Setelah Kudimiliki

BAB 1

  • Art
  • Zaza Qry

SARRAFIA pandang ke arah laut lepas. Walaupun berada di dalam feri, pemandangan yang terhad itu tetap indah. Indahnya ciptaan Allah. Sesekali feri itu dilambung tinggi. Mungkin disebabkan sekarang musim hujan, jadi ombak agak kuat sedikit daripada biasa.

Takut, tetapi apabila melihat penumpang lain tumpang seronok dengan lonjakan itu, dia jadi tenang.

Pertama kali dia akan menjejakkan kaki ke pulau termasyhur ini. Syurga percutian bagi sesetengah orang. Apabila tidak tahu ke mana arah tujuannya dan dia hampir-hampir berputus asa, panggilan telefon daripada Hirda benar-benar menyelamatkannya.

Hirda menjerit gembira kerana akhirnya dia dapat bercakap dengan Sarrafia. Sarrafia memang mengelak daripada menjawab panggilan telefon daripada Hirda. Setiap kali bercakap dengan Hirda, dia rasa bersalah.

Sekarang, lagilah dia rasa bersalah. Apabila dibuang oleh mamanya sendiri, barulah dia terhegeh-hegeh. Biarpun Hirda tidak tahu perkara sebenar.

Jeritan si kecil yang berada di kusyen sebelah sana mengejutkan Sarrafia yang masih mahu melamun lagi. Sarrafia pandang pasangan muda itu yang sedang berusaha memujuk si kecil yang mengamuk. Tidak tahu sama ada mahu makan atau hanya membuat perangai. Apabila si bapa memberikan gula-gula, dia terus senyap serta-merta.

Sarrafia senyum. Patutlah, dia mahukan gula-gula. Hai, budak-budak. Begitukah dia dahulu? Mamanya terpaksa melayan kerenahnya dan sekarang dia melukakan hati mamanya dengan luka paling dalam.

Sarrafia hanya mengikut rentak langkah manusia yang bergerak ke platform setelah feri mendarat di Jeti Pulau Langkawi. Matanya diliarkan ke sekeliling. Tadi kagum dengan keindahan pulau kecil sepanjang perjalanannya dari Jeti Kuala Perlis, sekarang kagum dengan keindahan daratannya pula.

Sarrafia mengheret kakinya meninggalkan tepi jeti, menuju ke daratan pula. Sekelilingnya, orang riuh-rendah dengan percakapan masing-masing. Dan rata-ratanya adalah pelancong dari luar negara.

Dia bersandar di dinding kafe sementara menanti Hirda datang. Hirda cakap dia lambat sedikit kerana ada urusan di hospital. Apalah kerja Hirda sebenarnya. Katanya, dia menolong ibu angkatnya di pusat jagaan. Pusat jagaan orang-orang tua barangkali.

Kakinya menguis-uis sedikit butir-butir pasir yang melekat di hujung kasutnya. Bahunya yang ditepuk membuatkan Sarrafia mendongakkan wajahnya. Hirda tersengih di depannya.

“Kak Da!” jerit Sarrafia.

Dia tidak tahu kenapa serentak itu dia terus menangis. Mungkin kerana sudah lama tidak berjumpa atau sedih mengenangkan nasib hidupnya. Dia memeluk Hirda erat.

“Amboi! Lama tak jumpa terus sedih ya?” tegur Hirda. Dia senyum.

“Ha la, Kak Da. Rindu Kak Da. Kak Da sihat ke?” tanya Sarrafia.

“Tengoklah ni, Kak Da berisi sikit. Sibuk dengan kerja, tapi terlebih sihat,” kata Hirda disertai ketawa di hujung katanya.

“Hai, macam mimpi Sarra ke sini. Dah lama kan Kak Da ajak Sarra datang sini. Ada sahaja alasannya. Dah final, kan?”

Sarrafia sekadar mengangguk. Dia tidak akan memberitahu bahawa selepas ini dia tidak akan kembali lagi ke universiti. Kecewanya mama terhadap tindakannya membuatkan dia tidak betah lagi untuk meneruskan pengajiannya.

Biarlah dia dianggap bodoh kerana berhenti belajar, asalkan dia senang hati berbuat demikian. Dia sudah tidak mahu bahagia lagi.

