Sampai hati awak, Inara... - Azzan
PERLAHAN-LAHAN dia senyum. Senyum yang kian menghilang dari bibirnya sejak empat tahun yang lalu. Tiada apa yang lebih membahagiakan selain menggenggam surat tersebut.
Ya, dia telah benar-benar terlepas daripada ikatan yang membelenggunya selama ini. Inara menuruni anak tangga selangkah demi selangkah. Ini merupakan kali terakhir dia menjejakkan kakinya ke sini.
Selepas ini, dia akan pastikan takdirnya tidak akan membawanya ke sini lagi.
“Inara!”
Langkah Inara terhenti, namun dia tidak terus menoleh. Dia kenal benar suara yang menjerit memanggil namanya itu. Sesaat kemudian, dia merasakan pergelangan tangannya ditarik kasar oleh lelaki tersebut.
Mata lelaki itu menikam tajam ke arah Inara.
“Kau jangan ingat kau akan benar-benar terlepas daripada aku. Aku akan pastikan hidup kau...”
“Khairul, awak bukan Tuhan. Awak tak ada hak untuk tentukan hidup saya. Saya pun takkan biarkan awak terus ganggu hidup saya lagi.” Inara memintas.
Dia membalas tatapan tajam bekas suaminya itu. Lengannya ditarik semula daripada genggaman Khairul. Selama empat tahun perkahwinan mereka, tidak pernah sekali pun dia merasa bahagia.
Mereka berkahwin kerana aturan keluarga, tapi Inara tahu Khairullah punca mereka disatukan. Khairul yang meminta ibunya meminang Inara empat tahun lepas.
Setidaknya, Khairul menghargai perkahwinan itu. Tapi, lelaki itu menyeksanya dalam ikatan perkahwinan hanya kerana egonya sebagai seorang suami.
“Kau jangan hipokrit, Inara. Aku tahu kau tak pernah terima perkahwinan ni. Dalam hati kau tak ada aku atau lelaki lain, melainkan...”
“Cukup. Sepanjang perkahwinan ni saya tak pernah ungkit apa-apa. Bukan awak tak tahu siapa saya sebelum awak kahwin dengan saya. Kita sama-sama gagal, jadi tak guna nak ungkit semua tu lagi.” Inara membalas keras.
Selama tempoh perkahwinan, dia hanya membiarkan dirinya diherdik, dimarah dan dihina oleh lelaki itu. Banyak kali juga tubuhnya menjadi bahan pukul Khairul.
“Kau...” Khairul mengetap gigi menahan amarah. Membuntang besar matanya membalas tatapan mata tajam Inara.
“Saya pergi dulu. Maafkan semua salah silap saya sepanjang saya jadi isteri awak. Saya harap lepas ni takdir takkan temukan kita kembali. Dan, saya ikhlas mengharapkan awak tak jumpa lagi isteri tak sempurna macam saya,” tutur Inara lembut.
Jika boleh, dia tidak mahu bermusuh dengan lelaki itu. Baik atau buruk, lelaki itu pernah bergelar suaminya.
“Kau pula? Kau akan balik pada dia?”
Inara mendongak, membalas pandangan Khairul. Dia? Jantung Inara berdetak laju. Seiring bayang si dia melintasi ruang mata.
“Sampai hati awak, Inara...” Sekilas, suara itu meluncur laju di telinga Inara.
Suara lirih itulah yang sering menghantui tidurnya sejak empat tahun yang lalu.
“Lelaki macam awak pun tak dapat terima saya, apatah lagi dia. Saya tak layak pun untuk dia.” Inara melangkah, meninggalkan pekarangan mahkamah.
Ingatannya kembali pada kenangan pahit empat tahun lalu.
“INARA,” panggil Emma dari belakang.
Terus Inara menoleh ke arah kawan baiknya. “Hmm...”
Pandangan Emma nampak serba salah. “Ada orang cari kau.”
Inara dapat mengagak. Nafas berat dilepaskan. Dia bangun dari kerusi. Pandangan dihalakan ke luar tingkap. Nampaknya, dia dah balik, bisik hati kecilnya.
Hampir sebulan juga dia tidak bertemu dengan lelaki itu. Mungkin kedatangannya kali ini tidak seperti biasa.
“Kau nak jumpa dia?” tanya Emma.
Perlahan-lahan Inara mengangguk. Pilihan apa lagi yang dia ada? Cepat atau lambat, dia akan tahu hal sebenar. Jadi, mahu atau tidak, Inara kena juga bersemuka dengan lelaki itu.
“Tapi, kat luar tu...” Emma maksudkan persiapan yang sedang dilakukan di laman rumah.
Khemah, tempat persandingan, semuanya telah hampir siap dipasang. Orang buta saja tak nampak persiapan apa sedang dilakukan.
