From Crush To Husband

BAB 4

  • Art
  • FCTH

SAMBIL mengemaskan pautan beg galas di bahu kirinya, Nia berjalan keluar dari dewan kuliah. Teringat janjinya untuk temankan Fatin makan tengah hari, buat dia segera mempercepatkan langkah.

Kebetulan pula, kelasnya habis lambat hari ini. Pasti Fatin sudah lama menunggunya.

“Nia?”

Panggilan itu menyapa pendengaran. Laju Nia berpaling sebelum matanya menangkap susuk tubuh Zackery sedang melangkah laju ke arahnya.

Alamak! Macam mana mamat ni tahu nama aku? Ni kalau Fatin nampak, naya aku. Dibuatnya Fatin sangka yang bukan-bukan nanti, kan haru.

“Errr... ya.” Teragak-agak Nia menjawab sebaik saja lelaki itu berdiri betul-betul di depannya.

“Nia Qalesya, kan?” tanya Zackery perlahan.

Hah sudah! Siap tahu nama penuh aku lagi ni. Biar betul mamat ni.

Lambat-lambat Nia anggukkan kepala. Rasa curiga menghambat diri.

“Errr... Saya dengar awak tengah cari kerja part time? Betul ke?” soal Zackery perlahan.

Serta-merta riak Nia berubah. Ini mesti kerja si Fatin ni. Agaknya satu kampus dah tahu masalah aku sekarang. Mana aku nak letak muka ni?

“Errr... errr...” Teragak-agak Nia mahu menjawab.

“Kafe kat tempat saya kerja sekarang ni, nak pakai pekerja. Kalau Nia nak, saya boleh bawak Nia ke sana,” terang Zackery sambil menawarkan diri.

Riak Nia yang keruh pada mulanya bertukar jadi tanda tanya. Tak tahu pula si Zackery ni pun buat part time? Gaya bukan main lagi. First time dia nampak Zackery dulu, dia sangka lelaki itu anak orang kaya.

Betullah kata pepatah. Don’t judge a book by it’s cover.

“Tak apa. Nia fikir dulu. Kalau dah ada jawapan nanti, Nia bolah bagi tau saya,” kata Zackery kemudiannya.

Nia angguk perlahan. Tak dinafikan, memang dia tengah terdesak nak cari kerja sambilan sekarang, tapi entah kenapa tawaran Zackery buat hatinya berbolak-balik. Rasa nak terima, tapi dalam masa yang sama risau kalau-kalau tawaran kerja itu tak seperti yang dia harapkan.

“By the way, ni nombor saya. Nia boleh call bila dah ada jawapan nanti,” kata Zackery seraya menghulurkan sekeping kertas.

Nia teguk liur. Dia pandang lama kertas yang tertulis nombor telefon itu. Serba salah sama ada nak terima ataupun tidak.

Tapi, bila Zackery sudah hulur kertas itu kepadanya, nak tak nak dia kena terima juga. Macam kurang ajar pula kalau menolak.

“Thanks,” ucap Nia perlahan seraya menyambut kertas dari tangan lelaki itu.

“Saya pergi dulu. Kawan saya dah lama tunggu tu,” sambung Nia lagi.

Zackery angguk perlahan. Dia pandang langkah Nia sehingga kelibat gadis itu hilang daripada pandangan mata.


“APASAL kau lambat? Kau tahu tak perut aku dah mendidih sekarang ni?” rengus Fatin sebaik Nia menghampirinya.

“Lambat sikit saja, kan? Sorrylah. Aku ada hal tadi.”

“Dah. Jom cepat. Kang lambat, habis pulak nasi ayam aku tu. Tak pasal-pasal kempunan.” Serta-merta Fatin tarik pergelangan tangan Nia.

Terkedek-kedek Nia mengekori langkah Fatin yang sudah mendahuluinya.

“Sebelum aku terlupa, aku dah dapatkan kerja untuk kau tau.”

“Hah? Kerja apa?”

“Jadi bibik.”

“What? Kau biar betul?” Buntang biji mata Nia.

“Betullah. Kau nampak aku tengah main-main ke sekarang ni?” Bersahaja riak Fatin, tapi cukup untuk buat Nia dipagut resah.

Bermacam rasa mula muncul dalam dirinya.

“Tak, kau nak suruh aku jadi bibik siapa sekarang ni?”

“Macam ni. Tadi, classmate aku bagi tau, jiran satu taman dengan dia tengah cari pembantu sekarang ni. Kerjanya mudah saja. Kau cuma kena kemas rumah dan cuci pakaian dia. Tu saja.”

“Dan, kau tak boleh tolak sebab aku dah bagi persetujuan bagi pihak kau. So, petang nanti kau kena pergi jumpa dia. Kalau jadi, dia nak kau mula kerja esok.” Panjang lebar Fatin bercerita.

“Cepatnya.”

“Dah tu, kau nak mula bila? Bulan depan?”

Nia garu kepala yang tak gatal.

“Kau kena jugak jumpa dia petang nanti. Sebab kalau kau tak pergi, kira kau tolak job ni dan mamat tu akan cari orang lain.”

“Mamat? Kejap. Dia lelaki ke?” Nia kerut kening penuh tanda tanya.

“Ha’ah. Lelaki dan masih bujang. Aku lupa pulak nama dia apa. Classmate aku ada bagi tau, tapi kau tahu kan yang otak aku ni cuma mampu ingat nama-nama lelaki handsome saja.” Fatin tayang sengih di bibir.

“Eh kau gila ke? Takkan kau nak suruh aku kerja kat rumah lelaki? Dibuatnya kena tangkap basah nanti macam mana?”

“Alah, jangan risaulah pasal tu. Classmate aku bagi tau, mamat tu selalu tak ada kat rumah. Dia keluar awal pagi, tengah malam baru dia balik. So, kebarangkalian kau nak terserempak dengan dia tu tipis sangat,” terang Fatin bersungguh-sungguh.

Nia diam seketika. Hati masih berkira-kira untuk menerima tawaran itu. Tapi, dia tahu peluang kerja seperti itu takkan datang buat kali yang kedua. Kalau dia tolak, gerenti ada orang lain yang akan sambar.

Ikutkan hati, pilihan kerja yang ini lebih baik daripada yang ditawarkan Zackery.

“Aku tak janji tau akan terima. Petang ni, lepas jumpa dia baru aku akan bagi keputusan,” putus Nia akhirnya.

“Okey,” akur Fatin.