HAQ LELAKI ANOMALIS

BAB 5

  • NURSUZAHAN

LAMPU dipasang agar menerangi suasana ruang tamu yang kelam. Entah kenapa gelap saja suasana di rumahnya malam ini. Pelik.

Ayah belum balik lagi ke? Hati Haq berdetik.

Langkah diatur perlahan menuju ke biliknya, namun terhenti seketika di pintu bilik Prof Kim yang kelihatan renggang. Ada rasa tidak enak menyapa hati Haq.

Perlahan-lahan, dia menghampiri bilik Prof Kim. Daun pintu bilik ditolak.

“Ayah...?”

Diam.

Haq menapak masuk ke dalam bilik Prof Kim. Renggang mulut Haq taktala melihat tubuh ayahnya yang terbaring meniarap.

“Ayah!” Haq pantas menghampiri, lalu duduk melutut.

Tubuh Prof Kim yang tertiarap ditarik menghadap dirinya.

“Ayah! Kenapa...” Buntang mata Haq saat melihat darah merah pekat membasahi pakaian Prof Kim.

Haq sentuh perut Prof Kim yang berlumuran darah. Perut ayahnya jelas terkena tembakan.

Cepat-cepat Haq meletakkan telinga ke dada Prof Kim. Degupan jantung masih kedengaran walaupun kian lemah.

“Ayah, bangun...” Haq menepuk perlahan pipi kiri Prof Kim agar membuka mata.

Dia yakin lelaki itu masih bernyawa. Dadanya berombak lemah.

Kelopak mata Prof Kim terbuka. Bibirnya terketar-ketar mahu menuturkan sesuatu.

“Haq... to... tolong...”

Haq tundukkan wajah. Dia merapatkan telinga ke bibir Prof Kim. Mahu mendengar kata-kata lelaki itu dengan lebih jelas.

“Tolong... lindungi Harleen... Nur...” kata Prof Kim, tersekat-sekat.

Kening Haq bertaut. “Harleen? Nur? Haq tak faham.”

Kenapa perlu Prof Kim menyebut nama kedua-dua manusia itu? Siapa dia orang sebenarnya?

Namun, pertanyaan dalam mindanya hanya seketika saja apabila melihat kelopak mata Prof Kim kembali tertutup. Haq kian cemas. Rasa mahu tercabut jantung saja saat itu.

“Ayah! Bangun!”

PAGI itu Harleen masuk ke Makmal Miranda seperti biasa. Jam di pergelangan tangan baru menunjukkan pukul 7.30 pagi.

Harleen rasa tidak sedap hati. Nur keluar lebih awal daripada biasa. Entah apa yang tak kena, dia sendiri tak pasti. Kata Nur, ada perkara penting yang perlu diuruskan di makmal. Bila ditanya, Nur hanya mendiamkan diri.

Kadang-kadang dia merasakan Nur seperti sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.

Hmm... entahlah. Mungkin perasaan dia sahaja agaknya.

Harleen menapak ke meja kerjanya. Fail di atas meja dicapai. Dia mahu ke bilik Prof Kim.

Entah ke mana Nur pergi, dia tak pasti. Tidak ada pula di meja kerjanya.

Saat daun pintu bilik Prof Kim terbuka, kelihatan bilik itu bersepah bagai tongkang pecah. Kertas-kertas bertaburan di atas meja dan lantai.

Bilik ini kelihatan seperti telah digeledah seseorang.

Sepasang mata Harleen terbuntang luas apabila melihat tubuh Nur tertiarap di atas lantai bilik.

“Nur!” Dada Harleen berdebar kencang.

Lekas-lekas dia menghampiri tubuh Nur dan duduk bertinggung di sisi tubuh Nur. Mulut Harleen terbuka luas melihat ada darah merah mengalir di lantai bilik.

Darah itu keluar daripada tubuh Nur yang kaku!

Menggigil-gigil tangan Harleen saat meletakkan dua jari di bahagian leher Nur. Tidak ada denyutan nadi di situ.

Makin terketar-ketar tangannya apabila meletakkan jemari di bawah hidung Nur. Sepasang matanya membulat. Perlahan-lahan dia menurunkan tangan.

Harleen menelan liur yang terasa kesat. Kelopak mata mula terasa hangat. Dia jatuh terduduk di situ.

“Nur!”

TUAN ZARUL memandang paparan pada skrin besar. Dia menekan papan kekunci. Sesudah itu, dia menjatuhkan pandangan ke wajah tenang Haq yang sedang memerhatikannya.

Saat ini, dia ada mesyuarat tergempar yang perlu diuruskan bersama anak buah kepercayaannya itu.

Haq bersandar tenang di kerusi. Sepasang tangan dilipat ke dada. Lengan kemeja yang dipakai sudah dilipat paras siku.

Saat wajah seseorang yang dikenali terpapar pada skrin besar, sepasang mata Haq membulat.

“Ni, lelaki yang kau paling kenal dalam dunia ni, Profesor Hakim atau Prof Kim. Ditemui di dalam bilik tidurnya dengan kesan tembakan di perut.”

Haq menelan liur. Mana tidaknya, dia yang menemui Prof Kim pada malam berdarah itu.

Papan kekunci ditekan lagi. Gambar kedua terpapar pada skrin besar. Wajah seorang wanita muda.

“Ini Nur. Salah seorang saintis yang bekerja di Makmal Miranda. Dia ditemui mati di dalam bilik Prof Kim dengan dua kesan tembakan di badan.”

Haq kekal diam. Anak matanya masih kekal pada skrin utama.

Gambar ketiga terpapar pada skrin besar. Wajah dua orang lelaki muda.

“Dan, ni adalah dua orang lagi research assistant Prof Kim yang bekerja di makmal yang sama.” Tuan Zarul jeda beberapa saat.

