From Crush To Husband

PROLOG

  • Art
  • FCTH

You’re my sunshine, my only sunshine,
You make me happy when skies are grey,
You never know dear how much I love you,
Please don’t take my sunshine away.

“WOI! Jangan nak memekak kat sini boleh tak? Nak menyanyi, pergi jauh-jauh. Suara tu kalau sedap sangat tak apalah jugak. Ni dah macam katak panggil hujan saja bunyinya.”

Sergahan Ziyad mengejutkan Nia. Serta-merta suaranya mati di situ. Terkebil-kebil Nia saat sergahan itu menampar cuping telinganya. Muka lelaki itu, Nia pandang tak berkelip.

Alamak! Macam mana boleh tak perasan Abang Ziyad kat sini ni?

“Apa pandang-pandang?” jerkah Ziyad lagi sambil tayang muka tak puas hati.

Haisy! Terbantut niat nak membaca komik bila terpandangkan muka Nia. Cantik tak apalah juga!

Sumpah! Annoying giler rasanya bila hari-hari kena menghadap muka budak sememeh itu. Macam dah tak ada rumah lain lagi dia nak pergi. Tiap-tiap hari mesti muka dia yang muncul di sini. Macamlah rumah tok ma ni satu-satunya rumah yang ada dalam kampung ni.

“Sorry. Nia tak nampak abang tadi.” Nia garu kepala yang tak gatal.

“Errr... Abang tengah buat apa tu?” soal Nia lagi.

Sengaja mahu mencari topik perbualan.

“Aku tengah berenang. Kau tak nampak ni?” Kasar nada Ziyad.

Sempat dia hadiahkan jelingan padu kepada gadis kecil itu. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Macamlah Nia tak nampak dia tengah khusyuk baca komik.

“Tak sangka abang pandai buat lawak.” Sengih Nia hingga menampakkan barisan giginya.

Terserlah lesung pipit pada kedua-dua belah pipi montoknya.

Ziyad tepuk dahi berkali-kali. Budak ni memang tak tahu ke aku tengah perli dia? Ke dia pura-pura tak faham?

Sambil mengeluh berat, Ziyad tutup komik di tangan. Tanpa bertangguh, dia mengayun langkah menuju ke tangga rumah. Malas mahu berlama-lama di luar. Buat sakit hati lagi adalah.

“Abang!” seru Nia bila melihat Ziyad sudah mahu beredar.

“Apa?” Ziyad tayang riak menyampah.

“Nia nak kahwin dengan abang boleh?” Dengan tak teragak-agak, Nia ajukan pertanyaan itu kepada lelaki di depannya.

“Kau ni dah gila ke?” Terhenti langkah Ziyad di situ.

Dia berpaling, menghadap muka Nia yang sudah berubah riak.

“Kau ajak aku kahwin ni, kau sedar tak umur kau tu berapa? Sekolah pun tak habis lagi, dah gatal nak berlaki. Kau ni dah terdesak sangat ke?” Mata Ziyad mencerlung tajam ke arah Nia.

Hampir tak percaya, anak kecil seusia Nia sudah berani berbicara soal nikah kahwin. Budak tu baru sepuluh tahun kut. Terlajak matang ke apa ni?

“Alah, bukannya Nia nak ajak abang kahwin sekarang pun.” Nia tayang bibir muncung sedepa.

“Dah tu, yang kau tanya aku soalan bodoh tu sekarang apasal?”

“Sebab Nia nak abang tahu yang Nia dah cup hati abang awal-awal. Jadi, abang tak bolehlah kahwin dengan perempuan lain selain daripada Nia.” Nia melarik senyum.

“Kau ingat aku ni barang ke apa nak main cup-cup? Suka hati kau saja kan. Kau dengar sini baik-baik. Kalau semua perempuan kat muka bumi ni dah pupus sekalipun, aku takkan sesekali kahwin dengan kau! Ingat tu.” Dalam tak sedar, naik seoktaf nada Ziyad .

Bengang bila Nia tak habis-habis nak ganggu dia. Memang sejak dulu dia tak pernah berkenan dengan budak perempuan ini. Setiap kali dia datang ke rumah tok ma, tiap kali itulah Nia akan muncul di depannya.

Sumpah rimas!

Macam-macam cara Ziyad buat untuk mengelak daripadanya, tapi seseorang yang bernama Nia Qalesya mana kenal erti putus asa. Makin dia mengelak, makin banyak helah Nia buat semata-mata nak dekat dengan dia.

Menyampah tak usah cakaplah.

“Abang tak suka Nia ke?” soal Nia tanpa rasa segan-silu.

Berkerut-kerut dahinya menanti jawapan anak muda di depannya.

“Memanglah aku tak suka kau. Cuba kau cermin diri kau tu. Dahlah selekeh, hodoh pulak tu. Agak-agaklah sikit aku nak suka kau,” selar Ziyad , bengang.

Ya, ini bukan kali pertama Nia meluahkan perasaan kepadanya. Masuk hari ini, entah sudah berapa ratus kali agaknya dia dengar Nia mengucap kata suka kepadanya. Tapi, tak sangka hari ini Nia terlalu berani hingga mengajak dia berkahwin!

Hilang akal agaknya budak tu.

Nia mencebik kelat. Jawapan Ziyad buat hatinya bagai diracik-racik lumat. Pedih. Hancur. Berkecai.

“Kau boleh tak jangan ganggu aku? Aku rimas tahu tak? Kalau kau nak cakap pasal kahwin, tunggulah sampai kau habis belajar dulu. Taklah nampak terdesak sangat!”

Sinis nada Ziyad menampan telinga Nia.

“Maksudnya, lepas Nia dah habis belajar nanti Nia bolehlah kahwin dengan abang?” Riak yang awalnya suram, kini kembali bercahaya.

Bersinar-sinar bola mata gadis kecil itu bila mendengar kata-kata lelaki di depannya.

Ziyad mendengus berat. Ternyata Nia Qalesya masih belum kenal erti putus asa.

“Tengoklah. Kalau masa tu kau dah ada rupa macam perempuan, maybe aku boleh pertimbangkan.” Acuh tak acuh jawapan Ziyad .

Tak kuasa nak jaga hati budak tak cukup akal itu. Lantak dialah nak terasa ke apa. Kisah pulak aku, desis hati kecilnya.

“Okey. Satu hari nanti Nia akan tuntut janji abang.” Nia balas dalam senyuman.

“Whatever!” Ziyad menjeling padu.

Tanpa lengah, dia beredar meninggalkan Nia sendirian di situ.

Diam-diam Nia mengulum senyum. Lega bila perasaan yang dipendam sekian lama terluah juga hari ini. Bukan senang dia nak cari keberanian ini. Sejak kali pertama dia kenal Ziyad Ilhan lagi perasaan suka itu sudah mekar mewangi dalam hati.

Tak kisahlah macam mana sekalipun penerimaan Ziyad terhadapnya. Yang dia tahu dia lega bila sudah luahkan segalanya. Bolehlah dia tidur lena malam ini.

Misi Nia sekarang nak habiskan belajar cepat-cepat. Masuk alam sekolah menengah dan universiti. Lepas tu boleh kahwinnn...

Maknanya, sekarang aku dah ada calon suamilah, kan? Dan, calon suami aku adalah Mr Crush aku.