Professional  Overthinker

BAB 3

  • Art
  • Asha Lim

MALAM itu, aku menonton BTS Run dalam app Weverse. Boleh tahan lawak tujuh orang manusia ini. Sampai kering gusi aku dibuatnya. Sengal betul. Harap muka saja kacak, tapi otak masuk air.

Tapi, seronok juga kan kalau dapat boyfriend masuk air. Mesti gelak tak berhenti, kan? Hmm, harap-harap bakal suami aku kelakar.

Tontonanku terganggu apabila ada mesej yang masuk.

Aduh, kacau daun saja. Sudahlah aku tengok BTS Run pakai telefon. Jariku terus menolak notifikasi ke atas. Malangnya, notifikasi itu terbuka dan aku terbaca mesej yang masuk pada aplikasi WhatsApp.

Ya Allah! Terblueticks!

Aduhai, siapa yang WhatsApp aku malam-malam celik ni? Dah pukul 9.00, tak tahu ke yang sekarang waktu rehat orang? Hai, geram betul!

Aku tenung mesej daripada nombor yang tidak dikenali itu. Tiada gambar profil dan mesejnya agak menjengkelkan.

Salam. Aafia Darmia, kan? Saya Mika. Saja ws nak cakap hi!

Mika? Mika mana pula ni? Aku tahu Pika saja. Pikachu. Ini Mika mana? Mikachu ke? Kekasih Pikachu?

Satu lagi mesej masuk.

Your fiancé. Ummm... save ya nombor ni. Nanti senang nak berurusan ;)

Dengan emoji kenyit mata dia ni, aku dah tahu dia spesies memenatkan. Adakah dia seorang buaya, pemain hati dan perasaan perempuan?

Gaya emoji kenyit mata dia tu, nampak macam ya.

Aku mengecilkan mata, membaca bait-bait mesej yang ditulisnya itu. Suspicious, tapi kena husnuzon. Mungkin aku terlalu bersangka buruk. Mungkin dia bukan buaya. Mungkin dia sudah biasa guna emoji kenyit mata.

Aku hanya membalas, Okey! sahaja. Namanya aku simpan sebagai Mikachu. Hahaha. Comel, kan? Dia patut bersyukur aku saved namanya secomel itu.

Mesejnya masuk lagi dan aku mula rasa tenaga aku disedut masuk ke dalam telefon.

What is your ring size?

Saiz cincin? Kenapa nak tahu? Untuk beli cincin ke? Cincin tunangkah?

Asian or US?

Give them all.

Give them all? Apa yang give them all? Lagu John Legend ke? Cause all of me, love all of you? Macam tu? Dia faham tak maksud aku bila aku tanya Asian atau US tu?

Asian size 10, US size 5.

Alright, Aafia. Noted.

Satu sticker aku kirimkan bersama mesej tersebut. Gambar seorang budak menari dengan comel. Lama aku tenung mesej terakhirnya. Status online masih tertera di bawah namanya. Dan status itu bertukar menjadi typing...

Ah, sudah. Dia nak tanya apa lagi ni?

Buat apa?

Aku mengeluh sebelum membalas.

Tengok TV show.

Lama mesej aku bertanda biru sebelum satu lagi mesej masuk. Mesej yang membuatkan keningku berkerut. Aku rasa tak selesa.

Jom jumpa esok.

Kepala aku jatuhkan ke belakang. Siling aku tenung lama sebelum teringatkan kata-kata ayah petang tadi. Cuba kenal-kenal dahulu.

Aduhai... Keluar adalah benda yang paling susah untuk aku buat.


MEJA yang dihiasi dengan alas bercorak bunga itu aku tenung lama. Kemudian, aku tenung kerusi kosong di hadapanku.

Mikhael tak tepati masa. Janji nak jumpa pukul 12.00, sekarang sudah pukul 1.30 tengah hari. Perut aku dah lapar ni.

Nak cakap dia banyak kerja, hari ni kan hari Sabtu. Nak cakap jalan jammed, okey, itu agak logik. Tapi, bukankah dia ada nombor telefon aku? Kenapa tak cakap apa-apa untuk beritahu yang dia lambat?

Ha, aku mula rasa panas hati. Dia ingat, aku ni suka keluar rumah? Jadi tunggul untuk menunggunya?

Aku rela habiskan hujung minggu yang berharga ni di atas katil. Tapi, disebabkan kata-kata ayah, aku cuba untuk kenal-kenal dengan dia. Ini tak, first impression pun sudah ke laut!

