From Crush To Husband

BAB 3

  • Art
  • FCTH

LAMBAT-LAMBAT Nia labuhkan duduk di birai katil. Dompet di tangan dia genggam kemas. Hatinya libang-libu. Macam-macam perkara bermain dalam fikirannya.

Serabut? Tak usah cakaplah.

Perlahan-lahan, dia buka dompet di tangan. Beberapa keping not RM10 yang berada di dalamnya dia keluarkan. Sesudah itu, dia kira helaian not di tangan. Hanya berbaki RM100.

Ah, macam tak cukup untuk belanja dia sepanjang bulan ini. Nak bayar duit rumah sewa, makan minum dia lagi. Duit PTPTN pun hanya cukup untuk bayar yuran pengajian dia saja. Berapa sen sangatlah baki yang tinggal lepas tolak semua duit yuran.

Argh! Entah di mana dia nak cari duit lagi? Dalam tak sedar, Nia menghembus nafas berat.

Ketukan pada pintu bilik mengejutkan Nia. Laju dia berpaling. Daun pintu terkuak luas sebelum Fatin muncul di depannya.

“Boleh aku masuk?”

“Kau dah masuk dah pun.”

Fatin tayang sengih di bibir.

“Tengah kira duit ke tu?” soal Fatin bila melihat beberapa keping duit kertas berada di tangan Nia.

“Fatin, kau tahu tak kat mana ada kerja part time?” aju Nia sambil pandang Fatin yang sudah mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“Tak tahu pulak aku. Nanti aku tanya pada kawan-kawan kita yang lain. Tapi, siapa yang nak kerja?”

“Akulah.” Spontan jawapan Nia.

Keruh air mukanya. Cuba menahan segala beban yang mengasak akal fikiran.

“Mak tiri kau tak bagi kau duit?”

Nia geleng perlahan.

“Kau tak mintak?”

“Kalau aku mintak pun, kau ingat dia nak kasi ke? Kalau dia nak bagi, dah lama dia bagi,” balas Nia perlahan.

“Eh, jahatlah mak tiri kau ni. Arwah bapak kau memang tak ada tinggalkan apa-apa ke untuk kau?” Berkerut kening Fatin.

“Fatin, apa sangatlah harta arwah bapak aku yang ada. Kami cuma ada rumah pusaka dengan tanah kebun tu saja.”

“Tapi, kau bagi tau aku hari tu mak tiri kau dah jual tanah kebun tu, kan? Takkan kau langsung tak merasa duitnya?”

“Biarlah, Fatin. Aku malas nak cakap pasal hal ni. Sekarang ni aku kena fikir macam mana aku nak cari duit untuk tampung belanja aku kat sini,” kelih Nia lagi.

Dia tunduk memandang wang kertas yang masih berada dalam tangan. Dengan jumlah yang tak seberapa itu, entah berapa hari agaknya dia mampu untuk bertahan. Tak boleh jadi. Dia kena cari kerja secepat yang mungkin. Kang tak pasal-pasal dia kena ikat perut.

“Kesiannya kau. Tak apa, nanti aku tolong kau carikan kerja part time tu. Tapi, sementara kau belum dapat kerja ni, biar aku yang sara makan minum kau.”

“Eh, janganlah, Fatin. Kau dah banyak tolong aku tau. Aku dah malu nak terima pertolongan kau.”

“Jangan nak mengada okey. Kau tu kawan baik aku. Kalau kawan tak tolong kawan, siapa lagi? Dah, jangan banyak songeh. Esok aku belanja kau lunch.”

“Tapi, Fatin...”

“Haip... Tak ada tapi, tapi okey.” Laju Fatin cantas bicara Nia.

“Aku sebenarnya bukanlah nak belanja kau sangat. Tapi, aku craving nak makan nasi ayam geprek kat restoran dekat kampus kita tu. Masalahnya, tak ada kawan yang nak temankan aku. So, aku ajaklah kau,” sambung Fatin lagi.

Sengaja cuba mereka-reka cerita agar Nia tidak menolak ajakannya.

Nia melarik senyum. Faham benar dia dengan perangai Fatin.

“Thanks, Fatin,” ucap Nia perlahan.

Fatin raih pergelangan tangan Nia, lalu digenggam lama. Seakan-akan cuba menyuntik semangat dalam diri gadis itu agar tidak mudah putus asa.

“Kau sabar tau. Ujian Allah tu bermacam-macam. Aku akan doakan semoga kau dapat cari penyelesaian untuk masalah kau ni,” kata Fatin perlahan.

Tapi, cukup untuk buat hati Nia kembali berbunga ceria.