HAQ LELAKI ANOMALIS

BAB 3

  • NURSUZAHAN

HAQ mengayun langkah ke bilik bacaan. Selalunya, itu tempat kesukaan lelaki itu. Banyak masanya dihabiskan di situ.

Daun pintu ditolak. Anak mata mengitari kawasan bilik. Tidak ada seorang manusia pun di dalam bilik tersebut. Sunyi.

Haq melepaskan keluhan. Dia rindu hendak menatap wajah Prof Kim. Masing-masing terlalu sibuk. Nama saja serumah, tapi jarang bertemu.

Langkah diayun ke meja kerja. Fail yang terbuka luas ditatap lama. Tak cukup jelas. Dicapai fail itu, lalu tunduk menelaahnya buat beberapa ketika.

Ada kerutan halus pada dahinya. Tak sedar, dia mula menyelak helaian demi helaian.

Tersentak Haq apabila fail nipis di tangannya itu tiba-tiba dirampas. Dia tengadah.

Wajah tegang Prof Kim menyapa pandangan. Lama anak matanya merenung anak mata lelaki di depannya itu sebelum beralih ke arah fail yang kemas dalam genggaman ayahnya.

“Venus 201?” Haq pandang wajah itu, mengharapkan jawapan.

Namun, hanya kebisuan melatari suasana malam itu.

“Projek baru ayah?” soal Haq lagi apabila Prof Kim kekal diam.

Prof Kim mengangguk. Fail di tangan kembali diletakkan di atas meja. Dia menapak ke arah sofa. Dilabuhkan duduk di situ.

Haq atur langkah, lalu melabuhkan duduk setentang dengan Prof Kim. Wajah lelaki itu sudah tidak setegang tadi.

“Ada apa-apa yang Haq perlu tahu?” soal Haq, memulakan topik perbualan walaupun dia tahu Prof Kim seperti tidak berminat mahu menjelaskan perkara tersebut.

Prof Kim ayahnya. Dia tahu lelaki itu sangat berahsia akan hal kerjanya. Jangan harap dia boleh dapat jawapan dengan mudah.

Prof Kim menggeleng.

“Tak penting. Tak ada apa-apa yang menarik pun untuk Haq tahu,” kata Prof Kim, bersahaja.

Cermin mata di pangkal hidung dilucutkan, lalu diletak di atas meja kopi. Dia bersandar tenang ke dada sofa, mahu lebih relaks.

Haq mengeluh. Dia sedikit menunduk dan meletakkan kedua-dua belah siku ke atas paha. Dia sekadar merenung karpet tebal di hujung kaki.

Lama suasana dibiarkan sepi.

“Venus 201 tu, ciptaan baru ayah, kan?” soal Haq, belum berputus asa.

Dia benar-benar mahu tahu. Sebentar tadi, hanya sedikit saja yang dia dapat baca. Selainnya, dia belum betul-betul faham.

Isi fail itu menggunakan istilah sains. Gambar rajah kompleks dan berselirat, macam mana dia hendak faham? Pening otaknya.

Walaupun dia anak seorang saintis, tapi dia tidak pernah meminati bidang sains.

Haq dan Prof Kim mempunyai minat yang sangat berbeza. Bagai langit dan bumi.

Haq hanya meminati dunia polis. Itu cita-citanya sejak kecil lagi. Dunia sains tidak ada dalam kamus hidupnya. Berbeza dengan Prof Kim.

Sebahagian besar hidupnya hanya dihabiskan dalam bidang itu. Duduk berdiam di dalam makmal selama berjam-jam lamanya. Sibuk dengan kajian demi kajian terbaharu.

Haq bosan dengan hidup seperti itu. Hidup berkurung di dalam makmal. Dia perlu hidup dan bergaul dengan masyarakat di luar sana. Bukan setakat menghadap mesin, bahan-bahan kimia dan alat radas di dalam makmal saja.

Itu memang bukan hidupnya!

“Untuk apa lagi ayah cipta semua tu? Apa yang ayah nak kejar lagi? Pangkat? Harta?” soal Haq bertubi-tubi.

Dia benar-benar tak faham dengan pendirian ayahnya.

Prof Kim sudah terkenal dengan projek ciptaannya. Nama lelaki itu tersohor dalam bidang inovasi dan penyelidikan.

Haq saja yang tidak pernah mahu ambil pusing. Dia tidak pernah menunjukkan minat walaupun nama Prof Kim selalu saja disebut-sebut rakan di tempat kerjanya.

Prof Kim kekal diam.

“Atau ayah hanya nakkan kepuasan semata-mata?” soal Haq sebal.

Diam Prof Kim menyakitkan hatinya. Dia mahukan jawapan. Bukan kebisuan seperti ini.

“Apa lagi yang ayah nak kejar? Tak cukup lagi ke dengan apa yang kita dah ada?” Haq mengeluh kesal.

“Semuanya dah lebih daripada cukup, ayah,” ujar Haq perlahan.

“Alat biasa-biasa je,” ujar Prof Kim setelah lama terdiam.

Dia sedar Haq sedang menagih jawapan, namun dia belum benar-benar bersedia mahu bercerita daripada hati ke hati tentang projek terbaharunya. Bimbang Haq akan salah faham.

Pendiriannya dengan anaknya ini sangat berbeza. Seorang Haq tidak akan dapat memahami dirinya.

“Ya ke?” soal Haq skeptikal.

Sepasang mata dipicing, memandang wajah Prof Kim. Jarang lelaki itu mencipta alat yang biasa-biasa saja. Itu memang bukan Prof Kim yang dikenalinya selama ini.

Prof Kim mengangguk.

“Sekadar membantu perisian data komputer supaya lebih mudah diakses. Melindungi data Metropolis Bulan mungkin,” kata Prof Kim, tenang.

