INGIN MEMILIKIMU

BAB 4

  • NURSUZAHAN

SURIA membuka kelopak mata. Matanya meliar memandang kawasan sekeliling yang serba putih. Beberapa orang jururawat sedang sibuk ke hulu ke hilir dengan tugasan masing-masing.

Suria menoleh ke kiri apabila terasa bahunya disentuh lembut. Wajah ibunya melayari pandangannya. Puan Maryam tersenyum.

Seingatnya dia berada di tempat kerja. Bagaimana dia boleh berada di sini? soal hati Suria.

“Alhamdulillah. Anak ibu dah sedar,” tutur Puan Maryam.

“Kenapa Suria ada kat sini?”

“Suria pengsan dekat tempat kerja. Jadi, kawan-kawan hantar Suria ke sini,” jawab Puan Maryam lembut.

“Suria sakit apa?”

Puan Maryam tersenyum. Wajah cengkung anaknya dipandang lembut. Sejak Shahrul kembali ke rahmatullah, anaknya dilihat semakin kurus. Hatinya semakin risau. Itu yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama Suria buat sementara waktu.

“Suria mengandung. Dah empat bulan. Syukur alhamdulillah.” Puan Maryam tidak henti bersyukur.

Jemari anaknya digenggam, cuba memberi kekuatan. Dia tahu anaknya sangat memerlukan sokongan waktu ini.

Suria terkedu. Perutnya diusap perlahan.

“Mengandung?” soal Suria seakan tidak percaya.

Rupa-rupanya selama empat bulan ini dia telah berbadan dua tanpa sedar. Patutlah dia mudah sahaja berasa letih akhir-akhir ini. Masalah datang bulannya yang tidak teratur membuatkan Suria tidak pernah kisahkan soal kedatangan ‘teman baiknya’ itu. Tak disangka dia akan menjadi seorang ibu tidak lama lagi.

Puan Maryam mengangguk. Dia mengerti perasaan Suria. Gembira dan keliru silih berganti.

Suria diam. Tubir matanya digenangi air mata. Perlahan-lahan air mata menuruni lekuk pipinya. Kalaulah arwah Shahrul masih ada, pasti dialah orang yang paling gembira. Namun, itu semua hanya tinggal kenangan sahaja.

“Ibu mengandung tak elok bersedih. Suria kena kuatkan diri. Ni satu-satunya tanda cinta arwah Shahrul buat Suria. Allah sayangkan anak ibu. Allah ambil satu dan gantikan dengan kehadiran benih cinta dalam rahim Suria. Kita kena bersangka baik. Allah sebaik-baik perancang. Dia lebih Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Walau sehebat mana pun dugaan, manisnya pasti akan menyusul.

“Ibu tahu Suria susah nak terima semua ni. Tapi, Suria kena belajar untuk reda, sayang. Ibu tahu, mudah untuk kita menuturkan perkataan reda, tapi untuk melakukannya, hanya Allah aje yang tahu.” Puan Maryam menyambung bicaranya lagi.

Dia sebak. Suria diuji dengan ujian yang begitu hebat.

Suria teresak-esak. Tubuh Puan Maryam dipeluk. Dia sendiri takut mahu menghadapinya seorang diri. Dia takut dirinya tidak sekuat yang disangka ibunya.

Puan Maryam membalas pelukan Suria. Belakang Suria diusap perlahan. Jika anaknya itu berduka, dia turut berkongsi perasaan yang sama. Sama-sama terluka.

“Suria tak nak beritahu mak mentua Suria ke?” soal Puan Maryam setelah lama terdiam.

Tubuh Suria belum dilepaskan. Dia yakin kehadiran bakal cucu dalam rahim Suria akan menggembirakan seluruh keluarga besannya.

Suria bungkam. Sejak kehilangan arwah Shahrul, sudah lama dia tidak menghubungi ibu mentuanya. Malah, keluarga mentuanya juga begitu. Mungkin masing-masing perlukan masa untuk bertenang dan menerima semua kenyataan ini.

Bagaimana jika mereka mahu mengambil bayi ini daripadanya nanti? Hati Suria berdetik curiga.

Mungkin sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia beritahu keluarga mentuanya akan perkhabaran ini. Suria membuat konklusi sendiri.

SURIA menyapu air matanya yang mengalir. Sudah jauh dia termenung mengingatkan kenangan silam. Dia teringat kembali arwah Shahrul. Pintu hatinya masih belum terbuka hendak menerima kehadiran insan bernama suami. Dia terlalu mencintai arwah Shahrul.

