Setelah Kudimiliki

BAB 8

  • Art
  • Zaza Qry

SARRAFIA memandang siling biliknya.

Sejak pertemuan semula dengan Adriz selepas lama tidak bertemu, dia rasa berserabut. Nak mengelak bagai dikatalah. Mana mungkin kerana pengasas tempat ini adalah ayah Adriz.

Sarrafia minta sangat lelaki itu cuma datang untuk bercuti sahaja. Janganlah tinggal di sini.

Kisah mereka sudah menjadi sejarah. Kisah yang Sarrafia mahu lupakan kerana ia mengingatkannya akan kesalahan yang telah dilakukan kepada mamanya dan paling besar kepada Allah SWT.

Adriz masih seperti dulu, masih kacak dan menawan hati.

Menawan hati? Ah! Sarrafia, jangan cari pasal. Lelaki itu entah-entah milik orang. Dia ibarat kudis di mata Adriz.

Sarrafia menyarung tudung ke kepalanya. Kemudian dia melangkah keluar dari biliknya. Dia ternampak seorang penghuni.

“Hai, Adira. Petang-petang macam ni tak tidur ke?” tanya Sarrafia sambil duduk di kerusi di sisi Adira.

Tangan Adira mengusap-usap perutnya yang hanya menunggu hari sahaja.

“Tak boleh tidur. Baby ni asyik bergerak sahaja. Sejak semalam lagi,” beritahu Adira sambil senyum.

“Entah-entah dah nak bersalin kut Adira,” balas Sarrafia.

Bimbang juga apabila tiada Bonda Ummi dan Hirda.

“Minggu depan, Sarra,” kata Adira, masih lagi senyum.

Sarrafia menarik nafas lega. Kalau hari ini Adira mahu bersalin, memang mati dia. Hari ini semua orang tak balik lagi daripada seminar yang dia sendiri tidak tahu apa tajuknya. Sudahlah dia tidak pernah memandu kereta. Walaupun ada lesen kereta, kenderaannya hanyalah basikal dan mutumitnya atau kakinya sahajanya.

Sarrafia mula berfikir macam-macam.

“Tapi, ada juga kan orang bersalin awal,” kata Sarrafia tanpa memandang Adira.

Sarrafia mula rasa tidak sedap hati. Dia memandang kakinya yang basah. Eh, paip air pecah ke? Dia berpusing ke kiri. Mana ada air dalam longkang pun.

“Sarra!” panggil Adira.

Sarrafia menoleh ke arah Adira. Wajah itu berkerut seribu seperti sedang menahan sakit.

“Sudah!” Sarrafia menjerit. Dia terlompat bangun.

Situasi ini tidak pernah dilaluinya selama dia berada di sini. Tiada orang yang akan membawa mereka ke hospital.

“Ya Allah! Mana nak cari orang ni? Aku dahlah tak tahu memandu.”

Sarrafia mula kalut. Mukanya pucat. Nampak dia pula yang terlebih takut.

Sarrafia menjerit memanggil Pak Abu si tukang segala tukang di Rumah Azirah. Dia tahu Pak Abu juga tidak boleh memandu.

Demi terdengarkan jeritan Sarrafia, penghuni-penghuni lain mula keluar dari bilik masing-masing. Semuanya tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Hanya menyuruh Adira mengucap dan bersabar sahaja.

Adira pula tercungap-cungap mencari nafas. Terlalu sakit barangkali.

Pak Abu pula hilang entah ke mana.

Sarrafia menjerit kepada semua penghuni itu supaya menelefon Bonda Ummi untuk mengkhabarkan perihal Adira yang sudah sakit mahu bersalin. Ketika Sarrafia menjerit menyuruh mereka menelefon ambulans, tiba-tiba Pak Abu sampai bersama seorang lelaki.

“Ni... Pak Abu minta tolong Adriz. Kebetulan dia pun baru sampai dari Kuala Lumpur,” beritahu Pak Abu.

