From Crush To Husband

BAB 1

  • Art
  • FCTH

15 Tahun Kemudian...

“NIA QALESYA!”

Laungan itu mematikan langkah Nia. Sambil ketap bibir, dia berpusing dan mencari arah si empunya suara. Itu pasti Fatin.

Siapa lagi yang suka panggil aku dengan nama penuh macam itu kalau bukan dia? Tu belum lagi dia letak binti sekali. Agaknya dia nak semua orang kat sini kenal aku kut.

“Eh, apasal kau laju semacam ni? Kelas kita lambat lagi tau. Kampus tu bukan nak lari ke mana pun.” Termengah-mengah Fatin menahan lelah sebaik menyaingi langkah Nia.

“Aku bukan macam kau. Suka datang lambat.” Acuh tak acuh Nia menjawab.

“Amboi! Dah pandai perli aku sekarang ni, kan?” Sinis Fatin membidas.

“Betul apa. Bukan kau ke yang selalu jadi orang terakhir sampai kat kelas kita? Mimpi apa kau semalam sampai tiba-tiba tergerak hati nak datang awal hari ni?” sindir Nia pedas.

“Whatever!” Fatin menyungging senyum sinis di bibir.

Tanda bicara Nia sedikit pun tidak terkesan di hati.

“Eh, Nia. Kau perasan tak budak baru kat kolej kita tu? Handsome, kan?”

“Entah. Aku tak perasan pun.” Nia jongket bahu.

“Kau memang. Kalau Lee Min Ho ada kat sebelah pun, belum tentu kau perasan, kan?” Fatin menjeling tajam.

Geram pula dia dengan sikap acuh tak acuh Nia.

“Yalah. Sebab fokus aku cuma untuk belajar. Bukan macam kau. Orang sibuk nak studi, kau sibuk nak cari laki.” Nia menjeling dengan ekor mata.

“Ni perancangan masa depan namanya. Orang kata, sambil menyelam minum air. Nanti dah habis belajar, aku dah tak payah sibuk-sibuk nak cari calon suami. Bijak tak aku?” Fatin tayang sengih di bibir.

“Oh, jadi sebab budak baru tulah kau datang awal hari ni?” Nia buat telahan sendiri.

Fatin tayang sengih lagi.

“Aku dah agak dah.” Nia geleng sekilas lalu.

Sambil mengemaskan pautan beg galas di bahu kirinya, dia meneruskan langkah menuju ke kolej. Sedang melangkah, cuping telinganya menangkap deruman enjin kereta yang sangat kuat dari arah belakang. Baru hendak menoleh, percikan air mengena tepat ke mukanya.

Nia tergamam. OMG! Benda apa yang meleleh kat muka aku ni? Baunya pun dah lain macam sangat. Cepat-cepat Nia raup muka dengan tapak tangan.

“Eiii... Air apa ni?” Terkebil-kebil mata Nia melihat kotoran di tapak tangannya.

Euwww... Baunya pun dah busuk semacam. Mengalahkan air longkang!

“Hampeh punya kereta. Boleh dia simbah aku dengan air tepi jalan ni. Busuk kut,” omel Nia dengan mulut terkumat-kamit.

“Nia, kau okey tak?” soal Fatin, kaget.

“Kau nampak aku macam okey ke tak sekarang ni?” hambur Nia, geram.

Apa punya soalanlah Fatin ni. Bukan Fatin tak nampak dia dah separuh lencun kena simbah dengan air tepi jalan. Mujur Fatin ketinggalan beberapa tapak di belakang. Kalau tak, sekali dengan dia kena simbah.

“Woi!” Tak semena-mena, Nia tanggalkan kasut di tapak kakinya, lalu tanpa sedar kasut itu dibaling tepat ke arah bonet kereta itu.

Buk!

Dengan sekali balingan, kasut itu jatuh, lalu mengena tepat bonet kereta Audi itu.

Streeettt! Brek ditekan mengejut. Berdecit bunyi tayar saat bergesel dengan jalan raya.

Terkelip-kelip Nia memandang kereta itu berhenti di bahu jalan. Kemudian, dia singsing hujung lengan sambil menerpa ke arah kenderaan jenis Audi R8 berwarna merah itu.

Kena buat perhitungan ni. Berani-berani dia simbah aku dengan air kotor. Mentang-mentang bawak kereta mahal. Mangkuk ayun punya jantan!

Tak sampai sesaat, seorang lelaki lengkap berpakaian sut hitam keluar dari perut kenderaan mewah itu.

Fuh! Sekali pandang, karakternya tak ubah macam hero Korea yang selalu dia tonton di TV. Tapi, harap muka saja handsome buat apa kalau perangai ke laut dalam!

“Shit!”

Sudah Nia agak, lelaki itu akan menyumpah seranah. Arghhh, peduli apa. Sumpah seranah dia je yang dia fikir? Seranah aku yang baru lepas kena simbah dengan air kotor ni, ada dia fikir?

“Kau ke yang baling kasut ni?” Lelaki itu menuding tepat ke arah kasut yang berada di atas jalan.

“Ya. Kenapa? Tak puas hati?” Nia buat-buat berani.

