HAQ LELAKI ANOMALIS

BAB 4

  • NURSUZAHAN

“HAPPY BIRTHDAY...”

Harleen tengadah. Wajah tenang Prof Kim yang sedang tersenyum manis dipandang lama. Kemudiannya, Harleen kelihatan teruja. Kelopak matanya membulat.

“Macam mana Prof tahu?” soal Harleen, seakan tidak percaya.

Maklumlah, lelaki itu boleh ingat tarikh lahirnya. Hairan sungguh.

“Tu...” Mulut Prof Kim memuncung ke satu arah di belakang Harleen.

Harleen memusing kerusi beroda ke belakang. Dia malas hendak bangun dan pusingkan badan. Namun, saat melihat figura di belakangnya, automatik dia terbangun.

Harleen terjerit kecil. Terlebih teruja dibuatnya.

Nur sedang memegang sebiji kek yang sudah dinyalakan lilin di atasnya. Topi berbentuk kon berada di atas kepala. Sama comel seperti di atas kepala Prof Kim.

Baru Harleen hendak membuka mulut menghembus lilin, tindakannya terbantut apabila ditegah oleh Nur.

“Tak payah tiup. Tak baik buat macam tu. Lilin ni cuma hiasan je,” kata Nur selamba.

Kek diletak di atas meja.

Harleen mencebik. Kalau tak nak bagi dia tiup, tak perlulah nyalakan lilin tu. Huh!

Prof Kim menggeleng kepala seraya ketawa kecil melihat tingkah dua gadis muda itu. Ada saja perbuatan sahabat baik itu yang kelihatan lucu di matanya. Melihat kedua-duanya bergaduh, sudah selalu sangat. Dia saja yang malas mahu ambil pusing.

“Cepat potong kek ni,” kata Prof Kim.

Pisau pemotong kek dihulur ke tangan Harleen.

Harleen memandang sekilas kek yang sudah terpadam api lilinnya, dikerjakan Nur. Setelah itu, bebola mata dialihkan ke roman yang sedang merenungnya. Huluran pisau pemotong kek disambut. Dia memotong kek berwarna-warni itu. Comel betul keknya.

Sepotong kek di dalam piring dihulurkan dulu kepada Prof Kim yang sedang berdiri tegak memerhatikannya. Tersenyum, Prof Kim menyambut huluran kek itu sebelum dia menyua sudu berisi kek itu ke mulut Harleen.

Harleen terkedu. Prof Kim mahu menyuap dia?

Ada rasa terharu menyapa dadanya dengan perbuatan lelaki yang sudah dianggap seperti ayah itu. Dia terkebil-kebil seketika memandang wajah tenang Prof. Kim.

“Tak sudi ke saya suapkan?” soal Prof Kim apabila Harleen masih mematung di situ.

Nur menyenggol bahu Harleen.

Tersedar, Harleen membuka mulut. Cepat saja potongan kecil kek itu masuk ke dalam mulutnya. Dia tersenyum sambil mengunyah kek di dalam mulut. Bukan tak sudi, dia cuma terperanjat.

Sesudah itu, Prof Kim melakukan perkara yang sama kepada Nur. Dua-dua dia sayang. Baik Harleen atau Nur. Dia tak pernah pilih kasih terhadap kedua-duanya.

Sesudah itu, Prof Kim meletak pinggan berisi potongan kek di atas meja. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket kot makmal berwarna putih yang tersarung pada tubuhnya.

“Ini untuk Leen,” kata Prof Kim.

Harleen memandang huluran Prof Kim. Ada seekor beruang kecil berwarna pink di atas tapak tangannya. Key chain beruang yang sangat comel!
“Untuk saya?” soal Harleen, seakan tidak percaya.
Prof Kim mengangguk seraya tersenyum.
Harleen terlajak suka. Wajahnya ceria yang amat. Pantas huluran itu disambut.
“Terima kasih, Prof. Comel sangat!” Harleen tenung key chain itu dengan wajah girang.
“Macam mana Prof tahu saya suka bear?”
“Nur yang bocorkan rahsia.”
Harleen ketawa.
“Nur selalu macam tu. Tak apalah, janji dapat beruang comel ni. Jadi, saya namakan dia... Teddy. Hai, Teddy comel,” kata Harleen seraya memandang Teddy.
Seolah-olah Teddy boleh berbalas bicara dengannya.
Prof Kim ketawa melihat tingkah Harleen yang jauh lebih comel berbanding beruang di tangannya.
“Prof, untuk saya tak ada ke?” soal Nur, pura-pura hendak merajuk.
Cemburu pula melihat Harleen dapat hadiah, sedangkan dia, tak pernah mendapatnya daripada lelaki itu.
“Hmm... boleh, tapi kena tunggu bulan kelahiran awaklah,” ujar Prof Kim sambil tersenyum-senyum melihat Nur mencebik.
Harleen turut ketawa kecil melihat muka tak puas hati Nur. Yang pasti, Prof Kim lebih sayangkan dia berbanding Nur!