Sarrafia mahu menolak, tetapi mana mungkin dia menolak apabila Adira sudah mengerang kesakitan.

Adira dibantu oleh rakan-rakan yang lain duduk di atas kerusi roda. Salah seorangnya menolak kerusi roda itu ke depan.

Sarrafia berlari masuk ke dalam pejabat mencari kunci van. Haisy! Masa nilah tak ada orang nak bawa van. Kenapalah Uda cuti pula hari ini? Sarrafia merungut kerana pemandu Rumah Azirah bercuti.

Sarrafia menghulurkan kunci van kepada Adriz yang menanti di sebelah pemandu. Selepas Adira selesa duduk dalam kesakitannya itu, Adriz memecut van tersebut menuju ke hospital.

Letih kerana baru turun dari kapal terbang terus hilang apabila melihat ada perempuan yang mahu bersalin. Ini baru seorang. Kalau sehari, dua tiga orang nak bersalin, tak ke haru.

“Sakitnya,” kata Adira sambil memegang kemas lengan Sarrafia.

Sarrafia berkerut menahan sakit.

“Itulah... Lepas ni, tak payah seronok dah kalau sakit sampai macam ni. Ini tak, time seronok tak ingat dunia,” perli Sarrafia. Pedas.

Dia mencebikkan bibirnya.

“Sampai hati Sarra cakap macam tu kat saya,” kata Adira, namun kata-kata itu bagaikan ubat untuknya yang tengah sakit.

“Yalah... Kalau tak, sekarang ni tangan suamilah yang dicengkam. Ni, tangan aku ni sakit tahu tak,” kata Sarrafia.

Geram kerana Adira sudah berada di tahap mencengkam tangannya.

Dalam kesakitannya Adira senyum. Ayat Sarrafia pedas jika memerli, tetapi apa yang dia katakan itu ada benarnya.

“Terima kasih, Sarra,” kata Adira, memeluk kemas lengan Sarrafia.

Sudahnya, Sarrafia membiarkan sahaja. Dah tak guna jika mahu marah kerana saat ini, kesakitan Adira untuk melahirkan lebih penting.

Adriz yang mendengar kata perlian itu cuma tersenyum. Boleh tahan juga mulut perempuan bernama Sarrafia itu. Agaknya terlampau sakit dengan cengkaman itu barangkali.


SETELAH menyerahkan surat-surat yang diperlukan oleh hospital, Sarrafia berlalu ke ruang menanti di dewan bersalin. Bonda Ummi dan Hirda dalam perjalanan ke sini.

Setelah lama di situ, baru dia teringatkan Adriz yang membawa mereka ke sini. Sarrafia keluar mencari Adriz. Tiada di situ. Ke manalah pula dia pergi?

“Awak cari saya ke?” tanya Adriz apabila ternampak Sarrafia terjenguk-jenguk.

Sarrafia mengurut dadanya dek terkejut dengan pertanyaan itu. Dia menoleh, memandang Adriz.

“Awak nak balik dulu pun tak apa. Bonda Ummi dalam perjalanan ke sini,” beritahu Sarrafia.

“Tak apa ke saya tinggalkan awak kat sini?” tanya Adriz lagi.

Mana tahu Sarrafia masih memerlukan bantuannya.

“Sini hospital. Orang pun ramai. Kalau tinggal saya kat rumah buruk, mungkin juga saya takut,” katanya lagi.

Ingat sini ada hantu ke? Macamlah dia budak-budak kecil. Sarrafia menjuihkan bibirnya.

“Awak ni memang suka cakap kasar ya?” tanya Adriz, memaku pandang kepada Sarrafia.

“Kasar apa pula?” tanya Sarrafia. Mencebik.

“Tadi masa dalam kereta tu. Kesian dia. Dahlah tengah sakit nak bersalin,” kata Adriz.

“Awak sakit hati ke dengar saya cakap macam tu?” tanya Sarrafia semula.

Dia merenung Adriz. Adriz memang pura-pura tidak mengenalinya. Jadi, dia juga akan ikut rentak Adriz. Lebih senang untuk dia berkomunikasi.

