MAJLIS pertunangan kami tetap diteruskan.
Pelik. Ya, aku pun pelik. Padahal, aku sudah maklumkan kepada mak dan ayah bahawa Mikhael yang baik, sopan, kacak dan tinggi itu gagal berjumpa dengan aku Sabtu lalu.
Sudahlah tak datang, tak mesej atau beritahu aku langsung yang dia tak jadi datang!
Ingatkan majlis pertunangan juga tak jadi. Anehnya, Uncle Mujid dan Aunty Yana mahu teruskan juga majlis pertunangan. Atas permintaan mak dan ayah, aku setuju sajalah.
Majlis pertunangan antara aku dan Mikhael diadakan secara ringkas. Hanya melibatkan dua buah keluarga. Keluarga dia dan keluarga aku. Tiada pak cik atau mak cik atau sepupu segala. Memang ekspres habis!
Tapi, inilah yang seeloknya. Pertunangan tidak perlu dihebohkan. Yang perlu dihebohkan adalah pernikahan. Jadi, aku suka apabila buat majlis kecil-kecilan begini. Tak adalah bateri sosial aku habis, kan?
Aku duduk di birai katil bilik tetamu. Menunggu saat-saat di mana mak Mikhael masuk untuk menyarungkan cincin dan kami akan makan tengah hari sekejap lagi. Berdebar-debar juga hati aku ni.
Apalah yang sedang bermain dalam kepala seketul Mikhael? Aku masih tertanya-tanya kenapa dia setuju untuk teruskan pertunangan ni? Adakah dia terdesak mahukan harta? Atau dia terdesak mahukan isteri? Adakah dia juga introvert?
Aduh, parah juga kalau kahwin dengan introvert. Sunyi rumah nanti. Tapi, ada bagusnya kahwin dengan introvert sebab kami akan saling memahami.
Tatkala aku mendengar suara mak dan wanita lain, terus aku panggung kepala. Sebaik sahaja pintu bilik terkuak, wajah seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan mak itu aku pandang dan tubuhku mula mengeras. Lidah terpasung pada lelangit dan aku tidak dapat menegur bakal mak mertua aku dengan sopan.
Adab mana, Fia? Adab ke laut.
“Cantiknya bakal menantu mama,” tegur bakal mertuaku yang sudah melabuhkan duduk di sisiku.
Abang-abang aku mula masuk ke dalam bilik, begitu juga adik perempuanku. Ada juga susuk tinggi lampai yang aku tak pernah lihat sebelum ni. Tapi, aku tundukkan mata, tidak memandangnya.
Itu dia, kan? Tunang aku?
“Minta jari, sayang.”
Aku tersentak, lalu mengalihkan mata, memandang bakal mak mertuaku sebelum menghulurkan jari kepadanya.
Bunyi-bunyi shutter telefon memenuhi ruang bilik. Semua sudah jadi jurukamera profesional untuk merakam saat aku menjadi tunangan orang.
“Alhamdulillah, cincin muat. Kecil betul jari si Aafia ni. Risau aunty, takut tersalah beli saiz,” ucap Aunty Yana dengan sangat mesra.
Tubuhku dipeluk kemas, membuatkan keningku bertaut dan bibirku tersenyum nipis. Apabila pelukan dilepaskan, mata aku dan Aunty Yana bertaut lama.
Cantik matanya, hazel. Samalah seperti orang yang tak tepati masa tu. Hazel.
Heh, Aafia... Padahal tak sampai dua saat pun aku terpandang mata dia, tapi dah perasan warna matanya. Adakah ini yang dinamakan soulmate? Euwww...
“Sejuknya jari. Berdebar, ya?” soal wanita itu sambil menggenggam tanganku.
Aku mengangguk sambil tersenyum sungging. Janggal dan kaku. Itulah aku sekarang. Sempat aku lirikkan mata, memandang dia yang turut memandangku.
Dia tersenyum sambil melambai ke arahku.
Kau lambai? Eh, mamat ni tak ada rasa bersalah ke jadi punca aku tunggu dia seorang diri di kafe? Ada yang kena humban dalam kolam ikan koi ayah nanti ni.
“Fia, salamlah bakal mak mertua,” tegur angah yang asyik menangkap gambar aku dan ibu tunangku itu.
Dengan janggal, aku tunduk menyalami Aunty Yana.
“Alhamdulillah.” Serentak ibu bapa kami bersuara.
Aduh, dah macam akad nikah pula.
“Amboi, Mika, tenung sampai tak berkelip!” kata seseorang yang aku tak pasti siapa.