Mataku melilau sekitar kafe. Macam mana aku nak tahu lelaki itu Mikhael kalau aku tak pernah tengok gambarnya? Menyesal pula tak minta gambar dengan mak semalam.

Dan, macam mana Mikhael mahu cam aku? Tidak pula kami bertukar informasi tentang warna baju yang kami pakai. Aneh betul.

Aku hela nafas perlahan sebelum bangkit daripada dudukku. Sudah sejam setengah aku tunggu. Aku tak rasa dia akan muncul. Rasanya, dia ghosted aku.

Adakah ini yang dinamakan stood up? Sengaja gagal untuk bertemu seseorang apabila sudah berjanji untuk berjumpa, terutama dengan seseorang yang dia mahu jalinkan hubungan romantis bersama?

Kalau apa yang berlaku kepada aku sekarang adalah stood up, maknanya Mikhael tidak mahu bersama aku.

Ah, sudah. Adakah dia dipaksa bertunang dengan aku atas sebab yang klise seperti dalam novel cinta? Pasangan kekasihnya tidak menepati piawaian mak ayah dia, maka mak ayah dia carikan calon isteri untuk dia? Kalau dia tak setuju, dia tak boleh mewarisi harta bapa dia.

Aku tersenyum nipis. Apa klise sangat otak aku ni? Kemaruk sangat baca novel sampai semua benda nak dikaitkan dengan novel. Itu novel, Fia! Bukan realiti.

Tapi, macam mana kalau Mikhael spesies macam tu? Sebab tu dia gagal jumpa aku hari ni sedangkan dia yang utarakan idea ni!

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang. Membazir tenaga saja aku bawa kereta jauh-jauh, akhirnya orang tu tak datang. Bazirkan masa aku saja, sedangkan aku boleh luangkan cuti aku yang berharga ni dengan membaca.

Kaki mula melangkah keluar dari kafe, berjalan terus ke kereta. Sebaik sahaja selamat masuk ke dalam perut kereta, aku periksa telefonku buat kali terakhir. Mana tahu ada mesej masuk, cuma aku yang tak perasan.

Namun, semuanya hampeh. Dia tak mesej aku langsung. Ada rasa geram bertandang dalam hati, namun cepat-cepat aku menghalaunya jauh.


SEBAIK sahaja tiba di rumah, terus aku ke dapur untuk mengambil air minuman sebelum naik ke bilik untuk membaca. Langkahku terhenti apabila bertembung dengan mak.

Mak terus mengukir senyuman lebar, lalu menepuk bahuku lembut. Teruja agaknya nak dengar cerita perjumpaan aku dan Mikhael.

“Macam mana? Suka tak?” soal mak, teruja.

Aku ukir senyuman nipis untuk mak.

“Satu jam setengah orang tunggu dia, tapi dia tak datang pun. Mesej pun tidak. Orang rasa dia sebenarnya dah ada pasanganlah, mak. Mak pasti ke dia tak kena paksa dengan Aunty Yana?”

“Kenapa pula cakap macam tu? Fia pergi tempat yang betul ke? Ke Fia salah tempat?” soal mak sedikit meninggi.

Terasalah sikit apabila mak macam tak percayakan aku. Ingat aku tersalah tempat.

“Orang memang ke tempat yang dia suruh pergilah. Ke location yang dia hantar. Tak ada sesiapa pun muncul. Mak pun, mana tunjuk gambar dia dekat orang. Orang membuta tuli aje tunggu dia. Tapi, tak ada pun dia datang. Usahkan datang, tempat tu pun kurang pelanggan. Ada pun, semua pasangan kekasih,” balasku dengan panjang lebar.

Aku sisip air kosong sambil merenung mak yang nampak bingung.

“Mak pasti ke dia tak kena paksa dengan Aunty Yana?” soalku lagi.

“Kenapa cakap macam tu?”

Soalanku dijawab dengan soalan.

Aku jongket bahu sambil menunduk. “Orang kacak biasanya dah ada pasanganlah, mak...”

Itulah kenyataannya. Yang kacak kebanyakannya kepunyaan orang. Sama ada kekasih orang, tunang orang atau suami orang.

“Orang tak nak jadi perampas lagi. Cukuplah sekali,” sambungku sambil tersenyum nipis.

Apabila mak diam, aku ambil peluang itu untuk naik ke atas. Sudah kehabisan tenaga dan aku perlukan rehat. Sejujurnya, aku terasa dengan Mikhael. Sangat-sangat terasa apabila langsung tiada khabar berita daripadanya.