Pengantin Terpaksa Kekasih Sukarela

BAB 1

  • Art
  • PTKS

PINTU kereta ditutup dengan kuat. Derapan tapak kasut kedengaran di lantai. Syahreza tarik nafas dalam sebelum membuka pintu rumah agam milik Datuk Helmi, bapa saudaranya.

Setelah pemergian ibunya, Syahreza jarang sekali datang menjenguk. Lebih-lebih lagi kalau tiada kepentingan untuk datang ke mari. Tetapi, hari ini, kedatangannya ke rumah agam Datuk Helmi berkepentingan.

Kepentingan itu berbentuk seorang budak berusia enam tahun dengan rambut tocang dan senyuman manis. Milik Hana, anak saudaranya. Hana adalah anak arwah abang Syahreza, Syahrudin, dan arwah kakak iparnya yang meninggal dunia dalam kemalangan kapal terbang sewaktu Hana masih kecil.

“Papa!” Hana menjerit manja, lalu berlari ke arah Syahreza.

Muka Syahreza yang masam mencuka terus berubah. Dia hadiahkan senyuman kepada Hana dan memeluk Hana dengan kemas.

“Hai, sayang. Dah mula rindu papa ke?” Syahreza bertanya sambil memandang tunak ke dalam mata Hana.

Hana mencebik dan menyilang tangan di dada.

“Papa janji nak ambil Hana dekat tadika pukul 4.00, sekarang ni dah pukul 7.00. Nasib baik atuk datang ambil Hana tadi. Kalau tak, entah siapalah nak datang jemput Hana.” Hana menjawab sambil memuncungkan mulut.

Syahreza tergelak kecil dengan ragam Hana.

“Ya. Papa minta maaf. Papa sibuk sikit tadi. Boleh Hana maafkan papa?” Syahreza memujuk.

Mata coklat Hana memandang Syahreza atas bawah sebelum satu senyuman terukir di bibir.

“Nasib baik papa handsome dan kita keluarga. Jadi, Hana maafkan papa. Papa janji takkan buat lagi?” soal Hana sambil menatap muka Syahreza.

“Ye, papa janji,” jawab Syahreza sambil mengusap kepala Hana.

Senyuman Hana makin melebar.

“Okey. Kalau macam tu, Hana nak pergi ambil beg sekolah Hana dan kita boleh balik rumah.” Budak kecil itu berlari masuk ke dalam rumah agam dengan pantas.

Syahreza mengeluh perlahan. Kemudian, dia berpaling ke arah lelaki yang hanya memerhati dia dan Hana dari jauh sejak tadi. Dia menelan air liur yang terasa seperti pasir, lalu mendekati Datuk Helmi di ruang tamu.

“Assalamualaikum, pak long.” Syahreza menghulurkan tangan, bersalam.

“Waalaikumussalam.” Datuk Helmi menyambut tangan Syahreza.

Selepas itu mengarahkan lelaki muda itu agar mengambil tempat di sofa.

“Sampai bila kamu nak macam ni, Reza? Pak long faham kamu nak jaga Hana sebab dia anak saudara kamu, tapi...” Datuk Helmi berjeda.

Syahreza angkat kening. “Tapi, apa, pak long?”

Datuk Helmi mengeluh perlahan.

“Kamu tak rasa ke Hana kena ada bimbingan seorang ibu? Kalau kamu tak nak atau tak ada keinginan untuk kahwin, pak long dengan mak long kamu boleh tengok-tengokkan Hana.” Datuk Helmi berkata, lalu mengangkat tangan apabila Syahreza mahu bersuara.

“Ye, pak long faham kamu nak penuhkan kemahuan arwah abang kamu, jaga Hana sampai dia dewasa. Tapi, pak long rasa gaya hidup kamu tak sesuai untuk perkembangan Hana. Keluar subuh, balik lepas maghrib. Lebih-lebih lagi bila Hana takde figura seorang ibu dalam hidup dia. Kamu tak rasa ke Hana akan rasa dipinggirkan nanti?” soal Datuk Helmi.

Syahreza berdiam diri, menarik nafas yang panjang dan memandang tunak muka Datuk Helmi.

“Pak long, saya faham pak long takut Hana terabai dengan gaya hidup saya. Tapi, saya dah janji dengan Abang Syah akan jaga Hana kalau apa-apa berlaku pada Abang Syah. Saya tak boleh nak mungkir janji macam tu aje. Lagipun, saya ada pengasuh untuk jaga Hana bila saya sibuk.” Syahreza membela diri.

