High School Sweetheart

PROLOG

  • Art
  • Schaslee

“FAKHRI, I’m coming back to find you.” Aku merenung sekeping gambar lama di tangan.

Wajah lelaki yang sedang mengukirkan senyuman itu sering membuatkan bibir aku turut ikut tersenyum. Jari-jemari aku menyentuh bahagian tepi gambar yang mulai pudar.

Sudah beberapa tahun berlalu sejak kali terakhir aku melihat dia. Sembilan? Sepuluh? Atau mungkin lebih lama lagi.

Aku fikir aku sudah melupakan semua tentang dia. Namun hakikatnya, Fakhri tidak pernah hilang daripada ingatan aku. Dia adalah lelaki yang pernah mengisi ruang hati aku sewaktu zaman remaja.

Apa khabar agaknya Fakhri sekarang? Adakah sudah berkeluarga atau masih lagi bersendiri seperti aku?

Setiap kali aku teringatkan Fakhri, rasa sedih sering menyelubungi hati aku. Fakhri adalah lelaki yang gagal aku pertahankan.

Aku akui banyak janji-janji kami bersama yang aku gagal tepati. Namun, semua yang berlaku selama ini bukan keinginan hati aku. Aku juga mangsa keadaan.

Tapi, kenapa baru sekarang? bisik hati kecilku.

Aku juga tidak tahu jawapannya. Aku hanya tahu aku perlu mencari dia.

Untuk apa? Untuk meminta maaf atas sesuatu yang masih menghantui aku? Aku sendiri tak pasti.

Tapi, yang pasti, Fakhri mungkin sudah melupakan aku. Dan, jika aku kembali, aku harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan bahawa Fakhri tidak mahu melihat wajah aku lagi.

Mata aku merenung ke luar tingkap pesawat yang sedang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Hujan gerimis mulai menyapa bumi, memberi kesan sejuk pada suasana.

Hati yang dahulu penuh dengan kesedihan dan keraguan, kini berdegup kencang.

Beberapa tahun berlalu sejak aku meninggalkan Malaysia, meninggalkan segala kenangan yang pernah terukir dalam hidup aku. Namun, kali ini aku kembali dengan satu tujuan. Untuk membaiki hubungan yang telah lama terlerai.

Dan, ada sesuatu yang perlu aku perbetulkan atas sikap tidak matang aku dahulu. Ada hutang yang perlu ditebus. Mungkin apa yang berlaku pada hubungan aku dan Fakhri adalah kifarah buat aku.