Hirda memasukkan beg ke dalam Hyundai Starex itu. Jika dahulu, mesti Sarrafia sudah merungut dengan van ini. Tiada class baginya.

Sepanjang perjalanan, ada sahaja perbualan mereka. Ketika itu mereka berdua sudah memasuki kawasan kampung yang tidak jauh dari pantai. Pohon ru yang meliuk-lentok ditiup angin laut menggamit ketenangan hatinya.

Ya, dia tidak salah memilih untuk datang ke Tanah Mahsuri ini.

“Seronoknya, Kak Da. Kalaulah Sarra tahu, dah lama Sarra ikut datang sini,” katanya tersenyum.

“Hmm, sebab tu Kak Da tak boleh nak tinggalkan tanah ini, Sarra,” kata Hirda.

“Yalah kan. Kak Da dah lama kat sini. Sarra baru sampai pun dah jatuh cinta. Indah, kan? Macam tuan punya legenda tu, kan?” ujar Sarrafia.

Hirda hanya mengangguk. Ketika itu mereka berdua sudah hampir sampai ke sebuah tempat yang mempunyai tembok tinggi.

Pintu dibuka oleh seorang lelaki yang memakai jubah biru laut. Lelaki itu tersenyum ke arah Hirda.

“La, Kak Da... Ingatkan lambat lagi nak balik,” tegur lelaki itu.

“Kesian adik Kak Da ni. Dia dari KL naik feri, tentu letih. Tu tak berhenti mana, terus aje balik. Nak ke mana kamu, Noh?” tanya Hirda.

“Saya dapat jemputan ke majlis tahlil lepas asar,” beritahu Noh.

Hirda mengangguk.

Noh memandang sekilas ke arah adik Hirda itu. Hanya sipi wajahnya sahaja yang dilihatnya. Walaupun sipi, tetapi bagi Noh, gadis itu cantik.

Noh masuk ke dalam kereta Proton Wajanya dan terus memecut ke destinasi. Dia sudah agak lewat untuk solat asar.

“Tu penolong kami kat sini. Nama dia Noh.”

“Hmm...” Sarrafia menggumam.

Dia lebih berminat dengan persekitaran kawasan ini. Ada taman kecil tidak jauh dari pagar. Di sebelah kanan pula ada kebun bunga orkid. Semakin hampir dengan bangunan satu tingkat itu, dia semakin ingin tahu. Perasaannya membuak-buak. Bangunan itu terlalu cantik dengan cat berwarna hijau pucuk pisang.

Ketika itu, dia ternampak ada dua orang gadis sedang berjalan masuk ke dalam surau yang berada di sebelah kiri. Dia hanya menekanya kerana ada kubah kecil di atasnya.

Paling memelikkannya apabila melihat dua orang lagi gadis di belakang sedang mengandung. Sudah sarat.

“Apa yang Sarra tengok?” tanya Hirda, tahu Sarrafia hairan.

“Kenapa banyak pula Sarra tengok ada gadis mengandung? Tu yang kat belakang tu mengandung juga. Tapi, kecik pula perut mereka,” tunjuk Sarrafia.

Hirda senyum sambil melangkah keluar dari kereta.

“Bukan ke Kak Da kerja di pusat jagaan orang tua? Kenapa pula yang ada kat sini perempuan muda semua, mengandung pula tu?”

Sarrafia tertanya-tanya.

“Eh! Kak Da ada cakap ke jaga orang tua? Tak rasanya. Pusat ni macam Kewaja tu. Kiranya salah satunyalah. Tentatifnya tidak mahu lagi orang membuang atau membunuh bayi. Kalau Sarra pernah baca pasal Kewaja atau apa-apa yang seangkatan dengannya, macam tu jugalah pusat ni.

“Founder dia orang KL. Tapi, disebabkan arwah isterinya asal sini, dia bina tempat ni di sini. Dia berkawan baik dengan Bonda Ummi. Cuma kat sini yurannya murah sedikit dan anak-anak kecil yang dilahirkan nanti akan diserahkan kepada JKM atau jika ada yang mahukan anak kecil itu, kami akan uruskan prosedurnya. Ada juga yang jaga ibu bayi sampai dia dilahirkan,” terang Hirda.