Suria melepaskan keluhan. Rupanya selama ini dia terlalu memikirkan tentang dirinya sehingga terlupa akan perasaan anaknya sendiri. Anaknya itu bukan tidak pernah bertanyakan soalan siapa ayahnya, namun apabila Suria memaklumkan yang ayahnya telah tiada, anaknya itu seakan mengerti.

Sebenarnya, Puan Maryam ada menyuruhnya berterus terang kepada ibu mentuanya mengenai keberadaan Danish dalam hidupnya. Tidak elok dia merahsiakan kehadiran anak lelakinya itu daripada pengetahuan keluarga mentuanya. Keluarga mentuanya juga berhak untuk mengetahui kewujudan Danish dalam dunia ini.

Namun, Suria jadi ragu-ragu. Sudah terlalu lama dia terputus hubungan dengan keluarga mentuanya. Hendak ke rumah ibu mentuanya, Suria tidak bersedia. Dia belum cukup kuat hendak bertentang mata dengan wanita itu. Sejujurnya, dia sudah tidak yakin lagi dengan penerimaan keluarga ibu mentuanya.

Setelah bertahun-tahun menghilang, masih sudikah keluarga mentuanya menerima kehadiran Danish dalam hidup mereka? Suria tidak yakin dengan kata hatinya sendiri. Dia takut dan curiga pada masa yang sama.

Rambut Danish diusap lembut. Wajah polos itu direnung penuh kasih. Seluruh kasihnya tertumpah buat anaknya. Danishlah sumber kekuatan dirinya selama ini. Penawar dan juga racun buat dirinya yang bergelar ibu.

DANIAL melabuhkan punggung di luar gelanggang futsal. Tuala kecil diraup ke seluruh wajahnya. Air di dalam botol kecil diteguk dengan rakus.

Iskandar muncul. Dia turut melabuhkan punggung di sisi Danial. Teman baiknya direnung sekilas.

“Kau nampak letih malam ni.” Iskandar meneguk air dari botol kecil miliknya.

Sehelai tuala kecil dibiarkan melingkari tengkuknya. Sesekali peluh pada wajah dilap dengan tuala itu.

“Dah lama aku tak join. Sibuk sikit akhir-akhir ni,” jawab Danial.

Iskandar tersenyum. Begitulah rutin hidupnya. Kalau tidak sibuk bekerja, dia akan menghabiskan masanya di gimnasium atau bermain futsal bersama kawan-kawan.

“Sibuk buat apalah sangat. Kerja, kerja juga. Kesihatan kena jaga juga, bro. Kau bukan ada anak isteri pun nak kena jaga. Sibuklah sangat.”

Danial tersengih. Ketuanya itu jauh lebih santai di luar waktu bekerja. Lagipun mereka sudah lama bersahabat. Sejak zaman universiti lagi. Atas sebab itu, dia tidak teragak-agak menerima tawaran Iskandar untuk berkerja bersamanya sekembalinya mereka ke tanah air.

“Hmm... semua kerja tu kau jugak yang suruh aku buat, kan? Kau kan bos aku. Kenalah aku ikut. Nanti tak pasal-pasal aku kena pecat,” sambung Danial lagi.

Keningnya sengaja dijongketkan.

Iskandar tergelak kecil.

“Alasan ajelah kau ni, Dann. Kau dah siasat apa yang aku suruh?” soal Iskandar, tiba-tiba serius.

Beralih ke topik kerja.

“Sudah, bos. Tapi, kau nak buat apa dengan semua maklumat tu?” soal Danial.

Dia kurang faham pula. Terasa bengap tiba-tiba.

“Adalah...” Iskandar tersengih.

Air di dalam botol kecil diteguk sehingga habis. Dia mengangkat punggung, lalu menuju ke tong sampah berdekatan. Botol mineral kecil itu dicampak masuk ke dalam tong sampah.

“Apa kau nak buat, Is?” soal Danial.

Dia mula susah hati. Tidak senang duduk pula dibuatnya.

“Kau jangan buat rancangan mengarut pulak.” Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.

Iskandar memandang Danial sekilas.

“Kau ikut ajelah. Banyak cakap pulak. Aku pecat nanti baru tahu.” Iskandar berseloroh.

Dia mula membuka langkah.

Danial diam. Dalam hati dia tahu Iskandar hanya bergurau. Kalau mahu pecat, sudah lama dia dipecat. Tak perlu tunggu sekarang.

Iskandar yang dikenalinya seorang lelaki yang sukar dijangka. Sangat tegas dan nekad apabila sudah buat keputusan. Seorang yang keras kepala dan degil. Itu yang paling dirisaukannya. Bimbang Iskandar tersalah langkah.