Haq merenung sepasang mata Prof Kim dalam-dalam.

“Ayah pernah tak terfikir, untuk sekali je, cuba fikir, kalau ciptaan ayah tu jatuh ke tangan musuh. Maksud Haq, ke tangan orang yang salah. Macam mana?” soal Haq, cuba menggoyahkan pendirian Prof Kim.

Diam.

“Pernah tak ayah fikir?”

Prof Kim membatu.

“Tu maksud Haq. Sepatutnya ia bersifat melindungi, tapi macam mana kalau ia digunakan untuk memusnahkan? Malah, menghasilkan kemusnahan yang jauh lebih dahsyat. Berbaloi ke semua ni, ayah? Berbaloi?” soal Haq sebal.

Tak sedar nada suaranya sudah meninggi. Entah kenapa malam ini dia gagal mengawal emosi.

Dia tahu, mungkin Prof Kim berniat baik. Tapi, Haq bimbang dengan segala kemungkinan yang entah macam-macam dalam fikirannya. Bukan semua manusia berniat baik seperti Prof Kim.

Itu hakikat. Ramai lagi manusia di luar sana yang berhati hitam.

Berada dalam dunia yang memerlukan dia menjaga keselamatan bandar raya ini membuatkan Haq terfikirkan perkara-perkara negatif sahaja. Dia risaukan keselamatan penduduk Metropolis Bulan.

Haq bangkit. Langkah diayun lemah. Dia tidak betah berlama-lama di situ. Diam Prof Kim menyakitkan hati mudanya.

“Haq Zulqarnain!”

Langkah Haq terpasung. Dia tahu, Prof Kim hanya akan memanggil nama penuhnya apabila sedang marah.

“Sebagai anak, Haq tak berhak persoalkan tindakan ayah,” ujar Prof Kim. Ada getar pada nada suaranya.

Kata-kata Haq sesaat tadi telah menggores hati tuanya. Haq tak patut meragui tindakan dan niat murninya. Haq tak faham akan perasaannya. Anaknya itu tidak layak menyatakan hal seperti itu kepadanya.

Sama sekali tidak!

Haq pejam mata beberapa saat. Sedar yang dia sudah terlajak bicara. Bibir diketap kuat.

Haq statik di situ buat beberapa saat. Setelah itu, perlahan-lahan tubuh dipusing menghadap Prof Kim.

“Haq tak ada niat nak kurang ajar pada ayah. Haq sayang ayah. Haq tak nak ayah tersilap langkah. Kita semua manusia biasa. Takkan pernah terlepas daripada buat salah. Mungkin lepas ni ayah patut fikir dengan lebih mendalam sebelum cipta benda tu atau apa-apa pun.”

Haq menghela nafas panjang sebelum menyambung bicaranya. “Maafkan Haq.”

Sesudah itu, Haq pusingkan tubuh. Dia tidak berniat mahu memanjangkan perkara itu. Dia lelah.

Seharian di tempat kerja sangat meletihkan. Haq tidak mahu bertegang leher dengan Prof Kim pula di rumah. Dia benar-benar mahu berehat.

Prof Kim melepaskan keluhan. Belakang Haq yang kian menghilang dipandang lama. Selalunya itu yang akan berlaku di akhir perbualan mereka. Dia dan Haq selalu saja bertegang leher.

Entah di mana silapnya, dia sendiri tidak tahu.

“Ayah sayang Haq...” Cukup perlahan kata-kata itu.

Hanya sekadar di pendengaran sendiri.

FOTO yang terletak elok dalam bingkai kayu coklat muda itu direnung lama. Tak sedar jemari sendiri mengusap gambar wanita anggun yang sedang tersenyum di sisi seorang budak lelaki.

Haq tunduk seraya melepaskan keluhan. Dia jadi rindu pada wajah itu. Wajah ibunya yang sudah lama pergi meninggalkannya, kembali ke dunia abadi.

Satu perpisahan yang amat menyakitkan.

Malam ini dia rindukan wanita itu. Entah kenapa, dia sendiri tak pasti. Apa yang pasti, hubungannya begitu akrab dengan arwah ibunya hingga dia panasaran saat ditinggalkan wanita anggun itu lebih 15 tahun yang lalu.

Sesudah itu, dalam hidupnya hanya ada seorang ayah. Prof Kim, lelaki bijaksana dalam bidang sains dan inovasi.

Malangnya, Prof Kim terlalu sibuk dengan dunia pekerjaannya.

Mujur saja dia tinggal di asrama sehingga berjaya menamatkan pengajian. Tidaklah rasa terlalu sunyi. Hidupnya hanya dipenuhi warna-warni bersama sahabat-sahabatnya.

Haq meletak bingkai gambar itu ke meja kecil di tepi katil. Jaket kulit pada tubuhnya ditanggalkan. Tubuhnya dibiarkan telentang di atas katil. Kelopak mata terkebil-kebil memandang siling bilik

Haq sedar, hubungannya dengan Prof Kim tidaklah begitu mesra, sebagaimana seorang anak dan ayah yang lain. Dia juga tidak tahu kenapa hubungan dia dan Prof Kim boleh serenggang itu. Bukan dia tidak cuba mendekatkan jurang itu, namun komunikasi antara mereka selalu saja berakhir dengan pertengkaran.

“Haq sayang ayah. Mungkin Haq agak keterlaluan tadi. Haq cuma takut ayah tersalah langkah.” Kata-kata itu terzahir di bibir.

Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Berdosa besar jika dia menyakiti hati ayahnya tanpa sedar. Esok, dia akan meminta ampun daripada Prof Kim. Dia takut berkat hidupnya hilang kerana telah melakukan dosa besar itu.