Sebab aku dengar sayup-sayup saja. Mata aku yang terasa gatal ini, sekali lagi mencuri pandang ke arahnya. Dia masih setia merenungku dalam. Bibirnya juga masih tersenyum nipis.
Jantungku mula berdegup kencang. Eh, ini degupan tak puas hati tau. Bukan degupan cinta. Aku masih tak puas hati pasal isu Sabtu lepas. Tapi, nak luahkan apa yang aku rasa, agak payah. Jadi, aku simpan sajalah sorang-sorang.
“Eh, jomlah makan. Lapar,” ujar ayah sambil memeluk bahu Uncle Mujid.
Tanganku sudah dipimpin Aunty Yana dan mak untuk ke ruang makan.
AKU rasa terlalu asing untuk makan bersama Aunty Yana, Uncle Mujid dan Mikhael. Mereka sangat-sangat ramah. Bercakap tanpa henti. Gelak tawa mereka seiring dengan keluargaku.
Aku hanya mampu tersenyum, memandang mereka setiap kali mereka bersuara dan mendengar cerita-cerita yang mereka ceritakan. Kalau boleh, aku mahu kembali ke ruang peribadiku iaitu bilik. My safe zone.
Tapi, ini keluarga dia dan bakal keluarga aku. Jadi, nak tak nak, aku kena makan di sini juga walaupun aku seperti makhluk asing yang baru mendarat di bumi.
“Fia nak air?”
Tubuhku mengeras apabila ada yang menyapa. Suara garau, namun nadanya lembut. Apabila aku panggung kepala, lelaki itu sedang merenungku dengan senyuman. Matanya memukau aku untuk membalas pandangannya. Mata dia memang cantik.
Cepat-cepat aku tundukkan pandangan semula. Aku geleng perlahan, mula menguis jariku dengan kuku tatkala aku rasa semua orang sedang memandangku.
“Umm, pak cik, mak cik, boleh tak Mika ajak Fia borak kat kolam ikan belakang tu?” soal Mikhael dengan senyuman lebar.
Aku terus pandang ayah dengan mata terbuka luas. Kepala, aku geleng perlahan. Mata juga aku kecilkan untuk menghantar isyarat kepada ayah. Malangnya, isyaratku itu diabaikan.
“Kenapa tak boleh? Boleh! Pergilah,” balas ayah dengan ceria.
Aku terus mengucap panjang dalam hati. Ya Allah, ayah... Kenapa buat Fia macam ni? Aduh, sedihnya hati.
“Jom, Fia. Kita borak kejap,” ajak Mikhael sambil mengangkat pinggan dan gelasnya ke dapur.
Dengan berat hati, aku akur. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa kami sudah memandangku dengan senyuman penuh makna. Aku bawa pinggan dan gelasku ke dapur.
Susuk tubuh yang tinggi dan segak itu aku tenung sebelum aku alihkan mata memandang lantai. Dia nak borak pasal apa? Dia nak beritahu yang dia sebenarnya terpaksa bertunang dengan aku dan dia nak buat kontrak ke?
Alahai, Fia. Aku kena berhenti kemaruk dengan jalan cerita novel.
“Letak je pinggan dengan gelas awak dalam ni. Biar saya basuhkan,” ucap Mikhael tanpa memandang aku.
Aku kerut kening sebelum mendekatinya.
“Tak apa ke?” soalku perlahan, sebaik sahaja berdiri di sebelahnya.
“Hmm... pergilah tunggu kat luar. Kejap lagi saya datang,” balasnya dengan nada yang agak rendah.
“Errr... tangan.” Tangan aku tayangkan kepadanya.
Tanda aku mahu basuh tangan, jadi sila ke tepi.
Mikhael akur, lalu memberi ruang buatku untuk meletak pinggan, gelas dan membasuh tangan. Berdebar-debar hati aku dek jarak kami yang agak dekat. Sebaik sahaja selesai membasuh tangan, aku terus ke belakang.
Aku melabuhkan punggung di bangku yang terletak di hadapan kolam ikan. Ketot, kucing kesayangan ayah, datang menggesel di kakiku.
Tak sampai lima minit, Mikhael muncul dengan lengan baju dilipat rapi sehingga ke paras siku. Dia nampak sangat kacak dan matang mengenakan kurta seperti ini. Tapi, semua tu tidak dapat membutakan rasa tidak puas hati yang bertakung dalam hati aku.
Anehnya, kenapa aku rasa aku pernah jumpa dia sebelum ni? Atau ini sekadar mainan perasaan?
“Lama ke Fia tunggu saya?” soal Mikhael sambil mengangkat Ketot, duduk di atas ribanya.
Si tompok terus memandang wajah tunangku dengan mata yang bulat. Jatuh cinta pandang pertama barangkali. Dasar kucing gatal!
