Professional  Overthinker

BAB 2

  • Art
  • Asha Lim

TIPULAH kalau aku tak pernah usaha untuk mencari calon suami. Aku pernah dikenalkan dengan aplikasi cinta oleh kawan baikku, Hasanah dan Laila. Mereka memperkenalkan aku pada Tinder, Omi, MyJodoh, my bodoh dan sebagainya.

Sebagai seorang perempuan normal, ya, aku agak tertanya-tanya tentang cinta. Bagaimana perasaan bercinta?

Gambar yang aku rasa paling cantik dijadikan sebagai gambar profil dan gambar aku sememangnya menjadi tarikan kepara lelaki yang mempunyai akaun di aplikasi itu. Dapat match dan ramai yang cuba menghubungi aku.

Pada mulanya, aku melayan walaupun hanya sepatah perkataan.

Sudah makan?

Aku jawab, dah.

Buat apa tu?

Aku jawab, kerja.

Nak jumpa tak? Aku jawab, tak nak.

Akhirnya, mereka sepi. Tidak lagi menghubungi aku.

Atau aku yang menghilang menggunakan ilmu Naruto, ninjutsu. Menghilang daripada dunia aplikasi cinta. Geli. Sudahlah ada yang tidak semenggah, terkejut badak sumbu aku dibuatnya.

Maka, itu bukanlah jalan terbaik untuk aku mencari cinta.

Kini, apabila mak dan ayah bentangkan cadangan untuk jodohkan aku dengan lelaki bernama Adam Mikhael, aku hanya mampu melopong dengan mata memandang mereka silih berganti. Adakah mereka sedang bergurau?

Kerana ia tidak kelakar.

“Apa dia?” soalku sambil menegakkan tubuh.

Mak dan ayah saling berpandangan sebelum tersenyum lebar.

“Mak dengan ayah nak jodohkan Fia dengan anak Aunty Yana dan Uncle Mujid,” kata ayah.

“Gurau, kan?” soalku sambil tersenyum nipis.

Namun, apabila mereka menggeleng, aku mula rasa cuak.

“Mak serius, ayah pun serius, Aafia,” balas mak, agak tegas.

“Orang tak faham. Kenapa tiba-tiba?”

Mak mula tayang muka sedih sebelum membalas, “Mak dengan ayah dah tua, Fia. Mak dengan ayah risau, siapalah yang akan jaga Fia nanti.”

“Abang-abang ada,” sampukku laju.

Sungguh, aku keliru. Memanglah topik bila nak kahwin menjadi topik hangat kebelakangan ni. Lebih-lebih lagi apabila aku menemani mak ke kenduri kahwin. Tapi, tak sangka topik ni meleret sampai ke sini.

Bukanlah aku tak suka mak dan ayah buat keputusan di belakang aku, tapi ini terlalu mengejut. Dan, aku tak suka kejutan.

“Fia...” Mak meleretkan suaranya.

“Fia faham kan maksud mak? Mak risau kalau anak mak hidup sendiri nanti. Memanglah ada adik-beradik, tapi mereka akan kahwin, akan ada keluarga sendiri. Akhirnya, Fia akan sendiri. Siapa yang nak jaga Fia nanti?”

Sangat tak logik sebab aku sangatlah berdikari. Dan, hidup sendiri bukanlah masalah bagi aku. Lagi aku suka.

“Kalau Fia rasa sangsi dengan cadangan mak ayah, Fia pergilah jumpa dia, kenal-kenal dengan dia dulu.”

Mendengar cadangan mak, terus aku menggeleng laju. Jumpa dia? Lelaki? No, thank you!

“Kalau tak nak, mesejlah dulu. Kenal-kenal hati budi,” sampuk ayah.

Aku bungkam. Mata hanya merenung mereka, lama. Seriuslah?

Selama ini, aku hanya baca novel sahaja tentang perkahwinan pilihan keluarga. Ya, dalam novel memang kelihatan indah sahaja. Dua hati, dijodohkan oleh keluarga, watak utama membentak, tidak setuju dengan cadangan keluarga, dipaksa kahwin, hidup bersama dan akhirnya jatuh cinta.

