High School Sweetheart

BAB 1

  • Art
  • Schaslee

LANGKAH kaki aku terhenti di hadapan pagar rumah arwah mama. Dahi aku berkerut kehairanan. Kenapa aku rasa tak sedap hati saja?

Aku rasa sudah lama rumah ini ditinggalkan kosong. Tapi sekarang, rumah ini seperti berpenghuni saja. Terdapat sebuah kereta di garaj dan laman yang bersih tanpa sebarang dedaun kering.

Aku menyapa seorang wanita yang bukan berbangsa Melayu yang kebetulan keluar dari rumah. Dia mendekati aku dan bertanya.

“Yes? What can I help you with, miss?” Wanita itu memandang aku kehairanan.

“May I know who you ere? What are you doing here? This is my house.” Perasaan aku sudah mula berkecamuk.

“Your house? Pardon me? This is my house. I bought it two years ago.”

Mendengarkan kata-kata wanita itu, darah aku mendidih. Tak mungkin! Aku pasti ini adalah tipu belaka.

“What?! No, no. I think there’s a mistake. By the way, who sold this house to you?” Aku cuba untuk menahan sabar.

“Ray sold it to me. Wait a minute. Are you his daugher?”

Aku terdiam, tidak menjawab soalan itu. Masih terkejut dengan perkhabaran yang baru aku terima. Papa jual rumah arwah mama? Ya Tuhan, ujian apakah ini?

Aku hampir jatuh terduduk, namun aku sempat berpaut pada pagar. Aku berjalan menuju ke kereta tanpa mempedulikan suara wanita yang memanggil itu. Hati aku kecewa, sedih dan remuk dengan semua ini.

Sampainya hati papa buat aku begini!

Banglo setingkat itu dihadiahkan oleh arwah atuk kepada mama. Sayangnya, mama tidak berpeluang untuk tinggal di rumah ini kerana terpaksa mengikut papa tinggal di Scotland atas urusan kerja.D

ahulu, aku tinggal di kampung bersama arwah nenek dan atuk kerana mereka mahu aku membesar dalam adat budaya Melayu. Namun, meninggalkan kampung ini merupakan satu penyesalan yang berat bagi aku.

Mama, Tasia rindu mama. Aku ulang ayat itu beberapa kali dalam hati.

Aku perhatikan banglo setingkat itu dengan perasaan sebak. Terasa seperti melihat bayangan mama yang menggamit aku ke arahnya. Mama tersenyum manis dan melambai-lambai kepada aku.

Namun, semuanya lenyap begitu saja apabila aku terbayangkan suara mama yang menjerit kesakitan, yang merayu kepada papa supaya berhenti memukulnya. Suara itu bagaikan satu igauan bagi aku. Mimpi buruk yang aku cuba untuk hapuskan daripada ingatan aku.

Aku selak baju yang menutupi lengan aku. Terdapat satu kesan lebam yang hampir pudar. Itulah tanda ‘kasih sayang’ yang papa berikan kepada aku sebelum aku berjaya melarikan diri ke sini.

Dulu, mama yang menjadi mangsa. Selepas mama meninggal akibat kanser, tiba giliran aku pula menjadi mangsa amukan papa. Sengsaranya hidup aku mempunyai seorang papa yang kaki minum.

Awalnya, papa baik-baik saja. Namun, selepas kematian ibunya, semuanya berubah. Papa bertindak seolah-olah kami hanyalah tempat dia melepaskan rasa geram dan amarahnya.

Aku kembali memandu kereta untuk pulang ke resort. Kepala aku sudah berdenyut, penat memikirkan nasib hidup aku di sini.

Aku fikir kepulangan aku ke sini akan membuka jalan untuk aku hidup bahagia tanpa gangguan sesiapa. Namun, aku silap. Aku masih lagi hidup dalam bayangan papa.

Aku tidak menyangka, papa mendahului aku dalam segala-galanya. Termasuk dengan menjual rumah arwah mama. Dia seolah-olah dapat menghidu rancangan aku untuk kembali ke sini.

Aku benci semua ini!

Aku benci rasa yang menyekat aku untuk hidup bebas!

Aku mahu bebas daripada cengkaman papa!

Sebenarnya, banyak yang menjadi faktor untuk aku pulang ke kampung ini. Tentang Fakhri, rumah arwah mama dan Lea, kawan sekelas aku ketika di tingkatan tiga.

Dua hari lepas, aku bertemu Lea atas urusan peribadi. Ada hutang yang mahu aku lunaskan. Hutang bersama Nora Hazalea.

Aku tidak menyangka tindakan bodoh aku suatu ketika dahulu telah menyebabkan ada hubungan yang renggang. Semuanya salah aku dan kami telah selesaikannya dengan cara baik. Walaupun aku tahu sukar untuk Lea terima, namun aku memilih untuk berdamai.

Aku mengeluarkan kad jemputan dari beg tangan. Tertera nama pasangan dua sejoli di atasnya. Nora Hazalea dan Hazwan. Mereka adalah mangsa daripada sikap tidak matang aku. Aku harap urusan mereka untuk berumah tangga akan dipermudahkan.