Lelaki Yang Kau Pilih

BAB 1

  • Art
  • Zaza Qry

HIDNI melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mencari Nafis sehingga ke dapur. Geram kerana tidak menyangka Nafis menggunakan duit yang dia simpan. Tidak sedar bila Nafis mengambil kad banknya itu.

Dia mempunyai dua akuan bank. Satu akaun untuk kegunaannya dan satu lagi untuk simpanan, bagi membeli apa saja yang dia mahukan.

“Nafis!” Hidni menjerit nama Nafis.

Dia tahu Nafis sedang mandi kerana dia dengar bunyi air daripada shower. Hidni menanti di muka pintu bilik air sambil memeluk tubuh.

Nafis keluar dari bilik air dan tersengih memandang isterinya yang sudah serupa nak menerkamnya.

“Nini baru sampai ke?” tanya Nafis sambil mengukir senyuman kepada Hidni.

Dia menghampiri Hidni.

“Awak guna duit tabungan saya buat apa?” tanya Hidni.

Dia masih kaku walaupun Nafis sudah dekat dengannya.

Nafis berdehem.

“Alah, saya guna sikit aje,” balas Nafis.

“Sikit?!” Hidni mengetap giginya. Dia menjegil Nafis.

“Nanti saya bayarlah semula.” Nafis masih selamba.

“Awak buat apa?” tanya Hidni lagi.

Geram kerana Nafis memandai guna duitnya.

“Buat kereta. Mekap bagi cantik lagi.”

Hidni menjerit. Bukannya benda yang berguna pun. Memanglah kereta itu dapat buat mereka berlindung daripada hujan dan panas, tapi tak payahlah nak mencantikkannya. Dah serupa alien saja kereta Nafis.

Macamlah boleh bawa naik ke bulan kalau mekap bagi cantik pun. Argh! Geramnya.

“Tu kereta aje, Nafis. Kalau tak cukup duit, tak payah buatlah. Ni tak, sanggup awak ambil duit saya. Dalam diam pula tu,” kata Hidni.

“Alah, duit isteri saya juga. Bukannya saya curi daripada orang lain.”

“Nafis! Duit tu saya simpan tau.”

“Alah, saya tahu awak simpan sebab nak beli beg tangan baru, kan?”

Hidni mengetap gigi. Memanglah dia simpan nak beli beg tangan berjenama, tapi dia tak pernah ganggu duit Nafis pun. Nafis tak patut ambil duit dia!

“Kereta tu untuk kita berdua. Tapi, beg tangan tu untuk awak seorang saja. Relakslah. Nanti saya bayar balik.” Nafis masih rasa tidak bersalah kerana menggunakan duit Hidni tanpa pengetahuan Hidni.

“Awak cakap relaks? Tu duit saya. Kalau nak, beritahulah.” Hidni mengetap giginya.

“Awak nak beri ke kalau saya minta?” tanya Nafis.

Dia sudah tak tahan kerana Hidni tidak berkompromi dengannya. Tetap menyalahkannya.

“Nafis, janganlah jadi macam ni. Saya bencilah.”

“Oh, awak bencikan saya?” Nafis bertanya dengan muka memerah.

Geram kerana Hidni mengatakan benci kepadanya.

“Awak ambil duit saya, tak beritahu saya. Awak salah. Tapi, awak tak minta maaf pun.” Hidni sedih.

“Kita suami isteri, Nini. Takkanlah berkira sampai macam tu sekali?”

“Awak curi-curi ambil.”

“Awak tuduh saya mencuri?!” Nafis naik angin.

Hidni diam sambil menggigit bibir. Dia sakit hati kerana Nafis tetap tidak mengaku salah.

“Saya tak pernah dengar seorang isteri memanggil suaminya pencuri. Hanya awak saja, Nini. Sampai hati awak!” Nafis berkata perlahan.

“Saya tak kata awak pencuri, tapi awak curi-curi ambil duit saya.” Hidni membela dirinya.

“Samalah tu. Ada perkataan curi juga.”

“Ya Allah, Nafis...” Hidni menggeleng.

Entah kenapa Nafis tetap tidak mengaku salah.

“Payahlah ada suami macam ni,” omelnya perlahan.

Tapi, didengar oleh Nafis.

“Kenapa? Awak nak cari suami lain pula ke? Yang tak curi duit awak?” Nafis menjerkah.

Geram mendengar kata-kata Hidni.

