AKU memerhatikan sahaja rumah yang meriah dengan orang ramai itu.
Malam ini merupakan majlis akad nikah Lea. Aku rasa serba salah mahu melangkah masuk ke dalam rumah itu. Walaupun kami sudah berdamai, aku gusar kalau kehadiran aku pada malam ini akan menimbulkan rasa tidak enak kepada Lea.
Lantaklah! Yang penting aku memang ikhlas mahu meraikan hari bahagia Lea bersama Hazwan.
Aku menolak pintu kereta dengan berhati-hati selepas mematikan enjin. Aku sudah berada di dalam kereta lebih kurang 30 minit.
Tangan aku mengemas selendang di atas kepala. Rambut yang sudah siap disanggul cantik, aku rapikan lagi. Malam ini aku memakai baju kebaya berwarna kuning milik arwah mama. Masih elok dan padan dengan badan aku.
Bismillah. Aku gagahkan diri untuk melangkah ke pintu utama rumah Lea. Aku atur langkah tanpa memandang ke belakang. Mata aku melilau mencari kelibat Lea bersama pasangannya. Bibir aku mengukir senyum setelah melihat Lea dan beberapa orang lagi yang berada di pelaminan.
Dari kejauhan, Lea melambai sebaik saja melihat kelibat aku. Serta-merta dada aku terasa sesak apabila melihat wajah yang sudah lama aku rindukan. Wajah yang sering bermain dalam fikiran aku sejak bertahun lamanya.
Aku lihat dia sudah sedikit berisi, namun tetap tampan. Fakhri kelihatan kacak berbaju Melayu. Tetapi, kenapa wajahnya seperti tidak peduli dengan kehadiran aku? Atau mungkin kerana penampilan aku sudah berbeza daripada sebelum ini?
Yalah, dulu aku bertudung. Sekarang, aku dengan megah menayang aurat.
Aku merasa segan apabila ada beberapa pasang mata yang merenung aku. Aku ingat-ingat lupa sudah nama mereka. Tetapi aku pasti, kami pernah bersekolah bersama-sama ketika sekolah menengah.
Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba untuk berlagak selamba.
“Hai, semua. Long time no see.” Aku melambai-lambai kepada mereka semua.
Tangan aku hulurkan untuk bersalam dengan Syakila. Lea memperkenalkan wanita itu sebagai sepupunya. Baru aku tahu mereka sebenarnya bersaudara.
“Tahniah, Lea, Hazwan. Lea, you look so gorgeous tonight. Sorry aku lambat datang. Tadi aku ada hal sikit. Ingatkan sempatlah tengok majlis akad nikah tadi,” ujar aku dengan wajah kecewa sambil menghulur tangan kepada Lea.
Mana mungkin aku memberitahunya bahawa aku termenung di dalam kereta selama 30 minit.
“Tak apa, Tasia. Kau datang pun, aku dah bersyukur sangat. Majlis bersanding kami esok, kau datang tak?” tanya Lea.
Kami masih berpegangan tangan. Aku tahu Lea sudah menerima aku sebagai kawannya melalui layanan Lea yang mesra.
“Mestilah datang. Kau dah jemput kan. Kau orang tengah bergambar ke? Maaf mengganggu. Tak perasan pulak,” ujarku sambil ketawa kecil untuk menghilangkan rasa gugup.
Baru aku perasan kehadiran jurukamera di hadapan pelamin. Kaki aku sudah berura-ura untuk melangkah pergi.
“Eh, tak apa. Masuklah sekali. Jomlah.” Lea menggamit aku kembali.
Aku pamer wajah serba salah dan tergamam apabila Syakila memegang lengan aku supaya berdiri di sebelahnya. Mahu tak mahu, terpaksa aku turutkan.
Mata aku sempat mengerling Fakhri. Lelaki itu seperti tak endah saja dengan kehadiran aku. Mungkin dia masih marahkan aku? Ah! Buntunya.
“Macam tak balance aje ni. Cik yang pakai baju kuning tu, boleh tak berdiri sebelah sana. Sebelah abang tu.” Jurukamera mengarahkan aku bergerak ke sisi Fakhri.
Aku terkaku seketika. Berdiri di sebelah Fakhri? OMG!
Kesemua mata memandang ke arah aku. Mahu tak mahu, terpaksalah aku beralah. Sempat aku menangkap bibir Fakhri yang tersenyum.
Fakhri senyum? Tapi, kenapa dia langsung tak tegur aku walau satu patah perkataan pun?
Malam ini aku pulang dengan penuh kekecewaan apabila Fakhri langsung tidak menegur aku. Malah, setelah sesi bergambar, dia terus menghilangkan diri. Membuatkan aku bertambah yakin bahawa Fakhri membenci aku.
TANGAN aku membelek-belek baju di dalam almari. Rasa menyesal bertandang dalam hati.
Kenapalah aku bersetuju untuk hadir pada majlis persandingan Lea? Macam mana kalau aku terserempak dengan Fakhri lagi? Sungguh hati aku tak kuat untuk melihat wajah dingin lelaki itu.
Sebenarnya aku mahu membetulkan kesilapan aku kepadanya. Tetapi, aku tak tahu bagaimana cara untuk mendekati lelaki itu.
Minggu lepas, sewaktu aku membeli barang-barang keperluan di pekan, aku ternampak kelibat Fakhri di kedai perkakasan rumah dan elektrik. Waktu itu hampir saja aku berteriak memanggil namanya. Namun, aku terpaksa menahan diri.
Aku sedar aku tidak layak untuk menyebut namanya. Lagi-lagi selepas apa yang berlaku.
Mujurlah lelaki itu tak perasan aku mengekorinya hingga ke dalam kedai itu. Kalau tidak, pasti aku akan dilabel sebagai stalker.
Aku dan Fakhri mempunyai kisah lalu yang cuba untuk aku tutup. Tetapi, tak mungkin akan berjaya kerana masih ada rasa penyesalan dalam hati aku.
Aku tak mahu terlepas peluang lagi untuk membetulkan segalanya-galanya. Aku juga berharap Lea akan menyampaikan salam maaf aku kepada Hazwan dan menceritakan perkara sebenar kepada lelaki itu.
Fikiran aku kembali berlayar pada peristiwa di mana aku datang ke kedai Lea buat kali kedua. Aku gagahkan diri untuk membuat pengakuan bahawa aku adalah dalang sebalik surat berbaur kebencian itu.
Sebenarnya aku terkejut apabila dapat tahu surat yang aku tulis, sekadar untuk mempermainkan Lea, telah menjadi satu salah faham yang memusnahkan hubungan dia dan Hazwan. Aku rasa amat bersalah.
Aku akui, aku bukanlah manusia yang tidak lepas daripada membuat kesilapan. Dulu, hubungan aku dan Lea menjadi tidak baik semenjak kami sering dibandingkan oleh rakan-rakan. Mungkin itu titik permulaan di mana tercetusnya rasa tidak senang dalam hati aku.
Aku merasa menang apabila Lea berpindah sekolah setelah itu. Apa yang aku boleh katakan, memang aku bodoh kerana melakukan perkara tersebut. Untung saja Lea bersedia untuk memaafkan aku.
Sekarang fokus aku hanya kepada Fakhri. Aku mahu baiki hubungan kami semula. Walaupun sekadar kawan. Aku terima saja.