“Tak apa. Lagipun, aku rasa dia dah tahu apa yang berlaku. Cuma, dia datang nak minta kepastian aku,” ujar Inara penuh yakin sebelum melangkah keluar dari biliknya.
Langkah diatur perlahan. Inara melihat belakang tubuh yang berdiri tegak di hujung sana. Lelaki itu sedang berdiri di bawah pohon mangga, di halaman rumah.
Langkah yang diatur semakin perlahan. Inara semakin hilang kekuatan. Tadi, dia begitu yakin untuk berhadapan dengan lelaki itu, tapi sekarang, kenapa segalanya membeku?
“Awak,” panggil Inara pendek, sudah berdiri di belakang tubuh itu.
Lelaki itu menoleh. Wajahnya nampak merah, namun masih mengekalkan riak tenang yang sama.
Inara menggenggam kuat jari-jemarinya. Mengumpul sisa kekuatan yang kian hilang sejak sebulan yang lalu.
“Inara, apa...” Azzan hampir kehilangan kata.
Sedaya upaya dia tidak mahu mempercayai apa yang dia dengar dari mulut mamanya. Tapi, kenyataan itu semakin sukar untuk dia tepis sebaik saja melihat pekarangan rumah Inara yang dihiasi khemah dan tempat persandingan.
Azzan menggeleng, menidakkan kata hatinya. Mustahil Inara begitu.
“Saya baru sampai tengah hari tadi. Ni, saya ada belikan novel-novel yang awak nak. Awak cakap awak suka semua karya Ramlee Awang Murshid. Saya dah cuba dapatkan semua yang awak nak. Ni... ada siri Laksamana Sunan yang...”
“Azzan...” Inara mendongak.
Segaris senyuman pahit terukir di bibir. Dia cuba membalas tatapan mata Azzan yang sayu.
Azzan sedikit tersentak. Jarang sekali Inara memanggil namanya. Kebiasaannya, Inara hanya memanggilnya awak.
“Saya dah tak suka baca novel. Saya pun dah tak suka karya Ramlee Awang Murshid. Siri Laksamana Sunan? Saya tak tahu. Saya tak nak novel-novel tu,” beritahu Inara.
Ada getar pada setiap ayatnya. Seboleh mungkin, dia cuba untuk menahan air matanya daripada jatuh di hadapan Azzan.
Azzan terkesima. Dia menggenggam kuat beg yang berisi beberapa buah novel itu. Kenapa reaksi ini yang dia terima daripada Inara?
Tiada senyuman seperti biasa. Tiada kata-kata yang menenangkan hatinya seperti selalu.
“Inara, kenapa macam ni? Apa yang jadi? Kalau awak tak suka novel-novel ni, saya boleh...”
“Saya tak nak. Semua saya tak nak. Boleh tak awak berhenti ganggu saya? Saya tak suka.”
Serentak dengan kata-kata itu, dentuman guruh kedengaran. Azzan dapat merasakan hatinya direnggut kasar oleh gadis itu.
Sekali lagi Azzan terdiam. Wajah Inara ditatap. Tubir matanya terasa panas. Tanpa dapat ditahan, air matanya mula menitis. Tiada kata-kata yang lebih tajam daripada kata-kata itu. Pandangan mata Inara tidak sedikit pun menunjukkan belas.
Terlepas beg berisi novel dari tangan Azzan. Inikah pengakhirannya? Bukankah mereka sudah berjanji untuk sama-sama menamatkan pengajian mereka yang hanya berbaki dua semester lagi?
Mereka berkawan sejak umur enam tahun, sehinggalah ke universiti. Tapi sekarang, semuanya seakan-akan menemui titik noktah.
“Baliklah. Nanti apa pula kata Khairul,” tambah Inara tiba-tiba.
Matanya dipejam rapat. Jujur, dia takut melihat reaksi Azzan ketika ini.
Kedengaran tawa sinis dari mulut Azzan.
“Sekarang awak risau apa yang Khairul fikir? Saya ingatkan awak tak kisah pun pasal dia. Inara, awak lupa dia macam mana? Dan sekarang, awak nak kahwin dengan dia?” Suara itu mula bergetar.
“Tu dulu. Sekarang Khairul dah banyak berubah. Dia dah janji akan jaga saya. Sekarang, saya tak perlu risau nak kerja atau apa. Dia boleh tanggung saya.” Inara membuang pandang ke arah lain.
Tidak mahu terus menatap wajah kecewa Azzan.
“Inara...”
“Mungkin awak dah lupa. Saya selalu cakap yang saya dah penat bekerja sambil belajar. Saya dah penat hidup susah. Saya anak yatim, saya perlukan tempat untuk bergantung. Dan, Khairul datang tepat pada masanya. Dia dah janji akan jaga saya dan takkan biarkan saya hidup susah lagi. Memang ni yang saya nak dari dulu.”
Inara tidak membenarkan Azzan berbicara walau sepatah pun.
“Sampai hati awak, Inara...”