BAB 5
BEBERAPA ekor ikan yang siap dibeli telah dimasukkan ke dalam bakul miliknya. Sayur-sayuran juga telah siap dibeli. Selepas ini dia berhajat hendak ke kedai berdekatan. Mahu membeli sedikit keperluan untuk memasak.
Beg tangan miliknya elok tergantung di bahu. Puan Maryam membuka langkah. Sewaktu dia melalui lorong kecil yang sunyi itu, tiba-tiba seseorang cuba merentap beg tangan miliknya.
Puan Maryam terperanjat. Dia berusaha menarik semula beg tangannya, namun tidak berjaya. Sudahnya, lelaki tersebut menolak tubuhnya kuat sehingga dia jatuh terduduk. Bakul dalam genggamannya tercampak. Habis bertaburan ikan dan sayur di atas jalan raya.
“Tolong! Tolong! Ada peragut!” Puan Maryam memekik.
Dia cuba untuk bangkit berdiri, tapi punggungnya terasa ngilu.
“Hoi!” jerkah seorang lelaki dari arah belakang.
Cepat-cepat bertindak mengejar peragut. Tak buang masa, peragut itu terus membuka langkah seribu. Bimbang dirinya akan ditangkap. Namun, lelaki tadi jauh lebih pantas.
Tak sampai beberapa minit sahaja peragut itu berjaya ditangkap. Berlaku pergelutan antara lelaki itu dengan peragut. Beg tangan milik Puan Maryam berjaya dirampas dari tangan peragut itu.
Kini, di hadapan matanya, Puan Maryam menyaksikan sendiri peragut itu mengeluarkan sebilah pisau kecil. Dia mula risau.
Lelaki itu pantas mengelak apabila pisau diayunkan ke arahnya. Dengan pantas satu tendangan padu diberikan ke dada peragut itu, membuatkan tubuh itu terdorong ke belakang. Namun, peragut itu masih belum puas. Dia cuba pula hendak menikam lelaki itu. Cubaannya mengena.
Lelaki itu gagal mengelak. Lengan kirinya berjaya ditoreh. Darah merah pekat mula mengalir membasahi lengan bajunya. Wajahnya berkerut menahan sakit. Tak buang masa, dia melakukan serangan balas. Tumbukan dan tendangan dihadiahkan ke perut peragut itu.
Peragut itu jatuh terduduk. Pisau dalam genggamannya terlepas. Tidak yakin dia akan menang dalam pertarungan itu, peragut tadi mula berundur, lalu membuka langkah seribu.
Cepat-cepat Puan Maryam meluru ke arah lelaki muda itu.
Lelaki itu menunduk mengambil beg tangan yang terdampar di atas jalan. Dia menyerahkannya ke tangan Puan Maryam.
Tidak henti-henti Puan Maryam mengucapkan terima kasih. Bersyukur kerana masih ada insan mulia yang mahu menyelamatkan dirinya. Puan Maryam mengajak lelaki itu ke klinik berdekatan. Dia risau melihat darah pekat yang mengalir di lengan lelaki itu. Lengan lelaki itu perlu dirawat.
LENGANNYA sudah berbalut kemas. Mujur hanya luka kecil sahaja. Dia tersenyum memandang wajah wanita lebih separuh abad yang setia di bangku yang tersedia di ruangan menunggu. Dia melabuhkan punggung di sisi wanita itu.
“Lengan tu macam mana?” soal Puan Maryam tidak sabar. Dia benar-benar risau.
“Sikit aje, mak cik. Esok lusa sembuhlah.” Dia tersenyum memandang wajah wanita yang terbias risau itu.
“Terima kasih sebab dah tolong mak cik.” Puan Maryam memulakan bicara setelah lelaki muda itu selesai mendapatkan rawatan.
Niatnya mahu membayar semua kos rawatan lelaki itu, tetapi telah ditolak dengan cara yang baik. Puan Maryam akur.
Jika difikirkan semula, wang di dalam beg tangannya bukannya banyak sangat. Kalau peragut itu mahu sangat beg tangannya, dia akan relakan asal dirinya tidak diapa-apakan. Dia lebih risaukan keselamatan dirinya dan lelaki muda di hadapannya.
“Nama mak cik Maryam. Anak ni apa namanya?”
“Iskandar.”
“Kalau tak ada anak tadi, tak tahulah apa akan jadi pada mak cik.”
“Tak ada apalah, mak cik. Kebetulan aje saya lalu di situ. Mujur mak cik selamat. Peragut sekarang ni sanggup buat apa aje. Mak cik kalau boleh, elakkan guna jalan yang sunyi. Bahaya,” jelas Iskandar.