“Fia?” tegur Mikhael lembut.
Mataku naik ke wajahnya sebelum aku larikan ke kolam. Memandang ikan-ikan koi ayah berenang dengan tenang.
“Saya nak minta maaf sebab tak datang tempoh hari. Saya ada urusan kerja urgent dan saya terlupa. Bila sedar, dah pukul 5.00. Saya cuba telefon Fia, tapi tak berangkat. Mesej pun tak berbalas,” ucap Mikhael dengan berhati-hati.
Keningku terus bertaut rapat.
“Mana ada,” balasku sambil merenungnya tajam.
Berani-berani ya dia tipu aku? Dia ingat aku bodoh ke?
Mikhael tersenyum manis sebelum mengangguk.
“Ada. Cuba check telefon Fia. Saya ada mesej lepas habis kerja. Maaflah, saya terlupa,” balasnya pula.
Nadanya kedengaran sangat yakin.
Ada ke? Aku kecilkan mata untuk mencari kebenaran di sebalik kata-katanya. Namun, lelaki itu masih tersenyum yakin.
“Nanti check. Tapi, saya minta maaf. Memang salah saya.”
“Kerja hari Sabtu?” soalku sinis.
Yalah tu. Kerja apa hari Sabtu? Dia kan arkitek.
Lelaki itu melepaskan tawa kecil, lalu mengangguk. Aku membisu.
“Nah. Cuba pakai ni. Dekat jari telunjuk tu.”
Keningku semakin berkerut. Aku kerling hulurannya dengan penuh tanda tanya. Cincin belah rotan yang berwarna perak dan hitam.
“Kenapa?” soalku pelik.
Kenapa bagi aku cincin yang dia pakai? Ini kan cincin tunang? Dia nak putuskan pertunangan ni ke? Dia takut mak ayah dia marah, jadi dia mahu aku yang putuskan segalanya?
Baru tunang, dah nak minta putus. Lepas ni apa? Kahwin kontrak?
“Saya perasan, awak duk kuis jari awak dengan jari sampai merah. Jangan dikuis jari itu, sayan... Aafia. Nanti terkopek kulit tu, luka. Pakai cincin ni. Nanti, bila awak rasa nak kuis jari tanpa sedar, awak akan bermain dengan cincin ni. Insya-Allah, tak luka jari tu nanti,” ucap Mikhael dengan tenang dan sangat lembut.
Aku tenung cincin yang berada di tapak tanganku. Sedikit terharu apabila Mikhael cakap begitu.
Ya, memang aku ada tabiat kuis jari dengan kuku. Kadang-kadang sampai terluka dan kulit terkopek teruk. Satu tabiat yang agak sukar untuk aku matikan atau tinggalkan, lebih-lebih lagi apabila aku sedang menghadapi situasi yang aku tak suka.
Mikhael perasan tabiat aku yang satu ini? Hebat betul teknik pemerhatian dia.
“Tadi kuis jari telunjuk, kan? Cuba pakai? Muat tak?”
Aku akur, lalu menyarungkan cincin belah rotan itu di jari telunjukku. Muat-muat. Tak adalah besar mana jari manis dia.
“Muat,” ucap Mikhael, agak teruja.
Aku terus menjelingnya pelik. Dah kenapa sampai macam tu sekali dia bersorak?
“Mesti awak tak selesa, kan? Sorry tau. Saya harap, saya dengan keluarga saya tak annoying. Kami memang becok sikit, macam popcorn,” kata Mikhael sambil ketawa kecil.
Aku tersenyum nipis sambil menggeleng. Memang becok sampai penat aku nak dengar. Tapi, tak adalah teruk sangat. Sekurang-kurangnya, mereka datang bertiga sahaja.
Jeda. Kami sama-sama senyap sambil melayan perasaan masing-masing.
Okey, aku saja yang diam. Mikhael pula sedang melayan Ketot yang asyik mengiau kepadanya. Macam bapak-bapak saja aku tengok, borak dengan Ketot. Macam-macam soalan dia tanya si bulu itu. Dah makan ke? Makan apa? Whiskers ke Royal Canin? Kenapa asyik mengiau?
Penat bertanya, Mikhael tepuk pinggul si bulu itu pula. Mendodoi kucing itu sehingga Ketot terlena. Aku yang memerhati sekadar tersenyum.
Comelnya bakal suami aku. Orang kata, nak tahu lelaki itu penyayang ataupun tidak, tengoklah pencinta haiwan. Kalau mereka sukakan haiwan, dia seorang yang penyayang.
Persoalannya, sejauh manakah kenyataan itu? Benarkah begitu ataupun sebaliknya?