ENCIK RAHIMIN memandang Adriz yang sedang berehat di depan kolam renang.
Sejak sedar daripada koma setahun yang lalu, Adriz tidak lagi mengingati kehidupan lamanya. Tidak ingat siapakah orang-orang yang berada di sisinya. Tidak ingat juga kepada Ufaira yang menjadi tunangannya.
Sebab itulah Adriz mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya. Alasannya sungguh mudah. Adriz tidak kenal siapakah Ufaira. Dan Adriz tidak mahu Ufaira terluka.
Sekembalinya dari Langkawi, itu berita pertama yang diterimanya daripada Mak Seri. Adriz putus tunang dengan Ufaira. Terkejut juga dia. Tetapi, apabila melihat Adriz yang nampak tidak terusik dengan apa yang berlaku, dia tenangkan hatinya.
Adriz berubah 360 darjah dengan kehidupan lamanya. Sebelum ini Adriz terlalu liar. Hidupnya hanya tahu berseronok. Mabuk dan perempuan itu sudah tentu. Sehinggalah dia bertemu dengan Ufaira. Adriz berubah menjadi lelaki yang baik.
“Iz okey ke hari ni?” tanya Encik Rahimin, memandang anaknya itu.
Adriz menoleh kepada ayahnya. Dia senyum.
“Hmm, ayah ni, Iz okeylah. Terima kasih kepada ayah dan juga Mak Seri sebab banyak tolong Iz. Iz tak kisah pun jika Iz tak ingat apa yang berlaku dengan hidup Iz sebelum ini,” ujarnya sambil mengukir senyuman.
“Tapi, kenapalah tak boleh bersama Ufaira? Ayah rasa sayang sungguh,” keluh Encik Rahimin.
“Dah tak ada jodoh. Iz tak mahu dia terluka di kemudian hari,” kata Adriz.
Encik Rahimin tergelak. Cadangnya memang dia mahu menjerat Adriz supaya memberitahu punca perpisahan mereka. Namun, Adriz cepat saja tahu. Rasa macam tidak logik apabila alasan Adriz hanyalah dia tidak ingat siapakah Ufaira.
“Esok ayah nak balik Langkawi sekejap. Jom ikut ayah ke sana. Lagipun, boleh juga Iz tenangkan diri di sana. Memang seronok tau. Sekali sampai ke sana, berkali-kali lagi akan pergi,” ajak Encik Rahimin, memandang Adriz.
“Kerja kat sini?” tanya Adriz.
“Abang Qif kan ada. Biarlah dia buat kerja kali ni. Lagipun Iz tak pernah tengok hotel kita kat sana lagi kan,” balas Encik Rahimin.
“Kalau ayah dah mengharap sangat, Iz pergilah. Iz minta maaf sebab sebelum ini Iz tak pernah nak ikut ayah balik ke sana,” kata Adriz.
Encik Rahimin senyum lagi. Berjaya juga dia membawa Adriz melihat hotel dan juga pusat itu kali ini. Mahu juga Adriz tahu apa yang ada di Langkawi.
Adriz jongket bahu. Betul juga kata ayahnya itu. Boleh juga dia merehatkan dirinya. Serabut dengan kisah pertunangan yang putus, kerana orang asyik bertanyakan puncanya. Kasihan dengan Ufaira, tetapi dia tidak mahu kerana cinta untuk Ufaira tiada selepas dia sedar daripada koma.
Mungkin, jika kali ini dia mengikut ayahnya ke Pulau Langkawi, dia boleh berehat. Kisah pertunangan yang putus itu telah lama berakhir. Tiada apa yang dapat dia lakukan apabila setiap kali bertemu dengan Ufaira, dia merasa terbeban.
“KITA cari semula memori itu, Iz,” kata Ufaira.
Dia memandang Adriz yang nampak tidak terluka apabila mengatakan keputusannya itu.
“Saya minta maaf. Memang saya tak ingat langsung siapakah awak,” kata Adriz sambil bangun dari tempat yang didudukinya itu.
“Ira sanggup tunggu selama mana pun. Ira tak boleh kehilangan Iz,” kata Ufaira lagi.
Jika halal, sudah tentu dia akan memegang dan memeluk Adriz sekarang. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki yang amat dicintainya itu.
“Saya tak mampu lagi. Jika terus mencuba dan tak dapat mencari memori itu semula, bukankah kita yang akan terluka?” kata Adriz.
Saat ini, dia memang tidak mahu mengingati lagi. Hatinya kosong.
“Iz, jangan buat Ira macam ni. Ira tak boleh hidup tanpa Iz,” kata Ufaira lagi.
“Ira, saya yakin awak akan boleh teruskan hidup. Hari ini mungkin awak masih lagi sedih kerana tidak dapat menerima perpisahan ini. Tapi, saya yakin awak akan lupakan semua ini,” ujar Adriz.
“Iz... Iz ingat orang macam Ira senang nak lupakan lelaki yang dicintai?” Ufaira sudah menangis.
Kasihan melihat Ufaira begitu, tetapi Adriz memang tidak boleh berpatah balik. Ufaira bagaikan orang asing sekarang.
“Saya minta maaf, Ira,” kata Adriz lantas melangkah pergi.
TEPUKAN di bahu mengejutkannya.
Encik Rahimin mengangkat keningnya ke arah Adriz. Sejak tadi anaknya itu diam saja.