Wajah Puan Maryam direnung sekilas.
Puan Maryam mengangguk faham. Silapnya juga kerana memilih laluan yang sunyi. Ingatkan dapat lebih cepat. Rupa-rupanya lain pula yang terjadi. Mujur Allah masih sayangkan dirinya dan menghadirkan insan berhati mulia yang sudi membantu saat dia dalam kesulitan.
“Kereta saya ada kat kawasan ni. Saya hantarkan mak cik balik ya?” soal Iskandar.
Pantas Puan Maryam menggeleng.
“Tak apalah, Iskandar. Mak cik boleh balik sendiri. Menyusahkan kamu aje,” jawab Puan Maryam. Dia serba salah.
“Tak susah pun. Mak cik tunggu sini.” Iskandar bangkit, terus ayun langkah.
Puan Maryam tidak sempat menegah. Dia hanya diam memerhati langkah anak muda bernama Iskandar itu menghilang daripada pandangan.
“KENA ragut?” Buntang mata Safi saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Kalau Safi tahu nak jadi macam ni, Safi takkan pergi ke rumah kawan tadi.” Safi labuhkan duduk di sisi ibunya.
Lengan ibunya dipegang erat. Hatinya dipagut rasa bersalah yang amat. Riak kerisauan jelas terpeta pada wajah. Kalau Suria tahu, mahu berbakul-bakul dia dimarahi.
“Dahlah, Safi. Jangan salahkan diri. Bukan salah Safi pun. Benda dah nak jadi.” Kepala Safi diusap lembut.
“Ibu dah beritahu kakak?” soal Safi, berpaling ke arah ibunya. Kerisauannya bertambah-tambah.
Puan Maryam menggeleng.
“Nanti ibu beritahu kakak. Dia baru aje balik. Ibu tak nak susahkan hati kakak. Nanti tak pasal-pasal dia kena balik ke sini semula. Safi sedia maklum kan kakak Safi tu macam mana orangnya. Lagipun ibu tak apa-apa. Alhamdulillah, ibu syukur sangat. Ada lagi manusia baik hati yang sanggup selamatkan ibu,” ujar Puan Maryam.
Lengan anaknya diusap lembut. Dia tidak mahu anaknya itu terus-terusan menyalahkan diri.
“Ibu jangan tak beritahu. Nanti kakak marah Safi pula.” Bukan dia tidak tahu perangai kakaknya macam mana.
Nanti tak pasal-pasal dia pula yang disalahkan.
“Lain kali Safi akan temankan ibu. Ibu jangan pergi sorang diri lagi. Safi susah hati nanti.”
Mendengar sahaja cerita Puan Maryam sudah cukup untuk membuatkan hatinya dilanda bimbang. Peragut zaman sekarang sanggup lakukan apa sahaja, asalkan dapat apa yang dihajati. Safi jadi gerun memikirkan semua kemungkinan itu.
“Ibu aje yang Safi ada dalam dunia ni,” ujar Safi sayu.
Dia tidak mahu kehilangan ibunya. Tubuh ibunya dipeluk erat.
Puan Maryam membalas pelukan anak manjanya itu.
“Tapi, hero ibu tu boleh tahan kacak ya?” soal Safi, masih dalam pelukan ibunya.
Safi teringat saat dia berselisih dengan lelaki itu di halaman rumah tadi. Dia yang baru sahaja pulang ke rumah selepas dihantar kawannya terkejut melihat ada lelaki muda sedang berbual-bual dengan ibunya di kerusi batu di halaman rumah. Lelaki itu menghadiahkan senyuman manis buat dirinya. Safi pula hanya tersenyum seraya menundukkan wajah. Dia pula yang malu saat menatap wajah tampan itu.
“Dah, jangan nak menggatal,” ujar Puan Maryam. Pipi anaknya dicubit manja.
“Sakitlah, ibu.” Pipinya diusap perlahan.
Boleh tahan bisa juga cubitan ibunya. Persis kakaknya, Suria. Kini, dia tahu Suria mewarisi perangai ‘ketam’ Puan Maryam.
“Bukan untuk Safi. Tapi, untuk anak ibu yang seorang lagi tu.”
Berkerut dahi Puan Maryam mendengar jawapan Safi. Dia terdiam lama. Bernas juga idea Safi. Dia sendiri tidak terfikir hingga ke situ. Kalau dengan Safi, umurnya agak jauh berbeza. Namun, kalau dengan Suria, tidak jauh berbeza.
Seingatnya, Iskandar ada menyatakan yang dia masih belum berkahwin. Mahukah Iskandar jika dijodohkan dengan Suria? Semua persoalan itu bermain-main dalam mindanya.