Dulu, aku selalu tertanya-tanya, kenapa watak dalam novel selalu membentak apabila jodoh dihidang di depan mata. Watak lelaki pula kacak, baik dan kaya. Lepas itu, tidur asing.

Sekarang, aku mula faham perasaan watak dalam novel yang aku baca itu. Rasa terbeban. Rasa tak selesa.

Aku tenung wajah mereka lagi. Wajah-wajah yang mengharap aku bersetuju dengan cadangan mereka. Akur dengan pilihan mereka.

“Fia jangan risau, sayang. Mak dah pernah jumpa dengan Mika. Baik budaknya, sopan santun. Tinggi, kacak. Kerja pun okey. Dia arkitek. Keluarganya juga baik.”

Ya, semua orang baik di awal perkenalan, mak. Di tengah dan hujungnya, mereka akan mula tunjuk belang, tunjuk perangai sebenar dan yang disakiti adalah Fia.

Nasi di dalam pinggan aku kuis perlahan. Sungguh, aku terkedu.

“Ini kira dia merisik orang ke?” soalku perlahan.

“Ya, dia risik Fia,” balas ayah, lembut.

“Ayah terima?” Mataku kembali merenung wajah ayah, lama.

Senyuman ayah kelihatan sedikit tawar. “Kalau ayah terima, ayah tak suruh Fia kenal dia dulu. Ayah tak tanya Fia setuju ataupun tak.”

Tapi, mestilah ayah kecewa kalau aku menolak, kan? Sebab keluarga Mikhael ni kawan ayah dan mak!

“Macam mana? Nak ke tak?” soal mak.

Akhirnya, aku mengangguk perlahan. Hati sedikit membentak, namun aku sedar, jika mereka mencadangkan, maka pilihan mereka sememangnya memenuhi piawaian mereka.

Kata orang, pilihan ibu dan ayah sentiasa yang terbaik. Kan?

Baik setuju sajalah. Nak harapkan aku bawak balik calon? Jauh... Macam jauhnya bumi dengan bulan.

“Orang setuju je. Cuma, tahu-tahulah orang macam mana,” balasku lemah.

Agak takut jika lelaki itu kecewa dengan pilihan mak ayahnya. Tertanya-tanya juga, kalau betul dia memang kacak, tinggi, kerja bagus, baik dan sopan santun, takkanlah dia tak ada teman wanita? Fishy!

“Alhamdulillah,” ujar ayah dan mak serentak.

Mereka nampak sangat gembira, membuatkan aku turut tersenyum.

“Nanti lepas kahwin, Fia bolehlah berhenti kerja.”

Aku tersedak buat kali kedua. Eh, kenapa tiba-tiba masuk topik kerja?

“Mak memang tak berkenan Fia kerja kat situ. Nanti lepas kahwin, Fia berhenti aje. Mika tu mampu tanggung Fia,” sambung mak bersungguh-sungguh.

Mak aku ni, tadi rasanya borak pasal tunang. Ini belum bertunang, dah cakap pasal kahwin dan berhenti kerja. Ya Allah, mak. Berangan jauh ni.

“Kerja kontrak, mak. Kalau berhenti, breach contract pula. Lagipun, orang ada lima bulan lagi,” balasku, lembut.

Itulah alasan yang sering aku beri kepada mak apabila mak mula membebel.

“Kenapalah sambung, Fia? Sepatutnya Fia biar je kontrak habis,” bebel mak.

“Nak buat macam mana, mak. Adat bekerjalah tu. Ada masa, happy. Ada masa, stres,” balasku mudah.

Suara pun lemau macam biskut masuk angin. Tenaga sudah habis.

“Masalahnya, kamu 24 jam stres!”

Aku tersengih. Mana ada stres 24 jam. Kita bukan vampire, mak! Lawaklah! Suka betul buat kelakar.

Ayah sudah tergelak kecil. Mak menjulingkan matanya ke atas.

“Gelak pulak dah!” marahnya sambil menepuk bahu ayah, lembut.

