Mr Crush

Bab 3

  • Schaslee

BUNYI mesin kelapa kedengaran. Memang aku boleh katakan, bab parut kelapa adalah kepakaran aku. Sejak dulu memang aku sudah biasa parut kelapa di rumah nenek.
Dulu nenek berniaga akok. Memang sudah jadi rutin aku sehari-hari, lepas balik sekolah, terus aku ke rumah nenek untuk bantu dia.
Mula-mula belajar memang aku takut-takut juga. Yalah, kalau tersilap sedikit, makan tuan. Tak pasal-pasal ada tangan yang luka. Setakat hari ini, alhamdulillah, tangan aku masih selamat.
“Lea, kau ada masalah ke?” Aku terkedu dengan soalan mak yang tiba-tiba.
“Apa, mak? Tak dengar. Bising.” Aku buat-buat tak dengar.
Aku biarkan sahaja bunyi mesin memenuhi ruang dapur.
Mak pandang aku tak puas hati. Tapi, sungguh. Bunyi mesin memang membingitkan telinga.
Aku menyiapkan kerja aku dengan sepantas yang boleh.
“Kau ada masalah ke?” Mak kembali ulang soalan itu apabila aku sudah matikan mesin.
Ah, sudah! Aku fikirkan aku sudah terlepas daripada soalan itu.
“Kenapa mak tanya macam tu? Tak adalah. Orang okey je.” Aku bangun daripada kekuda plastik dan bergerak ke rak untuk mengambil kuali.
Aku letak kuali di atas dapur dan hidupkan api. Kelapa yang sudah siap diparut tadi aku masukkan ke dalam kuali. Aku kacau dengan api perlahan.
Aku dapat rasa mak perhatikan segenap pergerakan aku. Naik berpeluh aku dibuatnya.
“Kau jangan nak tipu akulah, Lea. Aku kenal sangat dengan kau. Baik kau cakap betul-betul.”
“Orang okey. Mak tak payah risaulah.” Aku bersuara dan berdiri membelakangi mak.
Aku dengar mak menghela nafas.
“Kau ni memang degil. Kenapa susah sangat nak cerita apa-apa dengan mak? Aku ni bukan orang lain. Mak kau juga. Kau ingat, Lea, kalau kau sembunyikan apa-apa daripada aku dan aku dapat tahu daripada orang lain, siaplah kau!”
Aku terkaku mendengar suara keras mak. Aku jadi serba salah. Kalau aku cakap aku berhenti kerja, apa agaknya reaksi mak?
Aku diamkan diri sejenak, mengumpul segala kekuatan dalam diri untuk berterus terang.
“Mak,” panggil aku.
Mak menyahut sepatah. Aku pusing belakang dan pandang wajahnya.
“Apa dia, Lea? Kau nak cakap ke tak nak?” Mak bersuara tegas.
“Orang dah berhenti kerja.” Lancar sahaja ayat itu keluar dari mulut aku.
Mak terus bangun dari kerusi. Matanya sudah membulat.
“Apa kau cakap? Mak tak salah dengar, kan?” Mak bertanya dengan nada tinggi.
Aku gigit bibir. Sukar untuk menjangka reaksi mak. Mak marah ke?
“Betul, mak. Orang dah berhenti kerja.” Aku bersuara takut-takut.
Kalau mak mahu ketawakan aku, aku terima saja. Aku tarik nafas dalam-dalam.
“Kau dah berhenti kerja? Betul ni?” Mak bertanya lagi, mahukan kepastian.
Aku angguk perlahan. Riak mak sukar untuk aku baca. Nak cakap marah pun tak, sedih pun tak.
“Alhamdulillah, akhirnya makbul juga doa aku. Siang malam aku berdoa biar kau dibukakan hati untuk balik ke kampung.”
Aku melongo seketika. Mak doakan supaya aku berhenti kerja? Orang lain sibuk mahu anak berjaya, mak senang-senang saja mahu aku berhenti kerja. Tapi, kenapa?
Aneh sungguh perangai mak aku ni.
Mak tadah tangan, bersyukur dengan berita yang aku sampaikan tadi. Dia mendekati aku dan pegang kedua-dua belah bahu aku.
“Mak doakan supaya orang balik kampung? Kenapa pulak mak doa macam tu?” tanya aku, hairan.
“Lea, mak ni susah hati bila kau duduk jauh. Bukan mak tak bagi kau kerja. Dulu elok-elok kau kerja dekat pekan, kau berhenti. Mak tak nak kau susah sorang-sorang.”
“Jadi, selama ni mak marah sebab orang kerja jauh? Orang ingat mak marah sebab orang tak nak jaga nenek.”
“Tu satu hal buat aku angin dengan kau. Tapi, pasal nenek kau tu, kau tak payahlah risau sangat. Syakila pun dah ada sekarang. Dia boleh tengokkan nenek.”
“Mak tak susah hati ke kalau orang tak kerja? Dekat kampung ni bukan senang nak dapat kerja.”
“Apa susah sangat? Aku nikahkan ajelah kau nanti.” Selamba sahaja mak menjawab.
Aku telan air liur. Sejak bila mak aku pandai bergurau begini? Naik seram betul.
“Eh, kacau kelapa aku tu. Dah berasap kuali.” Mak tepuk bahu aku.
Kalut aku perlahankan api. Tangan ligat mengacau kelapa yang hendak dibuat kerisik itu.
Aku matikan api selepas dapat warna yang dimahukan untuk membuat kerisik. Warna perang-perang dan sedikit coklat gelap sudah memadai.
Kelapa yang digoreng itu aku tumbuk lumat menggunakan lesung batu. Selepas mendapatkan tekstur yang dimahukan, aku simpan kerisik di dalam bekas. Kerisik ini mak selalu gunakan dalam gulai ayam dan rendang.
Nampaknya mak sudah tidak marah dengan aku. Aku nampak dengan jelas, mak tersenyum lebar. Alhamdulillah. Namun, gurauan mak tadi merisaukan aku.