“Kau tahu tak kau dah kemekkan kereta aku? Kalau aku tuntut ganti rugi, kau ada duit ke nak bayar?” gertak lelaki itu sambil bercekak pinggang.

“Huh! Kemek kereta awak je yang awak kira. Saya yang dah basah lencun ni apa cerita?” Nia hadiahkan jelingan padu kepada lelaki itu.

Kalau mamat itu fikir dia akan takut dengan gertakan itu, silap besar namanya.

“Salah aku ke?” Tajam renungan lelaki itu menikam raut Nia.

“Dah tu?”

“Dah tahu kat tepi jalan tu ada air bertakung, yang kau lalu jugak kenapa? Memang patutlah kena simbah.” Gontai intonasi lelaki itu.

Amboi! Amboi! Amboi! Sesedap mulut saja mamat ni bercakap. Inilah salah satu perangai orang kaya yang Nia paling tak suka. Bongkak!

“Excuse me! Mentang-mentang awak bawak kereta mahal, suka-suka hati awak saja nak buli pejalan kaki macam saya ni.” Naik satu oktaf suara Nia.

Geramnya mendatang dengan lagak bersahaja lelaki muda itu. Jangan kata nak minta maaf, menyalahkan dia lagi adalah.

“Fine! Kau nak aku buat apa sekarang? Ganti balik harga baju kau ni? Bagi tahu saja berapa harganya. Aku boleh bayarlah.” Angkuh sekali nada lelaki itu.

Tanpa bertangguh dia menyeluk poket seluarnya sebelum mengeluarkan wallet. Sesudah itu, beberapa keping not RM100 yang tersisip di dalam wallet segera dikeluarkan.

“Saya tak nak duit awak!” tegas Nia sambil mendakap tubuh.

“Dah tu, kau nak apa?”

“Susah sangat ke awak nak minta maaf? Dah sah-sah kan awak yang salah.” Berkerut kening Nia.

Seketika pandangan mereka bersabung.

Dup dap dup dap. Argh! Time-time nilah jantung ni nak berdegup lain macam pun. Sajalah tu nak huru-harakan perasaannya. Behave, Nia Qalesya!

Cepat-cepat Nia kawal riak pada wajah agar nampak kekal tenang saat berdepan dengan lelaki itu.

“Maaf tak ada dalam kamus hidup aku.” Sarkastik nada lelaki itu.

Sesarkastik wajahnya juga.

Terhela dengusan kasar dari mulut Nia. Kurang senang dengan jawapan lelaki itu. Bongkaknya mamat ni. Patutlah annoying semacam.

“Bagi tau cepat berapa harga baju kau tu? Jangan buang masa aku kat sini.”

“Simpan sajalah duit awak tu. Saya tak berminat.” Nia jawab kasar.

Buang masa saja berdebat dengan lelaki macam ini. Bukan dapat menyelesaikan masalah pun. Menambah sakit dalam hati lagi adalah.

“Fine! Cakap terus terang dari awal kan senang. Tak adalah aku buang masa kat sini,” bidas lelaki itu, seraya berlalu ke pintu keretanya.

Selang beberapa ketika, kereta yang dipandu lelaki itu meluncur pergi meninggalkan kawasan itu. Nia hanya memandang sehingga kelibat kenderaan itu hilang daripada pandangan.

Macam tu saja blah? Nampak sangat kurang adab. Eiii... menyesal pulak tak kaki-kakikan mamat tu tadi.

“Nia, beraninya kau lawan mamat tu tadi,” sergah Fatin yang tiba-tiba sudah berdiri di sebelah.

“Argh! Peduli apa aku. Dia dah sakitkan hati aku kut!” rengus Nia dengan hati yang masih bersisa kemarahan.

“Tapi, mamat tu handsome, kan?” Fatin senyum.

Sekilas, Nia pandang Fatin atas bawah berulang kali.

“Handsome, tapi perangai macam musibat buat apa? Menyakitkan hati saja.” Nia balas, siap dengan pakej juling mata ke atas.

Dalam tak sedar, tawa Fatin terhambur. Haisy, marah betul Nia dengan mamat itu.

“Tapi, kau tak nafikan yang mamat tu handsome, kan?” soal Fatin lagi.

Seakan-akan jawapan yang diberikan Nia tadi belum cukup memuaskan hatinya.

“No!” nafi Nia sekeras-kerasnya.

“Eleh. Yalah tu.”

Nia menjeling tajam. Kang tak pasal-pasal si Fatin ni pulak yang kena kaki dengan aku kejap lagi ni.

“Eh, aku bukan macam kau tau. Pantang jumpa lelaki, semua kau kata handsome. Mamat tadi tu, kalau nak dibandingkan dengan bapak aku, bapak aku berganda-ganda handsome tau. Jadi, setakat muka macam dia tu, aku tak heranlah,” tekan Nia dengan nada bersungguh-sungguh.

“Yalah tu. Aku lupa dalam dunia ni bapak kau sorang saja paling handsome, kan?” tukas Fatin seraya meneruskan langkah menuju ke kampus.

Malas mahu terus bertikam lidah dengan Nia. Sudahnya dia pilih untuk mengalah.