BAB 1
METROPOLIS Bulan. Sebuah bandar raya yang pesat membangun. Bangunan tinggi pencakar langit dan taman perumahan mendominasi suasana. Kenderaan bertali arus di atas jalan raya. Penduduknya ramai dan masing-masing sibuk mencari rezeki di bumi Tuhan.
Sebuah gudang yang luas dan terletak di pinggiran Metropolis Bulan sedang dikepung oleh pihak berkuasa.
“Tuan, izinkan saya masuk ke dalam,” ujar Haq setelah terdiam lama.
Suara ketuanya itu tidak lagi kedengaran pada alat komunikasi di lubang telinganya. Dia tahu ketuanya itu serba salah mahu memberi arahan.
Namun, situasi kian meruncing. Haq perlukan arahan untuk bertindak.
Anak mata memandang sekilas sahabat-sahabat satu kumpulannya yang sedang berdiri di sudut bangunan yang agak tersorok. Masing-masing dalam posisi bersedia. Memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum meneruskan operasi itu.
Hari ini, Haq dan pasukannya ditugaskan menyelamatkan rakan mereka, Ziyad, yang sudah berada di tangan musuh. Identiti undercover Ziyad sudah diketahui musuh.
Entah apa nasib sahabat baiknya itu, Haq sendiri tidak pasti. Dia hanya berharap agar sahabatnya itu masih bernyawa. Haq benar-benar bimbang.
“Situasi sekarang terlalu bahaya, Haq. Pasukan bantuan akan tiba tak lama lagi. Kita kena tunggu dia orang dulu sebelum bertindak,” kata Tuan Zarul, resah.
Ziyad sudah menjadi mangsa. Dia tidak mahu nyawa seorang lagi anak buahnya terancam. Pasukan Haq hanya lima orang sahaja. Dia risau anak buahnya itu tidak mampu menewaskan musuh.
“Tapi, tuan, nyawa Ziyad dalam bahaya. Kita perlu selamatkan dia.”
Hanya kebisuan melatari suasana. Tidak kedengaran suara Tuan Zarul pada alat komunikasi di lubang telinga.
Haq mengeluh deras. Dia bencikan situasi seperti ini.
“Tuan?” seru Haq lagi. Dia semakin tidak sabar.
Tuan Zarul kedengaran begitu ragu-ragu dengan keputusannya. Masa kian suntuk.
“Tolong cover aku,” ujar Haq setelah terdiam lama.
Dia perlukan keputusan yang tepat tanpa ragu. Jika Tuan Zarul tidak berani memberi arahan, biar dia saja yang melakukannya.
“Kau tak boleh ingkar arahan Tuan Zarul.”
Terdengar suara rakan sepasukannya mencelah pada alat komunikasi. Jelas yang dia sangat tidak bersetuju dengan tindakan berani Haq.
“Kita tak ada masa,” ujar Haq tanpa ragu-ragu.
Dia tahu rakan-rakannya pasti tidak akan setuju dengan tindakannya. Namun, Haq tidak peduli. Kali ini, dia tidak akan bersabar lagi. Tuan Zarul terlalu teragak-agak.
“Haq, jangan!” tutur Tuan Zarul penuh terdesak.
Anak buahnya yang satu ini memang degil dan terlalu berani. Sukar dia hendak menjangkakan tindakan manusia bernama Haq. Nyawa sendiri bagai tak dipedulikan apabila dia sudah nekad dengan keputusannya.
“Haq!” jerit Tuan Zarul.
Haq mencabut alat komunikasi dari lubang telinga, membiarkan ia tersangkut di kolar baju. Suara Tuan Zarul begitu bingit di pendengarannya.
Kali ini dia nekad. Ziyad harus diselamatkan dengan tangannya sendiri. Apa nak jadi, jadilah. Dia tidak peduli!
BUNYI tembakan bertalu-talu menujah pendengaran. Bagaikan perang peluru, manusia-manusia itu sedang berbalas tembakan. Sesekali kedengaran jeritan musuh yang tumbang apabila terkena peluru pada tubuh.
Haq berlari laju. Sesekali dia berlindung di sebalik kontena. Rakan sepasukannya masih berbalas tembakan di belakangnya. Satu tembakan dilepaskan musuh, hampir-hampir mengenai tubuhnya. Lekas Haq bersembunyi di sebalik dinding. Mujur dia cekap mengelak.
Haq bersandar pada dinding gudang. Bau kepam di dalam gudang menusuk ke rongga hidung. Nafas dihela panjang. Pistol di tangan digenggam kemas.
Tak sampai beberapa saat, dua orang lelaki muncul di hadapannya, lalu melepaskan tembakan. Dengan pantas, Haq berguling sekali sebelum bertindak menembak manusia-manusia di depannya.
Lelaki-lelaki itu tumbang terkena peluru, tepat di bahagian dada dan perut.
Haq bangkit, lalu menghampiri lokasi Ziyad. Lega apabila dari jauh dia dapat melihat lelaki itu. Tubuh Ziyad dihampiri.
“Ziyad! Bangun!” Haq menepuk perlahan pipi sahabat karibnya itu.
Sakit hati saat melihat tubuh Ziyad yang luka-luka dan berdarah di sana sini. Pasti teruk Ziyad dikerjakan musuh. Mengenangkan itu, hatinya kian terbakar.
Apabila Ziyad membuka kelopak matanya, Haq rasa lega. Sahabatnya itu masih bernyawa.
“Ni... perangkap... lari,” kata Ziyad, tersekat-sekat.
Haq berkerut dahi. Namun, dia mula faham kata-kata temannya itu apabila melihat ke arah mata Ziyad tertala.
Tidak jauh dari kedudukannya, Haq dapat melihat sebuah bom jangka yang masih dalam keadaan aktif. Ada lebih kurang empat minit lagi sebelum ia bakal meletup.
Mulut Haq terbuka luas. Sepasang matanya terbuntang.
“Ni perangkap!” kata Haq kepada rakan sepasukannya.
Dia benar-benar berharap rakan sepasukannya sempat melarikan diri dan meninggalkan kawasan gudang itu.
Tak buang masa, tubuh lemah Ziyad diletak ke bahu. Haq tahu, dia masih sempat. Ada masa beberapa minit lagi sebelum bom jangka itu meletup.Pasti sempat jika dia melarikan diri sekarang!
Haq berlari laju, seboleh mungkin. Dia tidak akan tinggalkan Ziyad di situ walaupun dia sendiri bakal mati. Dia tak peduli.
Tak sampai beberapa minit, dengan satu letupan yang kuat, tubuh Haq dan Ziyad sama-sama tercampak. Tubuh mereka mendarat di atas tanah, tidak jauh mana dari kawasan pintu utama gudang.
Haq membuka kelopak mata beberapa saat. Kepalanya terasa pusing. Dia dapat melihat gudang di depan mata terbakar sepenuhnya, meninggalkan api yang marak berwarna jingga kemerahan. Asap hitam berkepul-kepul menjulang tinggi ke angkasa.
Sesudah itu, semuanya kelihatan kelam sebelum terus gelap. Kelopak mata Haq akhirnya terpejam rapat.