NIA hempas buku setebal Kamus Dewan di atas meja.
Fuh! Terkejut Fatin. Hampir saja jantungnya luruh di situ.
“Kau ni, kalau sehari tak kejutkan aku, tak boleh ke? Nak sangat tengok aku mati cepat ke apa ni?” bebel Fatin sambil urut dada.
Teknik nak stabilkan balik degupan jantung yang berdegup bagai nak pecah dada.
“Eh, nak salahkan aku pulak. Kau tu yang sibuk usyar mamat perasan hot tu sampaikan aku datang pun kau tak sedar,” bidas Nia seraya ambil tempat duduk di depan gadis itu.
Fatin mencebik. Namun, matanya sempat lagi mencuri pandang ke arah Zackery yang sedang duduk dengan sekumpulan pelajar lelaki tidak jauh dari situ. Bila melihat anak muda itu tersenyum, bergetar tulang rusuknya.
Arghhh! Apasal senyum dia menggoda sangat?
“Kalau dah suka tu, terus terang sajalah. Duk usyar-usyar macam ni, kau ingat dia tahu ke kau suka kat dia?” Nia tayang muka menyampah.
“Gila kau. Dibuatnya dia reject aku, mana aku nak letak muka ni?” Spontan Fatin membalas.
Huh! Mati hidup balik pun dia takkan ikut saranan Nia. Ya, dia mengaku dia admirer giler dekat Zackery, tapi untuk berterus terang tentang perasaannya, nehi kabhi nehi. Jatuhlah saham dia sebagai perempuan kalau dia yang mulakan dulu.
“Tak cuba tak tahu, Cik Fatin oi. Lagipun sampai bila kau nak jadi peminat misteri dia? Dibuatnya ada orang lain kebas dia dulu, tak ke melepas kau nanti?” bebel Nia lagi, tak ubah bagaikan mak nenek.
Kata-kata Nia buat Fatin terdiam seketika. Haisy, Nia ni suka sangat buat emosi dia jadi tidak tentu arah macam ini. Tak pasal-pasal dia dah mula rasa tak sedap hati.
“Aku ni perempuanlah, Nia. Takkan perigi nak cari timba kut? Malulah aku,” cebik Fatin dengan bibir muncung sedepa.
“Hoi, Cik Fatin. Ni zaman moden tau. Orang dah tak pakai falsafah kolot tu lagi. Lagipun, zaman sekarang ni perigi dah tak wujud. Kita semua dah pakai paip, okey,” gerutu Nia sambil tayang muka tak ada perasaan.
Fatin ketap hujung bibir. Haisy, betul jugak apa Nia ni cakap. Sejak bila pulak aku kisah dengan pandangan orang? Dan, sampai bila pulak aku nak tunggu si Zackery mulakan langkah pertama? Rasanya sampai kiamat pun dia tak sedar agaknya yang aku ni suka dekat dia. Dan, mungkin Zackery tak pernah pandang aku. Silap hari bulan, dia tak tahu pun kewujudan aku kat kolej ni.
Lainlah Zackery. Kat kolej ni, siapa tak kenal dengan dia? Dia studen lelaki paling hot kut. Bukan aku sorang saja, ramai lagi studen perempuan lain yang simpan perasaan dekat dia. Kiranya, ramailah pesaing aku kat kampus ni, gumam Fatin sendirian dalam hati.
“Yang kau ni moody semacam je, dah kenapa?” soal Fatin sebaik saja menyedari perubahan pada wajah Nia.
Nia menggeleng perlahan.
“Tak ada apalah. Cuma, bengang dengan mamat pagi tadi.” Endah tak endah jawapan Nia.
“Maksud kau, mamat yang simbah kau dengan air longkang tu? Tak habis lagi ke marah kau kat dia?” Fatin tergelak kecil.
“Eh, selagi dia tak minta maaf kat aku, selagi tu aku berdendam dengan dia tau.” Nia tahan geram dalam hati.
“Sudah-sudahlah. Aku percaya dia tak sengaja tu.”
“Tak kisahlah dia sengaja atau tak. Yang aku tahu aku sakit hati sangat-sangat kat dia.” Nia tayang muka menyampah.
“Tapi, dia handsome teruk, kan? Tak bergetar ke tulang rusuk kau tu pandang dia?” Fatin sengih menyenget.
Aduh! Apasallah aku boleh kawan dengan minah ting-tong ni? Pantang nampak lelaki, semua dikatanya handsome. Handsome celah mana tak tahulah mamat tu. Muka macam tin sardin adalah.
“Aku rasa kau ni rabun teruklah, Fatin. Better kau pergi periksa mata kau cepat sebelum lagi parah.”
“Eleh, kau tu kat mulut je menyumpah seranah. Entah-entah dalam hati dah tangkap cintan kat mamat tu,” seloroh Fatin disusuli dengan tawa kecil.
“Eiii... tak kuasa aku. Simpang malaikat 44.” Nia menjuih.
“Eh, kau nak pergi mana ni?” soal Fatin bila tiba-tiba Nia bangun daripada duduknya.
Buku setebal Kamus Dewan yang berada di atas meja, Nia capai, lalu didakap erat-erat ke dada.
“Nak baliklah. Kan dah habis kelas. Duduk kat sini lama-lama pun buat apa? Aku ni bukan jenis yang suka usyar anak teruna orang macam kau.” Sedas Nia perli Fatin.
Setepek kena batang hidung. Makan dalam betul ayat Nia ni. Menikam hingga ke jantung Fatin.
“Tunggulah aku.” Jeritan kecil Fatin mematikan langkah Nia yang sudah laju di hadapan.
“Kau nak balik jugak ke? Aku ingatkan kau nak terus duduk kat sini pandang si Zackery tu sampai esok.” Bersahaja nada Nia.
“Tak kelakar okey.” Fatin menjeling geram.
Nia ni memang tak ada insurans mulut ke? Cakap main lepas saja. Malang betullah lelaki mana yang berkenan kat dia nanti, cebik Fatin dalam diam.