“Apa nasib dia orang?” soal Haq, walaupun dia seolah-olah sudah tahu akan jawapan yang bakal diterimanya nanti.

Mungkin mati atau cedera. Itu sahaja pilihan yang ada.

Tuan Zarul menjatuhkan pandangan ke wajah Haq. Dia menggeleng kepala.

“Kritikal. Dia orang ditemui dalam keadaan cedera parah di rumah sewa. Doktor kata, peluang untuk hidup hanya 50-50,” kata Tuan Zarul.

Haq melepaskan keluhan berat.

Setelah itu, Tuan Zarul melabuhkan duduk, setentang dengan Haq.

“Mereka berlima bekerja di Makmal Miranda. Semua sedang disasarkan oleh pihak musuh, seolah-olah ada sesuatu yang pihak musuh mahukan daripada mereka.” Tuan Zarul menghela nafas panjang.

“Kau tahu apa-apa maklumat tentang projek terbaru Prof Kim?” soal Tuan Zarul.

Sepasang anak mata Haq dipandang tepat-tepat. Lelaki ini anak Prof Kim, jadi mungkin sedikit sebanyak dia mempunyai maklumatnya.

Haq menggeleng.

“Ayah terlalu berahsia tentang urusan kerja dia. Tak pernah dia berkongsi apa-apa tentang projek dia. Cuma, baru-baru ni ayah kata dia ada hasilkan projek biasa-biasa je. Melibatkan data komputer. Takkan sebab tu mereka diserang?”

Tuan Zarul tersenyum nipis.

“Haq, kau tak kenal Prof Kim ke? Lelaki tersohor tu takkan hasilkan sesuatu yang biasa-biasa. Aku yakin, ni pasti lebih daripada biasa. Kalau tak, musuh
takkan begitu berminat.”

Haq terdiam lama. Jadi, Prof Kim telah menipunya. Hati Haq berdetik.

“Semua yang bekerja di Makmal Miranda mendapat nasib yang hampir sama. Mati atau hampir mati. Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dekat sini.

Mungkin dia orang sedang hasilkan sesuatu yang... rahsia?” lanjut Tuan Zarul penuh yakin.

Haq menghela nafas panjang.

“Tuan, saksi kejadian ada?” soal Haq, curiga.

Tuan Zarul menggeleng.

“Takkan tak ada saksi? Pengawal di kawasan bangunan Makmal Miranda?” soal Haq tak puas hati.

Macam mana dia orang buat kerja ni?

Tuan Zarul mengeluh. “Pengawal keselamatan ditemui pengsan dengan kaki dan tangan berikat.”

Haq merengus geram. “Habis, macam mana dengan kamera litar tertutup di kawasan berdekatan?”

Mustahil kawasan seperti itu tidak mempunyai kamera litar tertutup.

“Kamera litar tertutup telah dirosakkan. Jelas sekali dia orang telah merancang semuanya dengan baik. Malah, satu cap jari pun tidak ditinggalkan di
kawasan kejadian.” Tuan Zarul mengeluh.

“Kita kena siasat hal ni. Waktu aku usulkan kertas siasatan pada pihak atasan, dia orang cadangkan nama kau. Jadi, aku serahkan kes ni pada kau. Aku
yakin, dalam jabatan ni, kau yang paling layak untuk rungkai dan selesaikan masalah ni.”

Haq sudah berkerut dahi. Hairan.

“Aku yakin dengan kebolehan kau. Dia orang takkan silap buat pilihan,” kata Tuan Zarul bagai dapat membaca isi hati Haq.

Haq mengeluh. Kalau sudah itu permintaan pihak atasan, dia akur.

“Baiklah, tuan,” kata Haq seraya mengangguk perlahan.

Ini amanah. Dia perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab ini tanpa sebarang alasan.

“Kau boleh minta tambahan beberapa anggota jabatan kita. Kau boleh minta bantuan Ray.”

Haq mengangguk. Terbayang-bayang wajah lelaki yang gemar menyikat rambut ke tepi itu. Gaya budak baik.

“Tapi...” Haq terdiam beberapa ketika. Terfikirkan sesuatu.

“Bukan tadi tuan kata dia orang berlima, mana seorang lagi?”

Rasanya, Tuan Zarul hanya menceritakan nasib empat orang pekerja Makmal Miranda sahaja tadi.

Tuan Zarul tersenyum seraya menekan lagi papan kekunci. Daya ingatan Haq masih kuat. Patutlah pihak atasan begitu mempercayainya.

Wajah seorang perempuan muda terpapar pada skrin besar.

Haq memandang lama paparan pada skrin dengan penuh minat. Seorang gadis tinggi lampai yang berambut lurus paras bahu kelihatan. Sedang tersenyum manis.

“Kita kena cari dia. Aku harap, belum terlambat lagi untuk kita jejaki dia. Dia saja harapan yang masih tinggal untuk menjawab semua teka-teki ini. Aku
yakin, dia mesti tahu sesuatu. Kau kena cari dia dan cuba dapatkan maklumat. Jika dia perlukan perlindungan buat sementara waktu ni, boleh dapatkan bantuan anggota kita. Besar kemungkinan, dia akan jadi buruan musuh,” kata Tuan Zarul panjang lebar.

“Cari Harleen,” lanjut Tuan Zarul lagi apabila Haq hanya berdiam diri sahaja.

Haq memandang lama wajah Tuan Zarul. Rasanya, dia macam pernah dengar nama itu. Kalau tak silap, nama itu yang telah disebut oleh Prof Kim malam itu.

Harleen...

UNTUK MELANGGAN E-BOOK PENUH SILA WHATSAPP KE 011-11171956