INTROVERT. Kadang-kadang, apabila kita bercakap pasal manusia introvert, mesti orang akan ingat manusia itu seorang pendiam, pemalu, susah nak dekat, dalam dunia sendiri, tak suka keluar ke tempat orang ramai, bla bla bla.
Introvert adalah golongan manusia yang terlalu selesa dengan pemikiran mereka. Lebih gemar bersendiri dan hidup dalam dunia mereka. Menghargai dunia mereka yang kecil berbanding dunia luar yang terlampau luas dan penuh dengan pelbagai jenis manusia.
Mereka gemar meluangkan masa dengan beberapa orang sahaja. Mungkin seorang dua yang buat mereka selesa berbanding dengan sekumpulan manusia.
Kadang-kadang, mereka juga menghadapi kesukaran dalam rutin harian mereka. Contohnya, kerja. Tidaklah sampai tak boleh bekerja. Cuma... kadang-kadang, tenaga cepat habis.
Macam sekarang. Aku dimarahi bos aku kerana tergagap-gagap lagi sewaktu miting. Sebenarnya, normal apabila bos marah pekerja kerana buat kerja tak betul dan kebiasaannya aku akan mengaku silap aku, cuma aku jadi tergagap-gagap kerana bingung.
Ini bukan kerja aku. Salah budak intern sebenarnya. Jadi, aku bingung apabila aku yang perlu menanggung kesalahan orang lain.
Aku melirik Adira yang terkebil-kebil melihatku dengan muka tidak bersalah. Argh, ini yang aku rasa nak berhenti kerja ni. Mulalah rasa nak kahwin. Kalau kahwin, senang, boleh suruh laki tanggung.
“Hah, terkebil-kebil. Aku tanya ni, Fia!”
Mataku menjeling Encik Yong. Dia tak nak tolong aku ke?
Lelaki itu menggeleng. Bermaksud, layankan sahajalah, Fia. Aduhai...
“Aafia!”
Aku mengeluh lemah.
“Maafkan saya, bos. Pertama sekali, skop kerja saya adalah menganalisis semua data dan laporan kerja. Tugas saya hanyalah buat analisis secara terperinci, mengenal pasti masalah atau risiko yang mungkin syarikat kita akan alami. Saya juga perlu mencari solusi terbaik bagi memastikan perniagaan syarikat kita berjalan dengan lancar.
“Bukan tu saja, saya juga perlu merancang bajet dan buat ramalan risiko yang boleh menimpa syarikat kita. Kewangan syarikat ni pun saya yang perlu rancang dan pantau pergerakan keluar masuk, sekali gus memikirkan pelbagai lagi kemungkinan dan analisis yang lain. Saya dah cukup sibuk dan masih belum ada kesilapan dalam kerja saya sebelum ni. Masih perlukan penjelasan saya? Perlu ke saya teruskan, bos?” soalku tenang.
Jeda.
“Of course, I am capable to do these basic things. Dan saya takkan ulangi kesalahan saya. Maaf ya, nanti saya betulkan laporan ni. Lepas tu, saya akan e-mel direct kepada bos.”
Bos aku berdehem sambil memandang Encik Ashiq, penyelia Adira. Dia yang sepatutnya memeriksa kerja Adira.
Intern supercat itu tayang mimik muka tak puas hati.
Bos beri kata putus bahawa aku perlu siapkan kerja ini ASAP. Kemudian, dia menamatkan sesi miting kami.
Aku mengeluh berat.
Beberapa orang staf mula memberi reaksi simpati, namun tak kurang juga yang mengutuk aku dengan mimik muka menghukum.
Yang intern supercat itu pun dah kenapa? Dia tak puas hati apa dengan aku?
Aku cuba bersangka baik. Mungkin dia betul-betul tak sedar yang dia termasukkan digit yang salah atau dia lupa nak periksa kerja dia, tapi aku rasa sangsi.
PINTU bilik aku tolak perlahan. Walaupun tidak puas hati dengan pengurusan di syarikat ini, aku tetap bersyukur kerana diberikan bilik khas. My little space gitu.
Tak sampai seminit aku melabuhkan punggung di kerusi, ruang khas aku dicerobohi oleh Adira.
“Kak Fia, saya minta maaf,” ucapnya dengan muka bersalah.
Aku terkedu. Ketuk pintu pun tidak, dia main terjah sahaja? Kenapa aku rasa kata-kata maafnya itu sangatlah palsu? Tidak kedengaran ikhlas langsung.
Aku buka mulut untuk membalas kata-kata maafnya, tapi telefon berdering nyaring, mematikan tindakanku. Aku melirik skrin telefon.
“Maaf, department design call. Awak nak cakap apa tadi?” soalku semula.
Adira mengerutkan kening sebelum menggeleng perlahan.
“Nak cakap minta maaf je,” balasnya mendatar.
“It’s okay. But, don’t do that again,” balasku perlahan.
Adira angguk, mencapai fail, lalu keluar dari bilikku. Nafas berat aku hela lemah sebelum tangan menyambut telefon yang berdering.
PULANG sahaja ke rumah, aku terus masuk ke dalam bilik. Tudung aku buka, lalu berbaring di atas katil. Tadi, ketika aku ke surau pejabat untuk menunaikan solat zuhur, aku terdengar beberapa orang pekerja sedang mengutuk aku.
