BAB 2
HARLEEN menapak ke arah sebuah bangunan yang terbentuk unik berwarna kelabu keputihan yang dinamakan Miranda. Seingat Harleen, nama Miranda diinspirasi daripada salah satu satelit planet Uranus, yang merupakan planet ketujuh dalam sistem suria.
Miranda mempunyai dua sayap. Satu sayap di bahagian kanan dengan bangunan setinggi lima tingkat, manakala sayap kiri bangunan itu pula setinggi 10 tingkat. Walaupun kelihatan tidak seimbang, namun itulah keunikan bangunan di depan matanya ini.
Saat menjejak pintu masuk lif, butang ditekan. Tingkat tiga dituju. Itu adalah tempat dia menghabiskan hampir sebahagian besar masanya setiap hari.
Makmal Miranda yang terletak di bahagian sayap kanan bangunan dituju dengan langkah penuh yakin. Saat pintu makmal terbuka, Harleen tersenyum menanggapi wajah Nur, teman karibnya.
“Awal hari ni?” sapa Nur, ramah.
Wanita muda itu membetulkan cermin mata di pangkal hidungnya sebelum menoleh ke wajah Harleen. Selalunya, temannya itu belum tiba lagi pada waktu seperti ini. Jam tangan dikerling. Baru pukul 7.45 pagi. Waktu masuk kerja Harleen selalunya tepat pukul 8.00 pagi.
“Kenapa kau tak beritahu aku waktu keluar rumah tadi?” soal Harleen, tak puas hati.
Sedar-sedar saja, Nur sudah hilang dari rumah.
“Eh... aku ada beritahu kau tau. Tapi, waktu tu kau dalam bilik air. Tak tahulah kau dengar ke tak,” kata Nur, selamba mencebik.
Sepasang matanya masih tekun menghadap skrin komputer. Langsung tidak memandang Harleen yang terpacak di sisi.
Dia sedang sibuk. Tak ada masa hendak berbual kosong dengan Harleen. Lagipun, sekarang waktu kerja. Tak boleh membazir masa sesuka hati.
Harleen putar mata hitamnya ke atas.
“Mestilah aku tak dengar. Tengah bersiram kut. Aku keluar je, kau dah tak ada,” kata Harleen, sebal.
Selalunya dia dan Nur akan ke sini bersama-sama. Namun, tidak hari ini.
Nur kelihatan agak sibuk dalam masa beberapa hari ini. Harleen jadi hairan.
“Kenapa aku tengok kau selalu sibuk sekarang?” soal Harleen, tak puas hati.
Sahabatnya itu seperti merahsiakan sesuatu.
Selalunya Nur akan menceritakan segala-galanya kepada dia. Tidak ada rahsia antara mereka. Maklumlah, sahabat sejati. Teman serumah, merangkap teman sekerja. Segalanyalah!
“Mana ada.” Anak mata Nur masih setia pada skrin komputer.
“Tipu. Kau ada rahsia, kan? Tak nak cerita dekat aku ke? Ceritalah,” rengek Harleen, manja.
Nur saja tempat dia bermanja selama ini. Mana ada orang lain lagi.
Nur mengalihkan mata dari skrin komputer. Dia mengeluh sekali.
“Mana ada rahsia.” Cermin mata bulat yang sedikit melorot di pangkal hidung ditolak sedikit.
Wajah Harleen ditenung lama. Namun, tidak ada kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Harleen diam sejenak. Lama dia perhatikan wajah Nur yang terkebil-kebil memandangnya.
“Nur...” rengek Harleen lagi.
Kali ini siap pakej tarik lengan Nur. Mahu temannya itu berkongsi rahsia dengannya.
Dia tahu Nur ada merahsiakan sesuatu daripada pengetahuannya. Dia sangat yakin!
“Tak ada apa-apalah. Kau je yang suka fikir bukan-bukan.” Nur kembali menghadap skrin komputer.
Perlahan-lahan lengannya ditarik daripada cengkaman Harleen, pura-pura sibuk.