“Oh! Mati-mati Sarra ingat pusat jagaan untuk orang-orang tua,” katanya sambil tersenyum.

Sarrafia terpandangkan gadis yang baru selesai solat itu sedang berjalan ke arah mereka.

Gadis itu tersenyum memandang Hirda. Dia menyalami tangan Sarrafia setelah diperkenalkan oleh Hirda. Selepas itu, dia terus berlalu.

“Memang semua gadis yang tinggal di sini nampak baik macam tu ke? Nampak macam masih belasan tahun. Kesian, kan?” ujar Sarrafia.

“Tak semua sopan macam dia. Nanti Sarra tahulah. Ada yang terpaksa datang sini, ada yang rela. Macam-macam kisah mereka. Ada yang dua tiga kali dah masuk sini atas sebab yang sama. Yang tadi ni, abang dia sendiri yang rogol dia,” beritahu Hirda.

“Subhanallah...” Sarrafia tersentap.

Dosa dia lebih lagi. Cuma, dia bernasib baik kerana tidak pernah mengandung.

“Dahlah, jom masuk jumpa Bonda Ummi. Dia teringin nak jumpa Sarra sebab Kak Da selalu cerita pasal adik angkat Kak Da ni,” kata Hirda, tersenyum manis.

“Yang elok ke buruk-buruk pasal saya Kak Da cerita?” tanya Sarrafia tergelak-gelak.

“Sarra semuanya elok. Cuma satu aje Kak Da tak suka. Suka wang sangat.”

Hirda ketawa kecil.

Sarrafia diam. Sebut sahaja pasal wang, dia segera teringatkan seseorang. Kerana wanglah dia terjebak. Dia itu pula terjebak dengan dirinya kerana dendam. Sumpah dia tidak akan jadi gila macam dulu lagi.

Mereka melangkah masuk ke dalam pejabat yang berada di tengah-tengah bangunan besar itu. Memasuki ruang pejabat, pintu bilik itu diketuk.

“Ha, Da dah balik. Bonda ingatkan belum sampai lagi. Mana kawan Da tu?” tanya Bonda Ummi dengan suara yang seperti air sejuk sahaja pada halwa telinga Sarrafia.

Lembut.

“Sarra, nilah Bonda Ummi.” Hirda senyum.

Sarrafia segera menyalami jemari wanita bertudung labuh itu. Wanita itu menariknya ke dalam pelukan.

Memang patutlah dia menguruskan pusat seperti ini. Penuh dengan kasih sayang.

“Kalau nak duduk sini terus pun tak apa. Boleh tolong bonda dengan Hirda, kan?” kata Bonda Ummi.

“Betul ke boleh? Sarra suka juga. Sarra pun tak ada tempat nak pergi ni. Mulanya ingat nak datang bercuti sahaja, tapi rasa jatuh cinta pula dengan pulau legenda ni,” ujar Sarrafia.

“Bagus sangat tu. Bonda suka kalau ada orang nak buat kerja amal ni. Tapi, berbayar tau.”

Bonda Ummi ketawa.

“Tak bayar pun tak apa, janji ada tempat tinggal dan boleh makan,” kata Sarrafia, tersenyum dengan tawaran yang tiba-tiba itu.

Hirda memandang Sarrafia dengan terkejut. Apa sudah jadi kepada Sarrafia?


SARRAFIA pandang sekeliling bilik besar itu. Sekali lagi dia akan tinggal dengan Hirda.

Dia merebahkan badan ke katil empuk itu. Mahu berehat sepuas-puasnya. Mahu melapangkan dadanya dengan semua perkara yang mengundang ke arah kebaikan sahaja. Mahu melupakan lelaki itu, walaupun mungkin susah.

Dia tahu kenapa lelaki itu berbuat begitu, tapi entah kenapa hatinya tidak sepenuhnya menyalahkannya. Dia sendiri juga bersalah. Tidak dapat melupakan lelaki itu bukan kerana semua yang telah terjawab, tetapi kerana hatinya itu tidak dapat menyingkirkan rasa cinta yang bertandang dalam hati, yang dia sendiri tidak tahu sejak bila berputik dalam hatinya.

Kau tolonglah aku juga ya, untuk melupakan kau. Aku perlukan kehidupan sendiri selepas ini. Bukan lagi perkara bodoh disebabkan wang.