“Bawa mengucap, Nafis. Cukuplah.” Hidni tidak mahu menyambung lagi walaupun hatinya sakit.

Pergaduhan mereka semakin tegang.

“Awak nak saya ceraikan awak sebab saya curi duit awak? Awak nak cari suami lain?” Nafis menjegil Hidni.

“Saya nak rehatlah, Nafis. Nanti kita cakap lagi.” Hidni tidak mahu memanjangkan pergaduhan mereka.

Risau, nanti lain pula jadinya.

“Awak tak jawab soalan saya, Nini.” Nafis bercakap dengan gigi terketap.

“Sudahlah.”

“Oh, awak dah rancang, kan? Sebab tulah awak marah saya ambil duit awak. Baiklah, Hidni. Saya ceraikan awak dengan talak tiga!” Nafis berkata dengan sekali nafas.

Hidni jatuh terduduk apabila mendengar talak tiga yang keluar dari bibir Nafis. Dia terus menangis.

Nafis yang baru tersedar dia telah menjatuhkan talak, berlari kepada Hidni yang terduduk.

“Ya Allah, Nini sayang. Saya minta maaf. Saya terlepas cakap!” Nafis terus menangis, bersambung dengan tangisan Hidni.

Mengongoi kerana dia sudah terlepas talak.


“ISYA, tolong aku Isya...” Hidni meminta tolong Isya dalam tangisan.

“Kau nangis kenapa, Nini?” tanya Isya, terkejut.

“Tolong jemput aku kat rumah aku!” Hidni terus matikan talian.

Pintu yang diketuk bertalu-talu, dibiarkan saja. Dia asyik melayan perasan.

“Nini sayang, bukalah pintu ni. Fis minta maaf...” Nafis mengetuk pintu.

Maaf Nafis sudah tidak berguna. Segalanya sudah hancur. Perkahwinan yang dianggap akan sampai ke akhir hayat sudah tiada maknanya.

Hidni terus diam. Dia sedang melayan hati yang gundah. Dia sedih kerana cintanya masih ada untuk Nafis, tapi mereka sudah tidak dapat bersama lagi.


ISYA masuk ke dalam rumah Hidni dan Nafis.

“Mana Nini?” tanya Isya.

“Dalam bilik. Sejak tadi dia berkurung.” Nafis memberitahu.

Lega hatinya apabila nampak Isya datang. Dia yakin Hidni akan keluar selepas Isya datang.

“Kau buat apa ni, Nafis?” tanya Isya. Dia memandang tepat ke muka Nafis.

Nafis menunduk. Suram saja wajahnya. “Aku terceraikan dia dengan talak tiga!”

“Astaghfirullah al-azim...” Isya hampir jatuh terduduk mendengarnya.

Perkataan paling sakit bagi seorang wanita adalah talak dan curang. Hati Isya yang belum berkahwin pun rasa sakit, orang yang menghadapinya lagilah sakit.

“Kau bergaduh pasal apalah. Kau curang dan kau kantoi curang?” tebak Isya. Jari dituding kepada Nafis.

“Taklah,” kata Nafis laju.

Dia tidak pernah berminat dengan perempuan lain. Dalam hidupnya, dia hanya berminat dengan Hidni dan kereta. Sebab itulah dia sanggup buat apa saja untuk keretanya. Tapi, minatnya itu akhirnya memakan diri.

Pintu bilik terbuka. Kedua-duanya memandang ke arah bilik. Hidni keluar dengan beg pakaiannya. Nafis berlari mendapatkan Hidni.

“Nini sayang, kenapa bawa beg ni?” tanya Nafis.

“Saya tak boleh tinggal di sini lagi. Saya kena keluar dari sini,” kata Hidni.

“Awak nak tinggalkan saya?” tanya Nafis sedih.

“Awak sedar tak awak dah jatuhkan talak tiga? Kita dah tak boleh buat apa-apa lagi. Tak boleh rujuk semula!” Hidni naikkan suara.

Hatinya masih geram kepada Nafis. Saat ini, dia hanya mahu pergi dari sini. Dia tak boleh melihat muka Nafis. Rasa nak renyuk-renyuk saja muka Nafis macam kertas.

Hidni terus mengajak Isya keluar dari rumah.

Walaupun masih ada cinta, tapi mereka berdua terseksa. Terseksa kerana Nafis terlepas cakap. Dalam keadaan marah, Nafis terus menjatuhan talak kepadanya. Kalau talak satu, masih boleh diterima akal. Ini tidak, talak tiga terus.