Harleen tak puas hati. Wajahnya dirapatkan ke tepi telinga Nur.
“Kau dengan Prof Kim ada apa-apa ke?” soal Harleen, sedikit berbisik.
Dia sengaja hendak memancing perhatian Nur. Mana tahu Nur termakan pujukannya nanti, kan?
“Apa-apa? Maksud kau?” soal Nur, tak faham.
Jari-jemari sudah terhenti daripada menekan papan kekunci. Dia toleh, memandang wajah Harlen yang dekat. Kening sudah bertaut.
Harleen ni hendak cakap apa sebenarnya? Jauh terpesong dah ni daripada topik perbualan.
Harleen merapatkan kedua-dua hujung jari telunjuknya. Tersengih-sengih memandang wajah Nur.
Tindakan itu buat Nur berkerut dahi. Namun, tak lama apabila dia mula memahami maksud perbuatan Harleen.
“Gila!” kata Nur tanpa sedar.
Entah apa-apa pemikiran si Harleen ni. Mengarut betul!
Harleen melepaskan tawa. Wajah Nur memerah. Entah marahkan dia atau malu, dia sendiri tidak pasti. Tapi, yang pasti, dia sudah berjaya menarik perhatian Nur daripada fokus pada kerja saja.
“Habis tu, kau orang rapat semacam akhir-akhir ni. Mana tahu, aku boleh makan nasi minyak nanti,” kata Harleen bersama sisa tawanya.
Nur merengus deras. “Mengarut!”
Harleen masih belum puas mengusik.
“Betullah. Kau solo, Prof Kim pun solo. Tak salah pun,” kata Harleen selamba seraya tersengih-sengih.
“Tak nak aku, tua!” Selamba Nur berkata. Dia menjeling geram wajah Harleen.
Entah apa-apa perangai si Harleen ni. Dah tak ada manusia lain lagi ke boleh bagi dekat dia? Si tua itu juga yang dia hendak jadikan gurauan.
Pecah lagi ketawa Harleen.
“Tua pun tak apa, janji hot. Ramai peminat tau. Dia kacak setara dengan usia dialah.” Sengaja Harleen hendak padankan Nur dengan duda beranak satu itu.
Apa salahnya, kan?
“Kalau hot sangat, kaulah yang kahwin dengan dia. Tak kuasa aku! Daripada kahwin dengan dia, baik aku mengurat anak dia. Jauh lebih hot banding ayah dia tau.”
“Ya ke?” soal Harleen tak percaya.
Sepasang matanya disepetkan. Bibir pula tersenyum senget. Boleh percaya ke cakap teman baiknya ini?
Kacak di mata Nur, belum tentu kacak di mata dia. Maklumlah, kecantikan itu subjektif. Terpulang pada yang melihatnya.
“Yalah, aku pernah nampak kut. Kacak tau. Lagi kacak daripada Prof Kim. Kau je yang tak pernah nampak.”
Harleen mencebik sesaat. Ada dia kisah? Apa kena-mengena anak Prof Kim dengan dia? Tak ada kena-mengena, kan?
“Sebenarnya, aku dan Prof Kim bincang hal kerja. Ada projek baru,” kata Nur.
Fail yang berada di atas meja pantas dicapai. Dia bangkit. Malas hendak melayan cakap Harleen yang entah apa-apa. Mengarut saja.
“Eh, projek apa?” soal Harleen teruja.
Dia tidak berminat mahu tahu tentang anak Prof Kim yang kononnya hot itu. Entah-entah, indah khabar daripada rupa. Boleh jadi, sejuk macam ais daripada hot macam api.
Dia lebih berminat mengenai projek baharu yang disebutkan Nur tadi.
“Rahsia.”
“Nur!” Harleen sudah terjerit.
Namun, Nur buat-buat pekak. Langkah diatur selamba ke pintu utama makmal. Langsung tidak pedulikan Harleen yang sudah berwajah masam.