“Mak tak sedih ke orang nak kahwin ni?” soalku pula.

Namun, apa yang dibalas bukanlah apa yang aku mahu dengar.

“Mak lagi suka Fia kahwin. Sebab mak dengan ayah ni bukan makin muda, Fia. Nanti mak dengan ayah tak ada, siapa nak tengok-tengokkan Fia?” soal mak dengan nada sayu.

Aku hanya senyum dan diam. Nasi yang sudah sejuk aku suap ke mulut.

“Mika tu baik. Mak yakin Fia akan suka dia,” ujar mak lagi, menjual saham si Mikhael.

Peliknya, tidak pula mak tunjuk gambar. Entah betul ataupun tidak lelaki itu kacak.

“Dia dan keluarga dia tahu tak orang ni banyak kurangnya?”

Aku risau juga. Kang dia ingat dia bercakap dengan tiang nanti sebab bercakap tanpa ada yang menjawab. Sudahlah aku penuh dengan cela. Risau dia tiada selera bila tengok aku nanti.

Mak ketawa halus. Ayah pula hanya tersenyum.

“Mak dan ayah dah bagi tahu Aunty Yana dengan Uncle Mujid. Aunty Yana cakap, mereka okey sahaja. Lagipun, Fia bukan tak boleh bercakap, cuma kurang bercakap dengan orang. Fia bukan tak reti bergaul, cuma Fia suka bergaul dengan orang yang buat Fia selesa. Mak dan ayah yakin, Mika boleh buat Fia selesa dengan dia,” kata mak dengan tawa comelnya.

Aku tersenyum nipis. Mak memang kenal aku. Kat rumah pun aku bercakap apabila perlu. Kalau tak, aku senyap saja. Jadi tukang senyum, tukang gelak, tukang kerut muka.

Aku ni umpama penonton rasmi di dalam rumah. Hanya memerhati setiap pergerakan dan mendengar setiap perbualan adik-beradik.

Aku bersyukur sebab ada keluarga yang memberikan aku keselesaan. Yang memahami kesukaran yang aku alami.

Tapi, ini keluarga yang aku hidup bersama selama 26 tahun. Lelaki itu pula, manusia baru yang aku perlu kenali dan selami. Fuh, penat tu!

Kerisauan mula bersarang dalam minda. Segala pemikiran yang buruk melekat di setiap saraf otak.

“Dia okey kan, mak? Bukan kaki pukul, kan?” soalku berhati-hati.

Manusia panas baran dan kaki pukul ini sukar untuk dibaca. Kebiasaannya mereka kelihatan sangatlah baik, tapi sekali hidup bersama sebagai suami isteri, mulalah perangai sebenar muncul!

Sudah banyak isu sebegini menjadi bualan hangat di surat khabar atau artikel-artikel. Nampak baik, macam hero dalam drama di kaca TV. Depan orang lain, pijak semut pun tak mati. Tapi sekali dia naik angin, haaa... nahas kau dia kerjakan.

Risau juga kalau calon suami aku macam tu.

“Insya-Allah, tak. Mak nampak dia jenis yang hormat orang. Baik, sopan aje mak tengok. Solat tak tinggal. Low profile. Handsome, Fia. Mak suka.”

Kacak? Aku tak percaya dengan kacak mak tu. Mata orang tua ni, mana sama dengan mata kita yang muda. Yang nampak elok sikit, kemas sikit, ha, itulah handsome.

Aku punya handsome, tahap Park Seojun, Lee Dong Wook. Tapi, Dong Wook cerah sangat. Aku suka yang gelap sikit. Macam Tom Hiddleston ke.

Wah, kurang ajar eh selera kau, Aafia? Mana nak dapat kat Malaysia ni?

Tanpa sedar, aku mula melakar wajah Mikhael dalam minda. Tidak terlalu kacak, tapi sedap mata memandang.

Ugh, okeylah! Kebanyakan lelaki curang yang aku tengok di Internet, lelaki yang muka tak berapa helok!

Aduh... Susah juga nak bertunang dengan lelaki yang kita tak kenal, kan?