Adriz hanya mengukir senyuman untuk ayahnya. Jauh dia melamun.
ADRIZ pandang sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ini.
Pertama kali menjejakkan kaki di sini, tiba-tiba terasa seperti tidak mahu pulang lagi. Dia terkena sumpahan Mahsurikah? Kerana disebabkan sumpahan tujuh keturunanlah Langkawi baru membangun selepas tujuh keturunan.
Tersenyum Adriz seketika apabila mindanya tiba-tiba terfikirkan sumpahan Mahsuri.
Adriz membuntuti ayahnya yang berjalan selesa kerana beg ayahnya itu dia yang bawa.
Ayahnya menghampiri seorang lelaki berkopiah putih. Masih muda, namun wajahnya berseri-seri dengan kopiah itu. Jarang orang muda berkopiah.
Ayahnya juga sudah biasa begitu. Biasalah, sudah separuh abad umur ayahnya itu. Orang tua memang begitu. Berkopiah bagai.
“Noh, ni anak Ayah Min. Adriz. Iz, ni Noh. Pembantu ayah di pusat jagaan itu.”
Encik Rahimin memperkenalkan mereka berdua.
Noh pandang lelaki yang baru pertama kali berjumpa. Dia tahu bahawa majikannya itu ada anak lelaki selain Haqif, tetapi mereka tidak pernah bertemu. Inilah kali pertama mereka bertemu muka.
Adriz senyum sambil menyalami jemari lelaki muda bernama Noh itu.
“Maaflah, Ayah Min susahkan kamu, Noh. Dah telefon pekerja hotel tadi, dia sibuk pula nak ambil Ayah Min kat sini,” katanya, ralat kerana terpaksa menyusahkan Noh yang mungkin juga sibuk.
“Alah, Ayah Min ni. Ambil kat sini aje, hantar kat rumah Ayah Min. Habis cerita. Bukan jauh pun Langkawi ni. Pusing-pusing duk tang tu juga,” kata Noh dalam loghat Kedah yang agak pekat.
Hyundai Starex milik pusat jagaan itu dipandu meninggalkan lapangan terbang.
“Ayah Min nak jumpa Bonda Ummi. Kita balik sana dululah,” beritahu Encik Rahimin.
Noh mengangguk. Setibanya di pantai yang berdekatan dengan pusat jagaan, Hyundai Starex itu berhenti.
“Kamu nak lihat-lihat pantai ke, Iz? Sini paling cantik. Lagipun pusat jagaan tu dekat aje dari sini. Nanti kamu terus ikut pantai, akan nampaklah Rumah Azirah tu. Senang sahaja sebab Rumah Azirah terletak di hujung sekali. Lagipun ayah tak pernah tengok kamu bercuti di pantai. Pergilah jalan-jalan kat pantai sana,” kata ayahnya.
“Hmm, rasa macam rugi pula kerana baru hari ni Iz sampai sini,” kata Adriz sambil mengukir senyuman untuk ayahnya.
“Sekali datang ke sini, sepuluh kali tak mahu balik,” sampuk Noh.
Dia ketawa kecil.
“Semoga apa yang awak cakapkan tu, benarlah Noh,” kata Adriz turut ketawa.
Noh mengangkat ibu jarinya.
Adriz segera melangkah turun dari Hyundai Starex. Dia semakin hampir dengan gigi pantai. Dia menyusuri gigi air.
Bukan dia tidak sukakan pantai, tapi daripada dia ke pantai, lebih baik dia tidur. Itulah puncanya dia jarang ke pantai.
Adriz mencari tempat teduh apabila suhu panas pantai itu terasa seperti membakar kulitnya. Benarlah kata orang, cuaca di Langkawi memang panas. Mungkin kerana tanahnya itu dikelilingi lautan.
Dia berteduh di bawah pokok ru itu. Dia berpaling ke sebelah kirinya apabila terasa ada orang selain dirinya di situ.
Ya, memang ada orang. Seorang gadis bertudung sedang duduk di atas sebatang pokok yang telah tumbang sambil mendongak ke langit. Ada cahaya kecil yang berkelip-kelip di wajahnya.
Ingin tahu siapa, dia mendekat sedikit ke pokok ru yang berada selang dua pokok dari tempat gadis itu duduk.
Si gadis berhenti mendongak. Dia memandang ke kanannya apabila terasa ada yang memandang. Gadis itu tiba-tiba memanggil nama Noh. Mungkinkah Noh yang tadi?
Adriz menyembunyikan diri di sebalik pokok ru tersebut. Bimbang si gadis terkejut. Si gadis kembali mendongak semula.
Ralit sungguh Adriz memerhati gadis itu. Matanya tidak dapat dilarikan daripada memandang tingkah gadis itu. Buat pertama kali selepas sedar daripada koma, dia mahu memandang seorang perempuan. Namun sayang, dia tidak dapat melihat sepenuhnya wajah gadis tersebut kerana terlindung dek pokok-pokok.
Tidak lama selepas itu, gadis itu bangun dan terus melangkah meninggalkan pokok ru tersebut. Pandangan mata Adriz juga tidak lepas daripada memandang lenggok gadis itu.
Kenapa dia merasa bagai pernah melihat lenggok itu?
Matanya masih lagi memandang sehinggalah gadis itu hilang daripada pandangannya.