Bab 4
AKU menunggu adik-adik aku di depan pagar sekolah. Ini kali pertama aku menjemput mereka. Maklumlah, aku sudah dapat lesen penganggur terhormat di rumah.
Mak memberi amanah kepada aku supaya menghantar dan menjemput Norman dan Noreen di sekolah. Mahu tak mahu, aku rajinkan diri untuk memenuhi arahan mak.
“Along dah lama sampai?” soal Noreen apabila masuk ke dalam kereta.
Aku pandang dia seketika dan pusingkan kepala ke pintu pagar.
“Mana Norman?” Aku bertanya sambil memandang pintu pagar.
Noreen turut memandang ke arah yang sama. “Eh, tadi dia ada. Kejap, Noreen pergi tengok.”
“Tak payahlah. Tunggu dalam kereta. Biar along yang tengok.” Aku menolak pintu kereta dan berjalan keluar dari kereta.
Sempat aku berbalas senyum dengan pengawal keselamatan di situ, Pak Madi. Pak Madi memang sudah kenal dengan aku. Mana taknya, dia jiran kami.
Aku berjalan menuju ke kantin. Masih ada ramai pelajar sedang melepak di situ.
Kenangan sungguh. Tiba-tiba saja aku mengimbau memori zaman persekolahan aku. Aku memang nakal. Terlalu nakal. Sekarang, nakalnya sudah hilang. Degil saja yang masih melekat pada aku.
Aku berhenti sejenak apabila dengar satu suara. Suara itu tidak asing lagi pada aku. Norman!
Pantas aku berlari, mencari arah suara itu datang. Aku kembali berundur beberapa tapak apabila melihat seorang pelajar dikelilingi oleh pelajar-pelajar lelaki lain.
Eh! Kes buli ke apa ni? Aku kerut dahi. Jelas kedengaran Norman yang sedang berbicara.
“Aku nak kau ganti balik barang aku yang kau rosakkan.” Norman bersuara keras.
“Bukan aku yang buat,” jawab satu suara.
“Habis tu, siapa yang rosakkan? Aku beli mahal tahu tak? Aku tak kira. Kalau kau tak ganti, aku pergi minta ganti rugi dekat abang kau.”
Aku tercengang. Boleh tahan samseng juga adik aku ini rupanya.
Aku berjalan, mendekati mereka dan berdehem. Muka Norman terus berubah pucat. Pelajar lain sudah bergerak meninggalkan tempat itu. Semua bersurai dengan cepat. Mereka ingat aku cikgu ke apa?
“Ganti rugi apa? Budak ni rosakkan barang apa?” tanyaku sambil memeluk tubuh.
“Along...” Norman menggaru-garu kepala.
“Cakaplah. Aku tanya kan.” Aku sudah mencekak pinggang.
Aku pandang budak yang berdiri di sebelah Norman. Tertera nama Hariz pada tag nama di bajunya.
“Saya tak sengaja rosakkan komik Norman. Maafkan saya, along.” Hariz bersuara.
Tiba-tiba saja dia panggil aku along. Selamba betul.
“Tadi kau tak mengaku. Sekarang, bila depan along aku, baru kau nak mengaku?” Norman meninggikan suara.
“Mana komiknya? Komik apa yang dia rosakkan?” Aku menahan Norman daripada bersuara keras.
Bergaduh sebab komik rupa-rupanya.
“Komik yang kulit tebal tu. Along tahu kan Norman suka kumpul komik tu. Sekarang satu dah rosak. Tak cukuplah koleksi Norman. Dahlah baru beli.” Nada Norman sudah berubah sedih.
“Jomlah balik. Nanti bising pulak mak. Komik tu nantilah along ganti. Kita beli lain. Hariz ni duduk mana? Jom along hantar sekali.”
Norman mencebik. Hariz kelihatan takut-takut saja.
“Tak apalah, along. Saya balik sendiri aje. Terima kasih sebab tanya.”
Aku angguk sahaja mendengarkan jawapannya. Hariz berlalu, meninggalkan kami berdua.
Norman masih membatu dan mendiamkan diri.
Aku buntu. Aku lemah betullah bab nak memujuk ni.
“Along ganti baru. Tak tipu. Jom balik.” Aku tarik lengannya.
“Yalah. Tapi, sayanglah, along. Norman kumpul duit lama tau semata-mata nak beli komik ni.”
“Habis tu, kenapa bagi pinjam kalau sayang? Kau bawak komik pergi sekolah ya? Padanlah dengan muka tu. Memang patut pun rosak.” Aku pandang Norman dengan muka garang.
“Mana ada Norman bawa pergi sekolah. Dia datang pinjam dekat rumahlah. Dah dia merayu-rayu, siap janji takkan rosakkan, tu pasal Norman bagi dia baca dulu. Along tahu tak keluarga dia banyak duit? Patut kita minta je dia gantikan yang baru.” Norman bersuara dengan nada tak puas hati.
“Dahlah. Tak payah fikir. Nanti kita beli baru. Tapi, kau kena janji dengan along, jangan bawa buku-buku macam tu ke sekolah. Kalau kena rampas, padan muka. Jadi, kau ajak along pergi pekan semalam sebab nak beli komik tulah?” Aku pandang dia dalam-dalam.
Norman tersengih seperti kerang busuk. Kalau begitu gayanya, betullah tu. Sebelum itu, dia sempat berjanji dia tidak akan bawa buku-buku seperti itu ke sekolah.
Bila mahukan sesuatu, laju saja berjanji. Aku harap boleh dipercayailah.