Adriz mahu membalas lagi, tetapi tidak sempat apabila Sarrafia sudah berlalu ke arah Bonda Ummi yang baru sampai. Raut bimbang terpapar pada wajah mereka.

“Sarra dah telefon keluarga Adira?” tanya Hirda.

“Allahuakbar! Sarra lupa,” kata Sarrafia sambil menepuk dahinya.

Hirda menggeleng kepala. Lantas dikeluarkan telefonnya. Hirda menjauh sedikit.

“Apa yang Sarra ingat?” tanya Bonda Ummi, mengeleng kepala.

“Sarra mana nak ingat, Bonda Ummi. Kalut sangat tadi. Mana pernah Sarra bawa orang ke hospital. Kalut kat sana aje. Kalut waktu tu ada Bonda Ummi dengan Kak Da. Kalut dalam kereta dengan kat sini mana pernah,” balas Sarrafia, tersengih.

“Pandailah menjawab,” kata Bonda Ummi.

Dia senyum manis memandang Sarrafia. Ketika itu baru dia perasan ada Adriz di situ.

“Terima kasih, Iz sebab tolong Sarra ni,” ucap Bonda Ummi.

“Nak harapkan budak ni bawa kereta atau motor, jangan harap. Bukan tak ada lesen, tapi apa yang dia takutkan dengan kedua-dua kenderaan itu pun tak tahu. Dia tahu mutumitnya saja,” cerita Bonda Ummi.

“Bonda Ummi, mana Noh?” tanya Sarrafia, mengelak daripada Bonda Ummi bercerita lagi tentang hidupnya.

“Noh, Noh. Itu sahaja modal dia. Yang si Noh pun satu. Suruh meminang tak nak, tapi mulut dia pun tak berhenti menyebut Sarra. Bonda Ummi memang tak tahu orang zaman sekarang. Cinta yang tak terungkap kut dia orang ni.”

Panjang Bonda Ummi berleter.

“Alah, Bonda Ummi ni. Dah kami tak nak kahwin, buat apa Bonda Ummi paksa-paksa? Nanti tak bahagia, siapa susah? Sarra memang akan susahkan Bonda Ummi sebab suruh Sarra kahwin,” kata Sarrafia selamba.

Dia sengih.

“Tulah modal dia, Iz,” kata Bonda Ummi kepada Adriz yang hanya memasang telinga dari tadi.

Adriz hanya senyum.

Sarrafia memanjangkan lehernya. Mana tahu ternampak Noh sedang berjalan ke sini.

“Tak payah jadi itik angsa, Sarra. Noh hantar aje kami ke sini. Dia balik semula ke tempat seminar. Kalau nak balik sangat, balik dengan Iz ni,” kata Hirda yang tiba-tiba muncul.

Sarrafia mencebik. Mahu kembali ke Rumah Azirah bersama Adriz sekali lagi? Bolehkah dia menghadap muka Adriz apabila tiada orang lain?

Mahu mengelak, tidak dapat apabila Bonda Ummi sudah mengarahkan Adriz pulang bersamanya. Nak tak nak, dia membuntuti Adriz yang sudah berjalan pergi.

“Saya tak makan orang, Cik Sarra,” kata Adriz ketika mereka berdua sudah berada di dalam van.

“Eh, tak pernah pula saya dengar orang makan orang. Zaman dulu adalah kut. Sekarang ni kalau makan orang, tu dah tahap kebulurlah tu,” balas Sarrafia agak kasar.

“Ha, tahu pun. Yang awak nak cari Noh tu buat apa? Dah datang dengan saya, balik pun dengan sayalah,” kata Adriz, tenang memandu.

Sudahnya Sarrafia hanya mendiamkan diri. Dia tidak reti hendak berbual dengan Adriz. Sementelah sejak mengenali Adriz, mereka berdua kurang bercakap. Hanya perbuatan saja yang mengiringi perkenalan mereka.