NUR menapak ke bilik Harleen. Daun pintu bilik Harleen terbuka luas. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Harleen dilihat sedang duduk melunjur kaki. Di tangannya kelihatan sebuah buku berkulit tebal.
Harleen memang seorang yang suka membaca. Di atas meja saja, Nur dapat melihat beberapa buah buku tebal elok tersusun kemas.
“Leen...?”
Seruan itu membuatkan Harleen tengadah. Buku berkulit tebal di tangan ditutup, lalu diletak ke sisi. Roman Nur dipandang tepat. Namun, wanita itu diam saja.
“Kenapa?” soal Harleen apabila Nur masih membatu di sisi.
Harleen yang memandang, hairan. Dah kenapa dengan Nur ni?
“Nur...” Harleen menyentuh tangan Nur di sisi.
Dia semakin hairan dengan perubahan sikap Nur. Wajahnya jelas muram. Selalunya, Nur dilihat ceria sahaja.
“Kenapa ni? Kau tak sihat ke?” soal Harleen lagi.
Spontan tapak tangan kanan diletak ke dahi Nur. Tak panas pun.
“Taklah.” Nur memegang jemari Harleen, lalu diturunkan.
Jari-jemari Harleen digenggam erat.
“Saja aku nak kacau kau,” kata Nur seraya mengukir senyuman manis.
Harleen tersengih. “Macam kau tak pernah kacau aku, kan?”
Kata-kata itu membuatkan Nur ketawa perlahan.
“Yalah. Aku tahu. Aku kalau tak kacau kau sehari, hidup aku tak lengkap. Macam ada yang tak kena.”
Harleen menjeling. Ini barulah Nur yang dia kenal.
“Kau nak apa masuk bilik aku?” soal Harleen. Wajah Nur dipandang tepat.
“Saja.”
“Saja je?”
Nur mengangguk.
“Nak tengok kau.”
Harleen berkerut dahi.
“Nanti kau jemu pulak hari-hari tengok aku,” kata Harleen berseloroh.
Pelik-pelik saja perangai si Nur ni.
“Yalah, mana tahu lepas ni aku dah tak dapat tengok kau lagi,” kata Nur bersahaja.
Harleen memandang lama wajah tenang Nur. Entah kenapa ada rasa sayu dalam dada mendengarkan kata-kata tersebut.
“Kau mengarut apa ni?” soal Harleen, pelik.
Nur menggeleng.
“Kau nak pergi mana-mana ke? Kau nak pergi melancong?” soal Harleen hairan.
Kata-kata Nur sebentar tadi seolah-olah mahu meninggalkannya.
“Taklah. Aku tak ke mana-mana pun.”
“Habis tu, kenapa kau cakap macam tu?” Harleen tak puas hati dengan jawapan Nur.
“Entah... Aku rasa macam nak pergi jauh. Tapi, aku tak tahu ke mana,” kata Nur, bersahaja.
Dia tersenyum. Sepasang mata merenung ke hadapan. Seolah-olah sedang memandang sesuatu yang jauh.
Makin berlapis dahi Harleen. Dia terperanjat apabila tiba-tiba Nur memeluk tubuhnya erat. Sepasang matanya membulat.
Setelah beberapa ketika, barulah sepasang tangan Harleen naik memeluk tubuh kurus Nur.
“Kau... okey tak ni?” soal Harleen, masih membalas pelukan Nur.
Hairan sungguh dia dengan kelakuan Nur saat ini.
Pelukan terlerai. Nur melorek senyuman. “Okey.”
Harleen terdiam lama. Hanya sepasang matanya kekal merenung wajah bersih Nur.
“Jom kita makan. Aku dah masak untuk kau.”

Sepasang mata Harleen membulat.

“Wah, kau masak istimewa untuk aku ke?” soal Harleen teruja.

Terlupa seketika kelakuan aneh Nur sebentar tadi.

Nur mengangguk.

“Ya, khas untuk kau. Mungkin lepas ni aku tak dapat masak untuk kau lagi.” Usai menuturkan kata-kata itu, Nur bangkit, lalu menuju ke dapur.

Harleen memandang lama belakang tubuh Nur yang kian menghilang. Entah kenapa kata-kata Nur itu membuatkan dia termenung panjang. Hairan.

Kenapa Nur dah tak nak masak untuk dia lagi? detik hati Harleen.