-bual dengan Syakila dan Meon. Aku lihat mereka sering bersama-sama. Terbit rasa cemburu di sudut hati melihat hubungan persahabatan mereka yang akrab.
Gelagat Fakhri begitu berbeza kalau bersama kawannya. Kalau dengan aku, Fakhri buat tak endah saja. Seolah-olah aku tak wujud di depan matanya.
Kaki, sudah aku atur mendekati mereka yang seronok berbicara.
“Tak habis lagi teka-teki kita ni. Cepat, cepat! Siapa yang teka betul, apa yang aku bagi pada Lea dengan Wan, aku akan bagi hadiah yang sama pada pemenang. Tapi syaratnya, tunggu majlis kahwin dialah.”
Telinga aku dapat mendengar Fakhri berkata dengan penuh semangat.
“Auto washing machine. 7.5 kg. If I’m not mistaken?” jawabku tanpa sedar. Alamak!
Semua mata terarah kepada aku.
Aduh! Buat hal betullah kau ni, Anastasia. Hampir saja aku tepuk mulut sendiri. Namun, aku cuba mengawal riak wajah aku dengan mempamerkan muka tanpa perasaan.
“Betul ke, Fakhri?” Syakila bertanya.
Fakhri berdehem beberapa kali sebelum mengangguk.
“Alaa, melepas aku nak hadiah kahwin besar gedabak macam tu. Mana kau tahu hadiah tu mesin basuh?” Syakila bertanya kepada aku.
Aku ketawa gugup dengan soalan itu. Tak mungkin aku nak cakap aku mengekori Fakhri di pekan tempoh hari. Memang tempah bala namanya!
“Aku teka aje. So, Fakhri, jangan lupa hadiah nanti.” Aku ketawa kecil untuk menghilangkan rasa gugup.
Ini kali pertama aku berjaya berinteraksi dengan Fakhri.
“Bila kau nak kahwin? Kalau lambat lagi, kensel!” Fakhri memeluk tubuh.
Kening aku berkerut dengan intonasi yang digunakan oleh Fakhri. Dingin saja.
Benarlah. Dia masih marah dengan aku.
“Soon,” jawab aku selamba.
Mata aku sempat berpandangan dengan Lea. Dia membuat isyarat supaya aku mengambil tempat di sebelahnya.
Tanpa aku sedar, kaki aku hampir saja tersadung. Itulah, pakai lagi kain ketat. Mulalah susah mahu melangkah. Tidak semena-mena aku tertolak tubuh Fakhri. Mujurlah aku sempat mengawal badan aku daripada terus memegang Fakhri.
Dia juga jelas terkejut. Aku lagilah terkejut.
Laju saja aku mengajak Syakila untuk bergambar bersama Lea dan Hazwan. Aku dapat menangkap riak wajah Syakila yang sedikit kebingungan.
Yalah, aku dan dia bukannya kenal sangat pun. Terpaksa aku tebalkan muka semata-mata kerana mahu menutup rasa malu.
“Kau ada masalah ke dengan Fakhri?” Lea berbisik halus ke telinga aku.
Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Sempat mata aku mencari kelibat Fakhri yang sudah menghilang. Hmm... Hilang lagi?
“Tak adalah. Aku pun tak faham apa masalah dia.” Aku cuba untuk beriak selamba.
“Ke dia cemburu?” Syakila mula buat spekulasi.
“Cemburu? Tak mungkin. Kami bukannya ada apa-apa pun. It’s just puppy love, cinta monyet.” Aku menjawab untuk menutup malu.
Takkan aku mahu beritahu kepada mereka niat aku pulang ke sini untuk menambat hati Fakhri semula. Malulah aku!
“Jadi, kau mengakulah kau pernah bercinta dengan Fakhri dulu ya?” Lea mengusik aku.
“Lea, tu cuma cinta monyet. Jangan pedulikan dia. Fakhri tu kadang-kadang biul sikit.” Aku berkata, seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Masih cuba berselindung tentang perasaan aku.
Ya, memang benar. Aku dan Fakhri pernah bercinta masa zaman sekolah dulu dan selepas aku berpindah ke luar negara, hubungan kami terputus begitu saja. Atau lebih tepat, aku dipaksa untuk memutuskan hubungan kami.
Itulah sebenarnya yang berlaku.
“Aku rasa Fakhri tunggu kaulah. Sebab aku tak pernah nampak Fakhri dengan mana-mana perempuan.”
“Nonsense. Stop it, Lea. Aku balik sini bukan sebab nak sambung hubungan cinta yang tak jadi tu.” Aku bersuara dengan tegas.
Aku tak mahu mereka menghidu rancangan aku.
Lea dan Syakila terdiam dengan kata-kata aku. Mata mereka terarah ke belakang aku. Perlahan-lahan, aku memalingkan wajah.
“Aku faham, Tasia. Perasaan aku ni mainan saja bagi kau. Selfish!” Kedengaran suara Fakhri berkata dengan penuh geram.
Alamak! Fakhri dengar apa yang aku cakap? Hesy! Lain yang aku harap, lain pula yang jadi.
Aku terkedu melihat Fakhri yang sudah berjalan menuju ke pintu. Apa aku nak buat ni? Anastasia, wake up! Chase him or you will lose him again! Not again! I will not lose him again!
Laju saja aku mengatur langkah untuk mengejar lelaki itu. Mata-mata yang memandang, langsung tidak aku pedulikan.
“Fakhri, wait!” Aku menarik lengan lelaki itu dengan kuat. Mahu menahan dia daripada berlalu.
Fakhri hanya diam membatu dan merenung aku tajam.
Gulp! Aku tak pernah melihat wajah Fakhri seperti ini. Kebiasaannya, dia hanya tersenyum ceria.
“Fakhri, let me explain.” Aku merayu kepadanya.
Fakhri menarik kembali lengannya daripada pegangan aku dan laju saja dia meloloskan diri ke dalam kereta.
Apa aku nak buat ni? Mata aku sudah berkaca apabila melihat kereta itu bergerak pergi. Sakitnya rasa ini, hanya Tuhan yang tahu. Mungkin ini adalah balasan untuk aku.
Aku pegang dada yang terasa sesak. Sukar rasanya untuk bernafas. Deringan telefon yang kedengaran, memaksa aku berhenti memasang niat untuk mengejar Fakhri. Aku mencapai telefon dari dalam beg tangan dan melihat nama si pemanggil.
Joshua?
Hati aku berdebar-debar apabila melihat nama itu. Joshua adalah kawan baik aku yang tinggal di Scotland. Hanya dia saja yang tahu keberadaan aku sekarang.
“Hello, Josh.”
“Anastasia! I need you to come back here. Now!”
Suara kalut Joshua membuatkan aku tak senang duduk.
“What happened, Josh?”
“Your papa!”
Pantas aku matikan talian dan tergesa-gesa pulang ke resort. Sekarang dalam kepala aku hanya memikirkan tentang papa. Walaupun dia selalu menyakiti aku, namun apabila mendengar khabar berita sebentar tadi, aku dilanda kerisauan.
Dan, untuk Fakhri, aku janji, aku akan betulkan segala-galanya.