Datuk Helmi geleng kepala.

“Kalau kamu mahukan yang terbaik untuk Hana, kamu akan biar pak long dengan mak long kamu jaga dia, asuh dia dan didik dia sampai dewasa. Kalau kamu tak ubah gaya hidup kamu untuk penuhi keperluan Hana, kamu memaksa pak long untuk ambil tindakan keras, Reza. Fikirkan kebahagiaan Hana sebab pak long rasa kamu hanya pentingkan diri sendiri sekarang ni,” bidas Datuk Helmi.

Syahreza berdiri, bangkit dari sofa. “Kalau pak long sayang Hana, pak long takkan ambik Hana daripada Reza.”

Datuk Helmi mendengus. “Dan, kalau kamu tahu apa yang terbaik untuk masa depan Hana, kamu akan benarkan pak long dengan mak long jaga dia.”

Dia memegang satu kertas, menunjuknya kepada Syahreza. Syahreza memandang kertas tersebut.

“Kamu kena faham. Pak long ada pengaruh dan sumber untuk pastikan hak penjagaan Hana jatuh ke tangan pak long. Kalau kamu tak mahu jumpa pak long di mahkamah, lebih baik kamu fikirkan apa yang terbaik untuk masa depan Hana.” Datuk Helmi berkata sambil tersenyum.

Syahreza ketap bibir. “Kalau macam tu, Reza balik dulu. Assalamualaikum, pak long.”

Syahreza mengayun langkah ke pintu. Dia memakai kasut dan menunggu Hana bersalaman dengan Datuk Helmi. Kemudian, dia memegang tangan Hana, sama-sama ke keretanya.

Hana senyum dan Syahreza membalas senyuman tersebut. Dia menekan punat untuk membuka kereta, lalu membantu Hana masuk ke dalam perut kereta. Pintu bahagian penumpang ditutup rapi.

Syahreza memandang rumah agam Datuk Helmi dan mendengus. Kemudian, dia melabuhkan punggung di bahagian pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan mereka keluar dari pekarangan rumah agam itu.

Radio berkumandang dan memenuhi ruang sunyi di dalam kereta. Syahreza hanyut melayan perasaan. Setelah sampai di halaman rumah teres miliknya, dia mematikan enjin kereta.

Syahreza toleh ke tempat duduk penumpang. Hana terlentok elok pada pintu. Anak saudaranya itu sudah dibuai mimpi. Dia senyum, lalu keluar dari perut kereta. Dia membuka pintu rumah lantas mencempung Hana yang sedang lena. Beg galas anak saudaranya disangkut pada bahunya.

Syahreza melangkah masuk ke dalam rumah dan membawa Hana ke biliknya. Dia bersyukur Hana mengenakan pakaian tidur. Jadi, dia baringkan Hana di atas katil empuk di bilik anak kecil itu. Selimut tebal menutupi tubuh si kecil itu. Hana bercakap sendirian apabila dia mencium dahinya.

“Selamat malam, sayang,” bisik Syahreza.

“Selamat malam, papa.” Hana berbisik, tersenyum dalam tidurnya.

Syahreza keluar dari bilik Hana setelah lampu dipadamkan. Dia menuju ke dapur dan membuka peti ais. Air botol mineral dibuka, lalu air sejuk diteguk dengan rakus.

Setelah hausnya hilang, otaknya ligat memikirkan cara untuk menghalang Datuk Helmi daripada mengambil Hana daripadanya. Syahreza mengeluarkan iPhone dari poket seluarnya. Dia membuka aplikasi WhatsApp.

Pelbagai idea bermain dalam fikirannya, namun semua terhenti apabila Syahreza ternampak satu nama pada paparan skrin iPhonenya. Dia tersenyum sendirian sambil mula menaip mesej kepada kawan baiknya itu.

Beberap minit kemudian, setelah membuat temu janji dengan Rania, kawan baik yang dia kenal sejak sekolah rendah lagi, Syahreza bersandar pada singki.

“Mungkin Nia boleh tolong aku nanti. Maklumlah, minah tu ada aje idea gila.” Syahreza berkata sendirian, meraup wajahnya.

Selepas itu, dia melangkah masuk ke dalam bilik tidurnya untuk menunggu hari esok, untuk pastikan hak penjagaan Hana terus bawah tanggungjawabnya.