Termasuklah Adira.
“Macam mana Fia boleh dapat bilik khas sedangkan dia bukannya ada pegang jawatan besar? Setakat penganalisis kewangan, kenapa tak duduk dekat kubikel, sama macam yang lain?”
Daripada soalan itu, mereka mula membuat spekulasi sendiri. Yang paling menyebalkan, mereka cakap aku seorang yang kurang ajar, sombong dan berlagak kerana apa yang aku katakan di dalam bilik miting.
Aku raup wajah sebelum merenung siling bilik. Aku cuma cakap apa yang aku rasa betul, tapi itu pula yang mereka nampak.
Kehidupan introvert ini sebenarnya lebih sukar berbanding apa yang semua orang sangka.
Introvert sering kali disalah erti. Apabila aku diam, aku dikatakan sombong atau biadab kerana tidak pandai berkomunikasi dengan baik dengan rakan sekerja. Aku dianggap kurang ajar dan berlagak apabila bersuara, mempertahankan diri sendiri.
Introvert sering kali dipandang remeh atau dipandang rendah kerana kelemahannya dalam komunikasi. Aku perlu bersaing lebih dengan orang ramai, lebih-lebih lagi seorang yang peramah, yang tidak mempunyai sebarang masalah dalam bercakap. Apabila bekerja dalam kumpulan, risiko untuk dipulaukan itu tinggi kerana aku gagal ikut serta dalam perbualan mereka.
Salahkah aku begini? Salahkah aku menjadi seorang yang mempunyai personaliti introversion?
Bukan ini yang aku minta. Kalau boleh, aku juga mahu jadi seperti orang lain!
Lamunanku terbang apabila pintu bilik diketuk dari luar.
“Fia?” seru mak dari luar.
Aku bangkit daripada perbaringan untuk membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dikuak, wajah mak yang tersenyum menyapa mata. Aku membalas senyuman mak, tipis.
“Balik tak bagi salam. Ni kalau mak tak nampak kereta Fia, mak tak tahu pun Fia dah balik,” tegurnya dengan bebelan.
Lenganku ditarik untuk turun ke bawah bersamanya.
Aku hanya tersenyum. Bukan aku tak beri salam sebelum masuk rumah, tapi mak yang tak dengar.
“Kawan mak dah balik?” soalku lembut.
Tadi mak ada tetamu, sebab itu aku terus naik ke bilik. Kalau tidak, memang aku lepak di dapur dulu dengan mak. Dengar mak membebel. Syok tau dengar mak membebel!
“Dah balik dah. Mak masak lauk kegemaran Fia hari ni. Sambal sotong,” kata mak sambil memeluk lenganku erat.
Aku tersengih.
Sebaik sahaja sampai di dapur, mak terus menyuruhku duduk. Nasi sudah terhidang, lauk juga sama.
Aik? Lain macam layanan mak hari ni. Biasanya, kena ambil nasi dan lauk sendiri. Ini siap hidang. Semacam saja ni.
“Makanlah,” suruhnya lembut.
Aku angguk sahaja. Tangan sudah mencapai sudu dan garpu sebelum mencedok lauk ke pinggan.
“Kawan mak tadi, namanya Aunty Yana dan Uncle Mujid,” kata mak sambil memandangku dengan senyuman manis.
Aku hanya mengangguk. tidak mengerti kenapa mak tiba-tiba memberitahu nama mereka kepadaku.
“Dia ada anak lelaki yang belum kahwin. Handsome, Fia. Kerja pun elok,” ucap mak lagi.
Aik, lain macam saja bunyinya.
“Okey, tapi saya tak faham, Puan Sri. Cuba Puan Sri terangkan,” balasku dengan usikan.
Aku tahu, mak tak suka gelaran itu. Pelik betul, orang lain bukan main bangga dapat gelaran Puan Sri walaupun tak berseri. Tapi, mak dan ayah aku sebaliknya. Siap pesan kepada anak-anak, jangan beritahu sesiapa yang mereka mempunyai pangkat itu. Malu!
Senyuman mak mula meleret lebar.
Ah, sudah. Aku mula rasa tak sedap hati.
“Mak dengan Aunty Yana ingat nak satukan Fia dengan anak kedua dia.”
Tersedak aku dibuatnya sampai tertelan sawi. Terbatuk-batuk sampai terkeluar air mata dan hingus. Perit!
“Pardon?” soalku perlahan.
“Nama dia Adam Mikhael, umur 27 tahun. Setahun aje beza dengan Fia. Ayah pun dah setuju. Tinggal Fia kata setuju dan kita terus tunang,” sambung mak aku, Puan Sri Saleha.
Aku mula rasa pening. Gurauan apakah ini?
“Haaa... betul tu!” sampuk ayah, Tan Sri Sabri, pula.
Aku menoleh ke belakang, memandang ayah yang berjalan dengan senyuman lebar. Allahuakbar! Apakah ini? Prank ke? Bang Bang Boom?
Mataku mula melilau sekeliling, mencari kamera yang tersembunyi.
“Cari apa? Bakal tunang Fia tak ada. Tapi kalau Fia setuju, hujung minggu ni terus tunang,” kata ayah dengan selamba.
Aku terus memandang kedua-dua orang tuaku dengan kerutan. Hu... Hujung minggu ni? Ya Allah, dugaan apakah ini?