MATA aku mengintai dari dalam kereta, berharap dapat melihat kelibat Fakhri di kawasan rumahnya. Walaupun dari jauh pun tak mengapa. Asalkan aku dapat melihat lelaki itu.
Pertemuan kami di majlis Lea dulu benar-benar membuatkan rasa rindu aku terhadapnya sedikit terubat.
Benar, rupa-rupanya masih ada rasa rindu terhadapnya. Namun, kadang-kadang aku keliru. Sama ada ini benar-benar rindu atau sekadar untuk melegakan hati aku yang dilanda rasa bersalah.
“Hesy, susahnya nak tengok Fakhri ni! Agak-agak kena pergi kenduri kahwin dulu ke baru boleh nampak dia?” Aku mengomel sendirian.
Fikiran aku kembali teringatkan kad jemputan perkahwinan Syakila yang aku letak di atas meja kopi di bilik resort. Setelah kerap kali bertemu, Syakila sudah mula mesra dengan aku dan kami sudah mula berkawan.
Hmm... lagi-lagi jemputan kahwin.
Sebenarnya, aku baru saja kembali dari Scotland. Selepas menghadiri majlis perkahwinan Lea, aku menerima panggilan antarabangsa dari Scotland yang menyampaikan perkhabaran duka.
Papa aku sudah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Dia memandu dalam keadaan mabuk. Siapa sangka apa yang menjadi kegemaran papa selama ini telah membunuhnya. What you love the most will kill you.
Aku terpaksa berada di Scotland selama tiga bulan untuk menguruskan dokumen-dokumen penjualan rumah arwah papa. Aku tidak tahu berapa lama lagi proses itu akan mengambil masa. Selebihnya, aku serahkan kepada peguam yang sudah aku upah di sana.
Sebolehnya aku mahu pergi jauh dari bumi Scotland, jauh daripada bayangan arwah papa. Jadi, aku nekad untuk terus menetap di Malaysia. Aku mahu mulakan hidup baru di sini. Hidup yang tenang tanpa gangguan sesiapa.
Jujur aku katakan, kematian papa sedikit pun tidak memberi kesan kepada aku. Kejamkah aku?
Kalau aku kejam, bagaimana pula dengan dia yang sanggup menyakiti kami? Memukul kami tanpa ihsan? Diperlakukan seperti binatang. Sedangkan binatang juga sayangkan anaknya.
AKU berdiri di hadapan pelamin Syakila, memerhatikan saja Lea yang sedang mengusik sepupunya itu. Bagai kebetulan pula tadi kami bertemu di hadapan khemah. Jadi, aku ikut saja Lea untuk bertemu Syakila dan pasangannya.
“Aku dah lepas. Kau bila lagi, Tasia?” Syakila angkat kening kepada aku.
Soalan Syakila itu hampir saja buat aku tersedak. Macam tak ada soalan lain pula mahu ditanya.
“Single is a choice, okay,” jawab aku dengan nada angkuh.
Aku tak mahu mereka semua menghidu rancangan aku. Biarlah hanya aku saja yang tahu apa yang bermain dalam kepala otak aku ketika ini.
Sempat mata aku melilau mencari kelibat Fakhri. Namun, tidak kelihatan. Pandai betul dia sembunyikan diri. Macam tahu-tahu saja aku sedang mencari dirinya.
“Really? Dasar mote solo,” selar Syakila.
Aku berdecit seketika dan membuat aksi mahu mencubit Syakila. Berani betul dia gunakan gelaran ‘orang single sejak dari lahir’ itu pada aku. Apa, dia ingat aku tak laku sangat?
“No one died because of marrying late, but some people died because of marrying wrong,” ujar aku dengan lagak selamba.
Tidak mahu kalah dengan kata-kata Syakila.
“Yalah, Cik Tasia oi. Aku harap Mr. Right kau datang meminang kau cepat. Nanti bolehlah kita lepak ramai-ramai,” ujar Syakila sambil matanya melirik kepada Fakhri yang baru datang menghampiri kami.
Aku gigit bibir. Ah, sudah! Anastasia, kawal perasaan kau! Jangan nampak sangat kau gembira sebab Fakhri ada dekat sini.
“Kau jangan nak mengarut.” Aku mengetap bibir.
Cuba menyangkal gurauan Syakila itu. Walhal hampir saja aku tersenyum dengan usikan itu.
Wajah aku kembali ketat melihat Fakhri mengheret Hazwan menjauhi kami. Tak guna betullah Fakhri ni. Aku baru saja hendak gunakan peluang ini untuk mendekati dia. Lepas dia nampak aku, terus dia cabut lari pula.